Journey of 100,000 Smile Bersama Alex & Allyson - Bahagian 2
Selepas dapat menikmati masa berharga bersama anaknya di USA, pasangan Alex dan Allyson kembali ke Mexico untuk menyambung perjalanan semula ke Belize dan menetap di sana selama kira-kira dua minggu di tiga bandar yang berbeza. Belize merupakan sebuah negara bekas jajahan British yang rakyatnya boleh berbahasa Inggeris dengan fasih. Walaupun negara ini agak miskin, mereka cukup lega kerana dapat berbahasa Inggeris selepas setahun terpaksa berbahasa Sepanyol ketika di Mexico.
Oleh kerana ia sebahagian daripada Carribean, Belize juga merupakan syurga buat para pencinta lautan tetapi masih terdapat beberapa tempat yang kurang selamat terutamanya di sebelah malam sehingga di pasaraya terpaksa dikawal oleh pihak berkuasa. Ini kerana penduduk di sini dihimpit kemiskinan. Di Belize juga terdapat ramai masyarakat cina yang kebanyakannya pemilik pasaraya dan restoran.
Dari Belize, perjalanan diteruskan ke Guatamala yang terkenal dengan Tasik Atitlan yang terletak di kawasan pergunungan berapi dan merupakan tasik tercantik di dunia. Para pelancong ke sini adalah untuk melihat dan melawat gunung-gunung berapi tersebut yang tersergam hebat di hujung tasik. Selain itu juga ia menempatkan ramai orang asli dari suku kaum Mayan yang masih di antaranya tinggal di rumah-rumah diperbuat daripada buluh.
“Tempat ini memang menarik kerana pemandangan dua buah gunung berapi yang benar-benar mengagumkan. Masyarakat di sini mencari nafkah dengan menjual hasil kraftangan, tekstil tradisional dan sedikit hasil tanam-tanaman. Suku Mayan juga terkenal dengan Kuil Tikal dan kalendar kuno mereka yang pernah mengejutkan dunia dengan jangkaan kiamat akan berlaku pada tahun 2012. Terdapat banyak puak Mayan yang tinggal di daerah berbeza dan kita (pelancong) dapat bezakan menerusi warna dan rekaan pakaian kebudayaan mereka.”
Destinasi seterusnya yang dilalui oleh pasangan ini ialah El Salvador dan sekali lagi, ia adalah sebuah negara yang masih belum membangun – kelihatan seperti Malaysia tahun 1960an. Walaupun begitu, El Salvador juga menawarkan percutian pantai yang cukup menarik.
“Kami menetap di sebuah hotel di Elcoco Tortuga Bay selama sembilan hari. Memandangkan resort ini sangat cantik dan ramai pelancong luar, ia adalah masa terbaik untuk kami berhenti menunggang seketika dan berehat. Harganya hanya sekitar RM100 semalam tetapi menawarkan bilik yang luas, sangat bersih beserta pemandangan pantai yang benar-benar cantik terutamanya di waktu matahari terbit dan terbenam.”
Kehidupan di persekitaran resort tersebut juga ringkas. Alex senang bertemu dengan para nelayan untuk membeli ikan dan disebabkan dia bukanlah orang tempatan, hasil tangkapan dijual pada harga yang sangat murah. Ikan sebesar dua jengkal dewasa hanya USD$1 dan apabila siap dimasak, rasanya cukup-cukup lazat! Pihak resort tersebut turut menawarkan pakej yang cukup sukar ditolak iaitu penginapan percuma selama 14 hari jika para pelanggan menginap di sana selama 14 hari. Dua minggu bayar... dua minggu percuma. Kalau ikutkan hati, memang saya nak tetapi Allyson sudah bosan kerana terlalu lama di sana.”
Pengalaman ternyata memberi keyakinan buat Alex dan Allyson untuk memasuki sebuah negara yang mempunyai reputasi yang kurang molek iaitu Honduras. Menerusi majalah dan internet, ramai pengembara menasihatkan agar elakkan diri untuk ke negara tersebut. Alex juga mendapati tempat yang bakal dilalui juga tidak banyak yang menarik untuk dilihat melainkan kehidupan masyarakat kaum Mayan – sama seperti yang dilihatnya sebelum ini.
“Saya bertemu dengan seorang pengembara motosikal, Gordon dari Canada yang menunggang Suzuki Vstrom 650 ketika di resort dan kami bersetuju untuk ke sempadan bersama-sama. Dalam perjalanan, kami di'kacau' oleh seorang runner yang cuba memberi perkhidmatan proses menyeberangi sempadan. Mereka naik 4x4 mengejar kami.”
