Isu Terkini

Julai 2024

Kembara / 16 September 2018

Journey of 100,000 Smile Bersama Alex & Allyson - Bahagian Akhir

Selepas segalanya selamat, Alex kini telah memiliki dokumen perjalanan yang sah untuk 60 hari dan perjalanan diteruskan ke Ecuador dan destinasi utama yang dilawati ialah ke titik tertinggi di dunia iaitu Chimborazo dan kemudiannya ke pulau antara yang terkenal di dunia iaitu Pulau Galapagos. Pulau Galapagos terkenal dengan evolusi spesis binatang. Menurut Alex, binatang-binatang di sini juga sudah biasa dengan manusia menyebabkan mereka tidak takut dan tidak lari.

Perjalanan menuju ke Chimbarazo.
Perjalanan menuju ke Chimbarazo.

“Apa yang paling unik mengenai Ecuador ialah muka buminya yang sangat hebat. Saya melalui laluan tepi Lautan Pasifik yang membawa kepada pendakian selama dua jam untuk tiba di puncak pergunungan yang cukup sejuk. Dari situ, perjalanan diteruskan kembali (turun ke bawah) dan selepas dua jam perjalanan, kami berdua tiba di kawasan yang dikelilingi hutan amazon yang serba hijau pula. Dalam empat ke lima jam perjalanan sudah dapat melihat dan menikmati tiga jenis mukabumi berserta kehidupannya yang sangat berbeza. Dalam satu perspektif, Ecuador boleh dikatakan sebuah negara yang mempunyai mukabumi sempurna. Banyak tempat di Ecuador yang pada logik akalnya bersifat panas tetapi disebabkan ketinggian mukabuminya, tempat-tempat tersebut menjadi dingin dan segar.”

Bersiap sedia ke Cuenca.
Bersiap sedia ke Cuenca.

Bersama dengan ahli kelab Latin America Motorcycle Association (LAMA).

Alex dan Allyson berada di Equador lebih daripada sebulan – sempat untuk menghadiri Bike Week di Cuenca dan berkenalan dengan ahli-ahli kelab Latin America Motorcycle Association (LAMA). LAMA merupakan antara kelab motosikal yang paling besar di dunia dengan keahlian terdiri daripada para pemilik motosikal dari Amerika hingga ke Chile. Di sinilah Alex berkenalan dengan seorang pengusaha hotel yang cukup berjaya di Peru, Mr. Byron dan kedua-dua mereka terus menjadi kawan.

“Dari Ecuador, kami meneruskan perjalanan ke Peru untuk mengambil passport saya. Untuk ke sana, kami agak teruja kerana dapat melintasi garisan khatulistiwa (equator) yang pastinya memberikan pengalaman yang cukup menakjubkan. Perjalanan dari Ecuador memberikan kami pengalaman menunggang di dalam kawasan hutan penuh kehijauan. Tidak lama kemudian, kehijauan mulai berkurangan dan digantikan dengan tanah tandus yang akhirnya membawa kami ke kawasan gurun pasir yang ketika itu sudah tiba di sempadan.”

Gelagat kanak-kanak yang ingin bergambar.
Gelagat kanak-kanak yang ingin bergambar.
Begitu banyak Llama di Peru.
Begitu banyak Llama di Peru.

Ketika di Peru, kedua-dua pasangan ini turut dapat melihat fenomena pertembungan dua arus di antara Lautan Antartika (Humbolt Current) yang sangat sejuk dengan Arus Panama yang panas dan ini menyebabkan kawasan tersebut berwap dalam skala yang cukup besar. Penduduk di kawasan pantai tersebut juga masih menggunakan Reed Boat yang diperbuat daripada pokok akuatik yang kalis air. Read Boat ini telah digunakan sejak ribuan tahun yang lalu.

“Kami bertemu kembali dengan Mr. Byron, pemilik tiga buah hotel di sana dan dia menjemput kami untuk bermalam di hotelnya yang terletak di Mancora. Bandar Mancora terkenal sebagai pantai pilihan para pencinta sukan luncur air. Kami juga dapat singgah dan melihat tempat berkumpul dan pemeliharaan penyu yang terletak kira-kira 30 kilometer dari Mancora.”

