Isu Terkini

Julai 2024

Kembara / 1 Ogos 2021

Mengembara Di Victorian Goldfields, Australia

Australia memang sebuah negara yang bertuah. Ia merupakan tempat yang cukup positif. Orang di sini berfalsafah, segalanya mampu untuk kita miliki kerana terdapat pelbagai jalan untuk merealisasikan impian tersebut. Jadi, buat para pelancong yang ingin melihat pemandangan yang sangat indah serta jalan-jalan yang mengagumkan dengan menunggang motosikal, terdapat kedai yang menawarkan perkhidmatan sewaan motosikal untuk pelbagai kegunaan sama ada di hujung minggu atau untuk suatu pengembaraan jarak jauh.


Jika anda ingin ke Melbourne, cuba layari beberapa laman sesawang ini iaitu www.gamersmotorcycle.com.eu, www.bikeoundoz.com atau www.aussierider.com – kesemuanya mempunyai pelbagai jenis motosikal yang boleh disewa pada harga yang cukup berpatutan. Jangan risau, pengusaha motor-motor sewa ini dipantau oleh Victorian Taxi Directorate yang bertanggungjawab penuh pada industri kereta-kereta sewa dan teksi. Anda tidak akan ditipu.

'Down Under' merupakan istilah yang diberikan kepada negara-negara yang berada di Hemisfera Selatan seperti Australia dan New Zealand. Negara-negara ini seumpama terletak ' di bawah' negara-negara lain di dunia.

Keretapi klasik di Castlemaine.
Keretapi klasik di Castlemaine.

Sudah banyak kali ke sini, termasuklah ke Victoria ini. Selepas litar Phillip Island dibuka semula pada tahun 1989, banyak masa di Australia terluang dengan menunggang di sekitar Melbourne yang mempunyai jalan-jalan cantik di dalam dan luar bandar seperti di Gippsland atau di persisiran pantai yang segar dan nyaman. Saya juga pernah ke Yarra Valley sebelum dan selepas insiden kebakaran besar yang berlaku pada tahun 2009 lalu.

Saya belum pernah sampai ke Goldfields di Victoria Central West hingga saat ini. Boleh dikatakan perjalanan kali ini antara yang terbaik. Laluannya cukup mudah. Jalan luar bandar dari Melbourne bukan sahaja lancar tetapi cukup tenang dan cantik. Terdapat bandar-bandar kecil yang merupakan 'sisa' peninggalan zaman perlombongan emas lebih daripada 100 tahun yang lampau.

Salah satu lukisan mural yang menarik di Castlemaine.
Salah satu lukisan mural yang menarik di Castlemaine.

Ketika itu Victoria memang terkenal dan cukup sibuk. Walaupun zaman kegemilangannya telah lama berlalu, kita masih boleh melihat kesan dan karaktor masyarakat zaman itu menerusi seni rekaan arkiteknya – Era Victorian and Art Deco.

Perjalanan saya yang lebih daripada 600 kilometer dari Melbourne dengan menunggang sebuah CFMoto 650TK berenjin parallel-kembar, lengkap dengan kotak barang yang besar dan cantik. Mesin yang ditunggang ini antara model-model baru berkuasa sederhana yang sedang pesat dikeluarkan oleh syarikat dari China ini. Perbezaan paling besar yang dimiliki oleh syarikat ini berbanding produk-produk China yang lain ialah mereka lebih mengutamakan mutu dan kualiti pada setiap jentera yang diperkenalkan. Sebenarnya, saya cukup yakin untuk mengembara bersama 650TK ini.

Replika ketulan emas gergasi yang pernah ditemui di lombong Victorian Goldfields.
Replika ketulan emas gergasi yang pernah ditemui di lombong Victorian Goldfields.

Emas mula ditemui di Victoria pada 1 Julai 1851, sejarah ini dapat dilihat dan dibaca di sebuah memorial yang terletak di Clunes, 30 kilometer dari Ballarat, sebuah kawasan pendalaman terbesar di Victoria. Pada tahun 1848, James William Esmark dikatakan cukup bertuah apabila berjaya menjumpai emas di sebuah sungai di California. Ini menyebabkan ramai warga Australia mencuba nasib di sana.

Para pelancong mencuba kaedah mendulang bijih emas.
Para pelancong mencuba kaedah mendulang bijih emas.

Salah seorang daripada mereka, Edward Hargreaves telah membuat keputusan untuk pulang semula ke tanahairnya untuk tujuan yang sama – mencari sumber emas. Dia juga amat bertuah kerana menemui apa yang dicarinya di Bathurst, NSW (New South Wales) – tempat ini akhirnya dijadikan litar perlumbaan Mount Panorama yang terkenal itu.

