Cub Chai For A Cup Of Tea
Sekumpulan rakan sekerja sama-sama bergabung tenaga, meredah hutan belantara, mengukur jalan ratusan kilometer merentasi tiga negeri, menyusur ranjau penuh berliku, gunung sama didaki, lembah sama dituruni. Dengan semangat juang yang tinggi, bukan sahaja menguji ketahanan fizikal dan mental diri, malah turut menguji kemampuan jentera yang ditunggangi. Semuanya dengan motosikal kecil tak lebih daripada 135cc.
Dianggap sebagai satu riadah pada hujung minggu, sekadar untuk merehatkan minda yang semakin berjerebu. Lokasi dituju bukanlah calang-calang, Cameron Highlands destinasi kami. Tinggalkan semua anak dan bini, kononnya nak rasa bujang kembali, bukan selalu dapat begini. Kami memilih laluan yang belum pernah kami terokai, laluan baharu yang belum wujud lagi dalam Google Maps. Itulah laluan Karak – Bentong – Raub – Sungai Koyan – Pos Betau – Ringlet – Tanah Rata.
Terlalu rapi perancangan kami, semua kelengkapan kalau boleh nak diangkut sekali. Bukan setakat spanar dan pemutar skru sahaja, malah semuanya lengkap kalau nak baraikan sebiji motor pun takde masalah barangkali.
Kami lapan orang semuanya dari satu tempat kerja, kecuali seorang anak buah En. Najmudin. Dengan jentera pacuan yang masih standard seadanya, tiada modifikasi ekstrim telah dilakukan, maklumlah motor cari makan. Hari-hari guna pergi dan balik kerja. Lagi pun kami bukannya belia remaja lagi, ada seorang tu anak dah masuk universiti.
Tema kami kali ini - "Cub Chai for a Cup of Tea", siap dengan t-shirt khas kami tempah sendiri, warna hijau sama macam warna ladang teh tempat kami nak pergi.
Hari Pertama: 8.00 pagi: Kami berkumpul di stesen BHP lebuh raya Karak, tidak jauh dari Plaza Tol Gombak. Kelihatan suasana sibuk sekali, ramainya bikers bermotosikal kuasa tinggi, memenuhi setiap ruang dan inci, untuk weekend ride seperti kami. Walaupun jentera kami comel-comel belaka, tidaklah kami merendah diri, malah kami amat berbangga kerana mampu melakukan perkara yang orang fikir hanya boleh dilakukan oleh motosikal berkuasa tinggi sahaja. Namun terasa jauh di sudut hati, ada jugalah sikit rasa dengki, haiii… bilalah boleh miliki motosikal besar berkuasa tinggi.
Kami memulakan perjalanan dengan purata kelajuan antara 100 ke 120 kilometer sejam. Dari Lebuh Raya Karak, segera masuk ke bandar Bentong dan singgah di suatu medan selera, Benteng namanya untuk mengalas perut yang mula lapar. Untuk sarapan, kedai ni jual nasi sahaja. Ada nasi lemak, nasi kerabu dan nasi dagang. Pilihlah mana suka.
Check point kami seterusnya adalah pekan Raub. Masing-masing penuhkan tangki minyak motor dulu. Laluan Bentong – Raub jalan clear, maka kami pun ambil kesempatan untuk membuat pecutan agresif di satu dua tempat.
Sampai pekan Raub jam 11.00 pagi untuk isi minyak. Maklumlah motor tangki kecil. Walau pun ada yang bawa minyak spare isi dalam botol, tapi yang itu kita reserve dulu untuk keperluan yang betul-betul mendesak, waktu mendaki nanti. Tengah-tengah Banjaran Titiwangsa tu, stesen minyak mana nak cari?
Kami ke Sungai Koyan melalui jalan Raub, laluan yang sangat asing yang tidak pernah dilalui. Menyusuri jalan-jalan kampung dan sesekali menempuh laluan di tengah ladang kelapa sawit, jalan ini tidaklah terlalu sibuk dengan kenderaan walau pun ia merupakan jalan alternatif ke Kota Bharu, Kelantan. Perjalanan lancar sesekali digegarkan dengan deruman konvoi penunggang motosikal berkuasa tinggi yang turut sama memecut ke Cameron Highlands. Tidak terkecuali, ada juga konvoi skuter berkuasa tinggi turut sama memotong kami.
