Bhutan Adventure Ride 2018: Dunia Yang Penuh Keajaiban (Bahagian Akhir)
25 Mac 2018 (Paro): Paro merupakan sebuah bandar pelancongan yang terkenal di seluruh dunia. Di sinilah terletaknya Tiger’s Nest atau Paro Taktsang yang berketinggian 3,120 meter. Pendakian memang sukar kerana cukup curam dan terdapat dua cara untuk kita ke kemuncak iaitu dengan berjalan kaki atau menunggang kuda (kecil seperti kuda padi) dengan harga kira-kira RM50. Walaupun dengan berkuda, ianya hanya untuk separuh perjalanan dan selebihnya, para pelancong tetap perlu menggunakan tenaga sendiri. Apa pun, ia adalah sebuah tempat yang suci dan sekali lagi… sangat-sangat cantik. Siapa yang datang ke Bhutan, Tiger’s Nest adalah tempat ‘wajib’ untuk dikunjungi.
Tiger’s Nest merupakan kompleks kuil yang dibina pada tahun 1692. Dikatakan tempat asal pertama kuil ini dibina merupakan tapak ‘berehat’ harimau. Kini tempat ini telah dibina banyak biara yang menjadi tumpuan para pelancong dan orang tempatan untuk melakukan sembahan dan doa mengikut niat masing-masing. Menurut kisah yang dikongsikan oleh orang tempatan, Tiger’s Nest dibina oleh Guru Rinpoche yang dikatakan kelahiran semula Buddha pada abad ke-17. Beliau bermimpi telah bermeditasi di sebuah gunung dan apabila ternampak sebuah kawasan pergunungan yang mirip seperti mana dalam mimpinya, Guru Rinpoche membuat keputusan untuk membina biara di situ.
“Walaupun letih dan boleh semput untuk mendaki, pemandangan di kemuncak ketika tiba di biara ini memang mengagumkan. Antara keajaiban yang dikatakan terdapat di sana ialah bilik khas (tempat Guru Rinpoche bertapa) yang pintunya dibuat daripada emas. Bilik ini dipercayai boleh menyebabkan seseorang itu hilang jika masuk ke dalam bilik tersebut. Kami hanya dapat berdiri kira-kira satu meter daripada pintu emas itu. Ruang-ruang di kawasan suci ini sempit tetapi masih boleh dimasuki oleh para pelancong yang berhasrat untuk meminta hajat. Apa yang ingin benar dikongsi ialah kualiti udara di sini. Ia bukan setakat bersih tetapi sangat cerah sehinggakan kalau ambil gambar, hasilnya seperti mana yang sedang kita lihat dengan mata” kongsi Rosman.
Para peserta mengambil masa kira-kira lima jam di sana. Oleh kerana sudah agak letih, kesemua pengembara motosikal sekadar bersiar-siar di bandar Paro. Ada yang menikmati makanan tempatan dan ada juga yang mengambil keputusan untuk membeli cenderahati. Nasib mereka cukup baik kerana pada hari tersebut telah diadakan pertandingan memanah cara tradisional di antara Paro dan Timphu. Memang segak para peserta pertandingan kerana semuanya mengenakan pakaian tradisional (Gho) dan ia adalah sukan kebangsaan Bhutan.
26 Mac 2018 (Paro – Jaigaon): Perjalanan dimulakan awal kerana perlu melawat ke dua buah destinasi yang penting. Ketika membuat pemeriksaan pada setiap jentera, Rosman dapati kesemua pelana disaluti ais… memang sejuk betul hari tu! “Mekanik Royal Enfield pernah memberi kami panduan iaitu jika berada di tempat yang terlalu sejuk, hidupkan Himalayan ini tanpa perlu menggunakan choke tetapi jika enjin masih mati selepas dihidupkan, barulah choke digunakan. Nasib kami semua baik, RE Hilamayan hidup dengan cukup segar hanya dengan sekali tekan.”
Semua para peserta sudah bersiap sedia dengan penuh semangat untuk menyambung perjalanan ke sebuah kawasan pergunungan bernama Chelela yang berketinggian 3,988 meter dan sangat dekat dengan sempadan negara China. Jalan ke sana cantik dan di kiri kanan sudah mempunyai salji. Memang cantik dan sangat sejuk. Ketika tiba di kawasan Chelela ini, para peserta terpegun dengan pemandangan gunung-ganang di banjaran Himalaya yang jelas sekali. Antara keunikan kawasan pergunungan tersebut ialah ribuan bendera doa yang direntangkan penuh berwarna warni.
