MForce Perkenal Varian BX 150 2021
Selepas pelancarannya pada tahun 2018, MForce Bike Holdings Sdn Bhd selaku pengedar sah jenama Brixton Motorcycles di Malaysia telah mengemaskini tiga varian model BX 150 dari segi penampilan dan corak. Ketiga-tiga varian tersebut adalah BX 150 yang hadir dengan rekabentuk klasik, BX 150X merupakan jentera scrambler dan BX 150R tampil sebagai model café racer.
Ketiga-tiga model ini diljana dengan enjin 149cc, empat lejang, SOHC dengan sistem suntikan bahan api mampu menghasilkan kuasa 11Hp pada 8,000rpm dan tork 11.9Nm pada 6,000rpm. Jentera ini juga turut disempurnakan dengan transmisi 5 kelajuan.
Antara ciri-ciri lain seperti fork hadapan jenis teleskopik, penyerap hentak berkembar di bahagian belakang dan penggunaan sistem brek cakera. Ciri keselamatan pula dipertingkatkan menerusi teknologi Combined Braking System (CBS) pada brek hadapan dan belakang.
Selain memiliki rekabentuk yang klasik dan mewah, BX 150 ini juga menawarkan gaya tunggangan yang cukup selesa. Pemilik akan merasa lebih yakin menunggang jentera ini kerana memiliki pelana yang rata, lebar serta dimensi yang sempurna.
BX 150 ini didatangkan dengan tangki bahan api 14 liter yang sesuai untuk perjalanan jauh. Paparan meter analog dengan speedometer digital menawarkan pelbagai informasi penting buat penunggang.
Setiap varian ditawarkan pada harga asas dan warna yang berlainan:
- BX 150 – RM10,488 (Hitam & Hijau Gelap)
- BX 150X – RM10,788 (Hitam Matte & Kelabu Matte)
- BX 150R – RM11,088 (Merah & Kelabu)
Para pelanggan boleh mendapatkan model-model Brixton ini sebaik sahaja pengedar sah MForce dibenarkan beroperasi.
Dengan setiap pembelian jentera ini, para pemilik akan menerima waranti selama dua tahun atau 20,000 kilometer (yang mana terdahulu) serta perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh MForce Bike Holdings Sdn Bhd. RR
Popular