BMW R 18 Meriahkan Segmen Jentera Cruiser
BMW Motorrad dengan bangganya memperkenalkan model terbaru iaitu BMW R 18 yang bakal menggegarkan pasaran jentera cruiser. Tidak seperti siri jentera BMW yang lain, model ini dicipta berasaskan tradisi serta sejarah pengeluaran jenama ini seperti BMW R 5 tetapi kini digabungkan dengan ciri-ciri lebih moden.
Ciri utama yang ditawarkan oleh jentera mantap ini ialah enjin dua silinder serba baru 1,802cc, 2 silinder boxer yang berkuasa 91hp pada 4,750rpm dan tork 150Nm pada 4,000rpm. Untuk tunggangan yang stabil di pelbagai jenis jalan dan cuaca, BMW telah melengkapkan R 18 dengan kerangka jenis keluli Double-loop yang memiliki ketegaran tinggi. Kemasan luarannya cukup kemas, membuktikan ketelitian dan kecintaan para pereka BMW dalam penghasilan model ini.
Jentera ini turut direka dengan menitik beratkan tahap keselesaan yang dibuktikan menerusi posisi menunggang cukup selesa. Untuk lebih selamat di pelbagai jenis jalanan, BMW telah menyempurnakan model ini dengan tiga mod tunggangan iaitu Rain, Roll dan Rock (memang lain daripada yang lain) dan Automatic Stability Control (ASC). Model terbaru R 18 ini akan menemui peminatnya di seluruh dunia sebagai model Edisi Pertama dan antara ciri-ciri menarik ialah kemasan warna hitam klasik yang dipadankan dengan beberapa bahagian berwarna putih dan permukaan krom.
Keselesaan ketika memacu jentera ini disumbangkan oleh tahap penyerapan yang mengagumkan. BMW R 18 didatangkan dengan saspensi hadapan jenis teleskopik 49mm yang dibantu oleh penyerap hentak belakang jenis cantilever. Pergerakan jentera ini juga dikawal sebaik-baiknya oleh brek hadapan dan belakang jenis cakera yang bersaiz 300mm. Bagi mereka yang sukakan dunia pengubahsuaian, R 18 pastinya antara pilihan yang sesuai. BMW ini didatangkan dengan kerangka belakang dan beberapa komponen lain yang boleh ditukar dengan mudah.
Untuk jadikannya istimewa, BMW Motorrad telah bekerjasama dengan nama-nama besar dalam dunia jentera kustom seperti Roland Sands, Mustang Seat dan Vance & Hines. Lihat sahaja pada rekabentuk sistem ekzosnya yang lain daripada yang lain. Cukup unik sekali! BMW R 18 didatangkan dengan kunci pintar untuk memudahkan pemiliknya dan bukti ciri-ciri keselamatan yang bertaraf tinggi.
Menurut pihak BMW Motorrad, model ini dijangka akan tiba ke pasaran negara pada suku keempat tahun ini manakala harganya dianggarkan pada lingkungan RM140,000 hingga RM150,000. Sabar ye semua. Kami tahu model ini sangat ditunggu-tunggu dan pastinya ia akan menjadi tarikan utama buat BMW dalam segmen cruiser. RR
Popular