Isu Terkini

Julai 2024

Model Baru / 10 Februari 2015

MOMOS REGAL RAPTOR BOBBER : Mesin Santai

Jentera easyrider, cruiser, chopper atau bobber adalah pilihan para pencinta motosikal yang mementingkan gaya, tunggangan santai dan relaks. Mari kita berkenalan dengan Momos Bobber Regal Raptor yang telah diperkenalkan pada Oktober lalu di Litar Antarabangsa Sepang dan sememangnya model ini berjaya menarik minat ramai pencinta motosikal. Bentuknya yang kemas dan anggun adalah faktor utama mengapa begitu cepat kita akan jatuh cinta padanya.


Menurut pihak Chear Motor selaku pengedar utama Bobber ini, kemunculannya memang tepat pada masanya. Sejak dilancarkan, Bobber ini berjaya mendapat jumlah pasaran lebih daripada seratus buah mesin setiap bulan.

Rekabentuk Bobber ini memang cukup menarik. Lampu utamanya berbentuk bulat dan dilengkapkan dengan meter analog ringkas yang hanya memaparkan tahap kelajuan, jarak perjalanan, odometer dan lampu-lampu penunjuk. Pengeluar patut melengkapkan motosikal ini sekurang-kurang dengan dua lagi info penting seperti bacaan rpm dan penunjuk tahap bahan api.


Tangki model ini tidak besar, hanya boleh diisi lebih kurang 7.8 liter petrol tetapi bentuknya yang unik membantu menjadikan Bobber ini tampak lebih mantap. Nombor ‘86’ yang tertera di bahagian tangki hanyalah sekadar rekacorak untuk tampak lebih bergaya. Apa yang kurang selesa ialah pelananya dirasakan agak keras dan hanya disokong oleh spring yang tidaklah dapat menyerap hentakan dengan baik. Itulah karaktor mesin-mesin Bobber. Namun begitu, spring pelana ini boleh ditukar pada bila-bila masa mengikut kesesuaian dan kehendak penunggang itu.


Sebaik sahaja melabuhkan punggung, dirasakan jarak tempat pemijak agak pendek dan ini menyukarkan para penunggang tinggi kerana bahagian hadapan kaki akan melebihi tuas gear dan brek apabila berlunjur. Situasi ini kurang selesa terutamanya apabila ingin membrek, beberapa kali kita terpaksa mengubah kedudukan kaki. Kepada para penunggang berketinggian biasa, kedudukan tempat pemijak ini memang cukup sesuai.

Model ini menggunakan dua jenis kunci berbeza untuk menghidupkan enjin dan mengunci hendal. Penutup tangki Bobber ini boleh dibuka tanpa menggunakan kunci tetapi kami berpendapat, ia lebih sesuai jika dikunci untuk mengelakkan penutup krom itu daripada dicuri. Bagi mereka yang tidak bertanggung jawab, inilah peluang terbaik dan paling mudah untuk mencuri petrol seberapa banyak yang boleh dengan mudah.


Ah…..enjin 350cc, dua silinder ini memberikan bunyi yang cukup lembut dan sedap didengar sebaik sahaja ia dihidupkan. Kesegaran dan kelancaran putaran enjin seperti inilah yang menaikkan semangat para penunggang untuk memulas pendikit menuju ke destinasinya. Sistem ekzos di sisi kiri dan kanan model ini memang bukan sahaja cantik tetapi menawarkan bunyi yang lembut dan sedap didengar.

Mesin ini menggunakan enjin dua silinder dengan kuasa maksimum 16Kw (21.4hp) pada 8,000rpm dan tork 24Nm pada 5,000rpm yang dirasakan sudah cukup hebat buat sebuah motosikal bersaiz sedemikian. Kita dapat memecut dengan mudah bermula di gear ketiga hinggalah ke gear tertinggi dengan kelajuan maksimum sekitar 140km/j. Kena ingat juga, Bobber ini bukanlah dihasilkan untuk mencipta rekod kelajuan, ia adalah sebuah mesin santai. Oleh itu, kelajuan paling ideal ialah sekitar 80-90km/j.