Menara yang diperbuat daripada kayu.
Menara yang diperbuat daripada kayu.

Tidak lama kemudian 'demam' mencari lombong emas mula semakin popular sehinggakan munculnya gelaran digger. Victoria yang dihuni ketika itu oleh para peneroka juga tidak mahu melepaskan peluang untuk memiliki emas. Untuk mengelakkan daripada penduduknya berpindah ke NSW, pihak berkuasa Victoria telah menawarkan ganjaran berupa £200 bagi sesiapa yang berjaya menjumpai emas di dalam jarak 320 kilometer dari Melbourne. Pada tahun 1851, selepas Victoria dan NSW dipisahkan... Esmark berjaya menjumpai emas di Clunes seterusnya berjaya mengekalkan populasi masyarakat asal di sini.

Kereta berkuda menghidupkan suasana ‘pekan koboi’ di Sovereign Hill, Goldfields.
Kereta berkuda menghidupkan suasana ‘pekan koboi’ di Sovereign Hill, Goldfields.

Pada tahun 1850an, nilai emas di Victoria telah meningkat kepada 1/3 daripada jumlah pengeluaran emas dunia. Populasi penduduk juga meningkat dengan mendadak daripada 77,000 kepada 540,000 orang seterusnya menjadikan Melbourne bandar terkaya di hemisfera selatan ketika itu. Ekonomi yang sedang pesat membangun ini turut menjadi punca utama kedatangan pendatang asing pada ketika itu dengan jumlah seramai 370,000 orang pada tahun 1852 sahaja.

Suasana bandar Victorian Goldfields abad ke-19 menggamit pengunjung ke sini.
Suasana bandar Victorian Goldfields abad ke-19 menggamit pengunjung ke sini.

Angka ini jauh lebih ramai berbanding jumlah keseluruhan kemasukan banduan secara paksa dari Britian pada tahun 1868 iaitu seramai 162,000 orang yang dihantar menggunakan 806 buah kapal. Daripada tahun 1851 hingga 1871, hanya 20 tahun... jumlah penduduk telah meningkat daripada 430,000 orang kepada 1.7 juta orang dan ternyata Australia ketika itu telah bertukar menjadi sebuah negara yang kaya dan kukuh.

Bandar Victorian Goldfield yang semakin membesar turut menyumbang kepada pembangunan bandar seperti jalan raya dan jalan keretapi. Saya dapat menikmati jalan ini tetapi sudah jauh lebih besar dengan Lebuhraya Western empat lorong dari Melbourne ke Ballarat. Ballarat kini dihuni oleh kira-kira 80,000 orang asli dari suku kaum Koori. Daripada sebuah bandar emas, ia kini lebih tertumpu kepada kawasan sejarah yang terdapat senibina rekabentuk Victorian serta jalan-jalan lama seperti Jalan Sturt dan Jalan Lydiard yang wujud hingga ke hari ini. Terdapat juga Pusat Penukaran Emas yang dibina pada tahun 1888 masih wujud, juga dalam bidang perdagangan emas.


Apabila berada di Sovereign Hill, kita akan dapat merasakan bagaimana kehidupan masyarakat di sana pada abad ke-19 dulu (www.sovereignhill.com.au). Jangan datang ke sini pada hujung minggu atau ketika musim cuti sekolah.... penuh. Tempat ini memang merupakan lombong emas yang asal. Masih terdapat terowong bawah tanah yang lengkap dengan peralatan menggali dan melombong.

Rumah yang didiami oleh pelombong emas dalam abad ke-19.
Rumah yang didiami oleh pelombong emas dalam abad ke-19.

Para pengunjung juga dibenarkan untuk mendulang emas dan rasakan sendiri betapa sukarnya untuk mendapatkan hasil. Terdapat juga replika emas yang sebesar nugget dan yang terbesar pernah ditemui di Victorian Goldfield. Emas itu diberi nama Welcome Stranger yang dijumpai oleh dua pelombong British hanya 3cm di bawah air pada tahun 1869. Harganya pada ketika itu ialah sekitar £10,000 atau lebih kurang £6.5 juga sekarang ini.

Di Sovereign Hill kita boleh melihat suasana yang hampir sama seperti kehidupan semasa dulu dengan adanya tentera berjaket merah, para pelombong, tukang masak, pembuat roti, tukang besi dan para bangsawan teater yang bertugas lengkap dengan pakaian custom masing-masing. Selain itu, di sini turut dilengkapi dengan kedai pencetak, hotel, rumah pembakaran colok cina yang merupakan tempat ibadat masyarakat cina di sini. Pada tahun 1861, kemasukan imigran dari China mencecah kepada 38,337 orang.