Jam 11.45 pagi, kami tiba di Petronas Sungai Koyan. Ini adalah stesen minyak terakhir sebelum proses pendakian bermula. Dari sini kami bakal kehilangan seorang penunggang berkaliber apabila En. Syahrir bakal meninggalkan konvoi dan berpatah balik ke Kuala Lumpur memandangkan beliau ada hal. Walau pun sedikit ralat kerana konvoi kami bakal kehilangan seorang peserta yang berdedikasi, namun jauh di sudut hati, kami kagum dengan kesanggupan beliau untuk mengikut kami hingga sejauh ini. Patah balik ke KL seorang-seorang pula tu!
Perjalanan merentasi Banjaran Titiwangsa dari Sungai Koyan ke Cameron Highlands ternyata satu pengalaman yang menakjubkan. Jalannya lebar, dengan selekoh-selekoh yang lebih panjang dan juga banyak laluan lurus serta pendakian tidak terlalu curam jika dibandingkan dengan laluan Tapah atau Simpang Pulai.
Di tengah-tengah perjalanan kami hanya berhenti sekali sahaja, itu pun sekadar untuk menambah minyak jentera tunggangan En. Bazid yang sudah hampir kering.
Ketika sampai di Ringlet, cuaca tiba-tiba berubah begitu cepat sekali. Langit pun mendung bagaikan hujan akan turun bila-bila masa sahaja lagi. Kami tidak menunggu lama di sini memandangkan perjalanan sudah tidak jauh. Perut juga sudah berkeroncong minta diisi. Lalu kami teruskan perjalanan ke Tanah Rata.
Dari Ringlet ke Tanah Rata kami lebih berhati-hati kerana trek basah dan kenderaan agak banyak. Sesekali berselisih juga dengan bas dan lori. Sejurus melintas di hadapan pintu masuk ladang teh Bharat, kami tersentap melihat satu kemalangan, membabitkan sebuah motosikal yang masih belum dialihkan dan terbaring di tengah jalan raya. Lebih ngeri melihat tompokan darah serta jasad yang sudah dibungkus di dalam plastik hitam terbaring kaku di dalam Land Rover polis. Kami syak mangsa orang tempatan, apabila terlihat sekumpulan orang asli berkeadaan kelam-kabut seolah-olah tidak keruan.
Pada jam 2.20 petang, tibalah di Kompleks Gerai Makan MDCH (Majlis Daerah Cameron Highlands) yang terletak di tengah-tengah pekan Tanah Rata untuk bersantap hidangan tengah hari sambil menunggu tuan punya apartment penginapan kami datang menyerahkan kunci. Walau pun masing-masing makan nasi dengan lauk yang biasa-biasa sahaja tapi harganya amatlah luar biasa. Campur air, masing-masing terpaksa mengeluarkan belanja sekitar RM10.00 seorang.
Kami membuat kesimpulan, kos logistik boleh dijadikan alasan. Nak bawa ikan, sotong atau udang bukannya senang. Atas bukit ni mana ada laut atau sungai yang ada ikan? Lori mesti kenakan cas tambahan. Lagi pun tempat pelancongan.
Dah dapat kunci dan kami sampai ke istana hinggap yang diberi nama Puncak Arabela. Nama bukan main komersil lagi, ingatkan apartment untuk pelancongan, rupanya kawasan kediaman yang diduduki penduduk tempatan. Disewakan ala homestay yang lengkap dengan semua kemudahan dari barang dapur semua ada kalau nak masak cari bahan mentah sahaja. Bilik juga memuaskan siap ada tilam tambahan lagi cuma bilik air sahaja ada satu.
Tengah syok-syok melepakkan badan yang sasa, hujan pun turun, tak sangka pula berpanjangan. Perancangan petang ni untuk ke Sungai Palas macam tak jadi. Nak keluar sejuk sekali. Hujan pula macam tak nak berhenti. Tak tertahan dengan dibelenggu kebosanan, kami sepakat nak keluar redah hujan. Ke pekan Brinchang destinasi kami, cari makanan. Hujan-hujan begini perut selalu sahaja minta diisi.
