Variasi Terbaru Vespa Sprint 150
Sekitar tahun 60an sehingga 70an, model-model Vespa amat terkenal di jalanan Eropah sehinggakan digelar 'Vespino' kepada sesiapa sahaja yang menunggang model ini pada waktu itu. Kini NAZA Primera Sdn. Bhd. mengembalikan nostalgia dunia skuter itu di Malaysia pada April lalu dengan pelancaran model terbaru Vespa Sprint 150cc.
“Vespa Sprint ini amat penting kepada kami kerana model ini merangkumi element terpenting dalam memperagakan variasi Vespa. Model ini dijangka akan menyumbang 20% kepada jumlah keseluruhan jualan jenama Piaggio. Kami yakin mencapai pertumbuhan 100% daripada jumlah jualan tahun ini berbanding tahun 2014,” kata En. Farouk Faisal, Timbalan Presiden II, Naza Primera Sdn. Bhd.
Walaupun kelihatan hampir sama seperti model Primavera, ia tetap mempunyai perbezaan ketara pada rekaan lampu utama yang bersegi menyerlahkan lagi penampilan dan mewarisi rupa klasiknya. Gaya uniknya dikemaskan lagi dengan paparan meter digital/analog, lampu siang LED dan roda aluminium bersaiz 12 inci memberikan pengendalian lebih jitu di jalanan.
Ruang bawah pelana yang lebih luas, 16.6 liter mampu memuatkan topi keledar dan pelbagai barangan lain.
Vespa Sprint ini dikuasakan dengan enjin sejukan udara, pancitan bahan api, empat lejang 154.8cc silinder tunggal yang mempunyai tiga injap unik iaitu dua untuk campuran bahan api dan satu untuk liang ekzos. Rekaan ini lebih cekap dalam penggunaan bahanapi berbanding dua injap biasa.Transmisinya adalah Automatic CVT melancarkan pergerakan dengan senyap. Dianggarkan penggunaan bahan apinya untuk satu liter ia mampu bergerak sejauh 64km dengan kelajuan purata 50kmj manakala tangki bersaiz sembilan liter memberikan perjalanan yang jauh tanpa perlu berulang kali mengisi petrol.
Di majlis pelancaran itu juga turut dilancarkan pakej Vespa Assist, iaitu khidmat bantuan 24 jam kepada para pemilik Vespa yang disokong oleh AAM. Khidmat ini boleh dinikmati oleh mereka secara percuma selama satu tahun apabila mendaftar di Vespa Assist mulai 1 April 2015.
Harga atas jalan ditawarkan pada RM15,617.13 termasuk GST 6% dan dua tahun waranti daripada pengeluar. Model ini boleh didapati di semua 25 pengedar sah jenama Piaggio di seluruh Malaysia. RR
Popular