Isu Terkini

Julai 2024

Kembara / 16 September 2018

Ride & Camp ke RPS Jernang, Sungkai

Keinginan untuk membuat aktiviti ride & camp serta aksi menunggang lasak offroad terasa semakin membuak-buak. Masuk sahaja bulan Syawal iaitu hujung minggu kedua selepas Raya, kami telah membuat perancangan untuk ke hulu Sungai Sungkai, kira-kira 100 kilometer ke utara Kuala Lumpur. Hulu sungai tersebut yang mengalir dari Gunung Batu Putih (2,132m) menempatkan beberapa buah kampung orang asli dan juga Rancangan Penempatan Semula (RPS) Jernang.

Kami disertai oleh beberapa penunggang dari Singapura (Ross, Saini dan Jalil) selain penunggang lain iaitu Bernard dari Johor, Cikgu Joe dan Cikgu Jasni dari Perak, Ejoy, Jezz, Jimm dan penulis dari Selangor.

Di Tol Rawang - tempat pertemuan, Jezz menyampaikan mesej bahawa jentera Honda RS150nya mengalami masalah enjin dan tidak akan menyertai kami hari ini. Bila semua sudah berkumpul, kami bertolak ke utara tanahair melalui Jalan Batu Arang (Taman Buah-Buahan Selangor) sebelum masuk ke Jalan Timur Tambahan ke arah Bestari Jaya dan Universiti Malaysia Selangor. Kami melalui ‘jalan dalam’ untuk ke destinasi yang dituju walaupun akan mengambil masa yang lebih panjang. Jalan kecil melintasi Sungai Selangor serta beberapa bekas lombong pasir yang kini membentuk tasik menyajikan pemandangan indah apabila airnya menjadi kebiruan kesan pantulan cahaya matahari.

Perjalanan diteruskan melalui Jalan Raja Musa dan Jalan Terusan Utama melalui Jalan Mawar di hujung kebun kelapa sawit. Di sini, permukaan jalan berbatu kerikil di dalam kebun kelapa sawit sebelum bertemu dengan permukaan jalan tar di tebing terusan utama. Pemandangan indah dengan jelapang padi di sebelah kiri dan tali air di sebelah kanan memang memukau walaupun cuaca agak panas pada hari tersebut.

Kami membelok ke arah Behrang melalui Jalan Sungai Panjang dan berhenti untuk membuat pintasan di Ladang Erong. Pintasan ini akan melalui jalan ladang dan kampung orang asli sebelum keluar di Felda Gunung Besout dan pekan Sungkai.

Di simpang ini kami berhenti seketika untuk melaras tekanan angin tayar supaya dapat menunggang dengan selesa di atas permukaan tidak rata dan tidak padat. Melepasi kawalan keselamatan ladang, kami belok beberapa kali mengikut arah GPS dan di sini dua penunggang terakhir, Ross dan Jimm terlepas dari kumpulan utama.

Saini telah berpatah balik untuk mencari mereka manakala yang lain menunggu di tepi jalan di bawah cuaca panas kerana ladang sawit dalam proses tanam semula. Setelah 15 minit, kami disatukan semula dan kembali bergerak ke Felda Gunung Besout. Kami bertemu dengan kawalan keselamatan ladang yang kedua dan diberitahu yang kami sudah terlepas simpang ke kampung orang asli dan terpaksa berpatah balik.

Seperti kampung orang asli yang lain, jalan di dalam kampung ini mempunyai permukaan tar yang sempurna tetapi beransur teruk dan akhirnya hilang apabila kami memasuki kawasan Felda Gunung Besout. Di dalam ladang kepala sawit ini kami bertemu sekumpulan pekerja ladang yang memandang kami dengan penuh tanda tanya... “Apa yang kami buat dalam keadaan jalan yang teruk begini?” Saya menunduk dan melambai balas dengan senyuman tanda hormat walaupun saya agak sangsi mereka nampak senyuman saya di dalam helmet yang basah dengan peluh.