Kami meredah kedinginan petang sambil badan menggigil menahan kesejukan. Pengalaman bermotosikal dalam hujan di Cameron mungkin tidak akan dilupakan. Sudahlah berada di kawasan tanah tinggi yang dah sememangnya sejuk, hujan pula tu, naik motor lagilah dengan angin sepoi-sepoi bahasa, tangan pun kebas sebab tak pakai glove, kalau pakai gerenti basah.
Selesai makan, kami kembali menyejukkan diri meredah hujan menuju ke Kea Farm pula. Sekadar bersiar-siar serta mencari ole-ole untuk dibawa pulang keesokan harinya. Setelah selesai membeli belah, kami pun pulanglah ke tempat parking motor. Elok jer semua dah nak gerak, tiba-tiba motor En. Bazid tumbang lalu menghempap tubuh badannya yang comel itu. Rupanya beliau lupa buka kunci tambahan pada disk brek motor dia.
Hari Kedua: Jam baru 6.30 pagi tapi sudah ada yang bangun lalu mengejutkan rakan-rakan untuk menunaikan kewajipan. Setelah bersarapan mi Maggie, kami dengan cergasnya bersiap-siap untuk bergerak ke Sungai Palas, bagi mencapai objektif konvoi ini… Cub Chai for a Cup of Tea.
Dengan jumlah kenderaan yang sangat banyak, dengan kesesakan di beberapa kawasan seperti di Brinchang dan Kea Farm, kumpulan kami sesat seketika. Akhirnya kami mula mendaki laluan sempit berbengkang-bengkok merentasi ladang-ladang teh saujana mana memandang menuju ke Sungai Palas Tea Centre untuk menikmati teh mai secawan sambil bersarapan. Sempat singgah bergambar kenang-kenangan di tengah-tengah ladang teh yang subur menghijau.
Bersarapan ala Inggeris sambil menghirup teh berkualiti tinggi merupakan pengalaman baru lagi unik buat kami. Lupakan nasi lemak atau roti canai atau mi goreng, di sini yang kedapatan hanyalah pelbagai teh yang harus dijamu bersama roti, pastri dan bakeri. Walaupun harganya mahal, anda bukan sahaja membayar harga untuk secawan teh, tapi pengalaman serta keindahan panorama tu yang priceless.
Kami melawat kilang pemprosesan teh yang terletak bersebelahan dengan kawasan restoran untuk melihat sendiri bagaimana daun-daun teh yang segar dari ladang dilunyai oleh mesin-mesin yang besar gedabak. Daun-daun teh ini kemudiannya diproses, dikering dan dibungkus ke dalam guni-guni yang besar untuk dibawa ke Kuala Lumpur bagi pembungkusan dan pengedaran ke seluruh negara.
Masa untuk pulang! Kali ini kami menggunakan jalan ke Tapah untuk turun dari puncak Cameron. Keseronokan meratah selekoh-selekoh tajam sepanjang penurunan agak terbantut dengan keadaan trek yang kurang memuaskan. Kami terpaksa memberikan fokus maksimum kerana terdapatnya jalan-jalan yang dihalangi oleh runtuhan tanah di beberapa tempat kesan daripada hujan sepanjang malam tadi. Kami mengambil keputusan untuk masuk ke lebuhraya bagi mempercepatkan perjalanan.
Jam sudah 2.15 petang, kami singgah di bandar Tapah untuk berehat dan makan tengah hari. Check point terakhir kami adalah R&R Jejantas Sungai Buloh dan dapat menikmati A&W Root Beer Float untuk menghilangkan dahaga. Wah... nyaman sekali! Kami berpisah di sini, setelah bersalam-salaman dan mengucapkan selamat tinggal, kami lantas bergerak pulang ke rumah masing-masing.
Ucapan ribuan terima kasih di atas penglibatan rakan sekerja yang bersama-sama menjayakan ekspedisi kali ini. Walaupun hanya dengan cub, kami berbangga kerana ekspedisi ini berjaya mencapai objektifnya untuk menikmati secawan teh di Cameron Highlands. RR
- Zuri Aqim
Popular