Reed Boat digunakan sejak ribuan tahun lalu.
Reed Boat digunakan sejak ribuan tahun lalu.
Garisan Nazca yang mempunyai bentuk labah-labah & monyet di atas permukaan tanah yang sangat luas.
Garisan Nazca yang mempunyai bentuk labah-labah & monyet di atas permukaan tanah yang sangat luas.

Peru juga terkenal sebagai negara yang menyimpan dan memelihara khazanah purba yang berusia lebih daripada 2,000 tahun. Antara tapak warisan lama yang dilawati oleh pasangan lasak ini ialah di Chan Chan dan Garisan Nazca. “Memang menakjubkan melihat garisan-garisan berbentuk labahlabah dan monyet di permukaan tanah pada skala yang sangat besar. Sukar untuk memahami kenapa dan bagaimana ia dapat dilakukan 2,000 tahun yang lalu.”

“Antara lokasi popular di Peru ialah Machu Picchu tetapi saya tidak ke sana kerana ia terlalu dikomersialkan dan kini orang terlalu ramai ke sana. Pada masa yang sama, cuaca juga tidak mengizinkan. Saya tak sanggup berasak-asak dengan kira-kira seribu pelancong lain. Pembinaan Machu Picchu sememangnya hebat tetapi apabila difikirkan semula, saya telah pun melihat dari dekat beberapa struktur pembinaan tamadun masyarakat Inca sebelum ini. Saya membuat keputusan untuk bergerak ke Cusco yang juga menawarkan pemandangan tamadun Inca yang cukup mengagumkan.”

Keselesaan jentera BMW R 1200 GS membolehkan mereka terus bergerak menuju ke negara seterusnya iaitu Brazil yang mengambil masa kira-kira dua hari perjalanan. Dari sebuah negara yang tinggi dan sejuk, Alex kini berada di sebuah negara tropika. Bahasa perantaraan di Brazil ialah Portugis manakala kualiti permukaan jalan juga tidaklah begitu baik dan untuk melancarkan perjalanannya, Alex membuat sedikit 'homework' melalui pengembara motosikal, Jeffrey Ponalja agar perjalanannya di Brazil lebih lancar.

Air terjun Foz de Iguacu.
Air terjun Foz de Iguacu.
Hammock yang digantung oleh para penumpang feri.
Hammock yang digantung oleh para penumpang feri.

Untuk ke bandar seterusnya, Alex perlu menaiki feri di Sungai Amazon dengan bayaran sekitar RM1,200 untuk bilik berhawa dingin dan ruang parkir motosikal. Perjalanan di dalam sungai Amazon ini agak lama dan Alex memerlukan tempat rehat yang cukup selesa. Bagi orang tempatan, mereka boleh tidur di dalam hammock (perlu dibawa sendiri) dan menurut Alex, memang kebanyakan penumpang berbuat demikian.

“Perjalanan pertama ialah dari Porto Velho ke Manaus yang sejauh tiga hari perjalanan dan kemudiannya disambung dari Manaus ke Belem yang mengambil masa empat hari. Apa yang menarik dalam perjalanan ini ialah di pertembungan dua buah sungai iaitu Sungai Amazon dan Sungai Rio Negro yang kedua-dua memiliki warna dan sebatian air yang berbeza. Sungai Amazon berwarna coklat cerah (tanah) manakala Sungai Rio Negro berwarna biru hitam (akar-akar pokok).

Manaus merupakan sebuah bandar yang berdekatan dengan sungai – kebanyakan penduduk di bandar tersebut bekerja sebagai nelayan. Ikan-ikan di sana sangat murah, ikan patin yang sebesar dua hasta hanya RM12. Selain itu, terdapat banyak ikan-ikan esotik seperti piranha dan arowana turut dijual.

Di negara inilah Alex terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan pengembaraannya terhenti untuk jangka masa yang agak lama. “Saya ingin ke sebuah pusat pelancongan pantai yang terkenal iaitu Jijoca. Selepas menunggang kira-kira 10 hingga 11 jam, saya sudah penat dan ingin benar mendapatkan hotel untuk bermalam. Oleh kerana bandar ini berdekatan pantai, banyak jalannya ditutupi dengan pasir dan agak menyukarkan penglihatan dan pergerakan manakala hari juga sudah petang.

