Yamaha Tracer 9 & Tracer GT 2021: Jentera Kembara Moden
'Roads of Life' merupakan konsep teras untuk segmen Sport Touring jentera Yamaha. Ia bertujuan untuk mengumpulkan para pencinta motosikal yang kesemuanya mencari 'gol yang sama. Jalan baru sedia diterokai dan kenangan baru juga akan dicipta. Tiada kenderaan lain yang mampu menandingi kenikmatan menunggang motosikal.
Untuk terus berdaya saing, Yamaha telah memperkenalkan model baru iaitu Tracer 9 dan Tracer 9 GT yang didatangkan dengan pelbagai ciri-ciri termaju, baru dan sangat menarik. Tracer 9 dilengkapkan dengan enjin 890cc, 3 silinder, DOHC, sistem penyejuk cecair dan berpiawaian EU5. Enjin model baru ini mampu menjanakan kuasa maksimum setinggi 119PS pada 10,000rpm (4hp lebih tinggi daripada model sebelumnya) dan tork 93Nm pada 7,000rpm (peningkatan 7%).
Deltabox jenis tetuang yang dipadankan pada Tracer 9 ini ringan dan kompak. Ia menawarkan pengendalian yang lebih mudah, pergerakan yang lincah dan pastinya menjadikan rekabentuknya lebih sporty. Sistem elektronik yang dipadankan pada jentera pengembaraan ini sememangnya datang dari model terulung Yamaha, YZF R1 seperti Traction Control System (TCS), Slide Control System (SCS), Chip Controlled Throttle (YCC-T), Cruise Control, Lift Control System, Brake Control System (BC).
Yamaha turut menyempurnakan jentera ini dengan mod tunggangan seperti Mod 1 (hantaran kuasa agresif, respon lebih garang), Mod 2 (sesuai untuk pelbagai situasi), Mod 3 memiliki hantaran kuasa yang lembut (tunggangan santai) dan Mod 4 untuk kegunaan di waktu hujan.
Tracer 9 turut dilancarkan dengan lampu-lampu LED, panel meter TFT berwarna penuh, cermin pengadang angin boleh laras, sistem saspensi boleh laras, lengan ayun serba baru dan sistem pembakaran terkini yang memberi penjimatan optimum. Tracer 9 didatangkan dalam dua warna serba baru iaitu Redline dan Tech Kamo.
Tracer 9 GT pula didatangkan dengan kotak barang bersaiz besar yang sesuai untuk pengembaraan. Kotak-kotak barang tersebut mampu menyimpan topi keledar full face dan dilengkapkan dengan sistem Fully Floating Carrier yang akan menyerap pengaliran udara atau gegaran dari permukaan tidak rata untuk tunggangan yang lebih selesa dan natural.
Yamaha baru ini juga dilengkapkan dengan sistem saspensi kawalan elektronik Semi-Active yang juga dikenali dengan nama KYB Actimatic Damper System (KADS). Sistem ini akan bekerjasama dengan ECU, Hydraulic Unit (HU) dan Suspension Control Unit (SCU) yang akan membuat pengiraan kadar redaman dengan tepat mengikut beberapa keadaan seperti laju/perlahan, kering/basah, permukaan biasa/berbonggol atau solo/berdua.
Model GT turut perkemaskan dengan adanya Quick Shift System (QSS), LED Cornering Light (lampu suluhan akan menyala apabila jentera kita akan dimiringkan pada kedudukan 7º dan dalam kelajuan bermula 5km/j) dan pemanas grip.
Tracer 9 dan Tracer 9 GT merupakan model kembara cukup menarik dan kini kita hanya perlu nantikan kemunculannya ke pasaran negara. RR
Popular