APRILIA RSV4 1100 Factory Dilancarkan
Didi Resources Sdn Bhd selaku pengimport dan pengedar sah jenama Aprilia di Malaysia dengan bangganya memperkenalkan model jalanan paling berkuasa iaitu RSV4 1100 Factory. Aprilia RSV4 sentiasa menjadi aras tanda untuk prestasi dan kemantapan tunggangannya. Ia dibuktikan menerusi pencapaian luar biasa jentera ini dalam pelbagai kejuaraan dan perlumbaan. Aprilia telah dijulang sebanyak 54 kali dalam saingan WSBK dan ia datangnya dari kecemerlangan kejuruteraan jentera ini.
Pelancaran model ini telah diadakan di The Podium Penchala sempena siaran langsung MotoGP pusingan ke-9 di Jerman yang dimeriahkan dengan kehadiran para pemilik jentera Aprilia yang sanggup 'turun' memberi semangat.
Aprilia menyempurnakan model hebat ini dengan enjin V4 65° bersesaran 1,078cc yang menawarkan kuasa maksimum 217hp pada 13,200 rpm dan tork 122Nm pada 11,000 rpm. Untuk kelancaran kuasa enjin dalam semua keadaan, jentera ini juga dipadatkan dengan sistem teknologi terkini seperti sistem Ride-By-Wire, Aprilia Traction Control (ATC), Aprilia Wheelie Control (AWC), Aprilia Launch Control (ALC), Aprilia Quick Shift (AQS), Aprilia Pit Limiter (APL) dan Aprilia Cruise Control (ACC).
RSV4 Factory turut dilengkapi dengan panel meter TFT, Advance Multimap Cornering ABS yang dibangunkan untuk keselamatan sewaktu menyusuri laluan berselekoh dan pemetaan enjin (Sport, Track, Race) yang menjanjikan prestasi cemerlang di setiap masa. Demi memastikan para pemilik RSV4 Factory sentiasa berpuas hati, ia disempurnakan dengan penggunaan fork hadapan jenis Ohlins NIX 43mm dan penyerap hentak tunggal Ohlins TTX di bahagian belakang. Brek? Tentulah Aprilia memilih Brembo Stylema (M50) bersaiz 330mm di depan dan 220mm di bahagian belakang.
Sememangnya Aprilia RSV4 1100 Factory melambangkan prestasi luar biasa, kejuaraan dan kepantasan maksima. Model ini ditawarkan dalam warna Black Matt beserta corak grafik Atomico 6 yang berharga RM159,900 dengan jaminan dua tahun tanpa had perjalanan. RR
Popular