Ikan-ikan di Manaus sangat murah!
Ikan-ikan di Manaus sangat murah!

”Selepas satu simpang, jalan semakin sukar kerana sudah ditutupi pasir. Allyson sempat menasihati agak berhenti kerana keadaan agak sukar tetapi Alex tetap mahu ke hadapan kerana ingin cepat ke hotel. Pada masa yang sama, terdapat sebuah kereta yang datang dari hadapan. Tidak lama kemudian keadaan semakin gelap dan Alex perlu cepat keluar daripada jalan berpasir itu. “Ketika kaki masih cuba mengawal keseimbangan jentera, saya memulas pendikit dan BMW saya terus berpusing, menyentap sekali kaki dan terus terbalik.”

Kereta di hadapannya terus berhenti dan memberikan bantuan. Alex tidak dapat berdiri kerana buku lalinya telah retak dan terpaksa dibawa ke hospital secepat mungkin. Nasib baik salah seorang daripada penumpang kereta tersebut boleh menunggang BMW maka dapatlah membawa Allyson untuk turut sama ke hospital.

Hospital sejauh 100 kilometer dan selepas mengharungi perjalanan yang cukup menyeksakan, Alex tetap tidak dapat diberi pemeriksaan dengan baik kerana kekurangan alat perubatan.

Pelbagai jenis cili terdapat di Brazil.
Pelbagai jenis cili terdapat di Brazil.

Ini menyebabkan dia terpaksa dibawa ke hospital lebih besar yang terletak 150 kilometer jauhnya. “Di hospital besar itu barulah saya dapat melakukan pemeriksaan x-ray dan terus menghubungi rakan saya di Ipoh untuk mendapatkan pandangan dan nasihat. Aduhai...saya perlu dibedah tetapi terpaksa menunggu kira-kira seminggu untuk bertemu dengan pakar.”

Kenalan Alex di Guatemala datang melawatnya dan menolong membawa pulang GSnya ke hotel. Lega hati Alex ketika itu, satu perkara selesai. Pada masa yang sama, berita kemalangan tersebut telah tural (viral) di dalam FB bikers di Brazil terutamanya di bandar Sobral dan serta merta beberapa ahli daripada Brazil Bikers datang untuk memberi bantuan.

“Pada hari pembedahan, terdapat empat ahli Sobral Bikers datang untuk memberi bantuan dan sanggup menunggu dari jam 11.00 pagi hingga 7.00 malam. Saya diminta untuk membayar kos pembedahan secara tunai sebelum ianya dilakukan. Harganya kira-kira RM8,000 dan pihak hospital mengatakan untuk persiapan, saya ada tiga hari (sehari untuk daftar masuk dan pemeriksaan, sehari untuk persiapan dan sehari untuk pembedahan).

”Dengan bantuan ahli-ahli Sobral Bikers, Allyson dapat mengeluarkan duit daripada mesin ATM untuk pembayaran pada tarikh yang ditetapkan. Ketika di hospital, salah seorang (Sobral Bikers) past akan datang melawat dan mempelawa sebarang pertolongan di setiap 4-5 jam. Oleh kerana penggunaan Bahasa Inggeris agak terhad, mereka hanya memaklumkan... “Alex Wong, I am from Sobral Bikers and I'm here to help!

“Saya mengambil masa empat bulan untuk sembuh. Sebulan dengan menggunakan alat bantuan tongkat, sebulan dengan kasut bantuan khas dan memerlukan dua bulan untuk dapatkan kekuatan dan berjalan semula tanpa alat bantuan. Jentera saya pula tidak dapat dihidupkan selepas dua bulan tidak bergerak. Sekali lagi saya bernasib baik kerana ada pengembara motosikal yang datang melawat cuba mengenalpasti masalah pada BMW saya. Rupa-rupanya fuel pump relay!

Dunia yang terbentang luas.
Dunia yang terbentang luas.

