Europe Ride 2019 "Touch & Go" (Bahagian 2)
Hari Keenam: Zagreb ke Venice (Venezia), Itali
Pagi ini semua berkumpul di bilik saya/Fuad untuk sarapan. Sebabnya... kami berdua dah dipanggil kedai runcit. Semua ada! Biskut empat segi, muruku, serunding, sos cili, nasi segera, tool, pump, tube dan macam-macam lagi. Kalah kedai mamak. Sambil suap makanan, kami berbincang perjalanan hari ini. Kami semua bersepakat untuk terus ke Venice. Jadi Slovenia kami lintas sahaja macam pergi Johor lalu Melaka tak singgah pun. Sempatlah ambil gambar signboard bila berhenti di R&R.
Oleh kerana perjalanan hari ni memang “Touch & Go” dengan melalui Ljubljana, kami sampai di Hotel Ambasciatori Venezia Mestre lebih kurang jam 3.00 petang. Selesai check-in, kami menaiki keretapi ke Venice. Fadil mengesyorkan makan restoran halal di Santa Lucia. Walaupun menapak agak jauh memang berbaloi sungguh. Pizza, spaghetti dan pasta memang terbaik.
Hari Ketujuh: Venice ke Ciuk, Stelvio National Park
Pagi ini sekali lagi motor Kapten Blanka menghadapi masalah bateri. Dengan pertolongan ''Pak Cik Parkir' yang juga menjadi orang perantaraan bahasa Itali dengan pemilik kedai, kami bergerak ke Emporio dela Batteria dan menjadi pelanggan pertama kedai bateri tersebut. Kerja menukar dilakukan oleh Atok SB (serba boleh) yang cukup berpengalaman.
Kami terus bergerak ke jalan A4 menyusuri pinggiran “Garda Lake” dalam suasana yang segar dan angin sepoi-sepoi bahasa. Ia adalah kawasan pelancongan dan dapatlah kami lihat pelbagai ragam manusia tidak kiralah mereka yang menunggang motosikal atau mat kereta. Perjalanan hari ini lebih santai dengan mengunjungi kawasan Tasik Garda dan kawasan tanah tinggi Trento. Tidak seperti sebelum ini yang hanya tumpu untuk sampai di destinasi sahaja, kami dapat jalan-jalan, makan-makan, makan-minum dan ambil gambar. Oleh kerana terlalu santai, kami tiba di hotel Baits Bormio, Ciuk pada jam 12.30 pagi dalam suasana yang sangat sejuk.
Hari Kelapan: Ciuk ke Munich, Jerman
Sarapan hari ini memang antara yang terbaik! Jemnya dibuat sendiri (home made) dan tak lupa juga madu yang dihasilkan dari ladang sendiri.
Apa pun, saat yang ditunggu-tunggu sudah tiba! Kami melalui Stelvio Pass yang merupakan syurga buat setiap pencinta motosikal. Permukaan jalan ada yang masih basah membuatkan semua penunggang lebih berhati-hati tetapi bila sampai sahaja di kawasan jalan sudah kering, memang masing-masing terus lupa diri.
Di wajah Atok SB dan Yie nampak seperti tak puas hati, maklumlah di Malaysia 'depa' berdua ni pakai superbike (Honda CBR dan Suzuki GSX R), di sini pula 'depa' naik berdua satu motor. Dato Arif dan Dato Abul suka menyakat depa berdua ni. Dalam senyap-senyap kami dapat berita depa dah ‘pi’ repeat ke sana .
Kami tiba di puncak Stelvio Pass (2,760m) dengan selamat. Perbagai jenis motosikal dari perbagai negara yang datang ke sini. Tuan Fuad menjadi 'duta' kami dengan sikap peramah dan mudah mesra serta raut wajahnya yang ada gaya orang Kazakhstan. Ramai overlander berbual sambil bertukar-tukar pengalaman dengannya. Lebih kurang sejam setengah kami berada di puncak. Dapatlah makan dan beli cenderamata untuk diri sendiri serta keluarga tercinta.
Kami turun dari puncak Stelvio Pass melalui Jalan 8 terus menuju ke Martina, Switzerland. Dari situ, kami masuk Austria dan langsung ke Hotel Dolomit, Munchen.
Hari Kesembilan: Tour de Munich
Hari ini 'rest day' masing-masing ambil kesempatan cuci baju. Oleh kerana peserta majoritinya pemilik tegar BMW tak sahlah kalau tak pergi melawat ke HQ BMW – dah sampai kan! Ibu Pejabat BMW ini dibina pada tahun 1968 dan siap pada tahun 1973. Setelah beberapa kali diubah suai, ia telah siap sepenuhnya pada tahun 2006. Keunikan ibu pejabat BMW ini tentulah daripada rekacipta bangunannya yang berbentuk empat silinder yang diilhamkan oleh Karl Schwanzer.
