Bhutan Adventure Ride 2018: Dunia Yang Penuh Keajaiban (Bahagian 1)
Big Boys Adventure (BBA) merupakan sebuah syarikat yang mengurus dan menganjurkan pengembaraan motosikal. Pengembaraan merangkumi pelbagai jenis perjalanan motosikal di Indonesia, Thailand dan ke seluruh Asean. Pada bulan Mac lalu, BBA telah berjaya mengaturkan pengembaraan yang cukup menarik iaitu ke Bhutan.
Bhutan adalah sebuah negara yang unik, istimewa dan diiktiraf antara destinasi tercantik di dunia. Negara yang terletak di bahagian timur Himalaya ini juga sukar untuk dikunjungi melainkan mendapat keizinan daripada pihak pentadbiran Bhutan. Secara teknikalnya, kita memerlukan 'orang dalam' yang menjemput untuk berkunjung ke sana. Kerajaan Bhutan sangat mengawal jumlah kemasukan pelancong ke negara mereka. Ini kerana mereka ingin menjaga tahap kebersihan, kebudayaan dan ketulenan negaranya.
Pengembaraan ini melibatkan 10 orang penunggang (seorang dari Belanda, dua dari Vietnam dan selebihnya dari Malaysia) dengan dua orang krew bertugas iaitu Rusydi Razali (Diddy) dan Rosman. Kecuali Diddy, kesemua peserta menggunakan jentera yang cukup selesa dan lasak, Royal Enfield Himalayan. Turut serta dalam pengembaraan ini ialah dua orang isteri kepada peserta menaiki kenderaan lasak 4X4 yang juga membawa beg, air minuman dan alatan kecemasan.
Kesemua peserta tiba di Lapangan Terbang Bagdogra, Bengal Barat, India pada awal petang hari Isnin, 19 Mac 2018. Mereka menggunakan jalan darat menuju ke Siliguri cuma 20-25 minit perjalanan. Di sini, para peserta berehat, makan malam dan membuat pemeriksaan terakhir pada jentera masing-masing sebelum memulakan pengembaraan pada keesokan harinya.
20 Mac 2018 (Siliguri - Jaigaon)
Destinasi pertama ialah ke Jaigaon. Laluan menuju ke Coronation Bridge, dibina bersempena pertabalan Raja George VI dan Ratu Elizabeth pada tahun 1937 dan siap sepenuhnya pada tahun 1941 dengan perbelanjaan ketika itu mencecah Rs 4 lakhs (RM22,524). Walaupun hanya 25 kilometer, jalannya teruk dan berlubang-lubang, menjadikan perjalanan cukup lambat sekali. Hati menjadi tenang apabila konvoi tiba di sebuah ladang teh yang terletak kira-kira 60 kilometer dari Siliguri.
Selepas melalui perjalanan yang sukar, konvoi tiba di Birpara (Dhaba) untuk berehat dan makan tengahari. Dhaba merupakan tempat rehat (R&R) tepian jalan yang asalnya dikhaskan untuk lori yang membawa bekalan teh. BBA sangat mengambil berat mengenai tahap kesihatan para penunggang motosikal dan untuk mengelakkan kes sakit perut dan cirit birit yang sering berlaku pada pengembara serta para pelancong, BBA memilih untuk makan dan minum di tempat yang diyakini bersih.
Air minuman mesti menggunakan air mineral yang ditutup rapi dan elakkan daripada makan buah atau sayuran yang banyak menggunakan sumber air seperti tomato, kobis, timun kerana sayuran ini disiram dan dibasuh menggunakan air yang tidak bersih. Para penunggang juga diwajibkan memakai topeng kerana sebarang jangkitan boleh menyebabkan sakit tekak yang akhirnya membawa kepada demam atau jangkitan yang lebih serius.
Konvoi sekali lagi berhenti untuk minum petang di Hasimara yang terletak di dalam ladang teh. Ini sengaja dilakukan bersempena dengan sambutan harijadi buat Diddy, siap dengan kek sekali. Walaupun Jaigaon sejauh 165 kilometer, ia memakan masa hampir sehari suntuk kerana perjalanan cukup mencabar. Ia merupakan bandar sempadan seperti Bukit Kayu Hitam tetapi sangat sesak dan tidak terurus.