Chelela juga merupakan tempat masuk ke negara China tetapi ia tidak dibuka untuk orang awam – hanya untuk warga Bhutan dan China sahaja untuk urusan perniagaan khususnya. Kira-kira 82 kilometer dari Paro, kesemua mereka tiba di Hotel Dam View untuk makan tengahari. Konvoi melalui kawasan hutan yang ditutupi awan yang cantik dan bunga liar sudah mula tumbuh kerana sudah masuk ke musim panas. Konvoi tiba di sempadan Bhutan/India kira-kira pada jam 4.30 petang dan terus ke hotel untuk bermalam selepas 164 kilometer perjalanan yang mengambil masa hampir 12 jam! Betul-betul satu cabaran!
27 Mac 2018 (Jaigaon – Gangtok): Sekali lagi perjalanan bermula awal untuk mengelakkan dari tersangkut dengan kesesakan. Masyarakat Sikkim terdiri daripada pelbagai jenis etnik dan agama yang berasal dari India, Nepal, Bhutan dan China. Ketika perjalanan menuju ke Jaldapara, konvoi melalui taman negara yang terbuka. Dikatakan binatang liar seperti gajah dan harimau bebas bergerak tetapi mujurlah kesemuanya tidak berdepan dengan binatang-binatang tersebut. Tidak lama kemudian, konvoi tiba di satu lagi pusat perlindungan hidupan liar yang terletak di Mahananda.
“Memang kami dinasihati oleh pemandu pelancong agar berpatah balik jika terserempak dengan harimau. Menggerunkan tetapi syukurlah, 'pak belang' tak keluar hari tu. Perjalanan hari ke-10 agak ringkas kerana sasaran hanya untuk tiba di Ranggo (sempadan Sikkim) awal untuk urusan imigresen. Semuanya berjalan lancar dan kami tiba di hotel pada pukul 4.30 petang dan tiada aktiviti pada malam tersebut melainkan hanya makan.”
28 Mac 2018 (Gangtok): Gangtok merupakan ibu negeri Sikkim dan disebabkan ia berdekatan dengan China, banyak pos tentera (tentera darat dan udara) terkenal seperti rejimen Black Panther dan Red Eagle di daerah ini. Lagi tinggi kawasan tersebut, lagi banyak pos dan perkhemahan tentera di sana yang siap dengan meriam dan senjata moden.
Antara rejimen tentera yang paling cantik dan kemas ialah Tentera Ghurka. Para tentera Ghurka juga popular dek kerana sikap mereka yang peramah dan penuh sopan – sayangnya para pelancong tidak dibenarkan mengambil gambar. Selain itu, Gangtok juga terkenal sebagai tempat terletaknya banyak sekolah berasrama penuh – pelbagai jenis baju seragam ala sistem prasekolah Inggeris yang dipakai oleh para pelajar dapat dilihat di kawasan tersebut.
Destinasi pertama yang dilawati ialah Tasik Tsomgo yang berketinggian 3,752m dan bersalji. Walaupun tasik ini kecil, ia cukup cantik dan kawasan ini terkenal dengan perusahaan teh. Terdapat perkhidmatan kereta kabel di kawasan tersebut yang digunakan oleh para pelancong dan warga tempatan. Para peserta konvoi mengambi peluang ke bazaar untuk membeli barangan cenderahati dan semestinya teh untuk dibawa pulang ke Malaysia.
29 Mac 2018 (Gangtok – Pelling): Perjalanan terganggu dengan tanah runtuh di beberapa kawasan dan keadaan jalan yang mencabar. Di sinilah ketua konvoi, Diddy terbabas tetapi mujurlah tiada masalah serius yang berlaku. Ada juga ketikanya, konvoi terpaksa berhenti selama dua jam, menunggu untuk jalan dibersihkan akibat tanah runtuh. Selepas 4••• jam perjalanan, konvoi berhenti rehat dan menikmati teh di tepi sungai. Perjalanan kemudiannya diteruskan semula dan sekali lagi terpaksa mengharungi jalan-jalan yang berliku dan mencabar.
“Ketika di Kewzing, kami berhenti di sebuah rumah berusia 200 tahun untuk makan tengahari dengan juadah nasi, roti yang dimakan bersama kari sayuran. Di restoran ini juga seorang kenalan kami (rider) telah menghadiahkan setiap peserta dengan sehelai selendang setiap seorang sebagai kenangan di Gangtok dan sebagai tanda ‘Persahabatan Selamanya’.”
