LANGEN Two Stroke - Back To The Future
Perkenalkan pengeluar motosikal terbaru British, Langen Motorcycles yang dilancarkan di tempat berprestij iaitu Pesta Taman Permotoran Salon Privé yang terletak di Istana Blenheim. Juga dikenali dengan nama Two Stroke, model pertama Langen yang dilancarkan telah menghidupkan kembali jentera replika perlumbaan ring-ding 250cc yang begitu digilai 20 tahun yang lalu. Contohnya model Suzuki RGV250 dan Aprilia RS250 yang hilang dari bilik pameran pada tahun 2004 disebabkan pematuhan piawaian yang semakin ketat.
"Impian saya adalah untuk mencipta motosikal yang menarik dan luar biasa yang benar-benar disukai dan diminati ramai. Saya merancang untuk terus berusaha mencapai tahap ini. Peluang untuk melancarkan motosikal yang sangat istimewa di bawah jenama serba baru adalah langkah yang sangat bermanfaat dalam usaha untuk mencipta sejarah kecil motosikal Britain,” kata Pengasas & CEO Langen Motorcycles, Christofer Ratcliffe.
Sayangnya pengenalan dan publisiti global untuk jentera baru ini tidak dapat disempurnakan berikutan masalah penularan Covid-19 yang menyebabkan pelaksanaan lockdown. Apapun, jangka waktu ini telah memberi banyak masa buat Ratcliffe untuk membangunkan model baru Langen agar lebih sempurna serta mampu menghadirkan nilai kewangan untuk syarikat.
“Saya mendapat respon yang sangat positif terhadap Langen Two Stroke dengan menerima tempahan beserta wang deposit. Nampaknya keinginan saya menghasilkan motosikal yang bercirikan kesederhanaan dan ketulenan jentera terdahulu telah dikongsi dan diterima oleh ramai pencinta motosikal. Mereka sudah tidak sabar lagi untuk mendengar bunyi dan bau unik yang terhasil daripada enjin dua lejang yang ketika ini hanya dapat dirasakan jika memiliki jentera baru kami.”
"Nampaknya keinginan saya menghasilkan motosikal dengan kesederhanaan dan kemurniaan hari yang dilalui dikongsi oleh ramai peminat basikal lain, yang tidak sabar untuk menikmati bunyi dan bau yang unik pada masa ini dan yang paling istimewa pengalaman menunggang model baru kami.”
The Langen Two Stroke merupakan cetusan idea Ratcliffe yang berasal dari Lancashire. Beliau juga adalah bekas Ketua Jurutera Bahagian Reka Bentuk di CCM Motorcycles yang beroperasi di Bolton. Sebelum ini, beliau mencipta model Spitfire dan Stealth 600cc hotrod empat lejang, silinder tunggal yang kini menjadi model utama dalam rangkaian CCM. Turut diperkenalkan ialah GP450 yang kini telah habis dijual.
Model terbaru Langen 250cc ini dikuasakan oleh enjin berkembar V 90, dua-lejang yang dihasilkan oleh pembekal mereka iaitu Vins Motors dari Itali.
Vins diasaskan pada tahun 2017 oleh lima orang jurutera R&D Ferrari yang diketuai oleh CEO Vins iaitu Vincenzo Mattia. Sejak lima tahun lalu, mereka telah membangunkan enjin dua lejang 250cc dengan sejukan cecair, dipadankan pada unit bernama Duecinquanta yang didatangkan dalam versi Jalanan dan Perlumbaan.
Model ini dilengkapkan dengan casis gentian karbon monocoque yang disambungkan pada saspensi hadapan jenis wishbone seperti mana yang digunakan pada model Brough Superior dan Aston Martin AMB 001. Vins kini bekerjasama dengan Langen untuk membekalkan enjin termasuklah penalaan-dyno enjin untuk pelepasan piawaian Euro 5.
Untuk disesuaikan dengan Langen, pihak Vins telah menggunakan enjin berdimensi 54 x 54.5mm yang memberikan kuasa maksimum 75 bhp/56 kW pada 11,700 rpm dan tork 45Nm pada 11,700rpm. Model ini juga didatangkan dengan sistem suntikan bahan api, injap reed gentian karbon, injap sistem ekzos elektronik yang kesemuanya sah di sisi undang-undang. Dari segi nisbah berat-kuasa, model Two Stroke ini seberat 114kg termasuk pelincir, air dan kelengkapan jalanan - sekali gus memberikan kekuatan yang hebat untuk nisbah berat 660bhp/tan - lebih baik daripada kebanyakan jentera Superbike.
