HONDA RS150R: Yang Ditunggu Sudah Tiba!
Untuk terus berdiri kukuh di pasaran negara, Boon Siew Honda Sdn Bhd (BSH) telah memperkenalkan model terbarunya, RS150R pada 13 Jun lalu. RS150R ini juga merupakan model kategori moped pertama dari jenama ini untuk pasaran Malaysia yang dilengkapi enjin bersesaran 150cc.
Majlis pelancarannya telah disempurnakan oleh Pegawai Operasi & Pengarah merangkap COO Bahagian Operasi Motosikal Honda, En. Shinji Aoyama yang ditemani oleh Ketua Pegawai Ekskutif & Pengarah Urusan BSH, En. Nobuhide Nagata dan Timbalan Pengerusi & CEO BSH, Dato' Sri Tan Hui Jing.
Menurut En. Shinji Aoyama, tahun ini Honda bermatlamat untuk mencapai jualan sebanyak 20 juta unit dan ingin mengembangkan penguasaan pasaran dunia dari 33% kepada 35%. Pada 2015, Honda telah berjaya menjual 17 juta motosikal di seluruh dunia iaitu kira-kira tiga kali ganda lebih banyak berbanding pesaing utamanya. Dengan tercapainya statistik ini, BSH begitu yakin untuk terus melonjak ke hadapan bagi mencapai matlamatnya.
Jentera yang dipasang sepenuhnya di Batu Kawan ini mempunyai daya tarikan tersendiri dengan rekabentuk lebih sporty dengan lampu utama LED, lampu isyarat, fairing hadapan yang tajam. Bahagian belakang juga tampak agresif yang mencerminkan kepantasan dan kemantapan RS150R di jalanan. Semua aspek kejuruteraan ini amat sesuai bagi pengguna yang dahagakan prestasi enjin terbaik.
RS150R dilengkapi dengan enjin DOHC 150cc dengan sistem penyejuk cecair yang menawarkan kuasa maksimum 15.6PS pada 9,000rpm dan tork 13Nm pada 6,500rpm. Dengan sistem pancitan bahan api PGM-FI, RS150R bukan sahaja menjanjikan kehebatan kuasa pecutan tetapi juga penjimatan bahan api yang optimum.
“Dengan memperkenalkan model baru ini, kita akan dapat perubahan positif dari segi saiz pasaran kami berbanding tahun lepas. Kami menyasarkan penjualan sebanyak 2,000 unit sebulan atau 24,000 unit dalam tempoh 12 bulan akan datang. Ini merupakan langkah pertama syarikat ini untuk menjadi jenama No.1 di dalam industri permotoran,” kata En. Nobuhide Nagata.
RS150R akan mula berada di semua pengedar sah pada permulaan Ogos ini. Ditawarkan dalam dua varian dengan empat pilihan warna iaitu Merah Logam, Biru Matte, Hitam Matte dan gaya corak Repsol yang dijual pada harga bermula dari RM8,213.94 hingga RM8,372.94 (termasuk cukai GST). RR
Popular