Single Handed Biker Mengembara ke 1000 Selekoh
Pengembaraan kali ini memang cukup istimewa. Ia adalah cabaran menunggang motosikal yang berjaya diraih oleh seorang OKU iaitu Mohd Yusnizal Bin Mohd Yussof, dengan menunggang sebuah Yamaha 135LC. Beliau berumur 43 tahun dan kudung di tangan kirinya telah berjaya menempatkan nama sebagai pemilik rekod Malaysia ‘The Fastest Single Handed Biker To Complete Thailand’s 1000 Corner Route’.
Kembara bermotosikal ini bermula pada 12 Disember 2018 lalu dan majlis perlepasan telah disempurnakan oleh exco Kerajaan Negeri Perak di Pejabat SUK, Ipoh. Kembara selama 14 hari ini memang sangat mencabar bagi Yusnizal, juga lebih dikenali sebagai Sony oleh keluarga dan rakan-rakan terdekat. Untuk melancarkan perjalanan, pengembaraan penuh cabaran ini ditemani oleh sahabat baiknya, Sdr Mohd Azni Mohd Nasir, seorang jurugambar, dua orang kenalan lain dan trak sokongan.
Pada tiga hari pertama, Sony menunggang jenteranya di dalam hujan lebat bermula di Pulau Pinang menuju ke sempadan Thailand, ke Suratthani dan kemudian ke Hua Hin. Sewaktu di Chumpon, Sony melalui kawasan yang dilanda banjir dan ketika inilah dia mengalami kemalangan kecil. Jentera tunggangannya hilang kawalan sewaktu meredah arus deras tersebut. Akibat insiden itu, Sony telah mengalami bengkak di kaki kiri manakala brek belakang motosikal pula rosak/jem.
Setiap hari jarak perjalanan yang perlu ditempuhi adalah lebih kurang 500 kilometer bagi mencapai sasaran untuk tiba pada tempoh masa yang ditetapkan. Kemantapan jentera Yamaha 135LC dan Yamaha NVX (yang ditunggang Azni) dapat dilakukan dengan lancar sekali. Walaupun begitu, ada masanya Sony mengalami kebas tangan dan memaksanya berhenti rehat seketika bagi mengembalikan tenaga.
Jadual pengembaraan penuh cabaran ini adalah seperti berikut. 12 Disember 2018 (Rabu): Majlis Perlepasan 13 Disember: Jitra – Dannok - Suratthani 14 Disember: Suratthani - Prachuap - Hua Hin 15 Disember: Hua Hin – Kanchanaburi 16 Disember: Kanchanaburi – Mae Sot 17 Disember: Mae Sot – Mae Hong Son (MHS) melawat Tourism Thailand dan makan malam bersama TAT. 18 Disember: MHS – Bermalam/Berehat 19 Disember: MHS – Pai 20 Disember: Pai – Chiang Mai 21 Disember: Chiang Mai – Kamphaeng Phet 22 Disember: Kamphaeng Phet - Bangkok 23 Disember: Bangkok - Suratthani melawat Kedutaan Malaysia dan menikmati jamuan istimewa di pejabat kedutaan. 24 Disember: Suratthani – Pulau Pinang 25 Disember: Pulau Pinang - Kuala Lumpur
'Cabaran sebenar' bermula pada hari keenam. Perjalanan dari Mae Sot menuju ke Mae Hong Son cukup sukar kerana jalannya amat berliku dengan selekoh-selekoh yang tajam dan laluan mendaki di kawasan berbukit bukau. Namun pemandangan kawasan sekitar yang amat cantik dan segar benar-benar menenangkan jiwa. Sony tidak melepaskan peluang mengambil gambar sebagai kenang-kenangan.
Perjalanan tinggal hanya 26 kilometer sahaja lagi menuju Mae Hong Son. Perjalanan terhenti kerana Sony telah mengalami kemalangan yang agak serius. Tayar hadapan motosikalnya termasuk ke dalam lubang lalu menyebabkan dia terbabas ke jalan bertentangan sehingga melanggar besi penghadang jalan.
Sony mengalami luka yang agak besar di lutut kiri menyebabkan berlakunya pendarahan yang banyak. Tiada pilihan lain... Sony terpaksa juga meneruskan perjalanan ke Mae Hong Son di dalam kesakitan tetapi mujurlah Azni dak rakan-rakan lain ada menemaninya di sepanjang perjalanan. S o n y menunggang terus ke Hospital Mae Hong Son untuk mendapatkan rawatan. Pemeriksaan rapi telah dijalankan dan mendapati tulang selangkanya telah retak. Di sebelah malamnya, Sony dan kumpulan Kembara 1000 Selekoh telah menghadiri majlis makan malam bersama ‘Tourism Authority Of Thailand’ di sebuah restoran yang terkenal di sana.