Dalam bahasa Jerman, BMW Tower ini dipanggil BMW Vierzylinder atau dalam bahasa inggerisnya dikenali dengan nama BMW four – cylinder. Di sini juga terdapat muzium dan BMW Welt yang merupakan ruang pameran motosikal, kereta, butik BMW.
Tiba-tiba, Kapten Blanka tengok jam di tangannya, baru pukul 4.00 petang. Kedai Louis Mega Shop Munchen masih buka. Kami semua bergerak ke sana, pakat borong sakan. Di sebelah malamnya kami ke Marienplatz, Marina Plaza & Old Town Hall. Semua gembira!
Hari Ke-10: Munchen – Vienna
Selamat tinggal Munich! Lain kali kami datang lagi dengan motor BMW sendiri, kata Dato Abul kepada kami semua sambil mengosok gosok belakang Yie. Keluar dari hotel kami terus meluncur ke lebuhraya West Autobahn E52 menuju ke Vienna. Pengguna lebuh raya di Austria wajib membeli Yellow Tag (tol) di R&R ataupun di stesen minyak.
Oleh kerana di Autobahn tiada had kelajuan maksima, saya ketinggalan di belakang. Kami berkumpul semula di R&R Bad Reichenhall - Sud. Memang kami rancang untuk sampai di Vienna awal kerana esok adalah sambutan Hari Raya Aidiladha. Pada awalnya, kami menempah sebuah pangsapuri tetapi disebabkan masalah parkir dan keselamatan motosikal, kami tukar ke Adagio Vienna City Aparthotel. Hotelnya cantik, motosikal pun terjamin dan dekat dengan masjid.
Malam raya kami pergi ke Masjid Al Hidayah dengan lengkap berbaju melayu dan bersampin. Sambil berjalan lebih kurang 800m, kami bertakbir raya (perlahan-lahan) diketuai Dato Abul sehingga sampai masjid. Solat di sini 8.30 pagi tetapi kalau nak awal, kena pergi Vienna Islamic Centre. Solat raya di sana mula jam 8.00 pagi.
Hari Ke-11: Vienna ke Budapest, Hungary
Di pagi raya yang syahdu itu, masing-masing buat WhatsApp Video Call keluarga di Malaysia. Kami juga antara yang terawal sampai di masjid dan dijemput untuk sama-sama menjamu juadah raya. Mungkin baju melayu yang dipakai berwarna-warni, kami menjadi perhatian mereka. Duta Fuad dapat rezeki makan buah buahan, roti dan manisan di pagi raya.
Selepas makan kami menyewa dua buah kereta uber ke Vienna Islamic Centre. Di sini lebih banyak dan perbagai juadah makanan dijual. Selesai bergambar kenangan, kami terpaksa membungkus nasi briyani sebab terlalu ramai sehinggakan tempat duduk pun penuh.
Sebelum bertolak ke Budapest kami membuat pemeriksaan motor dengan menegangkan rantai, tambah minyak enjin, spray rantai dan periksa semula kadar tekanan angin tayar. Perjalanan hari ni tak jauh. Kalau ikut 'Pak Cik Google', hanya sekitar 244 kilometer atau 2 jam 16 minit untuk sampai ke Budapest. Kami mengambil jalan E 58 menuju Bratislava, Slovakia dalam cuaca yang cukup panas, 37°. Kami tidak masuk bandar Bratislava sebaliknya menyusur ke arah Barat. Kami kemudiannya berhenti di Darvin Castle.
Darvin Castle merupakan salah satu kawasan pelancongan di Slovakia dan adalah simbol kebanggaan negara tersebut. Bangunan lama ini lengkap berkubu di zaman pemerintahan Empayar Rom dan berdiri megah di atas batu yang terletak di Kuala Danube dan Morava.
Kami tiba di Hotel Rila Budapest lebih kurang jam 6.00 petang. Lepas berehat dan menyegarkan diri, masing-masing melompat semula di atas motosikal untuk bersiar-siar di bandar Budapest sambil cari tempat untuk makan malam. Budapest adalah ibukota Hungary yang disenarai sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Bandarnya terbahagi dua iaitu Buda dan Pest dengan lokasi yang terletak di kiri kanan Sungai Danube.
Hari Ke-12: Budapest ke Cluj - Napoca, Romania.
Mengikut ramalan cuaca yang dipaparkan di TV News, hari ini cuacanya kering dan panas. Pergerakan lalu lintas hari ini cukup baik kerana tidak banyak kenderaan. Kami sampai di bandar kecil Oradea untuk makan tengahari tetapi sekali lagi masalah ketiadaan ruang parkir motosikal menyebabkan kami berpusing-pusing.