21 Mac 2018 (Jaigaon – Thimpu)
Apa yang agak pelik ialah Pejabat Imigresen India di sini terletak di dalam bandar dan bukannya di sempadan. Jadi... bila passport sudah dicop untuk keluar India, kami sebenarnya masih di dalam negara tu. Pada waktu yang sama, pemandu pelancong dari Bhutan telah siap menunggu tetapi proses untuk selesaikan urusan di kedua-dua buah negara memakan masa hampir setengah hari. Sangat lambat!
Konvoi tiba di Bhutan Gate (70 kilometer dari Jaigaon) untuk urusan permit motosikal dan kastam. Syukur, segalanya dapat diselesaikan dengan lancar dan pengembaraan diteruskan. Tenaga jentera RE Himalayan mula dikerah untuk mendaki kawasan pergunungan yang berkabus tebal menuju ke Gedu yang terletak sejauh 100 kilometer. Gedu merupakan sebuah daerah yang kini sedang berkembang (dari segi ekonomi) disebabkan oleh projek hidroelektrik berkuasa tinggi. Pemandangan di empangan hidroelektrik itu memang mengagumkan dan kami sempat menikmatinya.
Konvoi kemudiannya berhenti untuk makan tengahari di Hotel Dam View yang dibina bersebelahan dengan sebuah sungai. Pemandangan cukup cantik... pokok pain yang tinggi dan tegap kelihatan bagaikan lukisan manakala suhu yang sejuk menghilang kepenatan. Dari situ, perjalanan yang agak jauh terpaksa ditempuh walaupun dalam keadaan jalan yang teruk, suhu sejuk serta hari yang semakin gelap. Terdapat banyak pos kawalan di Bhutan yang dikawal oleh pihak polis. Mereka akan membuat pemeriksaan sebelum membenarkan perjalanan diteruskan.
Oleh kerana jalan berliku dengan keadaannya yang teruk, konvoi tiba agak lewat ke Thimpu, lebih kurang pada jam 9.30 malam. Kadar penjimatan bahan api yang dimiliki oleh RE Himalayan mengagumkan para peserta. “Ia lasak, selesa dan jimat… memang pilihan terbaik untuk pengembaraan ini,” kata Rosman.
22 Mac 2018 (Thimpu – Punakha)
Bandar Thimpu terletak di dalam kawasan lembah yang sejuk dan cukup segar. Di sini juga terletaknya Buddha Dordenma Statue - lokasi terkenal untuk para pelancong bergambar kenangan. Keistimewaan masyarakat di Bhutan juga adalah disebabkan mereka sangat peramah dan sentiasa bersedia untuk bergambar bersama sebagai kenangan. Hanya polis dan tentera sahaja tidak dibenarkan bergambar dengan para pelancong.
Para peserta juga berkesempatan untuk melawat Pusat Perlindungan Takin. Takin ialah spesis binatang yang pemalu dan cukup istimewa kerana ianya membiak dan hidup hanya di Bhutan, amat sukar untuk dicari binatang ini di luar Bhutan. Jika dilihat dengan lebih dekat, Takin bagaikan gabungan di antara lembu dan rusa. Mengikut cerita dongeng masyarakat di sana, seorang pendeta Buddha yang terkenal sedang menikmati hidangan berupa rusa dan kerbau. Selepas itu, pendeta ini mencantumkan kedua-duanya dan lahirlah Takin.
Aktiviti pada hari itu diteruskan dengan city walk, memberikan kami semua satu pengalaman baru yang unik. Bhutan merupakan sebuah negara yang amat mementingkan kebersihan, budaya yang tidak tercemar dan penjagaan alam sekitar. Masyarakat di sana sangat ramah, ramai yang boleh berbahasa inggeris dan paling membanggakan ialah kewajiban memakai baju kebangsaan Bhutan ke sekolah, kuil dan untuk urusan rasmi. Ketiga-tiga orang pemandu pelancong yang bersama kami turut mengenakan pakaian Gho (untuk lelaki) dan Kira (untuk wanita). Memang cantik dengan pelbagai jenis warna dan unik sekali.
“Keunikan Gho ini ialah menerusi cara ianya diikat sehinggakan boleh menyimpan senjata seperti pistol beserta pelurunya sekali. Sayangnya kami semua tidak sempat untuk belajar cara-cara memakai Gho ini,” kata Rosman.