Stesen keretapi Maryborough.
Stesen keretapi Maryborough.

Tiga tahun kemudian, pemberontakan berlaku (Eureka Rebellion) atas beberapa masalah yang dikemukakan seperti ketidaktulusan pihak berkuasa, pengurusan sistem lesen yang tidak bersih dan banyak lagi. Pada tahun 1854, seramai 500 orang telah berkumpul di Eureka Stockade untuk menyatakan ketiadapuasan hati sambil mengibarkan bendera mereka, Southern Cross yang masih berkibar dengan megah hingga ke hari ini. Kemuncak peristiwa itu ialah apabila berlakunya bertembungan di antara para pemberontak dan pihak polis yang telah menyebabkan kehilangan nyawa di antara kedua-dua pihak. Selepas beberapa kali berhempas pulas untuk mendapatkan keputusan, akhirnya wakil dan ketua pihak pemberontak, Peter Lalor menjadi salah seorang daripada ahli Parlimen Victorian.

Terdapat hotel istimewa khusus untuk pengembara motosikal yang terletak kira-kira 2km dari Sovereign Hill. Terdapat banyak tempat rehat dan restoran di sini - sangat sesuai untuk berehat selepas penat menunggang. Oleh kerana masakannya sangat sedap, maka kami singgah beberapa kali untuk makan di sini.

Sempat membersihkan motosikal di sini.
Sempat membersihkan motosikal di sini.

Saya meninggalkan Ballarat untuk ke destinasi seterusnya dengan menyusuri jalan-jalan cantik kawasan hutan yang mempunyai barisan pokok-pokok yang tersusun kemas. Barisan pokok-pokok yang sepanjang 22 kilometer ini ditanam untuk memberi penghargaan buat tentera Australia yang berjuang bermati-matian dalam Perang Dunia Kedua.

Tempat menjual bijirin. Masih dibuka lagi?

Selepas menikmati udara segar di kaki bukit Great Dividing Range, perjalanan diteruskan menuju ke bandar Ararat sejauh 100 kilometer. Bandar ini diasaskan pada tahun 1857 oleh 700 orang penduduk berbangsa cina yang menemui kawasan baru perlombongan emas. Kisah ini telah diabadikan di rumah pagoda dua tingkat bernama Gum San Heritage Centre (www.gumsan.com.au). Anda juga boleh mencuba untuk melakukan kaligrafi tulisan cina di sini.

Ararat juga merupakan satu lagi laluan masuk ke daerah Wimmera. Horsham merupakan bandar terbesar di sini dan merupakan tempat pelumba lagenda MotoGP, Kevin Magee membesar dan menguasai cara-cara untuk melakukan aksi wheelie sejauh 25 kilometer dengan mesin Kawasaki H1nya.

Lokasi pelancongan paling popular di sini ialah Taman Negara Grampians yang menawarkan pemandangan gunung baru granit dan jalan-jalan mencabar untuk penunggang basikal. Jika bernasib baik atau kena tepat dengan masanya, kita mungkin dapat melihat beruang koala dan beruang comel ‘teddy bear’ hidup. Di sini juga tempatnya mereka melibatkan diri dalam industri minuman beralkohol wine.

Kolej Wesley, bangunan menarik di Clunes.
Kolej Wesley, bangunan menarik di Clunes.

Saya kemudiannya menuju ke utara untuk menyusuri lebuhraya Pyrenees. Kawasan pergunungan di sini tidaklah setinggi seperti di Perancis atau Sepanyol. Puncak tertinggi pun kira-kira 760mm. Sebaik sahaja menjelang senja, saya dinasihati oleh orang tempatan dan banyak juga papan tanda untuk memperingati supaya tidak lagi berada di jalan raya untuk mengelakkan daripada berlanggar dengan kanggaru atau walabi. Jentera CFMoto yang saya tunggang ini juga tidak mempunyai ‘roo bar.’ Dalam kegelapan itu saya terpaksa membrek dengan keras apabila terlihat seekor walabi terbaring kaku di atas jalan – memang baguslah sistem brek jentera ini. Boleh dipuji!

Jentera dimatikan seketika di Avoca untuk merasakan kesegaran teh di sini. Walaupun bandar ini agak tua, ia masih memberikan makan malam yang sangat sedap. Saya bermalam di Maryborough. Tempat ini terkenal dengan stesen keretapinya yang dibina pada tahun 1892. Penulis terkenal dari Amerika, Mark Twain turut menceritakan saat dia melawat tempat ini pada tahun 1895 dengan kata-kata, “Maryborough, terletaknya sebuah stesen keretapi yang bersambungan dengan bandarnya.”