Sememangnya proses ke Honduras agak sukar kerana terlalu banyak dokumen perlu diisi dengan betul dan di sinilah perkhidmatan runner tersebut sebenarnya diperlukan. Gordon tidak mahu menggunakan mereka sehingga ada ketikanya hampir tercetus pertelingkahan manakala Alex dan Allyson tetap tenang mengawal emosi.
“Runner tersebut bagus dan benar-benar ingin membantu dan akhirnya saya bersetuju. Selepas itu, saya memberikan USD3 sebagai upah. Runner sangat gembira dan terus membantu untuk menunjukkan jalan. Itulah yang saya pelajari ketika berhadapan dengan situasi ini iaitu jangan mudah marah, berlemah lembut dan sentiasa cuba memahami bahawa mereka sedang mencari rezeki dengan cara seperti itu.”
Keesokan harinya, Alex memasuki Nicaragua. Pemandangannya tidak jauh berbeza dengan beberapa negara yang dilawati oleh Alex sebelumnya. Kesan daripada Civil War yang lama menyebabkan negara ini agak mundur dan miskin dan di sinilah Alex berdepan dengan satu pengalaman baru dengan pihak polis.
“Oleh kerana jalannya kecil dan jem terlalu panjang (ada roadblock), saya dan Gordon membuat keputusan untuk mencilok yang kadang-kalanya terpaksa memotong garisan berkembar. Pihak polis nampak dan apabila kami tiba di hadapan mereka, kami dipersalahkan, lesen diambil dan diarah untuk membayar saman. Entah apa yang Gordon cakap, tiba-tiba dia cakap 'Bye... bye' dan berlepas meninggalkan kami berdua yang masih tersangkut.”
“Saya tidak mengalah dan terus cuba untuk berbincang dan ini menyebabkan keadaan sedikit huru hara. Trak-trak dan kenderaan yang masih tersangkut di belakang sudah mula menekan hon. Dalam kekalutan inilah Allyson bertindak cukup bijak dengan berjumpa seorang pegawai di bawah pondok dan kembali bersama lesen. Sebaik sahaja Allyson melompat di atas motor, saya terus memecut ke hadapan. Lega!”
Selepas kekecohan itu, Alex kembali tenang setibanya mereka di Granada yang cukup menarik perhatian dengan rumah-rumah yang direka seperti di Sepanyol. “Ketika berada di Granada, saya banyak menghabiskan masa dengan mencari hotel. Hotel pertama yang saya menginap langsung tidak mesra pelanggan – esoknya saya dapat satu lagi hotel yang sangat menarik. Ia terletak di hadapan Konsulat German, membenarkan kami masak, berkongsi makanan dan bersosial. Memang seronok di hotel ini.”
Dari Granada, Alex mengunjungi Ometepe yang jaraknya kira-kira 100 kilometer dan ia adalah sebuah tasik yang mempunyai dua buah gunung berapi. Sememangnya ia adalah tumpuan pelancong yang menawarkan pemandangan dan pakej percutian yang hebat. Alex tidak lama di sini, hanya untuk tiga hari sahaja.
Costa Rica merupakan destinasi kunjungan Alex seterusnya. Ia merupakan sebuah negara Eco-Tourism kecil yang sedang membangun. Masyarakat di sini berbahasa Sepanyol dan berkesempatan singgah di bandar Nicoya yang turut beri gelaran The Blue Zone oleh United Nations. Gelaran ini diberi berdasarkan statistik penduduknya yang kebanyakan hidup lebih daripada 90 tahun dan masih sihat. Antara tempat lain yang digelar The Blue Zone ialah Okinawa (Jepun), Cerdena (Itali), Icaria (Greece) dan Loma Linda (California). Selain daripada itu Nicoya juga mempunyai pantai-pantai cantik dan makanan tempatan yang digemari ramai.
Komuniti masyarakat cina di sini juga agak besar dan Alex dan Allyson cukup bertuah kerana mendapat jemputan daripada salah seorang pemilik restoran di sana untuk meraikan Hari Raya Cina bersama-sama. Rata-rata masyarat cina di sana merupakan generasi kedua yang menetap di Costa Rica dan kebanyakannya telah berkahwin dengan orang tempatan.
“Apa yang dapat saya lihat, kebudayaan asli orang cina telah banyak 'hilang' dan ini kerana bertembungan dua budaya pada generasi awal yang akhirnya menyebabkan segala keaslian dari China semakin dilupakan. Ia benar-benar membuka mata saya dan isteri.”