Jentera terus diarah ke kawasan pergunungan yang berliku Punakha, terletak kira-kira 86 kilometer dari Thimpu. Punakha merupakan daerah yang dipelihara dan tersangat cantik dengan bentuk mukabumi, perkampungan yang dikelilingi oleh gunung ganang dan lembah-lembah.
Destinasi perhentian seterusnya ialah Dzong, dahulunya merupakan sebuah istana dibina di antara sebuah sungai dan lembah untuk tujuan pertahanan. Ketika berlakunya pertempuran di antara China dan Nepal, Dzong merupakan ‘tembok’ negara cukup strategik dek kerana faktor geografi yang menjadikan setiap serangan daripada pihak musuh dapat dipatahkan. Kini Dzong merupakan tempat pentadbiran kerajaan yang turut dijadikan bersama kuil Buddha. Sayangnya mereka tidak dapat memasuki istana tersebut kerana ia tidak dibuka untuk orang awam pada masa itu.
23 Mac 2018 (Punakha)
Hari ini hari rehat untuk semua! Dengan menaiki van yang disediakan, para peserta berkunjung ke Farm House atau Buthanese House. Di sinilah terbuktinya betapa baik dan ramah masyarakat di sana. Pemandu pelancong hanya mengetuk sebuah rumah secara rawak berdekatan dengan perkampungan Nobgang dan bertanyakan sama ada boleh atau tidak mereka menerima tetamu. Jawapannya sudah tentu boleh.
“Inilah pertama kali kami dihidangkan dengan teh asli atau Bod Ja (Butter Tea) orang sana. Tehnya masin dan berminyak. Susah juga nak habiskan secawan teh ni tetapi kami gagahi juga sebagai tanda penghormatan di atas layanan yang diberikan oleh tuan rumah. Tuan rumah turut memberikan kami makanan ringan seperti apricot, beras kasar dan gandum,” kata Rosman.
“Pengalaman menarik apabila kami semua dapat melihat struktur dan ruang-ruang di dalam rumah itu yang kesemua dibuat daripada kayu yang berbeza tanpa menggunakan paku. Tapak rumah kayu lain, dinding kayu lain, atap juga kayu lain… mengikut kesesuaian. Setiap rumah di Bhutan mempunyai ruang ibadat khas yang ada di antaranya lengkap dengan kitab-kitab yang berusia beratus tahun,” tambah Rosman.
Keindahan Bhutan terus dilawati oleh para peserta dan destinasi seterusnya ialah ke sebuah biara yang mempunyai rekabentuk cukup menarik. Lebih mengagumkan ialah sami-sami di biara ini boleh berbahasa inggeris dengan sempurna. “Bahasa inggeris diajar di sekolah termasuk anak-anak kecil dan ia adalah wawasan Raja Bhutan agar rakyatnya dapat menguasai bahasa ini dengan baik,” kata Rosman.
Para peserta kemudian mengambil motosikal masing-masing di hotel dan terus menikmati makan tengahari di Sungai Mo. Kelihatan bangunan Dzong di seberang sungai, orang berpakaian tradisional dan gunung ganang yang mengagumkan. Banyak hidangan sayur di Bhutan dan cili juga dianggap sayur yang cukup disukai oleh warga tempatan terutamanya cili yang dimasak bersama keju – sangat pedas dan berlemak. Di sinilah kami pertama kali bertemu dengan pelancong lain (mat salleh) yang berkunjung ke Bhutan untuk aktiviti mendaki dan sukan air (river rafting).
Antara pengalaman menarik di Punakha ini ialah dengan menyeberangi Sungai Po Chu menggunakan jambatan gantung terpanjang di daerah ini. Jambatan ini tinggi, panjangnya pula sekitar 160 meter dan sentiasa berbuai.
Bhutan juga terkenal sebagai tempat antara yang paling selamat kerana masyarakatnya cukup jujur. Banyak terdapat kotak Lost & Found yang disediakan khusus buat sesiapa sahaja yang menjumpai barangan yang dikhuatiri telah tertinggal oleh tuannya secara tidak sengaja. Jadi… jika ada para pelancong mahupun orang tempatan yang kehilangan barang, peratusan untuk menjumpainya semula amat tinggi. Melihat kepada kejujuran ini, kita berharap Malaysia suatu hari nanti juga mampu begitu.
