Honda Perkenalkan Tiga Model Terkini
Boon Siew Honda Sdn Bhd (BSH) melangkah ke tahun 2019 penuh bergaya dengan melancarkan tiga buah model serba baru iaitu Super Cub C125, CBR1000RR Fireblade SP dan CB1100 RS. Majlis pelancaran model ini telah disempurnakan oleh Pengerusi BSH, Dato Sri Datuk Wira Tan Hui Jing dan Pengarah Urusan/CEO BSH, En. Keiichi Yasuda.
Super Cub C125 ternyata memiliki rekabentuk model-model sebelum ini tetapi dipertingkatkan dengan ciri-ciri moden seperti lampu-lampu LED yang cukup cerah, sistem suntikan bahan api, sistem kunci pintar dan panel meter analog/ digital yang cukup kemas. Kemantapan prestasi jentera ini datangnya daripada enjin suntikan bahan api bersesaran 125cc, SOHC, sistem penyejuk udara yang mampu menjanakan kuasa maksimum 6.79kW (9hp) pada 7,500rpm dan tork 9.98Nm pada 5,000rpm.
Terdapat tiga warna menarik ditawarkan iaitu Pearl Niltava Blue, Pearl Nebula Red dan Pearl Shining Black yang boleh dimiliki pada harga RM13,999.
Model terulung, CBR1000RR SP pula memiliki kehebatan dan kemantapan prestasi enjin dan rekabentuk yang tidak perlu dipertikaikan lagi. Model baru ini memiliki kuasa maksimum 141kW (189hp) pada 13,000rpm dan tork 114Nm pada 11,000rpm. Model baru ini juga adalah model pertama Honda yang dilengkapkan dengan sistem Ohlins Smart Electronically Controlled Suspension dan dikemaskan lagi dengan adanya sistem brek jenis Brembo dan sistem elektronik canggih seperti Cornering ABS, Quickshifter dan ditawarkan pada harga RM114,999.
Jika anda minat dengan dunia retro... model CB1100 RS adalah antara pilihan terbaik. CB1100 RS adalah mesin jalanan gaya retro tahun 70an yang bersesaran 1,140cc dengan kuasa tertinggi 66kW (89hp) pada 7,500rpm dan tork 91Nm pada 5,500rpm. Rekabentuknya yang kemas dan tegap ternyata menampakkan sifat garang serta kegagahannya – nampak jelas menerusi lampu hadapan berbentuk bulat serta kombinasi sistem ekzos.
Untuk pengendalian yang mantap, ia dipadankan dengan Showa Dual Bending Valve (SDBV), sistem penyerap hentak Showa dan sistem ABS. Model jalanan ini ditawarkan pada harga RM75,999. RR
Popular