Kawasaki Perkenalkan 3 Model Baru
Selepas beberapa lama mengidamkan berada di depan mata, akhirnya tiga model terbaru Kawasaki iaitu H2R, H2 dan Vulcan S telah diperkenalkan di satu majlis yang gilang gemilang. Pelancaran ketiga-tiga model ini telah diadakan bersempena majlis ulang tahun ke-25 yang disempurnakan oleh Menteri Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sambil ditemani oleh Raja Dato' Hanipuddin Raja Dato' Nong Chik (Pengerusi Eksekutif Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd (KMSB).
Model yang menjadi sebutan ramai iaitu H2R mula diperkenalkan di Pameran Antarabangsa Intermot pada Oktober lalu ternyata merupakan inovasi yang paling hebat pernah dibangunkan pada sebuah motosikal. Inovasi yang dimaksudkan ialah enjin Supercharge 998cc, empat silinder sebaris yang menawarkan kuasa setinggi 300hp dengan kelajuan melebihi 300 km/j. Model dibina khusus untuk kegunaan di litar dan menggunakan kerangka keluli-tiub hijau jenis trellis yang bertegaran tinggi.
Tidak lama kemudian, Kawasaki melancarkan pula H2, sebuah 'jet' yang dibenarkan penggunaannya di jalan raya biasa. H2R dan H2 menggunakan teknologi terkini yang dibangunkan oleh Kawasaki Heavy Industri (KHI Group) yang memiliki kepakaran dalam bidang gas turbin, gas enjin, power plant dan teknologi angkasa lepas. Menerusi kepakaran inilah yang membawa teknologi permotoran ke tahap baru.
H2R ditawarkan pada harga dalam lingkungan RM300,000 manakala H2 pula boleh dimiliki pada harga RM154,000. Kepada pemilik H2R, dengan pembelian jentera unggul ini, mereka layak untuk menikmati dengan percuma beraksi di Litar Sepang sebanyak enam kali (untuk tahun pertama sahaja) di sessi trackday anjuran Kawasaki.
Vulcan S pula adalah sebuah mesin yang menawarkan tunggangan yang selesa dan gaya hidup yang ranggi dan menarik. Model ini amat sesuai untuk penunggang baru dan wanita kerana dijanjikan mudah dan selesa untuk ditunggang. Vulcan S dilengkapi dengan enjin 649cc, DOHC yang berkuasa 45kW pada 7,500rpm dan tork 63Nm pada 6,600rpm. Enjin baru ini ditala dengan lancar agar mudah untuk dipacu oleh penunggang baru atau wanita.
Pelananya rendah (705mm) cukup mudah untuk dinaiki walaupun penunggang wanita, manakala casisnya yang ramping dan ringan menawarkan pengendalian optimum dalam semua keadaan dan jalan. Vulcan S ditawarkan pada harga cukup menarik, iaitu di bawah RM30,000. RR
Popular