“Kami tinggalkan Costa Rica untuk meneruskan perjalanan ke Panama. Ia agak berbeza dengan Costa Rica kerana terdapat perbezaan corak dan gaya yang sangat ketara di antara dua buah bandar yang kami lalui. Kehidupan di sebelah utara sangat miskin tetapi apabila kami semakin ke selatan, bandarnya telah berubah dan sangat maju... seperti Kuala Lumpur.”
Panama City cukup sibuk dan meriah terutamanya pada hujung minggu dan saya memilih untuk tidak menetap di tengah-tengah bandar. Untuk mencari hotel di luar bandar, Alex perlu menunggang di lebuhraya dan di sinilah kisah Alex dan polis bermula....
“Oleh kerana masalah bahasa, saya tidak dapat mengenal pasti laluan dan cara untuk memasuki lebuhraya itu. Langkah terbaik ialah dengan mengikuti sebuah kereta dari belakang. Biasalah... palang akan tertutup sebaik sahaja kereta itu melepasi rumah tol. Kami tidak boleh melepasinya dan apabila melihat ada polis bantuan bertugas di sana, saya membunyikan hon. Syukur... salah seorang pegawai datang dan.... meminta Alex untuk bergerak ke tepi jalan.”
Polis mengatakan Alex telah melakukan kesalahan kerana berada di laluan tersebut dan meminta US$50 untuk pembelian kad tol (seperti kad Touch & Go). Memandang Alex tidak berniat untuk tinggal lama di Costa Rica, dia tidak perlu pun kad tersebut jadi Alex tidak setuju dan meminta jasa baik pegawai tersebut untuk meneruskan perjalanan.
“Saya ada banyak masa! Saya nak uji berapa lama dia sanggup tunggu tanpa menyedari pegawai tersebut ada lagi banyak masa daripada saya. Sedang berbincang, saya ternampak seorang lagi pegawai polis di seberang jalan dan ingin meminta bantuannya tetapi saya dimarahi. Allyson juga memujuk saya untuk tidak memanjangkan isu itu. Harga sebenar untuk masuk tol tersebut hanya US$1.50 dan polis itu mahukan US$10 tetapi akhirnya saya memberikan US5. Selesai... jalan!”
Tidak lama kemudian, Alex tiba di rumah tol kedua dan mereka terus membayar US5 tetapi kali ini baki tidak dipulangkan. Sekali lagi Alex terpaksa turun dari GSnya untuk berjumpa dengan polis bertugas agar memberitahu pegawai wanita di kaunter pembayaran memulangkan wang baki. Yesss... Alex berjaya.
Bila tiba di rumah tol ketiga... Alex sudah siap sedia dengan jumlah wang yang tepat tetapi lain pula jadinya! Pegawai kaunter mahukan kad pula... “Saya malas nak layan dan malas kata apa, letak je duit dan terus pulas pendikit. Selamat... tiada apa masalah pun!”
Untuk ke negara seterusnya, Alex perlu menggunakan servis pengangkutan feri kerana Panama dan Columbia dipisahkan oleh laut. Alex menghadapi kesukaran untuk mencari pelabuhan tersebut tetapi mujurlah dia berjumpa dengan seorang kenalan di restoran cina yang sanggup membantu. Alex dan Allyson terpaksa bermalam di sebuah bandar yang cukup menakutkan. Menurut Alex, kawasan hotelnya agak selamat kerana terdapat polis yang bertugas dan meronda tetapi di seberang jalan, kawasan tersebut sudah tidak lagi selamat. Sesiapa sahaja boleh dirompak dan memang ramai yang membawa senjata. Dua dunia berbeza yang dipisahkan hanya dengan sebatang jalan raya.
“Mahu atau tidak, saya terpaksa menetap lama di situ kerana untuk selesaikan segala urusan kemasukan kami dan motosikal ke Columbia, ia memakan masa lebih kurang dua hari. Saya amat bertuah kerana dapat menggunakan feri tersebut. Tidak lama selepas itu, perkhidmatan diberhentikan kerana ketiadaan penumpang. Perjalanan dari Panama ke Cartagena, Columbia memakan masa kira-kira 18 jam untuk sampai.”
Akhirnya Alex dan Allyson berjaya memijak bumi Columbia. Corak kehidupan di sini mirip Malaysia pada tahun 1970an dan bagi Alex, ia adalah destinasi paling menyeronokkan kerana warga Columbia sangat baik dan peramah. Proses perlepasan di pelabuhan sangat mudah dan pantas. Orang-orang di sini kebanyakannya berdarah campuran seperti kacukan Afrika Carribean dan Canada.
