Aveta VS110 dilancarkan pada harga RM3,588
Aveta Global Marketing Sdn. Bhd. (Aveta) secara rasminya memperkenalkan model terbaharu untuk tahun 2021 iaitu Aveta VS110. Pengenalan model terbaru ini adalah antara beberapa model yang telah dirancang untuk diperkenalkan sepanjang tahun ini. Bagi suku pertama tahun ini, model VS110 ini akan memasuki pasaran terlebih dahulu diikuti beberapa model baru lain yang dijangka diperkenalkan menerusi varian atau segmen tertentu.
“Apa yang pasti model VS110 adalah model keempat di dalam segmen yang sama di mana sebelum ini kami telah memperkenalkan model seperti DY90, RX110 dan Ranger 110,” kata pihak Aveta.
Aveta VS110 dikuasakan oleh enjin 110cc (4-lejang, 1- silinder, sejukan udara, karburator), dengan kuasa maksimum sebanyak 6.5hp pada 8,000rpm dan tork maksimum 6.8Nm pada 6,000rpm. Aveta VS110 dipadankan dengan transmisi empat kelajuan.
Kesemua model tersebut dipasang sepenuhnya secara pemasangan terurai atau CKD di kilangnya di Bukit Raja, Klang. Menurut Aveta, pihaknya mensasarkan untuk menjual antara 5,000 buah VS110 sepanjang tahun 2021.Aveta VS110 dijual dengan harga tunai atas jalan termasuk cukai jalan dan insuran iaitu RM3,588. Model ini boleh didapati dalam empat pilihan warna yang menarik seperti Biru Cyan, Biru, Merah dan Hitam.
Mengulas lanjut, selepas beroperasi lebih daripada setahun, penerimaan orang ramai terhadap model-model Aveta kini semakin menggalakkan. Telah hampir 5,000 buah motosikal dari pelbagai model telah dijual sejak pengenalan model pertama iaitu DY90, RX110 dan Ranger 110 pada Disember lalu. RR