Siri Honda 500 : Serba Baru Kini Di Pasaran
Untuk terus berdaya saing dalam pasaran motosikal berkuasa tinggi, Boon Siew Honda telah memperkenalkan model terbaru siri 500cc iaitu CBR500R, CB500F dan CB500X yang kini menawarkan pelbagai ciri-ciri yang lebih menarik. Pastinya kehadiran model-model Supersport, Naked Style dan Adventure ini sedang dinanti-nantikan.
Enjin Honda 500 ini bersesaran 471cc dengan sistem penyejuk cecair, DOHC yang menawarkan pengalaman terbaik buat para penunggang. Dengan penggunaan gerek dan lejang bersaiz 67 x 66.8mm, siri Honda 500cc ini menawarkan kuasa setinggi 37kW pada 8,500rpm dan tork maksimum 44Nm pada 7,000rpm.
Model-model 2016 ini juga telah dilengkapi dengan lampu hadapan dan belakang jenis LED berbentuk baru yang kini lebih moden dan bergaya. Ciri-ciri keselamatan siri baru ini juga dipertingkatkan dengan adanya sistem kunci 'Wave Key'. Jika dibandingkan dengan model terdahulu, ketiga-tiga model baru ini kelihatan lebih agresif dan dimantapkan lagi dengan penggunaan penyerap hentak serta brek hadapan boleh laras dengan lima tahap talaan.
Untuk model CBR500R dan CB500F, isi tangki barunya kini bersaiz 16.7 liter (lebih satu liter berbanding model lama) dan rekabentuk sistem ekzos kedua-duanya kini lebih sporty. Model pengembaraan, CB500X pula didatangkan dengan tangki bersaiz 17.5 liter yang pastinya amat sesuai untuk suatu perjalanan jauh.
Dengan pengenalan tiga model 500cc Honda ini, para pengguna mempunyai lebih banyak pilihan sama ada untuk memiliki jentera yang memberi keseronokan memecut dan juga berkeupayaan untuk kegunaan harian.
CBR500RR ditawarkan pada harga bilik pameran (termasuk GST) RM31,681.28 dengan tiga pilihan warna iaitu Merah, Hitam dan Trico manakala berharga bilik pameran (termasuk GST) untuk model CB500F pula ialah RM31,363.28 dengan satu pilihan warna iaitu Putih. Harga bilik pameran (termasuk GST) untuk CB500X ialah RM31,893.28 dan CB500XA (ABS) RM35,391.28. Kedua-dua varian ini ditawarkan dengan tiga warna pilihan iaitu Merah, Hitam dan Putih.
Siri-siri terbaru ini akan berada di semua Kedai Honda Impian bermula Ogos 2016 dan untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang: www.boonsiewhonda.com.my atau laman facebook: https://facebook.com/HondaMotorcyclesMalaysiaBoonSiewHonda/. RR
Popular