Isu Terkini

Julai 2024

Kembara / 21 April 2021

Kembara Solo Malaysia Bersama Benelli TRK502

Tahniah buat pencinta dunia pengembaraan motosikal, Chris atau nama sebenarnya, Harprit Singh yang telah berjaya mengembara ke seluruh Malaysia dalam dua pengembaraan terbarunya iaitu Jelajah Malaysia (Semenanjung & Borneo). Pengembaraan penuh cabaran ini telah membawanya ke 13 buah negeri dan lebih 50 buah bandar di seluruh Malaysia.

Bak kata pepatah Melayu, “Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Lebih baik di negeri sendiri.”

Walaupun beliau pernah menunggang dari Kuala Lumpur sehingga ke sempadan China dengan menunggang sebuah skuter tetapi bagi Chris, negara sendiri adalah tempat terbaik untuk dijelajahi. “Bagi sesetengah penunggang, ada yang bermotor semata-mata untuk menambah jumlah kilometer pada meter motosikal masing-masing tetapi saya cukup gembira kerana mengambil masa yang lama untuk melihat dan meneroka Malaysia yang memiliki banyak tempat yang cukup asli serta cantik.”

Jelajah Malaysia (edisi Semenanjung) bermula dari Kuala Lumpur pada 13hb sehingga 19hb Januari 2018. Beberapa tempat menarik direntasinya pada hari pertama seperti Port Dickson, Melaka, Parit Jawa, Muar, Batu Pahat, Pontian Kecil hinggalah ke Kukup iaitu titik paling selatan di tanah Asia.

Walaupun perjalanan pada awalnya hanya 494 kilometer sahaja, faktor cuaca adalah penyebab utama perjalanan mengambil masa kira-kira 10 jam untuk ditamatkan. Selepas berehat, Chris menyambung perjalanan pada hari kedua menuju ke Pantai Timur. Pemandangan di sepanjang Jalan 99 dan AH18 sangat indah dan memberikan bukan sahaja kenangan indah tetapi juga tenaga untuk terus memerah pendikit.

Pengembaraan hari ketiga bermula di Kuantan menuju ke Kota Bharu. Cuaca baik dan untuk melihat dengan lebih dekat suasana luar bandar serta cara hidup masyarakat dengan lebih dekat, Chris menggunakan jalan lama dan jalan kampung. Menunggang dengan jentera yang selesa di sebuah destinasi yang mendamaikan menjadikan hari berlalu begitu pantas. Chris berjaya merentasi Kemasik, Kerteh, Paka, Kuala Terengganu, Setiu, Tok Bali dan berakhir di Kota Bharu dengan jarak perjalanan sejauh 419km.

Menurut Chris, perjalanan hari keempat dan kelima agak mencabar kerana laluan berliku. Dengan pengalaman yang luas dan kemantapan jentera Benelli TRK502, perjalanan dari Kelantan ke Bukit Kayu Hitam diselesaikan dengan selamat. Dia juga berkesempatan menikmati udara yang cukup nyaman ketika merentasi Banjaran Titiwangsa.

Dari Changlun, perjalanan diteruskan pada keesokan hari merentasi Padang Besar, Wang Kelian, Kaki Bukit, Kuala Perlis sebelum masuk ke Langkawi, mendaki Gunung Raya dan tamat di Pantai Chenang. Lautan dan langit yang membiru indah di pulau Langkawi membuktikan Malaysia sentiasa menjadi pilihan para pelancong dari dalam dan luar negara untuk menikmati flora dan fauna.

Langkawi – Kuala Perlis – Ayer Hitam – Penaga – Kuala Muda – Bukit Mertajam dan Georgetown, itulah destinasi persinggahan Chris pada hari keenamnya. Dia berkesempatan untuk singgah mengambil gambar dan mengenang kembali sejarah hitam dunia di Tsunami Village. Setibanya di Pulau Pinang, Chris menuju ke Love Lane untuk merasai “Night Life” dan menikmati pelbagai jenis makanan popular di Pulau Pinang.

Perjalanan hari terakhir agak mudah tetapi tumpuan sentiasa berada di tahap tertinggi. Jarak pulang ke Kuala Lumpur hanya sejauh 483 kilometer dan Chris cukup gembira kerana jentera TRK502 terus cemerlang dan tidak menghadapi sebarang masalah sepanjang pengembaraannya kali ini. Dengan isian penuh tangki yang bersaiz 20 liter, TRK mampu mengembara sejauh 300-350 kilometer dan tayar-tayar Pirelli yang disepadankan pada jentera ini membantu perjalanan lebih meyakinkan walaupun kadang kalanya terpaksa melalui laluan-laluan yang sukar.

Selepas berjaya dengan Jelajah Malaysia pertamanya, Chris menyambung pengembaraan ke Borneo pada awal Jun lalu. Bermula di Kuching, Chris menuju ke Sibu dengan merentasi Lebuhraya Pan Borneo (masih belum siap sepenuhnya) ke Tasik Batang Ai, Lubuk Antu dan Betong dalam keadaan cuaca yang tidak menyebelahinya. Walaupun hujan di sepanjang perjalanan, pemandangan cantik di Lubuk Antu dan Tasik Batang Ai yang memukau dan menceriakan hari keduanya di tanah Borneo.