Alex dinasihatkan untuk pergi membuat pemeriksaan lebih terperinci di BMW Center yang terletak di Fortaleza. Selepas menghantar motosikal, pasangan ini sekali lagi dibantu oleh ahli kelab motosikal di Brazil untuk membawa mereka mencari tempat penginapan dan tempat makan terdekat. Alex menghabiskan masa sebulan di bandar Fortaleza sementara jenteranya siap dibaiki.

Pengembaraan seterusnya ialah ke Buenos Aires, Argentina dengan melalui bandarbandar tepian laut seperti Salvador, Rio de Janeiro dan kemudian menggunakan jalan biasa ke salah satu air terjun terbesar di dunia iaitu Foz de Iguacu. Pengembaraan ke Foz de Iguacu lebih teruja kerana Alex semakin sihat dan kuat. Kebesaran dan kekuatan arus air terjun Foz de Iguacu membolehkan ia diguna sebagai tempat empangan yang cukup besar. Ia diberi nama Itaipu Hydroelectric Dam yang diuruskan bersama tiga buah negara iaitu Brazil, Argentina dan Paraguay.

Brazil ternyata tidak banyak tempat bersejarah yang dipelihara seperti negaranegara yang Alex lawati sebelum ini. Apa yang boleh dikatakan ialah ia memang sebuah negara bolasepak kerana di manamana sahaja kita akan dapat melihat orang bermain bola tidak kira di jalanan mahu pun di pantai.

Pemandangan dari sebuah apartment yang disewa.
Pemandangan dari sebuah apartment yang disewa.
Para pegawai polis bermotosikal di Santiago, Chile.
Para pegawai polis bermotosikal di Santiago, Chile.

“Selamat tinggal Brazil..!!” Perjalanan Alex dan Allyson akhirnya tiba di Argentina dengan selamat dan cukup bersemangat. Alex menggambarkan Argentina sebagai sebuah negara yang luas, banyak lembu, rata manakala jarak di antara sesebuah bandar pula cukup jauh.

”Alex dan Allyson berhenti di Mendoza dan terus jatuh cinta dengan keindahan bandar tersebut. Ia adalah destinasi terkenal dengan pengusahaan wine dan kawasan pergunungan snowcap yang cukup indah sekali. Selepas tiga hari di bandar itu, Alex membuat keputusan untuk menikmati perjalanan di kawasan pergunungan Andes dari Argentina ke Chile.

“Memang saya kurang bernasib baik kerana pada hari saya mendaki, ia adalah hari cuti umum panjang yang menyebabkan jalan sesak dengan kenderaan. Sebaik sahaja di Chile, saya juga bermasalah kerana terlalu sukar untuk mencari hotel sehingga memakan masa kira-kira dua atau tiga jam untuk menjumpainya. Hotel itu pula tidak dilengkapi dengan wi-fi, bagaimana saya nak buat perancangan untuk keesokan harinya?”

“Sebaik sahaja bangun pagi, saya terus mencari mesin ATM kerana sudah kekurangan duit. Alahai! Semua mesin ATM di bandar tersebut tidak beroperasi dan hotel pula penuh. Memang hari yang sangat mencabar buat saya. Jalan terbaik ialah dengan mengisi petrol dan kembali ke Mendoza, Argentina. Semasa nak turun dari kawasan pergunungan itu, sistem GPS saya pula rosak tetapi mujurlah jalan di sana semuanya lurus dan berjaya tiba ke hotel dengan selamat. Saya tinggal di Mendoza selama 10 hari.”

Ketika inilah Alex membuat keputusan untuk pulang ke Malaysia atau meneruskan pengembaraannya ke Eropah. Jika hendak ke Eropah, Alex perlu ke Buenos Aires terlebih dahulu yang sejauh 1,100 kilometer untuk urusan penerbangan manakala jika ingin pulang ke Malaysia, dia hanya perlu bermotor ke Valparaiso, Chile yang jaraknya sekitar 450 kilometer.