Berbincang mengenai soal kelajuan. Peningkatan jumlah kenderaan di negara kita sememangnya dapat dibuktikan dengan melihat kadar kesesakan jalan raya yang berlaku pada waktu-waktu puncak, musim perayaan, cuti-cuti hujung minggu mahu pun ketika musim cuti sekolah. Beberapa lokasi di lebuhraya seluruh negara sedang diperbesarkan bagi menampung peningkatan ini. Kita selaku pencinta motosikal juga akan memilih hari cuti untuk keluar bermotor, bererti kita akan berkongsi jalan dengan kenderaan lain.

Jadi…adakah sesuai lagi jalan-jalan ini digunakan untuk memecut jentera kita? Sedangkan di laluan kiri dan kanan dipenuhi kereta. Tentulah jawapannya tidak! Jadi tidak kiralah mesin apa yang kita guna, janganlah memerah pendikit jika masa dan tempatnya tidak sesuai. Fikir-fikirkan….kita nak bermotor dengan seronok, bukannya dengan perasaan takut.


Bobber ini memberikan beberapa jawapan yang berbeza apabila dibawa ke dalam kawasan bandar. Okay, kita cerita perkara positif dulu ya! Jentera yang hanya seberat 161kg ini amat mudah untuk kita kendalikan, tidak perlu menggunakan tenaga yang banyak untuk menukar posisi ke kanan atau ke kiri. Sistem penyejuknya memang cukup efisien, bahang panas langsung tidak terasa walaupun dalam pergerakan yang perlahan. Jari-jari dan tapak tangan tidak lenguh kerana pendikit dan klac Bobber ini cukup lembut. Tarik sahaja tuas klac dan turunkan gear dalam kelajuan apa sekali pun dan nikmatilah kecemerlangan tindak balasnya.

Bobber ini ada juga kelemahannya tetapi kami pasti ia akan dapat diatasi kelak iaitu fork hadapannya yang terlalu keras, gagal menyerap hentakan dengan baik. Penunggang akan terasa gegarannya cukup kuat jika permukaan jalannya bertambah teruk, ‘melompat-lompat’ jadinya dan ini agak mengganggu konsentrasi. Sekali lagi kami nak kongsikan, fork hadapan ini juga boleh digantikan di Chear Motor pada bila-bila masa. Cuma sediakan wangnya sahaja tetapi harganya memang cukup berpatutan.

Ekzos tinggi seperti ini menarik perhatian sesiapa sahaja.
Ekzos tinggi seperti ini menarik perhatian sesiapa sahaja.

Walaupun tapak rodanya lebih pendek (1,670mm) berbanding model Spyder (1,850mm), Bobber ini masih memerlukan ruang yang luas untuk kita membuat pusingan ‘U’ atau membelok dalam kelajuan rendah. Di mana sahaja Bobber ini ‘ditinggalkan’, akan datang beberapa orang peminat yang bertanya model apakah ini? Bila diminta teka, rata-ratanya menyebut jenama dari Amerika kerana bentuknya yang cukup mantap.

Ramai yang mengatakan dan bersetuju bahawa model ini tidak perlu lagi diubahsuai kerana ia sudah cukup cantik. Kepada para pemilik dan bakal pemilik model ini, pihak Chear Motor turut menyediakan perkhidmatan pengubahsuaian mengikut kehendak anda semua. Pengubahsuaian ini merangkumi semua jenis aksesori, alat ganti dan rekacorak grafik. Harganya juga berbeza, bergantung kepada tahap pengubahsuaian yang dilakukan. Cantikkkk!!!

Bobber yang sudah diubahsuai dengan ‘girdle fork’.
Bobber yang sudah diubahsuai dengan ‘girdle fork’.

