Triumph Trident 660: Middleweight Roadster Dilancarkan
Model terbaru roadster dari Triumph iaitu Trident 660 telah diperkenalkan baru-baru ini dengan menawarkan pakej cukup menarik seperti prestasi enjin yang hebat, kemantapan teknologi tunggangan dan harga yang cukup kompetitif.
Tarikan utama Triumph ini datangnya dari rekabentuk luarannya yang anggun tetapi pada masa yang sama, ianya cukup garang. Bahagian depannya dikemaskan dengan lampu utama LED dan panel meter TFT berwarna penuh berbentuk bulat dan cukup menarik. Sistem ekzos jentera ini direka dengan cantik dan memiliki suara yang cukup padu. Tangkinya yang bersaiz 14 liter itu pula turut menjadikan Trident ini tampak kompak dan menarik.
Trident 660 didatangkan dengan enjin tiga silinder, DOHC yang berkuasa 80hp pada 10,250rpm dan tork 64Nm pada 6,250rpm. Ketangkasan jentera ini di jalanan datangnya dari sistem elektronik terkini seperti mod tunggangan (Road & Rain), Adjustable Traction Control dan sistem ABS.
Panel meter berwarna TFT membolehkan segala informasi dapat dilihat dan ditala dengan mudah sekali. Model baru ini juga dapat disambungkan dengan sistem My Triumph Connectivity yang menawarkan sistem navigasi, komunikasi, kawalan GoPro dan muzik.
Pastinya pemilik Trident 660 ini akan menikmati pengalaman menunggang yang tangkas dengan hantaran kuasa yang lancar dalam semua peringkat. Triumph Trident 660 didatangkan dengan empat warna pilihan iaitu Silver Ice/Diablo Red, Matte Jet Black/Matte Silver Ice, Crystal White dan Sapphire Black. RR
Popular