BMW C 400 X & C 400 GT 2021 – Serba Baharu
BMW Motorrad Malaysia telah memperluaskan lagi segmen Mobiliti Urban dalam pasaran negara dengan memperkenalkan dua buah skuter terbaru mereka iaitu BMW C 400 X dan C 400 GT.
Sebagai model 2021, BMW C 400 X dan C 400 GT hadir dengan sistem brek serba baru, enjin silinder tunggal yang berpiawaian Euro5 dengan fungsi E-gas, sistem pengurusan enjin dan sistem klac jenis Centrifugal. Sistem Automatic Stability Control juga turut ditala semula manakala ruang simpanan bawah pelana dilengkapi dengan sistem pencahayaan dan soket pengecas USB.
BMW C 400 X merupakan jentera skuter bersaiz sederhana yang mampu mengharungi cabaran di sekitar kawasan bandar. Lampu utama jenis LED bersimetri dengan lampu siang (DRL) memantapkan lagi rekabentuk pandangan hadapan.
BMW C 400 GT pula pencetus segmen skuter maksi. Model ini merupakan skuter varian GT yang juga bersaiz sederhana dengan lampu hadapan LED berkembar serta DRL yang aerodinamik dan menawan. Sebagai sebuah skuter maksi, model ini tampil dengan cermin penghadang angin yang tinggi, pelana ergonomik dengan bahagian penyandar berasingan dan tempat pemijak berintegrasi yang menjamin keselesaan ketika mengembara.
Kedua-dua model ini didatangkan dengan enjin silinder tunggal yang bersesaran 350cc dan mampu menghasilkan kuasa maksimum 25kW pada 7,500rpm dan tork 35Nm pada 5,750rpm. Enjin ini kini dipadankan dengan kawalan pendikit elektronik yang dikenali sebagai E-gas untuk menawarkan tunggangan lebih lancar serta respon pendikit yang sensitif.
Seperti yang diberitahu, ciri keselamatan Automatic Stability Control (ASC) telah ditala semula supaya kawalan jentera lebih baik semasa berada di permukaan yang basah atau licin. Sistem brek cakera berkembar di bahagian hadapan juga diperbaharui agar lebih stabil dan selamat. Sistem ABS turut disertakan secara standard untuk kedua-dua model ini.
Selain itu, BMW C 400 X dan C 400 GT turut dilengkapi dengan paparan meter TFT berwarna 6.5 inci yang memaparkan pelbagai jenis informasi. Ianya juga disertakan dengan teknologi BMW Motorrad Multi-Controller dan sistem navigasi menerusi aplikasi BMW Motorrad Connected.
BMW C 400 X tampil dengan warna eksklusif iaitu Black Storm (Style Triple Black) baru yang ditawarkan pada harga RM44,500. BMW C 400 GT pula boleh dimiliki pada harga RM48,500 dengan tiga pilihan warna menarik seperti Black Storm (Style Triple Black), Callisto Grey dan Alpine White. Harga adalah atas jalan, tanpa insurans, dengan waranti selama tiga tahun serta Program Bantuan Tepi Jalan Bertempoh tiga tahun oleh BMW Motorrad Malaysia.
Kedua-dua model ini berada di semua pengedar sah BMW Motorrad bermula 20 Ogos 2021. Semua wakil pengedar BMW sudah mula beroperasi dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). RR