Jelajah Vario Sayangi Malaysiaku Pengembaraan Penuh Cabaran Buat Penunggang & Jentera
Untuk membuktikan kemampuan dan daya tahan sebuah skuter baru iaitu Honda Vario 150, Boon Siew Honda Sdn Bhd (BSH) telah menganjurkan satu pengembaraan cukup mencabar dari Pulau Pinang hingga ke Johor dengan melalui beberapa buah negeri pada jarak perjalanan lebih daripada 1,400 kilometer. Untuk menjadikan konvoi ini lebih unik dan menarik, 14 buah Vario 150 telah diwarnakan dengan rekacorak bendera setiap negeri di Malaysia. Terima kasih buat BSH atas jemputan buat RR untuk turut serta dalam konvoi yang penuh bermakna ini.
Honda Vario 150 didatangkan dengan enjin silinder tunggal, sistem penyejuk cecair, SOHC, 149.30cc yang menawarkan hantaran kuasa maksimum 9.67kW pada 8,500rpm dan tork 13.4Nm pada 5,000rpm. Dengan menggunakan sistem suntikan bahan api elektronik PGM-FI, skuter ini bukan sahaja menjanjikan prestasi enjin yang mantap tetapi juga penjimatan bahan api yang optimum.
Pengembaraan hari pertama (10 Disember 2018) bermula dari ibu pejabat BSH yang terletak di Bandar Cassia, Batu Kawan, Pulau Pinang. Majlis perlepasan konvoi Jelajah Vario Sayangi Malaysiaku (JVSM) telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan dan CEO BSH, En. Keiichi Yasuda ditemani oleh para pegawai tertinggi Honda. Sememangnya kesemua peserta yang terdiri daripada wakil media, kakitangan dan pengedar BSH cukup ceria dan bersemangat untuk menyahut cabaran demi merasai prestasi sebenar Honda Vario 150.
Sememangnya pengembaraan ini juga adalah ujian kecekapan buat setiap peserta konvoi yang terpaksa berdepan dengan pelbagai jenis keadaan jalan, muka bumi, trafik dan cuaca. Seperti dalam ucapan Ketua Pegawai Jualan BSH, En Voon Yin Kong yang menyatakan bahawa pengembaraan inilah menjadi ‘medan’ sebenar untuk menguji Vario150 di tahap maksimum. BSH ingin menekankan Honda Vario 150 bukan hanya terhad untuk tunggangan di kawasan urban sahaja.
Sebagai sebuah jentera yang praktikal dan sesuai untuk semua jenis tunggangan, skuter Honda ini memililki ruang penyimpan bawah pelana bersaiz 18 liter yang boleh menyimpan pelbagai jenis barangan seperti baju hujan, pakaian, barangan peribadi termasuklah topi keledar. Terdapat juga ruang barang di bahagian depan yang boleh memuatkan barangan kecil seperti tuala kecil atau sarung tangan.
Pelana yang setinggi 769mm dan ruang kaki yang cukup luas memberi keselesaan buat semua jenis penunggang, tidak kira tinggi atau rendah. Sebaik sahaja kita melabuhkan punggung, kita akan dapati ruang kaki yang luas membolehkan kita mengubah posisi kaki dengan mudah sewaktu berada di selekoh atau ketika mendapatkan keselesaan.
Vario didatangkan dengan sistem kunci pintar yang bertujuan untuk mencegah kecurian. Untuk menggunakannya cukup mudah, kita hanya perlu menekan suis kunci hingga lampu penunjuk berwarna hijau menyala dan ini bermakna jentera kita sudah bersedia untuk ditunggang. Jika kita meletakkan Vario di kawasan yang penuh dengan motosikal lain, tekan sahaja suis dan Vario akan ‘menjawab’ dengan bunyi khas yang cukup kuat.
Dari Pulau Pinang, kami menggunakan lebuhraya menuju ke Kulim. Perjalanan yang dikawal cukup baik oleh ketua konvoi (En. Salihin Rahim). Konvoi mendapat perhatian ramai yang teruja dengan barisan 14 buah skuter Honda yang diwarnakan mengikut bendera setiap negeri di Malaysia. Walaupun perjalanan agak jauh, posisi menunggang yang natural langsung tidak memenatkan dan enjin Vario yang memiliki kuasa maksimum 9.67Kw pada 8,500rpm dan tork 13.4Nm pada 5,000rpm membantu pecutan - dapat dilakukan dengan pantas dan lancar. Pulas sahaja pendikit dan rasakan ia meluncur ke hadapan dengan lincah sekali.
Apabila tiba di kawasan bandar, Vario memiliki tubuh badan yang ramping dan cukup ringan (112kg) yang memboleh kita mencelah di ruang terhad tanpa sebarang kesukaran. Dengan penggunaan lampu depan dwi LED berserta lampu DRL (Daytime Running Light), Vario bukan sahaja menjanjikan suluhan yang cerah di waktu malam tetapi juga memudahkan kita untuk dilihat oleh kenderaan dari hadapan. Ini amat penting terutamanya di persimpangan atau untuk mencegah sesebuah kenderaan dari hadapan memintas tanpa menyedari kehadiran kita.
