Honda ADV150 Akhirnya Tiba Di Malaysia
Seperti yang dijanjikan sebelum ini, Boon Siew Honda Sdn Bhd telah memperkenal model yang ditunggu ramai iaitu Honda ADV150 menerusi siaran langsung melalui facebook. Jentera ini merupakan sebuah sekuter kembara yang cukup sesuai buat mereka yang ingin mengembara ataupun untuk kegunaan harian.
Honda ADV150 menampilkan rupabentuk yang cukup agresif, mantap dan terkini. Jentera ini didatangkan dengan enjin 149.3cc, silinder tunggal, 4 lejang, SOHC dengan sistem penyejuk cecair menawarkan kuasa maksimum 10.9kW pada 8,500rpm dan tork 13.9Nm pada 6,500rpm. Enjin bertransmisi V-Matic automatik ini dipadankan dengan sistem bahan api PGM-FI yang mematuhi piawaian Euro4. Dengan adanya sistem Idling Stop (ISS), penggunaan dari segi petrol pasti menjimatkan.
Model ini telah disempurnakan dengan saspensi hadapan jenis teleskopik manakala belakang penyerap hentak berkembar dengan subtangki Showa yang menjanjikan pengendalian lebih selesa. Demi mengutamakan keselamatan penunggang, ADV150 menggunakan sepasang brek jenis cakera di hadapan beserta sistem ABS. Belakang juga turut menggunakan brek jenis cakera.
Untuk ciri-ciri keselamatan yang lain, sistem kunci pintar Honda menawarkan sistem penggera anti-kecurian, fungsi jawab kembali dan suis penghidup pintar (On/Off). Bagi memudahkan pergerakkan, ADV150 dilengkapi ruang simpan bawah pelana seluas 27.8 liter. Cukup untuk meletakkan sebuah topi keledar, beg, baju ataupun macam-macam lagi. Pemilik juga boleh mengecas telefon pintar semasa menunggang kerana jentera ini mempunyai soket pengecas 12V yang terletak di ruang simpanan hadapan.
Penampilan ADV150 ini diserlahkan lagi dengan penggunaan lampu utama LED bersama sistem lampu Daytime Running Light (DRL). Lampu belakang dan lampu isyarat juga jenis LED. Skuter baru ini juga mempunyai lampu Emergency Stop Signal (ESS) untuk kecemasan ketika membrek secara mendadak. Cermin pengadang angin boleh laras memudahkan penunggang mengendali jentera dengan selesa.
Antara ciri-ciri lain yang ada pada skuter ini adalah adalah tangki bahan api 8 liter, kerangka jenis Double Cradle, berat 133kg dan paparan meter LCD.
Honda ADV150 ditawarkan dua pilihan warna menarik iaitu Vivacity Red dan Mat Charcoal Gray Metallic. Skuter baru ini boleh dimiliki pada harga RM11,999 (tanpa cukai jalan, insurans & pendaftaran) dengan waranti selama dua tahun atau 20,000 kilometer (yang mana terdahulu). Untuk maklumat lanjut sila kunjungi pengedar sah Honda terdekat dengan anda atau hubungi talian bebas Honda 1-800-88-3993 ataupun layari http://www.boonsiewhonda.com.my. RR
Popular