Honda Gold Wing & Gold Wing Tour 2021
Honda memperkenalkan model kebanggaan mereka iaitu Gold Wing dan Gold Wing Tour untuk tahun 2021 yang kini lebih ringan, bergaya, tangkas dan selesa. Model 1,800cc enam silinder, sistem Dual ClutchTransmission 7-kelajuan ini juga memastikan pemiliknya dapat menikmati pengembaraan yang menakjubkan dengan adanya pelbagai ciri-ciri elektronik terkini dan ruang penyimpanan barangan yang lebih luas.
Rekabentuknya yang anggun diserlahkan lagi dengan penggunaan lampu-lampu LED dan lampu kabus yang cukup terang. Kemewahan model GL terbaru ini juga diterapkan menerusi paparan TFT yang boleh mengawal mod tunggangan, tekanan angin tayar, talaan sistem saspensi , sistem audio dan navigasi. Kecerahan paparan digital ini juga boleh ditala kepada lapan tahan berbeza.
Kecemerlangan Honda GL 2021 datangnya dari enjin 1,833cc yang menghasilkan kuasa maksimum 93kW pada 5,500rpm dan tork 170Nm pada 4,500rpm. Terdapat empat mod tunggangan iaitu Tour, Sport, Econ dan Rain. Antara ciri-ciri menarik yang turut disempurnakan pada GL ini ialah Honda Selectable Control (HSTC), Traction Control, Idling Stop and Integrated Starter Generator (ISG) untuk model DCT, Hill Start Assist (has) untuk kedua-dua model DCT dan Transmisi Manual.
Pengendalian dan ketegapan GL 2021 ini datangnya dari kerangka twin-beam aluminium yang direka khas untuk 'memeluk' enjin dengan cukup kemas seterusnya memiliki keupayaan untuk berada di dalam bandar dan di lebuhraya dengan mantap. Untuk menjamin keselamatan pada bila-bila masa, Honda telah melengkapkan model ini dengan Dual Combined System (D-CBS) pada brek-brek hadapan dan belakang yang turut disertakan dengan sistem ABS.
Ruangan menyimpan barangan lebih besar dan praktikal. Top box GL baru kini bersaiz 61 liter yang boleh memuatkan dua buat topi keledar fullface. Pelana penunggang dan pembonceng mewah dengan penggunaan kulit sintetik/suede yang direka dengan sangat elegan dan empuk. Pembonceng yang bersandar menikmati keindahan alam sewaktu mengembara turut akan didendangkan sistem alunan muzik menerusi sistem audio yang berkualiti tinggi.
Semestinya setiap kilometer bersama Gold Wing baru ini memberi nikmati sejati buat mereka yang cintakan pengembaraan motosikal. Ia sangat mewah, anggun dan berprestasi tinggi. RR
Popular