Perjalanan menuju ke Pengkalan Hulu memang cukup segar dan sejuk. Lebuhraya Timur –Barat yang merentasi Banjaran Titiwangsa bagaikan lautan kehijauan alam yang turut membuatkan kita tidak bosan atau mengantuk. Tidak hairanlah mengapa laluan sebegini sering menjadi pilihan si pengembara. Walaupun begitu, selekoh-selekohnya yang tajam di kawasan ini perlu penumpuan sepenuhnya oleh setiap pengguna jalan raya dan keadaan bertambah sukar apabila hujan turun. Penglihatan menjadi terhad manakala permukaannya pula semakin licin.
Konvoi berhenti di Hentian Royal Belum, Amanjaya yang juga dikenali sebagai Jeti Tasik Banding untuk berehat dan makan tengahari. Ini juga peluang buat rakan-rakan konvoi membuat penilaian mengenai prestasi Vario sepanjang perjalanan. Selepas kira- kira sejam kemudian semua peserta siap sedia untuk menyambung perjalanan dan…. hujan pun turun!
Terima kasih buat BSH yang telah menyediakan set baju hujan yang cukup berkualiti buat para peserta konvoi. Dengan tindakbalas pendikit dan enjin yang tepat, cengkaman hebat tayar-tayarnya serta sistem brek (depan: cakera, belakang: gelendong) cukup cemerlang, setiap selekoh di laluan menuju ke Jeli dilalui dengan selamat. Pengendalian di laluan kurang sempurna tidak menyukarkan dan kami juga tetap selesa kerana fork hadapan jenis teleskopik dan penyerap hentak tunggal di belakang berfungsi dengan cemerlang sekali. Bahagian lengan dan pinggang tidak terasa lenguh – memang betul-betul enjoy!
RR juga ingin berterima kasih buat Pengurus Logistik BSH, Sdr Nathan (posisi di depan kami) yang sentiasa memastikan keadaan jalan dan trafik selamat untuk dilalui. Nathan akan memberi isyarat jika laluan selamat untuk memotong, ada halangan dan sebagainya. Kecekapan dan sikap tanggungjawab ini penting bagi melancarkan perjalanan kerana kita tidak perlu meletakkan beban 100% kepada ketua konvoi sebaliknya bekerjasama agar perjalanan selamat tiba di setiap destinasi.
Dalam keadaan hari yang semakin gelap, kami cukup teruja dengan panel meter digital Honda Vario 150 ini yang jelas, terang dan disusun cukup menarik. Ia memaparkan tahap kelajuan, isi tangki, masa, jarak perjalanan dan barisan lampulampu amaran yang kemas. Selepas mengharungi pengembaraan hari pertama dengan jarak perjalanan menghampiri 400 kilometer dalam masa kira-kira enam jam, kami tiba di Kota Bharu, Kelantan pada jam 7.00 malam. Tahniah buat semua!
Di sebelah malam, kami berpeluang bersiar-siar seketika di kawasan bandar dan oleh kerana salah seorang daripada peserta ingin membonceng, boleh jugalah kami rasa prestasi Vario ini jika menunggang berdua. Okay… saiz pelana skuter ini sederhana, jika penunggang dan pembonceng berbadan besar maka akan terasa sempit jugalah. Bagi penunggang biasa, ruang tersebut tidak memberi sebarang isu dan apa yang mengagumkan ialah pada hantaran kuasanya. Vario mampu memecut dengan pantas dari kelajuan sifar walaupun ketika menunggang berdua manakala ketegaran casisnya membuatkan skuter ini tetap senang dikawal.
Konvoi pada hari kedua dijadualkan menuju ke Terengganu dan hujan sudah mula turun sejak dari awal pagi. Walaupun dalam cuaca sebegini, setiap peserta terus bersemangat untuk meneruskan perjalanan. Hujan bukan penghalang dan dengan tunggangan yang berdisiplin, perjalanan bergerak dengan lancar dan teratur. Ketika di Cherating, para peserta berpeluang untuk mencuba proses membuat batik di Kompleks Kraftangan Malaysia dan selepas diberi tunjuk ajar oleh pegawai bertugas, masing-masing mencanting macam dalam kelas seni.
Tak disangka-sangka, semuanya pandai dan kreatif belaka – mungkin bakat terpendam selama ini. Masing-masing bangga dengan kombinasi warna yang dipilih dan hasil tangan ini disimpan sebagai kenangan. Ketika menuju ke destinasi hari kedua, konvoi berhenti seketika untuk menikmati makan tengahari dan di salah sebuah pusat pengedar BSH terpilih untuk melakukan penyelenggaraan dan bertemu dengan peminat jentera Honda Vario ini. Konvoi selamat sampai di Awana Kijal, Terengganu pada lewat petang hari kedua dengan jarak perjalanan sejauh 321 kilometer.