Hampir dua jam menunggang di permukaan jalan yang teruk, kami keluar ke Jalan Gunung Besout dan Jalan Pekan Lama Sungkai menuju ke Restoran Nasi Bamboo Sungai Klah untuk makan tengahari. Restoran yang menyajikan makanan istimewa seperti nasi dalam buluh dan lain-lain merupakan satu destinasi hujung minggu yang popular.

Sekitar jam 3.00 petang, kami meneruskan perjalanan ke arah Kampung Guntong melalui Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungkai. Jalan tar berakhir kira-kira 100 meter selepas pusat konservasi dan permukaan jalan bertukar kepada jalan berbatu kerikil.

Semua penunggang tidak menghadapi masalah melaluinya dan jalan sejauh hampir 20 kilometer ini melalui lembah sungai, selari dengan Sungai Sungkai. Pada 10 kilometer terakhir, kami mendaki ke paras 200 meter dari aras laut dan jalan kembali bertar sebaik sahaja memasuki RPS Jernang. Konvoi tiba di perkarangan Sekolah Kebangsaan Jernang sekitar jam 3.30 petang.

Selesai sesi bergambar, kami bertemu dengan Tok Batin Ramli dan memohon keizinan untuk berkhemah di tepi sungai. Kami dibawa ke Kampung Ras untuk mengisi buku pelawat dan menyampaikan cenderamata sumbangan kepada orang kampung. Paling gembira ialah kanak-kanak orang asli yang pada mulanya agak malu untuk bersalaman tetapi tidak sabar untuk mengambil coklat yang telah tersedia. Dengan keizinan Tok Batin Ramli, kami bermalam di tepi Sungai Sungkai.

Cabaran terakhir kami untuk ke tapak perkhemahan ialah menyeberangi sebuah jambatan usang sepanjang 100 meter. Kalau silap gaya boleh terjun ke sungai kira-kira dua meter ke bawah. Hujan renyai juga telah mula turun ketika kami menyeberangi jambatan tersebut. Akhirnya kesemua sembilan buah motor berjaya menyeberangi. Gayat juga melintasi kayu jambatan yang reput sambil melihat air sungai yang deras di bawah.

Kesemua penunggang telah mendirikan khemah masing-masing walaupun Cikgu Joe memilih untuk memasang hammock dan flysheet sebagai tempat tidur pilihan. Bernard adalah antara yang paling laju dalam proses ini. Dia sudah mula mencari dan menyusun kayu api sementara Saini dan Jalil baru sahaja mengikat tali khemah besar mereka. Selesai, kami semua turun ke sungai yang sejuk untuk mandi-manda dan membersihkan diri.

Kami duduk mengelilingi unggun api sambil bertukar cerita pengalaman menunggang masing-masing dan menikmati makan malam. Usaha keras Bernard menyusun kayu api dalam formasi teppee berjaya menghidupkan kayu yang basah dan beliau adalah yang paling awal masuk tidur. Sekitar jam 11.00 malam semua tapak khemah kembali sunyi dan bunyi deruman air sungai membuai kami tidur malam itu.

Cuaca yang agak dingin sekitar 23°C pada sebelah pagi dan kabus yang menyelimuti tapak perkhemahan memang amat menyegarkan. Sekitar jam 7.00 pagi, kami menyediakan sarapan pagi masing-masing dan dikejutkan dengan kehadiran Jezz di tapak perkhemahan. Beliau yang berjaya membaik pulih motosikalnya dan bertolak dari Shah Alam sekitar jam 5.00 pagi.

Selesai bersarapan kami turun ke sungai dan Jalil mula menyusun batu sungai dengan separuh badan untuknya berendam. Kami juga mengambil peluang untuk bergambar dengan jentera masing-masing di dalam sungai dan Jimm yang kali pertama menyertai aktiviti mencabar ini juga bersetuju turut bergambar, setelah diberi sedikit dorongan.

