Yamaha MT-09 2021 Diperkenalkan di Pasaran Eropah
Yamaha Motor Europe telah memperkenalkan jentera Hyper Naked mereka iaitu Yamaha MT-09 2021. Jentera ini menampilkan rupabentuk baru yang lebih agresif berbanding model terdahulu. Dari segi enjin juga dinaiktaraf agar kuasa pecutannya lebih mantap serta menawarkan beberapa teknologi menarik.
MT-09 2021 dijana enjin bersesaran 889cc (model lama 847cc), tiga silinder, empat lejang, DOHC dengan sistem penyejuk cecair yang dipadankan dengan transmisi 6 kelajuan. Kuasa hantaran telah dipertingkatkan dari 115PS kepada 119PS pada 10,000rpm manakala tork 93Nm pada 7,000rpm.
Model ini tampak lebih menarik dengan kehadiran lampu utama berbentuk baru beserta DRL (Daytime Running Light) di mana model sebelum ini menggunakan lampu hadapan jenis berkembar. Lampu belakangnya juga ditawarkan dalam pencahayaan LED.
Sama seperti Yamaha YZF-R1, jentera ini turut dilengkapi dengan sistem IMU 6-paksi yang akan menghantar data kepada sistem Traction Control (TCS), sistem Slide Control (SCS), sistem Front Wheel Lift Control (LIF) dan sistem Brake Control (BC). Untuk beri keselesaan semasa menunggang, model ini dipadankan dengan saspensi hadapan KYB 41mm jenis terbalik (USD). Di bahagian belakang pula menggunakan penyerap hentak KYB boleh laras.
Antara ciri-ciri lain yang menarik ialah paparan meter TFT 3.5 inci, sistem quickshifter, kerangka jenis Deltabox baru, sistem Assist & Slipper Clutch, sistem Ride By Wire, sistem ABS, brek-brek jenis cakera, tangki bahan api 14 liter, berat 189kg dan tinggi pelana 825mm.
Yamaha MT-09 2021 didatangkan dalam tiga pilihan warna iaitu Storm Fluo, Icon Blue dan Tech Black. Jentera ini akan berada di pasaran Eropah pada bulan Mac 2020. RR
Popular