“Saya suka di sini. Buah-buahannya murah dan sangat manis. Satu bakul buah mangga, harganya hanya RM5. Kami berhenti di Medellin melihat hasil senilukis dan untuk menikmati makanan popular masyarakat di sana iaitu Bandeja Paisa yang berupa gabungan sosej, kacang panggang, buah avokado, telur goreng, daging hancur dan roti. Lazat, banyak dan sedap sekali. Semasa di dalam feri, kami sempat berkenalan dengan beberapa bikers dari Columbia yang menyarankan kami untuk bermotor ke sebuah bandar yang berhawa sedikit sejuk iaitu Zipaquira.”
Selepas berehat beberapa hari di Zipaquira, Alex dan Allyson membuat keputusan untuk ke sebuah muzium di Bogota menggunakan pengangkutan awam. Dalam perjalanan pulang, Alex kehilangan passportnya dan sememangnya inilah yang ditakuti oleh para pengembara setiap kali ke luar negara. Bagi Alex, dia tetap bersyukur walaupun dilanda masalah kerana ia berlaku di Columbia di mana rakyatnya sangat jujur dan suka membantu.
“Saya terus ke balai polis berdekatan dan pegawai di sana meminta saya kembali ke terminal untuk membuat laporan di sana. Walaupun bahasa menjadi masalah utama, para pegawai polis sangat berpengalaman. Kami menggunakan Google Translator untuk lebih mudah. Oleh kerana tiada wakil duta atau konsulat Malaysia di sana, saya dibawa menaiki bas bersama seorang pegawai polis ke pusat visa untuk proses seterusnya.”
Prosesnya memang rumit. Alex terpaksa ke imigresen dan kementerian luar bandar untuk membuat laporan bagi mendapatkan pas sementara. Alex membuat permohohan untuk mendapatkan Multiple Passage Entry untuk ke Ecuador dan kemudian ke Peru bagi mendapatkan passport di kedutaan Malaysia. “Saya mungkin satu-satu warga luar Columbia yang memiliki Multiple Passage Entry kerana ia selalunya diberikan khas untuk warga tempatan sahaja.”
Gembira dengan masalah yang hampir selesai itu, Alex menyambung pengembaraan mereka ke Ipiales yang merupakan bandar tertinggi di dunia. Suhu di sini cukup sejuk dan Ipiales terkenal dengan bangunan bersejarah seperti gereja lama dan jambatan zaman dulu yang dibina pada abad ke-20. Pada masa itu, Alex tidak menyedari bahawa pihak penyediaan visa atau dokumen tersebut telah melakukan kesalahan pada tarikh tamat tempoh sah. Sepatutnya tercatat tahun 2018 tetapi yang tertera pada dokumen tersebut ialah 2015.
“Kami singgah makan malam di sebuah restoran dan tuan punya, Mr. Jonathan cukup gembira sehingga segalanya percuma termasuk penginapan dan sarapan pagi di hotel miliknya. Memang kami bertuah kerana mendapat kenalan baru.”
Selepas dua hari, Alex, Allyson dan seorang lagi kenalan iaitu Cisco (pengembara motosikal) menuju ke sempadan Ecuador untuk meneruskan perjalanan ke Peru tetapi gagal kerana dokumen Multiple Passage Entry yang dimiliki tidak sah kerana ia hanya untuk warga Columbia. Mereka bertiga terpaksa berpatah balik ke hotel dan restoran Mr. Jonathan.
“Saya terpaksa ke konsulat dan di sana mendapati pihak imigresen di Ecuador pula melakukan kesilapan. Kami kemudiannya pergi sekali lagi ke sempadan dan kali ini mendapat bantuan daripada pengembara motosikal dari Amerika pula. Sekali lagi permohohan kami ditolak kerana tarikh tamat tempoh sah kurang daripada enam bulan.”
“Ada satu sahaja jalannya, iaitu kembali ke hotel di Bogota sejauh 1,500 kilometer dan meminta pertolongan daripada seorang rakyat Malaysia iaitu En. Sabri yang secara kebetulan berkenalan ketika berada di Bogota. Saya meminta Sabri mencari pegawai di pusat visa dan selepas beberapa kali mencuba, Sabri berjaya mendapatkannya. Pihak pengurusan visa tersebut turut memohon maaf atas kesilapan tersebut. Walaupun terpaksa berpatah balik sejauh 1,500 kilometer dan kembali ke sempadan lagi 1,500 kilometer, ia memberi kami peluang untuk mendaki dan melihat dunia kawasan pergunungan di sepanjang jalan.”
Jauh perjalanan... luas pemandangan! RR
Popular