Benelli 752S Sudah Berada Di Pasaran Negara
MForce Bike Holdings Sdn Bhd telah melancarkan model terbaru mereka iaitu Benelli 752S. Jentera ini menampilkan rekabentuk yang moden, ringkas serta dinamik untuk memenuhi citarasa setiap penunggang. Model ini telah diperkenalkan pada tahun 2018 di pasaran dunia, kini ia sudah pun berada di pasaran negara pada harga cadangan RM37,888 (tanpa insurans & cukai jalan).
Benelli 752S dijana dengan enjin Dwi-silinder, empat lejang, dengan sistem penyejuk cecair yang menawarkan kuasa maksimum 56kW (76hp) pada 8,500rpm dan torknya 67Nm pada 6,500rpm. Enjin bersesaran 754cc ini turut dipadankan dengan transmisi 6-kelajuan.
Bagi menawarkan prestasi yang cemerlang di jalan-jalan berliku, model ini menggunakan fork hadapan jenis terbalik Marzocchi dan lengan ayun dengan penyerap hentak monoshock boleh laras mengikut pilihan. Untuk keselamatan, jentera yang memiliki berat 226kg ini dilengkapi dengan penggunaan sistem brek Brembo dengan cakera 320mm (depan), manakala di bahagian belakang cakera 260mm. Jentera ini juga turut terdapat sistem ABS.
Lampu utamanya jenis LED memberikan pencahayaan yang terang. Panel meter jenis TFT yang lebih jelas berbanding LCD biasa memaparkan pelbagai info penting. Jentera ini menggunakan rim 17 inci dipadankan dengan set tayar bersaiz 120/70ZR17 (hadapan) dan 180/55ZR17 (belakang).
Benelli 752S mamiliki tangki bahan api 14.5 liter. Model ini boleh didapati di semua pengedar sah Benelli di seluruh Malaysia dengan tiga pilihan warna iaitu merah, hitam dan hijau. Pemilik jentera ini akan menikmati waranti selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000km (yang mana terdahulu) dan perkhidmatan pembelian alat ganti dalam talian oleh MForce Bike Holdings Sdn Bhd. RR
Popular