Kami berhenti berdekatan restoran kebetulan bertemu dengan seorang pemilik Honda CRF Rally yang menyuruh kami membeli ruang parkir kereta (dua petak) dan pamerkan tiket. Mamat CRF itu juga beriya-iya katakan makanan di restoran itu sedap terutamanya ikan salmon panggang. Perut dah diisi... “Kita relaks dulu. Cuaca pun panas sangat,” kata Fuad.
Hampir dua jam kemudian barulah kami dapat bergerak ke Cluj – Napoca dan dijangkakan akan tiba pada pukul 5.30 petang. Kapten Blanka, Fadil dan Yie jalan dulu sebab nak masuk hotel awal. Dengar cerita mereka dah sampai sebelum pukul lima! Kami berempat jalan seperti biasa... tenang dan santai. Tiba tiba Dato Abul bagi isyarat nak laju diekori pula oleh Dato Arif.
Apabila sampai di sebuah bandar kecil bernama Borod, saya nampak dari jauh Dato Arif dan Dato Abul ditahan Syerif (polis trafik). Apabila saya dan Fuad sampai kami berdua ditahannya juga. Yang ‘best tu, sebaik saja saya sampai, polis trafik tu terus minta lesen dan kemudian pasport. Dia juga terus saman saya seorang saja manakala yang lain tak disamannya. Katanya, saya laju! Apa boleh buat?
Mungkin ada hikmahnya. Jika saman Dato Arif, lebih panjang jadinya sebab Permit Memandu Antarabangasanya tertinggal di kedai motor sewa. Tak apalah. Kami sampai di Hotel Transilvania pada pukul 6.15 petang. Malam tu saya jadi bahan gurauan mereka sebabnya dikalangan peserta, saya adalah penunggang yang paling perlahan tapi kali ini kena saman laju.
Hari Ke-13: Cluj - Napoca ke Transfagarasan
Sambil menikmati makanan, saya tanyakan pada kakitangan restoran berkenaan bayaran saman. Di mana tempatnya? Mujurlah ianya terletak lebih kurang dua kilometer sahaja. Saya dan Dato Abul terus bergegas tetapi pejabat perbandaran bukanlah pejabat Syerif. Saya masuk dan terus bertanya. Layanan yang diberi memang ‘A’, siap bagi location pejabat Syerif. Saya kena maju lagi tiga kilometer.
Sebaik saja sampai, saya disambut dengan senyuman tetapi terpaksa membayar saman sebanyak 150 Romania Leu atau lebih kurang RM150.00. Selesai 'acara tambahan' - bayar saman dan kami meneruskan perjalanan ke Transfagarasan dan bermalam di sana.
Hari Ke-14: Transfagarasan ke Bucharest
Kami meninggalkan Transfagarasan dengan menikmati jalan-jalan puncak gunung yang amat cantik. Dari segi kualiti, jalannya lebih baik dari Stelvio Pass. Ada macam-macam jenis selekoh yang sesuai untuk semua jenis penunggang nikmati laluan berliku. Di Stelvio Pass agak susah sikit untuk penunggang yang belum mahir kerana banyak selekoh jenis hair pin.
Lebih kurang 1.30 petang, kami sudah mula turun dari puncak menuju ke Bucharest dan tiba di Bucharest City Centre lima jam berikutnya. Lepas menunaikan kewajipan, pakai bedak... sembur minyak wangi, kami pun bertolak ke tempat sewa motor untuk memulangkannya.
Hari Ke-15: Bucharest
Kami ambil peluang untuk bersiar-siar sekitar Bucharest dengan menggunakan perkhidmatan Uber. Oleh kerana ianya hari cuti umum, nasib kami agak kurang baik kerana banyak kedai tutup termasuklah pusat pameran Harley Davidson dan BMW.
Kawasan Old Town memang menyeronokkan kerana ia tenang dan cukup cantik. Pada lewat petang kami ke Park King Michael 1, untuk membeli-belah di Hard Rock Cafe Bucharest. Ini juga masanya untuk mengabadikan segala pengalaman dan memori kami bersama sepanjang berada di Eropah.
Hari Ke-16: Bucharest – Malaysia
Selamat tinggal Eropah, anda berikan kami 1001 pengalaman yang tidak dapat kami lupakan. Keindahan alamnya... keramahan warganya... keunikan budayanya… keanggunan kotanya dan kemegahan tamadunnya memang amat mengagumkan! Kami meninggalkan Budapest menggunakan pesawat Qatar Airlines menuju ke Doha dan akhirnya sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi pada jam 8.00 pagi seterusnya tiba di rumah masing-masing di sebelah petang. RR
- Jamil RR009
Popular