Isu Terkini

Oktober 2024

Kembara / 14 Disember 2018

Kembara 3 Negara Sempena Hari Malaysia

Bersempena Hari Malaysia yang disambut bulan September lalu, lima sahabat dari Kelab Z250 telah bersepakat untuk menjayakan misi menjelajah ke seluruh Semenanjung Malaysia dan negara-negara jiran. Kembara ini bertujuan untuk menyemarakkan lagi sambutan Hari Malaysia di samping memupuk semangat cintakan negara.

Kembara yang diketuai oleh Mohamad Norman Mohd Nordin membabitkan lima rakan dengan empat buah Kawasaki Z250 dan sebuah Z750. Mereka bermula dari Kuala Lumpur ke utara (Thailand), timur, selatan (Singapura) dan kembali semula ke Kuala Lumpur dalam tempoh 5 hari 4 malam.

Gerik, Perak.
Gerik, Perak.
Berkumpul di R&R Rawang.
Berkumpul di R&R Rawang.

Pada hari pertama, kesemua rakan berkumpul di RNR Rawang arah utara. Semangat masing-masing berkobar-kobar untuk memulakan perjalanan. Cuaca pagi itu amat baik sekali. Perjalanan bermula jam 8.00 pagi. Selepas dua jam, kira-kira 150km kemudian mereka berhenti di Kawasan Rehat RTC Gopeng, Perak untuk mengisi minyak sebelum meneruskan perjalanan ke Kellie's Castle. Kellie's Castle adalah sebuah tempat bersejarah yang terkenal di Batu Gajah. Mereka mengambil peluang melawat dan mengambil gambar.

Perjalanan diteruskan melalui Lebuhraya Utara-Selatan sejauh 80km lagi ke bandar Cangkat Jering. Kembara berhenti rehat untuk makan tengah hari dengan disambut oleh Admin Kelab Z250 Kawasan Utara dan berpeluang menikmati masakan kampung, ikan keli bakar yang amat lazat di sebuah gerai di Jalan Air Kuning.

Selepas mengharungi 90km, kembara mengisi minyak di Hentian Sebelah Juru. Kehadiran kembara ke negeri Pulau Pinang telah 'disambut' dengan hujan yang sangat lebat. Namun begitu, kembara tidak berhenti dan terus mengharungi hujan untuk ke destinasi seterusnya iaitu UNIMAP yang terletak 150km ke utara.

Untuk memasuki negara Thailand melalui sempadan yang terletak di Bukit Kayu Hitam, kembara telah berhenti untuk mendapatkan insurans (RM18.00 bagi 9 hari) dan white card (RM2.00 untuk setiap seorang) di salah sebuah hentian yang terletak di Changloon, Kedah.

Proses kemasukan ke Thailand berjalan dengan lancar.
Proses kemasukan ke Thailand berjalan dengan lancar.

Kemasukan ke sempadan pada petang itu tidak mengambil masa yang lama kerana jalan raya tidak sibuk. Kembara selamat sampai dan berehat di hotel pada jam 7.00 malam. Aktiviti malam dihabiskan dengan berehat dan menjamu selera juadah daging bakar dan tomyam di sebuah restoran berdekatan.

Pada hari kedua, kembara dijadualkan untuk menyertai Konvoi Kawasaki Ride 2018. Konvoi telah bertolak dari Ibu Pejabat Kawasaki di Glenmarie, Shah Alam pada jam 8.00 pagi dan akan bertemu dengan kumpulan Kembara 3 Negara di Gerik.

Bila 'pekena' masakan original Thailand, memang puas!
Bila 'pekena' masakan original Thailand, memang puas!

Cuaca pada hari kedua juga hujan. Urusan keluar di sempadan Thailand-Malaysia adalah lebih mudah. Ia hanya melibatkan urusan passport dan serahan declaration form bagi kenderaan, yang diperolehi semasa proses kemasukan kelmarin. Urusan tidak sampai 15 minit kerana keadaan pintu masuk sempadan ke Malaysia pada pagi hari itu tidak sibuk.

Selesai isi minyak di Stesen Petronas di Bukit Kayu Hitam, perjalanan diteruskan melalui Lebuhraya Utara-Selatan ke arah selatan dan keluar di Plaza Tol Gurun, Kedah. Perjalanan diteruskan ke arah timur melalui pekan kecil Kupang, Kedah. Dalam perjalanan tersebut, kembara berhenti rehat sambil bergambar kenangan berlatar belakangkan Gunung Kenderong yang terletak di sebelah kiri jalan Baling-Gerik. Keindahan panorama Gunung Kenderong yang dapat dilihat dari tepian jalan sememangnya memukau mata dan mententeramkan jiwa. Keindahannya terus menyuntik semangat masing-masing untuk meneruskan perjalanan.

Perjalanan ke Gerik sejauh 195 km telah mengambil masa selama 3 jam. Sementara menunggu konvoi Kawasaki tiba di tempat pertemuan, kembara sekali lagi berhenti rehat. Kali ini Restoran Kari Kepala Ikan Karim menjadi pilihan untuk makan tengahari.

Kembara menyertai rombongan besar Konvoi Kawasaki Ride 2018 yang akan diadakan di Bukit Keluang Beach Resort, Besut Terengganu. Perjalanan adalah sejauh 220 km dari Gerik melalui Lebuhraya Timur-Barat. Keadaan cuaca berhujan, jalan licin dan laluan berselekoh tajam telah memperlahankan perjalanan konvoi. Konvoi tiba di Besut Terengganu pada jam 7.30 malam. Di sebelah malam dipenuhi dengan aktiviti rehat dan makan malam bersama rakan-rakan konvoi. Kemeriahan bertambah lagi dengan kehadiran Admin Kelab Z250 Pantai Timur.