Kami mula mengemas khemah dan peralatan sekitar jam 9.30 pagi termasuk membersihkan tapak perkhemahan. Pembersihan adalah penting untuk memastikan kebersihan alam sekitar sentiasa terjaga dan bagi menghindar penyakit bawaan haiwan kecil seperti tikus dari mencemari air sungai. Setelah mengambil gambar berkumpulan, kami mula bergerak dan cuaca panas mula dirasakan ketika kami menyeberangi jambatan usang untuk keluar.

Kumpulan kami juga singgah di sebuah kampung di hilir sungai untuk menyampaikan saki baki cenderamata yang kami bawa untuk penduduk kampung. Jimm yang menunggang motor BMW F800 GS adalah yang terakhir dalam kumpulan kami dan beliau terlepas ketika kami membelok ke kanan selepas membuat pusingan U. Ejoy secara sukarela turun semula ke jalan dan mengejar Jimm yang telah jauh ke dalam kawasan RPS Jernang.

Setelah selesai menyampaikan sumbangan dan bertegur sapa dengan penduduk kampung, kami bergerak ke arah pekan Sungkai. Pitstop terakhir kami untuk makan tengahari ialah gerai Mee Kari Ramli di Bidor. Kedai ini terkenal kerana menyajikan mee kicap dan mee kari istimewa. Gerai yang terletak kira-kira 200 meter dari Tol Bidor ini menyediakan stok makanan yang agak terhad dan biasanya akan habis sebelum tengahari. Selesai makan, kami mengucapkan selamat tinggal dan berpecah ke destinasi masing-masing.

Semua penunggang merasa amat puas hati dengan ride kali ini. Aktiviti riadah bulanan ini mengisi masa lapang hujung minggu kami, sambil menikmati keindahan semulajadi dan mengeratkan hubungan silaturahim dengan masyarakat orang asli di negara kita. RR

- Rashidin

Isu Pada

September 2018

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

Kembara Sampai ke Boten

Ride Sri Lanka - Berbelit Jalan Serta Lidah Nak Menyebutnya...

Kuching, Sarawak, Malaysia - Pontianak, Indonesia: 1000km Loop (Bahagian Akhir)

Kuching Sarawak Malaysia - Pontianak Indonesia: 1000km Loop (Bahagian 1)

Sabah 360 Ride 1,800KM Loop (Bahagian II)

Ride Berdua ke Siam

Sabah 360 Ride 1,800km Loop (Bahagian 1)

Ride Ihya Ramadhan TM Bikers Ke Gua Musang, Kelantan

Disyorkan untuk anda
Model Baru

EICMA 2024: Moto Morini Perkenalkan Model Ikonik, 3 1/2 Baru

Moto Morini meraikan ulang tahun ke-50 model ikonik yang dikenali sebagai '3 1/2' dengan memperkenalkan di pameran motosikal antarabangsa EICMA.

Dari Litar

Podium Berganda Buat Qabil Di Sepanyol & Raih Keempat Keseluruhan di ESBK

Qabil Irfan menutup musim Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) Moto4 dengan podium berganda di pusingan akhir yang berlangsung di Circuito de Jerez, Sepanyol.

Model Baru

MODENAS Eliminator dilancarkan di MotoGP Sepang 2024. Harga asas dari RM30,100

Motosikal dan Enjin Nasional (MODENAS) memilih hari cukup sempurna bersempena 'pesta' MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang untuk melancarkan model terbaru, MODENAS Eliminator.

Warta Roda

Penunggang motosikal berkuasa tinggi terlibat dalam kemalangan maut...

Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi dan pemandu warga emas maut selepas kedua-dua kenderaan tersebut bertembung dalam kejadian di Kilometer 11 Jalan Pan Borneo, di sini pada hari Ahad yang lalu.