Bobber dilengkapi dengan tayar bersaiz 90/90-21 (depan) dan 160/80-16 di belakang yang cukup sesuai dengan saiz mesin ini. Dengan casis yang tegar dan sistem brek yang mantap, setiap jenis selekoh dapat diratah dengan cemerlang sekali asalnya permukaan jalan ini kering, kalau basah…perlu lebih hati-hati kerana kurang cengkaman. Patutlah kami dapat membrek dengan pantas sekali, saiz brek hadapan dan belakang cukup besar, 300mm.

Walaupun lampu utamanya hanya satu, sinarannya cukup terang menjadikan tunggangan di waktu malam meyakinkan. Jika ingin lebih mudah dilihat oleh kenderaan lain, berkunjunglah ke Chear Motor dan tambahlah aksesori lampu-lampu mengikut citarasa anda. Apa yang merisaukan ialah ketiadaan meter penunjuk tahap petrol mahu pun lampu amaran. Dengan tangki bersaiz 7.8 liter, kita mampu bergerak sejauh 120 kilometer dengan kadar kelajuan malar sekitar 80-100km/j. Untuk lebih selamat, isi petrol dengan lebih kerap!


Bobber ini memang sesuai untuk tunggangan santai. Selain bentuknya yang cukup cantik, prestasi enjin model ini langsung tidak mengecewakan. Paling ‘syok’ tentulah apabila rekabentuk dan aksesorinya yang boleh diubahsuai atau ditukar mengikut citarasa kita. Diharap banyak lagi produk-produk tempatan seperti ini akan diperkenalkan pada masa hadapan kerana kita kini sudah mampu untuk menghasilkannya. RR

Isu Pada

Februari 2015

Spesifikasi

Enjin4 lejang, 2 silinder, sistem penyejuk cecair
Isipadu320cc
Gerek x Lejang62 x 53mm
Kuasa maksimum16kW pada 8,000rpm
Tork maksimum24Nm pada 5,000rpm
Tinggi pelana 670mm
Berat161kg
Isi tangki7.8 liter
Pengedar rasmiChear Global Sdn Bhd

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

Moto Morini Calibro 700 Masuki Pasaran Negara. Harga bermula RM35,888

Ducati Perkenalkan Panigale V2 & Streetfighter V2 Baru di Milan

EICMA 2024: Aprilia Tuono 457 - Jentera Jalanan Ada Aura

EICMA 2024: Nikmati Dunia Pengembaraan Dengan Voge Valico 800DS Rally

HLYM Perkenalkan Yamaha Y16ZR 6MRO Edisi Terhad – RM13,668

EICMA 2024: Fantic Caballero 700 Edisi Khas - Deluxe & Travel

EICMA 2024: Honda Perkenalkan CL500, Jentera Retro Moden

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

Kejuaraan MotoGP 2024 telah berakhir selepas 20 pusingan dan 40 perlumbaan di beberapa buah negara seluruh dunia. Pada masa yang sama, hubungan perniagaan di antara dua syarikat ikonik dalam dunia MotoGP juga sudah sampai di penghujungnya.

Model Baru

Ducati Panigale V4 2025 Kini Di Malaysia - Harga Asas RM182,900

Ducati Malaysia telah melancarkan Panigale V4 generasi terbaru sempena dengan perasmian pembukaan Ducati Sungai Buloh.

Dari Litar

Qabil Irfan Raih Podium Di Sepanyol

Qabil Irfan menunjukkan prestasi cemerlang di Spanish Superbike Championship Moto4 Round 6 yang berlangsung di Litar Navara, Sepanyol.

Berita Kelab

KEDAH OFF ROAD TRAIL & CAMPING 2024

Penganjuran KEDAH OFF ROAD TRAIL & CAMPING 2024 yang dianjurkan semperna Hari Malaysia pada (15/9 - 16/9) lalu telah terlaksana dengan jayanya.