Perjalanan ke Pelling merupakan antara yang paling mencabar kerana keadaan jalannya yang agak sukar dan suhu yang membeku. Konvoi tiba di Pelling pada jam 6.30 petang. Daerah Pelling menerima kunjungan para pelancong yang sukakan aktiviti memanjat gunung (hiking) dan merupakan Taman Teh Organik pertama di dunia. Sememangnya teh tersebut lebih sedap, lebih lemak dan lain daripada yang lain.
30 Mac 2018 (Pelling – Darjeeling): Selepas mengisi perut, para peserta meneruskan pengembaraan menuju ke Pameyantse untuk melawat sebuah biara yang berusia ratusan tahun. Para peserta cukup mengagumi seni rekabentuk biara ini dan cara penjagaannya walaupun usianya benar-benar ‘tua’. Jentera RE Himalayan kemudiannya dikerah menuju ke Peshoke yang terkenal dengan tempat digelar Lovers Meet View Point. Di atas bukit inilah para pengunjung dapat melihat keindahan alam semula jadi yang benar-benar menyegarkan minda. Daerah ini juga memiliki sungai agak besar yang menjadi pilihan buat mereka yang sukakan aktiviti White River Rafting.
Kira-kira pada jam 5.30 petang, konvoi tiba di Darjeeling dengan selamatnya. Darjeeling merupakan satu lagi destinasi yang utama buat para pencinta teh kerana produk teh Darjeeling sememangnya terkenal di seluruh dunia. Darjeeling asalnya merupakan tempat peranginan untuk rehat dan bersantai buat pihak British yang kemudiannya membuat keputusan untuk mengusahakan tanaman teh. Antara restoran bertaraf antarabangsa yang menjual atau menyediakan teh Darjeeling ini di seluruh dunia ialah di Coffee Bean.
“Satu pemandangan unik ketika menunggang di kawasan tanah tinggi ini ialah bumbung-bumbung rumah yang dicatkan dalam pelbagai warna. Kalau kita perhati dari atas, memang suatu yang cukup unik dan cantik. Untuk menarik perhatian para pelancong, di sini terdapat perkhidmatan keretapi kecil atau Toy Train yang beroperasi sejak di zaman pemerintahan British pada tahun 1879 lagi dan masih 'bertenaga' hingga ke hari ini. Dengan keretapi yang masih menggunakan sistem pembakaran arang ini, para pelancong akan dibawa mengelilingi Darjeeling untuk jangka masa sekitar dua jam sahaja,” kata Rosman.
31 Mac 2018 (Darjeeling - Siliguri): “Hari ini adalah hari rehat dan agak santai untuk kami kerana sudah hampir ke penghujung pengembaraan. Kami sempat berkunjung ke Glennary’s Café untuk menikmati suasana restoran ala Inggeris dan belajar cara-cara membuat teh English Style!” kata Rosman.
Di sebelah petang, konvoi mula bergerak pulang ke Siliguri dan sekali lagi terpaksa berdepan dengan kesesakan bandar seperti ketika mula-mula sampai. Sememangnya satu perasaan yang cukup istimewa apabila mengenang kembali setiap detik perjalanan yang memakan masa lebih daripada dua minggu. Setiap peserta yang berjaya menghabiskan pengembaraan kali ini telah dihadiahkan dengan cenderahati dan lambang khas yang direka sendiri oleh BigBoys Adventure.
“Pengembaraan ke Bhutan sejauh 1,205 kilometer dan merangkumi semua aspek pengalaman menunggang seperti jalan berliku, cuaca sejuk, offroad, jalan berlumpur, kesesakan lalu lintas yang teruk dan keadaan bentuk muka bumi yang sukar dijangka. Untuk ke Bhutan juga bukanlah suatu perkara yang mudah tetapi sebaik sahaja kita melangkah masuk, ia bagaikan dunia baru yang menawarkan pemandangan yang cantik, sangat bersih, masyarakat yang peramah dan penuh bersejarah.
Boleh dikatakan kamilah rakyat Malaysia pertama yang menunggang motosikal berkumpulan di Bhutan dan ianya adalah satu detik istimewa buat semua peserta,” kata Ketua Pengembaraan, Diddy. RR
Info: Kepada rakan-rakan yang ingin mendapatkan info lebih terperinci mengenai pengembaraan BigBoys Adventure, sila hubungi Diddy di talian 0162919564 atau layari http://www.bigboysadventure.my atau https://www.facebook.com/bbadventures/ atauhttps://www.youtube.com/watch?v=_zRfb0BRmIs
Popular