“GPS saya rosak yang sudah pasti mengganggu perjalanan dan di musim begini, hotel juga susah untuk didapatkan manakala harga untuk transportasi ke Eropah pada musim cuti juga terlalu mahal. Jika ke Eropah, saya perlu meneruskan perjalanan ke Rusia dan beberapa negara di Asia tengah tetapi masa tidak mengizinkan kerana saya tidak mahu terperangkap dalam cuaca yang buruk dan sangat sejuk. Selepas membuat pengiraan dari segi masa dan kewangan, saya membuat keputusan untuk pulang ke Malaysia.

Ambil kesempatan untuk berada dekat dengan anjing laut.
Ambil kesempatan untuk berada dekat dengan anjing laut.

”Di Valparaiso, proses penghantaran motosikal pulang berjalan dengan lancar. Alex membuat keputusan untuk bercuti (tanpa motosikal) di Australia selama 10 hari terlebih dahulu. “Saya dan Allyson amat berterima kasih buat Dato' Rameez dan kakitangan di Kedutaan Malaysia di Santiago, Chile yang meraikan kami ketika di sana. Dapatlah rasa nasi lemak Malaysia dengan kari ayam yang dirindui.

“Sementara menunggu tarikh penghantaran motosikal ke Malaysia dan penerbangan ke Australia, saya dan Allyson bertemu tiga kali dengan beliau (Dato' Rameez) dan pada hari terakhir kami di sana, Dato' bertanyakan sama ada kami mempunyai wang atau tidak kerana asyik mengenakan pakaian yang sama. Memang kelakar kerana baju-baju kami semuanya dah dihantar pulang bersama motosikal cuma tinggal sedikit sahaja.”

Asados parrilla (daging panggang) yang cukup menyelerakan.

Selepas 33 bulan perjalanan dengan jarak sejauh 80,000 kilometer di 17 buah negara, pengembaraan The Journey of 100,000 Smiles telah tiba di penghujungnya. Ia benar-benar satu pengalaman abadi yang unik, istimewa, mencabar dan meninggalkan kenangan indah buat Alex dan Allyson. Kita tunggu pengembaraan mereka seterusnya. RR

Nota tambahan: “Saya dan Allyson sekali lagi ditahan, kali ini di lapangan terbang di Australia kerana berpakaian terlalu ringkas tetapi sebaik sahaja menceritakan kisah pengembaraan, berkongsi gambar dan menyatakan sebab mengapa tidak membawa banyak barang, kami segera dilepaskan dengan penuh senyuman.”

Isu Pada

September 2018

Popular

  • Warta Roda

    Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

Artikel berkaitan

Kembara Sampai ke Boten

Ride Sri Lanka - Berbelit Jalan Serta Lidah Nak Menyebutnya...

Kuching, Sarawak, Malaysia - Pontianak, Indonesia: 1000km Loop (Bahagian Akhir)

Kuching Sarawak Malaysia - Pontianak Indonesia: 1000km Loop (Bahagian 1)

Sabah 360 Ride 1,800KM Loop (Bahagian II)

Ride Berdua ke Siam

Sabah 360 Ride 1,800km Loop (Bahagian 1)

Ride Ihya Ramadhan TM Bikers Ke Gua Musang, Kelantan

Disyorkan untuk anda
Model Baru

EICMA 2024: Nikmati Dunia Pengembaraan Dengan Voge Valico 800DS Rally

Voge menggunakan pentas global iaitu EICMA untuk melancarkan model kembara terbarunya iaitu Valico 800DS. Ia adalah sebuah jentera yang memberi cabaran dalam segmen Kembara/Adventure

Warta Roda

GIVI Convoy MotoGP Ride & Camp 2024

GIVI Asia Sdn Bhd telah menganjurkan GIVI Convoy MotoGP Ride & Camp 2024 pada 2 & 3 November yang disertai sekitar 100 orang peserta hampir dari seluruh semenanjung negara, termasuk dari Perlis.

Warta Roda

LCR Honda Fan Enduro Day!

Berbeza dengan sebelum ini, pihak GIVI telah mengadakan LCR Honda Fan Enduro Day bertempat di KEV Enduro Park, Gamuda Gardens, Rawang.

Dari Litar

Qabil Irfan Raih Podium Di Sepanyol

Qabil Irfan menunjukkan prestasi cemerlang di Spanish Superbike Championship Moto4 Round 6 yang berlangsung di Litar Navara, Sepanyol.