“Semasa bergerak dari Kuching masih ada 1/4 tangki lagi dan menurut rancangan asal, saya perlu mengisi petrol di pekan Lubuk Antu tetapi masalah timbul kerana stesen petrol tersebut tidak beroperasi. Menurut orang tempatan, bekalan bahan api telah habis. Memang risau kerana bandar seterusnya terletak kira-kira 80 kilometer dan lampu amaran petrol telah berkelip-kelip.”

Untuk jimatkan pembakaran, Chris menunggang dalam lingkungan 30-40km/j sahaja dan hari juga semakin gelap. Paling ditakutinya ialah ketika 'tersangkut' keseorangan di tengah-tengah lebuhraya Pan Borneo di waktu malam hari. Mujurlah Benelli TRK 502 dapat tiba ke destinasi dengan selamat dan ini membuktikan betapa jimatnya penggunaan bahan api jentera ini.

“Saya sarankan kepada rakan-rakan motosikal untuk cuba elakkan daripada mengguna lebuhraya Pan Borneo pada lewat petang kerana banyak pembinaan sedang dilakukan dan mungkin terdapat banyak batu dan sisa-sisa pembinaan yang berbahaya,” terangkan Chris.

Ketika dalam perjalanannya pada hari ketiga dan keempat, Chris berkesempatan bertemu dengan rakan-rakan dari Bintulu Bikers iaitu En. Zai dan En. Naza yang berkongsi kisah pengalaman mengembara bermotosikal di Borneo. Chris juga menjadikan pengembaraan lebih berkualiti dan penuh aktiviti dengan jungle trekking, memasuki gua di Gua Niah serta keindahan pantai Tusan yang cukup luar biasa.

Dalam tempoh lebih kurang seminggu, Chris telah mengharungi jarak perjalanan sejauh kira-kira 2,600 kilometer. Dari Miri, TRK 502nya dibawa ke Bandar Sri Begawan dan kemudian ke Sipitang. Cuaca yang tidak menentu menjadikan perjalanannya lebih mencabar dan ini adalah masa yang menjadikan seseorang penunggang itu lebih matang dan berpengalaman. Chris juga sempat meluangkan masa di kawasan perkhemahan dan menikmati pemandangan alam semula jadi yang cukup indah ketika dalam perjalanannya dari Kundasang ke Ranau. Marak – Parak merupakan perjalanan yang paling dia sukai.

“Saya berkhemah di tepian sungai mengadap Gunung Kinabalu dan pemandangannya memang sangat menakjubkan. Bagi saya, itulah tempat paling cantik pernah saya lihat dalam pengembaraan kali ini.”

Untuk kekal cergas dan tidak mengantuk sepanjang perjalanan, Chris memastikan dia tidak makan dengan banyak terutamanya nasi. Dia juga akan berehat (tidur) sekurang-kurangnya enam jam setiap hari. Dalam perjalanan, dia hanya akan mengisi perut dengan memakan coklat, pisang, minum air mineral dengan banyak dan sesekali minum air bertenaga. Chris juga akan cuba memastikan tempat penginapannya selamat untuk meletakkan motosikal sekurang-kurang ada petugas yang mengawasinya.

Sistem saspensi Benelli TRK502 diuji ketika menunggang sejauh 40 kilometer dari Golong ke Paitan yang berkeadaan agak teruk dan mencabar. Soket USB juga terkeluar dari soketnya kerana getaran yang kuat – jalan di kawasan tersebut banyak berlubang. Untuk memudahkan pengendalian di laluan sukar sebegini, Chris telah mengurangkan tekanan tayar agar lebih cengkaman.

Ketika di Sandakan, dia telah melawat Pusat Rehabilitasi Orang Utan Sepilok serta Gereja Batu yang tertua di Sabah. Chris diuji sekali lagi apabila dia tertinggal dompetnya di sebuah kedai makan ketika di Semporna dan apabila berpatah balik, dia dapati dompetnya telah diambil orang. Mujurlah duit, kad pengenalan, lesen dan barang penting lain telah diasingkan ke dalam beg lain.

Sibuan Island, Mantabuan dan Bohey Dulang menjadi destinasi hentian wajib bagi Chris kerana pantai dan lautnya sangat-sangat bersih, cantik dan jernih. Sudah pasti Chris menghabiskan masa di sini dengan aktiviti snorkeling dan bergambar. Kehadirannya juga telah disambut oleh para bikers dari Tawau bersama-sama Iron Lady of Borneo.