Hari ketiga diisi dengan aktiviti yang telah dianjurkan oleh pihak Kawasaki sempena program Kawasaki Ride 2018 dan segala aktiviti tersebut telah pun dikongsi di dalam majalah RodaRoda November 2018 Bil: 385. Cuma ketika di sesi bebas, Kembara bersiar-siar menikmati pemandangan dan bayu pantai sambil menikmati ikan celup tepung di Pantai Irama, Kelantan. Pantai ini terletak lebih kurang 40km dari penginapan kembara. Dalam perjalanan pulang, kembara telah membeli keropok untuk dijadikan buah tangan.

Perjalanan pada hari keempat dimulakan pada awal pagi kerana jarak perjalanan yang bakal dilalui adalah sejauh 680km dan mengambil masa kira-kira lapan jam. Perjalanan bermula di Besut, Terengganu dan berakhir di Singapura. Kembara melalui Lebuhraya Pantai Timur dan keluar di persimpangan Gambang, Kuantan, Pahang. Dalam perjalanan yang jauh, semangat tinggi sesama rakan amat diperlukan agar sasaran dapat ditepati.

Pada malam harinya kembara meneruskan perjalanan ke Singapura dan ahli kembara menghabiskan masa mengabadikan memori di Merlion Park dan Marina Bay Sands. Setelah sesi bergambar selesai, kembara kembali semula ke Johor Bahru untuk makan malam dan bermalam di Hotel Seri Malaysia, Larkin, Johor.

Hari kelima adalah hari terakhir misi kembara ini. Jarak perjalanan yang ditempuhi adalah sejauh 329km yang mengambil masa kira-kira 3 jam 36 minit. Ia merangkumi empat buah negeri di pantai barat Semenanjung Malaysia. Perjalanan dari Hotel Seri Malaysia Johor Bahru dimulakan pada jam 10.00 pagi. Cuaca pagi itu amat baik sekali.

Kembara hanya membuat satu hentian sahaja iaitu di R&R Machap, Johor untuk mengisi minyak. Di Melaka, kembara disambut oleh Admin Z250 Melaka dan bergambar kenangan di hadapan Kota Bersejarah A Famosa. Kemudian menikmati makan tengah hari juadah terkenal Melaka, iaitu asam pedas di Restoran Asam Pedas JR yang terletak di hadapan Dataran Pahlawan Melaka.

Selepas menjamu selera, perjalanan diteruskan untuk pulang ke rumah masing-masing. Perjalanan dari Melaka ke Kuala Lumpur mengambil masa hampir dua jam. Syabas dan tahniah diucapkan kepada pasukan kembara yang telah berjaya mengharungi cabaran dan cuaca yang tidak menentu sepanjang perjalanan. RR

Info Kembara
*Menjejaki ke tiga negara dalam 5 hari.
*Perjalanan sejauh 2127.5 km.
*Berhenti isi minyak di 12 buah stesen minyak di 9 buah negeri.
*Perjalanan tanpa sebarang masalah jentera motosikal.
*Peserta terdiri daripada:
1. Mohamad Norman bin Mohd Nordin
2. Mohd Khairul Anuar bin Saidin
3. Khairul Ariffin Bin Md Nor
4. Mohd Affendi Bin Mohamad
5. Kamarul Azhar Bin Kamis

Isu Pada

Disember 2018

Popular

  • Warta Roda

    Lagi kes bengkel terbakar. Kali ini 7 buah motosikal hangus dijilat api!

  • Dari Litar

    Marquez Jatuh...Pecco Raih Juara

  • Warta Roda

    Lelaki tumbuk pemandu wanita selepas anak dilanggar.

  • Model Baru

    Vespa GTS 300 Classic - Harga RM31,900

  • Warta Roda

    Nahas Treler & Kereta: 5 Mangsa Disahkan Maut

Artikel berkaitan

TM Bikers Jelajah Turkiye 2024!

900 Kilometer Dengan Suzuki Hayabusa

Kembara Sempoi Ke Tasik Raban, Lenggong, Perak

Kembara Sampai ke Boten

Ride Sri Lanka - Berbelit Jalan Serta Lidah Nak Menyebutnya...

Kuching, Sarawak, Malaysia - Pontianak, Indonesia: 1000km Loop (Bahagian Akhir)

Kuching Sarawak Malaysia - Pontianak Indonesia: 1000km Loop (Bahagian 1)

Sabah 360 Ride 1,800KM Loop (Bahagian II)

Disyorkan untuk anda
Model Baru

JEDI K333: Direka Untuk Kesesuaian Penunggang Baru & Wanita

Sejak kemunculan sebagai model konsep, pihak syarikat telah menghabiskan lebih daripada 800 hari dengan melakukan penambahbaikan tanpa henti untuk model sport, JEDI K333.

Model Baru

Honda NSS250 2025 Tampil Warna Baru & Meter TFT

Boon Siew Honda turut memperkenalkan versi skuter terkini iaitu Honda NSS250 bagi tahun 2025.

Model Baru

BENDA Chinchilla 500 Masuki Pasaran Negara – RM27,888

BENDA Malaysia telah memperkenalkan jentera cruiser kelas pertengahan untuk pasaran negara iaitu BENDA Chinchilla 500.

Dari Litar

Pirelli Jadi Pembekal Utama Tayar MotoGP Menjelang 2027

Pirelli menjadi pembekal tayar eksklusif untuk Kejohanan Dunia MotoGP bagi tempoh lima tahun bermula musim 2027.