Untuk menuju ke Samdingkha Village, Diddy mengambil keputusan menggunakan jalan offroad dengan melalui bandar Baja dan bandar Khuru. Inilah satu-satu tempat yang tidak ditemani oleh pemandu pelancong. Laluan ini juga membuktikan betapa mudahnya mengendalikan RE Himalayan di laluan sukar kerana ia ringan, senang dikawal dan memiliki hantaran kuasa yang linear. Selepas seharian berjalan, kami kembali ke hotel dan berehat untuk pengembaraan seterusnya.
24 Mac 2018 (Punakha – Paro)
Konvoi berpatah balik ke Punakha Dzong kerana ia dibuka untuk kunjungan awam tetapi pada masa yang agak terhad. Ini kerana Raja Bhutan juga turut hadir pada hari tersebut. Sememangnya ia adalah satu peluang seumur hidup yang para peserta tidak mahu lepaskan.
“Kami ingin benar melihat kehidupan para sami dan keunikan para arkitek zaman dahulu yang membuat rekaan tempat ini. Memang tercengang dan teruja dapat masuk ke Dzong. Senibinanya sungguh bijak! Tangga direka sangat curam agar mudah ditarik ke tingkat atas atau dimusnahkan jika benteng pertahanan tewas ketika di zaman peperangan dahulu kala. Pintu dan tingkap juga direka agar mudah untuk membuat serangan tetapi sukar ditembusi pihak lawan. Kami hanya dapat meluangkan masa sekitar dua jam sahaja,” kata Rosman.
Konvoi meninggalkan Punakha Dzong dan menuju ke Fertility Temple yang memakan masa sekitar satu jam setengah. Memang sukar untuk diceritakan mengenai rekabentuk kuil ini kerana dipenuhi dengan batu-batu yang dibentuk menyerupai alat sulit lelaki. Terdapat kisah dongeng menarik mengenai kuil ini….
Seorang sami yang digelar Divine Mad Monk yang dikatakan sesat kerana sifat dan amalannya yang berlainan berbanding sami-sami yang lain. Pada masa yang sama, terdapat seorang ahli sihir yang dikatakan sering menangkap orang terakhir dalam satu-satu rombongan untuk dimakan. Dikisahkan sami ini telah berlawan dan berjaya menewaskan ahli sihir tersebut, menukarkannya menjadi seekor anjing dan menyimpannya di satu ruang (stupa) di dalam kuil. Ruang tersebut bertukar dari putih kepada hitam dan dikatakan sehingga hari ini masih ‘menyimpan’ ahli sihir tersebut. Fertility Temple kini sering dikunjungi oleh orang dari dalam dan luar Bhutan yang bertujuan untuk berdoa bagi mendapatkan zuriat.
Konvoi kemudiannya mendaki ke Dochula Pass dan berehat di Traveller Restaurant. Di sini, mereka bertemu dengan 20 orang penunggang dari India yang menggunakan pelbagai model motosikal. Dorchula Pass juga terkenal sebagai tempat peringatan buat para pahlawan yang gugur ketika mempertahankan negara. Stupa-stupa kecil dijadikan tugu dan disusun dengan cukup teratur dan indah sekali.
“Kami bertemu dengan dua orang kenalan Diddy yang datang bersama BMW R1200 GS mereka. Kedua-dua kenalan Diddy kini mengetuai konvoi kami menuju ke Paro tetapi masalahnya, dengan menunggang BMW GS…. mereka berdua agak terlalu laju untuk dikejar. Mujurlah dalam keadaan apa jua jalan, RE Himalayan mampu untuk berada dalam rentak yang sama. Kami bernasib baik kerana perjalanan pada hari itu cukup lancar disebabkan jalannya yang baik. Pemandangan pokok-pokok pain… lawa betul!” Jelas Rosman.
Konvoi akhirnya tiba di Paro kira-kira pada jam 8.00 malam dan mereka mengambil keputusan untuk berehat selepas makan malam. Menurut para peserta, perjalanan dari Punakha ke Paro adalah yang paling menarik kerana jalannya cukup baik dan pemandangan pula sangat memukau.
Ke mana pula peserta konvoi selepas ini? Dengar kata, ada kisah berkenaan sarang harimau. Ikutilah sambungan ceritanya pada bulan hadapan. RR
Popular