“Syarikat kami menyasarkan untuk pengeluaran motosikal yang mengembalikan kegemilangan jentera lama seperti mana yang dilakukan oleh krew Ton-up dan jentera cafe racer mereka, sambil mengenengahkan ciri-ciri teknologi moden. Impian saya ialah untuk turut sama dalam sejarah motosikal British dan apabila berjaya melancarkan jentera baru ini, ia bagaikan mimpi dan kini menjadi kenyataan,” kata Chris Ratcliffe.
Rancangan dan sasaran Chris ialah untuk menghasilkan motosikal yang menarik, berbeza, seronok ditunggang dan disukai ramai. Selepas pelancaran model baru ini, syarikatnya memiliki banyak lagi model baru yang akan diperkenalkan dari masa ke semasa.
Setiap Langen Two Stroke adalah buatan tangan, rim jejari dihasilkan mengikut ukuran yang sesuai dengan setiap pelanggan. Sistem saspensi terdiri daripada fork hadapan Ohlins TTX36 boleh dilaras dan dipadankan dengan penyerap hentak cantilever K-Tech. Kemasan badan termasuk bahagian tangki dibuat menggunakan gentian karbon dengan kemasan berwarna emas. Sistem transmisi lengkap dengan powershifter dua-hala, brek-brek Brembo bersaiz 300mm (depan) dan 265mm (belakang), sistem ekzos bentuk gaya Grand Prix 1990 dan pastinya memiliki bau enjin dua lejang yang mengembalikan nostalgia. Setiap unit didatangkan dengan nombor siri individu.
Dua unit terawal sempat dihantarkan ke Itali sebelum negara itu dikenakan lockdown akibat wabak Covid-19. Model itu juga telah dilakukan dyno testing oleh Vins untuk tujuan pemetaan mengikut kesesuaian tunggangan di jalanan biasa. CEO/ pengasas Vins, Vincenzo Mattia sentiasa memastikan talaan dibuat mengikut permohonan para pelanggan mereka.
“Sesi ujian akan memberikan kami peluang untuk membuat talaan dengan perhatian khusus mengikut dimensi dan nisbah pacuan akhir. Ini akan memberikan tahap pecutan yang terbaik disamping keseronokan menunggang. Apa yang menyeronokkan ialah hasil yang diperolehi di setiap talaan dan pelarasan yang kami lakukan. Hampir semua ujian saya lakukan sendiri dan saya jamin, jentera buatan Langen ini memiliki pakej sempurna iaitu keseronokan dan kualiti tinggi,” kata Vincenzo.
“Untuk menikmati apa yang dicapai hari ini, banyak kerja dan perkara telah saya tempuhi termasuklah beberapa perubahan sistem lockdown yang harus dipatuhi, ia amat mencabar. Apabila mendapat khabaran dari pihak Vins yang menyatakan bahawa enjin dan casis berfungsi dengan sempurna, ia adalah berita yang sangat menakjubkan. Kami kini akan terus 'memecut' ke fasa produksi dan sedia untuk membuat penghantaran kepada pelanggan pertama kami,” kata Chris.
Langen Motorcycles menyasarkan pemulaan proses pembuatan komponen pelanggan pertama di UK bermula pada bulan Julai tahun ini, kemudian mula membina keseluruhan motosikal pada bulan September untuk penghantaran pada November nanti. Chris merancang untuk mengeluarkan 100 buah jentera Two Stroke untuk pasaran UK dan jumlah ini akan ditambah kepada 150 unit pada tahun 2022. Menerusi laman web www.langenmotorcycles.co.uk, para pelanggan perlu membuat bayaran deposit sebanyak £1000 untuk membuat tempahan. Jentera Two Stroke telah disahkan lulus undang-undang jalan raya di UK dan para pelanggan di luar UK turut boleh menikmati jentera ini di acara track day yang dianjurkan.
Jentera ini juga semakin diminati dan mula mendapat perhatian oleh pelanggan dari luar UK. Pihak Langen perlu memikirkan tentang pengeluaran berhomologasi berbeza untuk pasaran luar seperti pemasangan sistem ABS dan sebagainya. Harga untuk Two Stroke model buatan tangan bermula pada £28,000 (pada masa ini €32,750) dan setiap unit akan dibuat mengikut kehendak dan citarasa para pelanggan itu termasuklah skima warna, pemilihan jenis rim, jenis bar hendal dan lain-lain.
“Bagi saya, jika dibandingkan dengan peningkatan jumlah pembangunan dan pengeluaran jentera elektrik, model Langen ini mungkin adalah siri terakhir jentera dua lejang baru. Ia adalah kejuruteraan moden yang 'dimasukkan' ke dalam jentera cafe racer berprestasi tinggi.” Benar, ia bagaikan Back to the Future... RR
Untuk mendengar bunyi Langen Two Stroke ketika menjalani sesi dyno, sila layari: Langen Motorcycles - Langen Two Stroke on the dyno - turn it up LOUD! | Facebook
Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Langen Motorcycles
Popular