SM Sport 110R Versi Baru Diperkenalkan – RM4,018
Sejak pelancarannya model ini pada tahun 2017, MForce sentiasa mempertingkatkan mutu dan kualiti untuk kepuasan para pecinta dua roda di negara ini. Kini MForce Bike Holdings Sdn Bhd secara rasmi telah memperkenalkan SM Sport 110R yang tampil dengan warna dan grafik serba baru.
Model ini dijana dengan enjin bersesaran 109cc, silinder tunggal dengan sistem penyejuk udara. Oleh itu, SM Sport 110R mampu menghasilkan kuasa maksimum 6.04hp pada 7,500rpm dan tork 7.0Nm pada 5,000rpm.
SM Sport 110R tampil bergaya dengan penggunaan lampu isyarat hadapan dan belakang jenis LED serta lampu DRL yang lebih terang. Ruang simpanan bawah pelana 10 liter cukup luas dan mampu memuatkan pelbagai barangan peribadi. Jentera ini juga disempurnakan dengan tangki bahan api bersaiz 4 liter serta suis Fuel Saving untuk penjimatan yang optimum
Jentera ini juga turut didatangkan dengan rim yang lebih sporty dan bergaya serta menggunakan brek cakera di hadapan untuk tunggangan lebih selamat. Manakala penggunaan tayar jenis tubeless mampu meningkatkan keselamatan ketika pancit, menyerap hentakan dengan baik dan tekanan tayar lebih rendah berbanding menggunakan tayar dengan tiub.
Untuk tunggangan yang selesa, SM Sport menggunakan saspensi hadapan jenis fork teleskopik dan penyerap hentak belakang berkembar Kayaba (KYB) di belakang. Antara kelengkapan lain yang ada pada jentera ini adalah soket pengecas telefon pintar jenis USB, sistem Rotary Gear, berat 105kg, sistem penghidup jenis elektrik & tendang, brek belakang jenis gelendong serta tinggi pelana 770mm.
SM Sport 110R boleh dimiliki pada harga asas RM4,018 (tanpa pendaftaran & cukai jalan) dengan tiga pilihan warna iaitu merah, biru dan hitam. Para pembeli jentera ini juga akan menikmati waranti kilang selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 kilometer (yang mana terdahulu) dan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh MForce Bike Holdings Sdn Bhd. RR
Popular