Keluarga Klasik Moden TRIUMPH BONNEVILLE Kini Di Malaysia
Triumph merupakan antara jenama motosikal yang berpengaruh di seluruh dunia sejak dihasilkan pada tahun 1902. Sehingga kini kita terus melihat jentera Triumph bergerak megah hampir ke mana sahaja di seluruh dunia. Kini Triumph semakin kukuh dengan pengenalan model klasik modennya (keluarga Bonneville) pada tahun ini. Rangkaian model ini menggunakan enjin rekaan terbaru yang dilengkapi dengan sistem sejukkan cecair berbanding model yang terdahulu.
Pengedar rasmi eksklusif Triumph di Malaysia, Fast Bikes Sdn Bhd secara rasminya telah melancarkan empat model ikonik generasi terbaru Bonneville pada bulan Mei lalu. Model-model tersebut adalah Street Twin 900, Bonneville T120, Bonneville T120 Black dan Thruxton R yang menarik minat pengguna motosikal jenis klasik.
“Model Bonneville ini adalah lambang gaya klasik dan moden yang menggabungkan keselesaan untuk ditawarkan kepada penunggang di dalam dunia motosikal. Dengan itu, kami tampil untuk melancarkan dan memperkenalkan mesin ikonik yang direka dengan cantik untuk pasaran Malaysia,” kata Dato' Razak Al-Malique, Ketua Pegawai Operasi Fast Bikes Sdn Bhd.
Street Twin adalah model terbaru dengan rekaan kontemporari yang memiliki ciri-ciri klasik. Ia dikuasakan dengan enjin serba baru 'high tork' dua silinder berkembar 900cc SOHC, sejukan cecair dengan karaktor unik memberikan bunyi ekzos yang tersendiri. Ia menjanakan kuasa tork setinggi 80Nm pada 3,230rpm dan menghasilkan kuasa setinggi 54bhp.
Model ini adalah jentera berkualiti tinggi untuk mereka yang mahukan penampilan gaya menunggang klasik dan untuk kegunaan harian. Street Twin ditawarkan pada harga asas RM55,900.00 tidak termasuk insurans dan cukai jalan dan GST 6%. Sebanyak tiga warna pilihan disediakan iaitu aluminium silver, red cranberry dan phantom black.
Model Bonneville T120 baru ini adalah adaptasi daripada DNA model lagenda Bonneville keluaran pertama tahun 1959 yang menampilkan rekaan klasik seperti ekzos berkembar krom, badan pendikit pancitan bahan api ala karburetor, rim jejari, brek cakera depan/belakang dan beberapa lagi kemasan krom yang menarik perhatian sesiapa sahaja. Ia dilengkapi enjin lapan injap, SOHC sejukkan cecair berkapasiti 1200cc, dua silinder sebaris mampu menjanakan kuasa setinggi 79bhp (59kW) pada putaran enjin 6,550rpm. Warna yang disediakan adalah jet black, cinder red, cranberry red/aluminium silver dan jet black pure white.
Bonneville T120 Black merupakan model yang sama. Ia diberikan warna yang eksklusif termasuk warna enjin berwarna hitam dan tiada kemasan krom. T120 Black diperkenalkan dalam dua warna iaitu matt graphite dan jet black. Kedua-dua model ini dijual pada harga asas RM79,900.00 tanpa cukai jalan dan insurans.
Manakala model flagship Thruxton R pula diinspirasikan daripada model perlumbaan. Ia dikeluarkan sejak tahun 2004 berenjinkan 865cc. Kini ia diberikan nadi baru yang lebih berkuasa. Enjin SOHC dua silinder 1200cc yang dilengkapkan pada model ini dipertingkatkan prestasinya sehingga mampu menjana kuasa setinggi 96bhp (72kW) pada 6,750rpm. Ia dipasang dengan bar pemegang clip-on dan rekaan sistem ekzos berkembar yang lebih radikal. Sistem Ohlins dipasang di saspensi bahagian hadapan dan belakang model ini. Ianya membayangkan prestasi agresif di sebalik rupa yang menawan sesiapa sahaja. Harga asas yang ditawarkan untuk model ini adalah RM91,900.00.
Kesemua empat model Bonneville ini boleh dilengkapkan dengan aksesori yang dipanggil Inspiration Kit khas untuk kelihatan lebih gempak dan `macho’ yang dicipta khas oleh Triumph. Kunjungilah bilik pameran Triumph terdekat anda untuk melihat dan memiliki model-model terbaru ini. RR
Popular