Botanical Garden, Victoria
Botanical Garden, Victoria

Di sini juga terletaknya Bristol Hill Motor Inn (www.bristolhill.com.au) yang juga antara hotel mesra penunggang motosikal dengan rekabentuk bilik cantik, restoran harga berpatutan dan pekerja yang ramah. Pemiliknya, Robert dan Carolyn Butterfield bermurah hati dengan memberikan saya powerjet untuk membersihkan motosikal sebelum menyambung perjalanan keesokan harinya.

Saya menuju ke Maldon, satu lagi lokasi yang pernah cukup popular dengan pengiktirafan sebagai Notable Town (bandar terkemuka) pada tahun 1966. Ia kini hanya dihuni oleh 1,000 orang penduduk dan tempat ini juga sesuai untuk digunakan sebagai lokasi pengambaran filem. Berdekatan dengan Castlemaine yang juga sebuah bandar emas, terdapat sebuah stesen keretapi wap yang masih lagi berfungsi dengan baik. Dikatakan dahulunya, sekitar 105,000kg emas pernah diproses di sini dalam jangka masa 10 tahun.

Hotel Maldon yang cantik
Hotel Maldon yang cantik

Theatre Royal on Hargreaves St. yang dibina pada tahun 1858 masih tegap berdiri dan digunakan hingga ke hari ini. Bagi para pelancong yang sukakan gaya hidup ini, terdapat bilik-bilik persalinan yang boleh disewa untuk bermalam. Mereka yang bermalam di sini turut diberi keistimewaan menonton kesemua pementasan yang dilakukan pada hari itu. Sila layari http://www.theatreroyal.info/html/s02_article/article_view.asp? Diceritakan bahawa penari eksotik, Lola Montez pernah membuat persembahan di hadapan 400 orang pelombong di sini.

Pendikit dipulas semula untuk menuju ke Woodend yang mempunyai kelab malam dan galeri kesenian. Filem Picnic at Hanging Rock yang ditayangkan pada tahun 1967 turut memilih tempat ini sebagai lokasi perfileman. Di sebelah utara terletaknya bukit bukau yang menawarkan pemandangan yang sangat cantik. Kejernihan dan bersihnya air di kawasan ini telah menjadikannya sumber air buat para penduduk di daerah ini pada tahun 1870an dulu.

Avenue Of Honour di Ballarat.
Avenue Of Honour di Ballarat.


Victoria's Goldfields ternyata sebuah tempat yang sangat berbaloi dan menarik untuk dilawati. Naik sahaja motor anda dan bawalah ia ke mana sahaja kerana kesemuanya cantik-cantik belaka. Masyarakat, corak kehidupan dan bangunannya banyak menyimpan kenangan yang boleh dikongsi bersama. Saya amat gembira dapat ke sana dan berharap boleh melakukannya suatu hari lagi nanti. RR

Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Stephen Piper

Isu Pada

Mei 2016

Popular

  • Warta Roda

    Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

Artikel berkaitan

Kembara Sampai ke Boten

Ride Sri Lanka - Berbelit Jalan Serta Lidah Nak Menyebutnya...

Kuching, Sarawak, Malaysia - Pontianak, Indonesia: 1000km Loop (Bahagian Akhir)

Kuching Sarawak Malaysia - Pontianak Indonesia: 1000km Loop (Bahagian 1)

Sabah 360 Ride 1,800KM Loop (Bahagian II)

Ride Berdua ke Siam

Sabah 360 Ride 1,800km Loop (Bahagian 1)

Ride Ihya Ramadhan TM Bikers Ke Gua Musang, Kelantan

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Penunggang Motosikal Antara Yang Maut Dalam Nahas Tiga Kenderaan

Penunggang motosikal maut dalam nahas melibatkan tiga buah kenderaan.

Model Baru

EICMA 2024: Aprilia Tuono 457 - Jentera Jalanan Ada Aura

Aprilia kini memperkenalkan pula model jalanan paling baru iaitu Tuono 457.

Model Baru

HLYM Perkenalkan Yamaha Y16ZR 6MRO Edisi Terhad – RM13,668

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) turut meraikan pencapaian bersejarah itu dengan menampilkan model edisi terhad iaitu Yamaha Y16ZR 6MRO.

EICMA 2024: Skuter Adventure Maksi Pertama Dari KYMCO!

Kymco memperkenalkan skuter pengembaraan maxi pertamanya di EICMA.