Aprillia Shiver 750 : Model Aprillia CKD Pertama
Tahniah buat Naza Premira Sdn Bhd selepas mendapat kepercayaan daripada Kumpulan Piaggio kerana menjadi negara pertama di luar Itali yang mendapat pengiktirafan untuk mengeluarkan model pemasangan tempatan (CKD) Aprilia Shiver 750 bermula Januari lalu. Majlis pelancaran model ini telah disempurnakan oleh YB Dato' Sri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Model ini berisipadu 749.9cc, berenjin kembar dan mula diperkenalkan pada tahun 2007. Ia merupakan antara jentera terawal yang dilengkapi dengan sistem Ride by Wire (RbW) dengan beberapa talaan dan respon berbeza seperti Touring, Sport dan Rain. Shiver 750 menawarkan kuasa maksimum setinggi 95hp pada 9,000rpm dan tork 81Nm pada 7,000rpm.
Sistem ekzos yang disusun rapi di bawah pelana menawarkan bunyi yang cukup garang dan ini juga merupakan antara tarikan utama mengapa Shiver 750 semakin diminati. Pelana setinggi 810mm sememangnya mudah untuk dinaiki oleh semua jenis penunggang tidak kira lelaki mahu pun wanita. Model ini juga terkenal kerana kestabilan dan pengendalian mudah yang sesuai untuk tunggangan biasa di bandar atau pun di jalanan berselekoh.
Menurut pihak Naza, mereka menyasarkan penjualan tahunan sebanyak 1,200 dalam pasaran negara. Naza juga amat yakin dengan kemampuan dan segala kelengkapan di kilang mereka di Shah Alam untuk mengeluarkan sebanyak 3,000 hingga 5,000 unit jika diperlukan untuk pasaran negara-negara di Asean kelak.
Aprilia Malaysia akan lebih fokus dalam melebarkan 'sayap' mereka menerusi pusat-pusat pengedar mereka dan turut akan memperkukuhkan lagi perkhidmatan lepasan jualan untuk para pemilik Aprilia yang sedang meningkat dengan pesatnya. Menjelang hujung tahun ini, terdapat sembilan buah pusat pengedar Aprilia di semenanjung Malaysia dan akan terus dipertingkatkan di Sabah dan Sarawak.
Aprilia Shiver 750 ditawarkan pada harga asas RM43,888 dengan waranti kilang dua tahun. RR
Popular