Honda Perkenal PCX Serba Baru
Boon Siew Honda Sdn Bhd ternyata telah melangkah ke tahun baru dengan bergaya sekali apabila memperkenalkan model terbaru PCX yang menawarkan teknologi baru, keselesaan tinggi dan rekabentuk yang ranggi. Sejak diperkenalkan pada tahun 2012, PCX telah menambat hati ribuan para peminat motosikal kerana berjaya memenuhi kehendak para penunggang yang mahukan sebuah mesin yang praktikal, sporty dan jimat petrol.
PCX adalah singkatan bagi Personal Comfort to 'X' Level dan model baru ini dilengkapi dengan sistem lampu LED di hadapan dan belakang untuk penglihatan lebih baik. Selain pencahayaan yang tepat, PCX juga akan lebih mudah dilihat oleh kenderaan dari hadapan. Reka bentuk luaran PCX ini juga telah diberi sentuhan baru untuk kelihatan lebih anggun dan mewah. Untuk membantu mengesan motosikal dengan cepat, model ini dilengkapi dengan kunci bersistem remote response yang mengeluarkan bunyi 'beep' dan sistem lampu akan berkelip dengan serentak. PCX ini juga didatangkan dengan sistem penggera anti-kecurian untuk pencegahan yang lebih cekap.
Pastinya penunggang akan lebih teruja menunggang PCX ini kerana model ini dilengkapi dengan panel meter baru yang lebih kemas dan menarik. Untuk kemudahan para pemilik PCX terutamanya yang gemar mengembara bermotosikal, telah dilengkapkan pada model ini ialah sistem pengecas yang boleh digunakan untuk mengecas telefon bersel.
Model ini bersesaran 149cc yang berkuasa 9.34kW pada 8,500rpm dan tork maksimum 13Nm pada 5,500rpm. Gandingan automatic centrifugal clutch dan sistem transmisi V-Matic memberikan tindak balas kuasa yang lebih cemerlang terutamanya ketika memecut pantas di lebuhraya. Penjimatan penggunaan bahan api juga antara faktor utama mengapa PCX ini terus popular, dengan adanya sistem PGM-FI (Programmed – Fuel Injection) yang memastikan perjalanan lebih jauh dan selamat.
PCX 150 baru ini didatangkan dengan warna Putih Mutiara dan Merah 'Candy' pada harga asas RM9,999 dengan jaminan kilang untuk dua tahun atau 20,000km perjalanan. RR
Popular