SYM Jet X 150 Secara Rasmi Dilancarkan - Harga Bermula RM8,888
Pada April yang lalu, model ini telahpun dipertontonkan bersama para media di Dorsett Grand Subang Hotel. Kini MForce Bike Holdings Sdn Bhd secara rasmi telah melancarkan model skuter terbaru mereka iaitu SYM Jet X 150 menerusi siaran langsung di laman Facebook rasmi MForce TV.
Menerusi rekabentuknya, model ini nampak lebih eksklusif dan kemas. SYM Jet X 150 didatangkan dengan enjin bersesaran 149.6cc, silinder tunggal, SOHC dengan sistem penyejuk cecair mampu menawarkan kuasa maksimum 12.3hp pada 8,000rpm dan tork 12Nm pada 6,000pm. Model yang digerakkan dengan sistem CVT ini juga dilengkapi dengan sistem kunci pintar bersama penggera untuk tujuan keselamatan.
Tunggangan pada waktu malam juga jelas dengan penggunaan lampu-lampu jenis LED. Skuter ini juga turut dilengkapi paparan meter LCD penuh dengan skrin Auto Dimmer. SYM Jet X 150 memiliki tangki bahan api seluas 7.5 liter beserta ruang bawah pelana berkapasiti 18 liter yang mampu memuatkan sebuah topi keledar Fullface.
Antara kelengkapan lain:
- Brek jenis CBS
- Berat 140kg
- Soket pengecas USB
- Tinggi pelana 780mm
- Tayar hadapan 100/90-14
- Tayar belakang 110/80-14
- Saspensi hadapan jenis fork teleskopik
- Saspensi belakang jenis penyerap hentak berkembar boleh laras
SYM Jet X 150 didatangkan dalam dua varian iaitu versi Standard ditawarkan pada harga asas RM8,888 dan versi Special Edition yang boleh dimiliki pada harga RM9,188 (kesemua harga tanpa pendaftaran & cukai jalan). Terdapat tiga warna pilihan iaitu kelabu, merah dan kuning (Standard) manakala bagi versi SE hadir dengan warna biru Chameleon. Skuter ini akan berada di pasaran bermula 19 Mei 2021.
Dengan setiap pembelian jentera ini, para pemilik akan menikmati waranti selama dua tahun atau 20,000 kilometer (yang mana terdahulu) serta perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh MForce Bike Holdings Sdn Bhd. RR
Popular