Pada hari ke-12 (Keningau – Tenom – Papar – Kota Kinabalu) Chris dan TRK 502nya sekali lagi terpaksa mengharungi jalan-jalan yang cukup mencabar sehinggakan dia hilang kawalan. Mujurlah tiada yang serius berlaku, TRKnya hanya calar. Antara destinasi yang dilawatinya selepas itu ialah sebuah tempat yang terkenal dengan panggilan The Lost World of Sabah iaitu Maliau Basin. Tempat ini telah diwartakan sebagai Hutan Simpan Kelas Satu yang dilindungi – menyimpan khazanah alam yang berusia jutaan tahun lamanya. Bagi pencinta alam, ia adalah 'syurga' dunia yang perlu dipertahankan keasliannya agar dapat dihargai dan dinikmati oleh generasi akan datang.

Perjalanan dari Kota Kinabalu ke Tambunan tidak memberikan masalah buat jentera Benellinya. Ketika di Tambunan pada hari terakhirnya, beberapa jalan terpaksa ditutup akibat banjir. Ini memaksanya untuk mencari laluan alternatif supaya selamat tiba di Tambunan. Dalam perjalanan itu, sempat juga dia singgah di Air Terjun Mahua dan ia adalah satu lokasi yang jarang dikunjungi para pelancong. Air terjun ini setinggi 17 meter manakala lokasinya yang agak berjauhan dari kota menawarkan suasana mendamaikan.

Terdapat satu lagi tumpuan pelancong di daerah Tambunan ini iaitu Menara Sinurambi. 'Sinurambi' dalam bahasa Dusun bermaksud tinjau dan menurut Chris, jalan ke menara ini agak licin (offroad) jika di hari hujan dan dia menasihatkan para penunggang motosikal untuk berkunjung ke Menara Sinurambi jika cuacanya baik. Pengembaraan Chris di Borneo lebih bermakna kerana dia sempat meraikan Pesta Kaamatan yang merupakan acara khas untuk menghormati 'Bambazon' iaitu semangat padi. Pesta Kaamatan biasanya disambut selepas selesai menuai padi.

Bagi Chris yang menyintai alam semula jadi, pengalaman menunggang di Sabah dan Sarawak adalah yang terbaik. Seratus kilometer perjalanan di Borneo tidak sama dengan 100 kilometer di Semenanjung. Jalannnya yang pelbagai keadaan serta bilangan kenderaan berat yang banyak menjadikan pengembaraan cukup mencabar dan itulah yang disukai oleh Chris.

“Tiada apa yang hendak saya minta kerana segala sempurna. Keindahan pantai yang biru dan putih, air terjun yang tinggi dan segar, pemandangan memukau, gua-gua yang mengagumkan, masyarakat yang sangat peramah, makanan yang sedap dan perjalanan yang cukup mencabar. Banyak tempat yang saya lawati hampir tiada pelancong luar dan jika anda pengembara seperti saya, anda akan sentiasa menghargai Borneo dan negara kita ini,” kata Chris.

Info: Pantai Tusan terkenal dengan bongkah batu menyerupai bentuk kuda serta fenomena ‘Blue Tears’ atau air mata biru yang menjadikan tarikan pelancong ke pantai tersebut pada bulan September hingga Disember. Fenomena ‘Blue Tears’ atau ‘bio-luminescence’ ini ialah kelihatan cahaya berwarna biru yang berkilau-kilauan dan terhasil akibat interaksi di antara plakton dan oksigen yang terdapat di dalamair laut – macam lampu neon. RR

Isu Pada

Oktober 2018

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

Kembara Sampai ke Boten

Ride Sri Lanka - Berbelit Jalan Serta Lidah Nak Menyebutnya...

Kuching, Sarawak, Malaysia - Pontianak, Indonesia: 1000km Loop (Bahagian Akhir)

Kuching Sarawak Malaysia - Pontianak Indonesia: 1000km Loop (Bahagian 1)

Sabah 360 Ride 1,800KM Loop (Bahagian II)

Ride Berdua ke Siam

Sabah 360 Ride 1,800km Loop (Bahagian 1)

Ride Ihya Ramadhan TM Bikers Ke Gua Musang, Kelantan

Disyorkan untuk anda
Model Baru

Ducati Panigale V4 2025 Kini Di Malaysia - Harga Asas RM182,900

Ducati Malaysia telah melancarkan Panigale V4 generasi terbaru sempena dengan perasmian pembukaan Ducati Sungai Buloh.

Warta Roda

Operasi Khas Motosikal Besar-Besaran Bermula....

Operasi Khas Motosikal akan dijalankan secara besar-besaran bermula 1 November hingga 31 Disember di seluruh negara susulan peningkatan kadar kemalangan yang direkodkan pada tahun ini.

Model Baru

CFMOTO 675SR-R Dilancarkan Pada Harga Asas RM37,888

Bersempena dengan majlis perasmian CFMOTO Flagship Store Sendayan Motor, Mforce Bike Holdings Sdn Bhd telah melancarkan model sport terbaru iaitu CFMOTO 675SR-R.

Warta Roda

Kemalangan Maut Motosikal Akibat Langgar Kerbau

Perjalanan seorang pengawal keselamatan ke tempat kerja bertukar tragedi apabila motosikal ditungganginya terlanggar seekor kerbau.