Aprilia RS660 masuki pasaran negara dengan harga RM59,900
Bagi peminat jentera supersport, model Aprilia RS660 telah dilancarkan dengan harga pengenalan RM59,900. Jentera yang mengingatkan kita pada model RS250 ini disempurnakan dengan enjin dua silinder 660cc yang berkuasa setinggi 100bhp (73kW) pada 10,500 rpm dan tork 67Nm pada 8,500 rpm.
Bahagian depan tampak cukup mantap dengan penggunaan Lampu LED berbentuk tajam beserta lampu Daytime Running Light (DRL) yang disepadukan dengan lampu isyarat. RS660 ternyata memiliki sifat yang kompak dan tangkas. Sistem pencahayaan ini juga disempurnakan dengan ciri-ciri keselamatan seperti sensor 'twilight' yang akan mengaktifkan 'low beam' secara automatik di samping menyalakan lampu sisi sekiranya berlaku kecemasan.
Untuk menjamin prestasi mantap dan tahap keselamatan pemilik jentera ini, Aprilia telah melengkapkan RS660 dengan sistem elektronik (Aprilia Performance Ride Control APRC) terkini seperti Aprilia Traction Control (ATC), Aprilia Wheelie Control (AWC), Aprilia Cruise Control (ACC), Aprilia Quick Shift (AQS), Aprilia Engine Braking (AEB), Aprilia Engine Map (AEM) dan Cornering ABS.
Kelincahan jentera ini khususnya di laluan-laluan berselekoh disumbangkan oleh kemantapan sistem saspensi yang terdiri daripada fork hadapan jenis terbalik (depan) dan lengan ayun aluminium yang menyerap segala hentakan dengan baik.
Menerusi panel meter TFT, para penunggang akan dapat menikmati paparan yang cukup jelas, pemilihan talaan yang mudah dan sistem perhubungan media dengan telefon pintar. Aprilia RS660 didatangkan dalam dua warna pilihan iaitu Lava Red (penghargaan buat RS250 1994 versi Reggiani Replica) dan Apex Black.
Untuk info dan maklumat lebih terperinci mengenai prestasi Aprilia RS660, sila ke ruangan Pandu Uji: https://www.rodaroda.my/articles/pandu-uji/1257/aprilia-rs660-super-twin atau di majalah RR Disember 2020. RR
Popular