Sony terpaksa berehat satu hari di Mae Hong Son untuk pemulihan dan juga membaiki kerosakan pada motosikalnya di sebuah bengkel. Ekzos, pemijak brek dan tempat letak kaki telah dibaikpulih agar dapat meneruskan perjalanan mencipta rekod Malaysia pada keesokan harinya.
Pada 19 Disember, Sony mengerahkan khudratnya untuk mencipta rekod bagi perjalanan sejauh 110 kilometer menuju daerah Pai. Sony menunggang dengan penuh semangat walaupun dalam keadaan dirinya yang cedera. Cabaran bertambah sukar apabila suhu mula menurun dan semakin dingin ketika melalui kawasan pergunungan. Laluan berselekoh di kawasan pergunungan memang cukup menarik tetapi agak sukar dan mencabar.
Ada ketika yang Sony perlu membrek sehingga hampir duduk di atas bakul motosikalnya, begitu sukar mengawal motosikal dengan hanya menggunakan sebelah tangan. Lenguh, kesakitan pada lutut dan bahu sudah terasa, namun misi perlu diteruskan. Semangat Sony terus membara dan tidak pernah sesekali berputus asa.
Setelah menunggang kira-kira enam jam termasuk berhenti rehat, mengisi minyak dan bergambar di Taman Negara Pang Mapha, Sony tiba di Pai pada jam 3.00 petang. Beliau singgah di Pejabat Imigresen Pai bagi mendapatkan cop dan tandatangan pegawai di sana sebagai bahan bukti bagi melayakkan dirinya mencipta rekod Malaysia Book Of Records. Sony juga telah singgah di Hospital Pai untuk mencuci luka dan mengganti balutan yang baru.
Pada hari berikutnya, misi diteruskan lagi dengan menunggang sejauh 140 kilometer menuju ke Chiang Mai. Perjalanan pada hari ini mengambil masa selama lima jam setengah. Selekoh-selekoh tajam amat membuatkan Sony dan rakan-rakan penunggang yang lain cukup seronok dan teruja sehinggalah sampai ke Chiang Mai pada jam 4.00 petang.
Apa yang menariknya tentang jalan di Thailand adalah penyelenggaraannya amat baik walaupun kebanyakannya dibina tanpa tol. Ini seringkali membuatkan para penunggang motosikal ‘lupa diri’ seketika dan merasakan dirinya seperti penunggang Moto GP ‘Valentino Rossi’ mahupun ‘Hafizh Syahrin’ dan mengambil selekoh dengan kelajuan tinggi.
Sony singgah di Tourism Authority Of Thailand (TAT) Chiang Mai bagi mendapatkan cop dan tandatangan pegawai sekali lagi sebagai bukti. Dengan kejayaan meletakkan tapak kakinya di Chiang Mai, misi Sony untuk mencipta rekod Malaysia telah mencapai kejayaan. Tahniah dan segala penat lelah dan keperitan dirasakan berbaloi. Namun begitu, perjalanan masih jauh... jentera Yamaha 135LC miliknya kembali bergerak dan kali ini menuju ke Kamphaeng Phet yang sejauh 360 kilometer. Sony bermalam dan berehat di sini untuk kembalikan tenaga sebelum menyambung perjalanan ke Bangkok pada keesokan harinya.
Pada 23 Disember, mereka melawat kedutaan besar Malaysia di Bangkok dan berkesempatan untuk menghadiri majlis makan tengahari bersama Timbalan Menteri YB Hanipa Maidin. Selesai majlis tersebut, perjalanan pulang diteruskan sehingga ke Surat Thani kemudiannya ke sempadan Bukit Kayu Hitam.
Semua proses imigresen dan kastam selesai dengan baik. Syukur... sememangnya perasaan lega dan puas menyelubungi Sony dan rakan-rakan apabila memasuki tanahair tercinta. Mereka bermalam di Pulau Pinang pada 25 Disember sebelum menyambung perjalanan akhir ke Kuala Lumpur yang mengambil masa kira-kira enam jam.
Pengembaraan penuh cabaran dan kecekalan berakhir di Kuala Lumpur pada jam 5.00 petang. Apa yang menjadi impian telahpun dilaksana dan wajar beliau banggakan sampai bila-bila. RR
Popular