Perjalanan hari ketiga turut bermula dalam cuaca yang tidak menentu. Hanya dengan sekali tekan, ia berderum – tidak perlu gunakan penghidup kaki sama sekali. Enjin skuter ini terus berputar cemerlang dalam semua keadaan dan kelancaran sistem transmisi jenis auto v-matic terutamanya ketika membuat pecutan memang memberi ketagihan. Konvoi ‘disajikan’ dengan pemandangan yang cantik serta laluan yang cukup menarik dalam pengembaraan Jelajah Vario Sayangi Malaysia (JVSM) hari ketiga yang menuju ke Genting Highlands.
Memang cukup seronok mendaki ke kawasan tanah tinggi dengan Vario, ia memang terbukti sebuah mesin auto yang lincah dan tangkas. Syukur, perjalanan sejauh 334 kilometer pada hari ketiga tamat dalam masa empat jam setengah.
Perjalanan hari keempat paling pendek iaitu sekitar 70 kilometer sahaja dari Genting Highlands ke Kuala Lumpur. Ini juga memberi kesempatan untuk para peserta berehat lebih lama dan bagi yang tinggal di KL, ia adalah peluang terbaik untuk pulang seketika ke rumah untuk berjumpa keluarga. Bagus juga dapat rehat agar lebih fokus dan bertenaga untuk menyambung perjalanan yang boleh dikira masuk ke fasa terakhir.
Perjalanan ke Muar keesokan harinya lebih tenang kerana tidak banyak perlu mendaki dan laluan berselekoh. Destinasi lawatan pertama di Putrajaya untuk bergambar kenangan dan sesi penggambaran video. Melihat kepada pembangunan dan keindahan infrastruktur bangunan di Putrajaya memberi rasa bangga sebagai warga Malaysia. Dari Putrajaya, konvoi meneruskan penjelajahan semenanjung Malaysia ke Senawang untuk berkunjung ke satu lagi pengedar BSH dan kemudiannya ke Melaka. Perjalanan hari kelima yang sejauh 237 kilometer tamat di Muar.
Tahniah semua… JVSM semakin hampir ke ‘garisan penamat iaitu dari bandar Muar ke Bandar Penawar yang sejauh 290 kilometer. Perasaan gembira dan bangga memang tidak dapat lagi disorok kerana sudah hampir seminggu berada di atas jalan. Lebih mengujakan tentulah pada prestasi Honda Vario 150 yang memberi keceriaan di sepanjang perjalanan. Ternyata penganjuran ini merangkumi pelbagai aspek positif yang memberi 1001 erti buat peserta dan pihak BSH sendiri.
Ini adalah satu pengembaraan yang berjaya membuktikan kemantapan dan ketahanan jentera automatik dari Honda dan pada masa yang sama menguji ketahanan mental dan fizikal para penunggang yang menyusuri perjalanan ratusan kilometer setiap hari. JVSM turut merapatkan hubungan di antara kenalan media dan kakitangan BSH dan ianya tidak mungkin berjaya jika semuanya tidak sehati sejiwa. Bak slogan terkenal Honda… Satu Hati!
Kemuncak konvoi JVSM ketika kesemua peserta diberikan sambutan meriah di perlumbaan PETRONAS Cub Prix pusingan akhir yang berlangsung di Bandar Penawar pada 16 Disember 2018. Sesuai dengan sambutan Hari Malaysia, kesemua 14 jentera Vario yang bercorak negerinegeri di Malaysia diberi perhormatan untuk melakukan satu pusingan khas di litar perlumbaan tersebut. Para peserta turut diraikan dengan konsert khas JVSM di Dataran Tasik Bandar Penawar dengan penampilan khas selebriti popular Hazama dan Drama Band.
Antara pusat pengedar BSH yang sempat disinggahi oleh para peserta JVSM di sepanjang J V S M ialah BSH Cawangan Terengganu, EE Sing Motor Sdn Bhd (Kuantan), V Power Motor Sdn Bhd (Batu Caves), Honda BigWing Setapak (Setapak), Maxima Motor (Seremban) Sdn Bhd, SMC Chang Motors Sdn Bhd (Melaka), AKARJAYA Motor (Batu Pahat) S/B dan Swee Seng Heng Motor Sdn Bhd (Gelang Patah). Para pengedar ini telah menyambut kehadiran para peserta dengan juadah makanan yang lazat malah ada di antaranya ‘menjadi tuan rumah’ untuk pertemuan di antara peserta konvoi dan pemilik Vario 150 tempatan.
Dengan jarak lebih daripada 1,400 kilometer di 10 buah negeri, pengembaraan akhirnya tamat dengan jayanya. Kesempatan ini juga kami ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih buat kakitangan Honda seperti Ching Mun, Zharif, Firdaus, Lim, Satia, Nathan, Wei Wei dan lain-lain dalam menjayakan pengembaraan ini. RR
Popular