Honda Beat Baru Dengan Teknologi Terkini
Boon Siew Honda Sdn Bhd (BSH) telah memperkenalkan Honda Beat 2020 yang kini didatangkan dengan pelbagai ciri-ciri terbaru khusus untuk memberi pengalaman menunggang lebih menarik buat para peminat skuter di seluruh negara.
Honda Beat terbaru dikuasakan oleh enjin eSP dengan sistem suntikan bahan api PGM-FI, berpiawaian Euro 4 yang menghasilkan hantaran kuasa setinggi 6.47kW pada 7,500rpm dan tork 9.53Nm pada 5,500rpm. Model yang memenuhi standard kenderaan cekap tenaga EEV (Energy Efficient Vehicle) ini menawarkan penjimatan bahan api yang lebih baik.
Honda telah menggunakan kerangka baru yang direka menggunakan teknologi eSAF. Teknologi eSAF ini juga membolehkan penggunaan ruang simpanan yang lebih baik dan penambahan saiz pada bahagian tangki petrol. Kini ruang simpanannya bersaiz 11.7 liter (0.5 liter lebih luas) manakala tangki petrol asal yang bersaiz 4.0 liter dibesarkan kepada 4.2 liter.
Dari segi rekaan luaran pula, skuter ini juga dilengkapkan dengan lampu hadapan jenis LED, lampu isyarat, meter kelajuan, tuas pengunci brek, pembuka pelana yang serba baru. BSH sentiasa menitikberatkan soal keselamatan, skuter ini juga masih mengekalkan penggunaan Combi Brake System (sistem brek hak rekacipta BSH) yang menawarkan kadar hentian yang lebih pendek dan efisien.
Menerusi Smart Lock System, sistem brek akan kekal aktif sebelum atau ketika memberhentikan skuter ini. Honda Beat ditawarkan pada harga RM5,555 dan hadir dalam empat warna menarik iaitu Merah Vivacity, Force Silver Metallic, Biru Pearl Nightfall dan Hitam Space Magenta. RR
Popular