Isu Terkini

Julai 2024

Kembara / 12 Julai 2018

Journey of 100,000 Smile Bersama Alex & Allyson - Bahagian 1

Pada tahun 2006, saya telah mendapat serangan jantung dan pengalaman berasa langsung tidak berdaya untuk beberapa jam dan sifar kawalan bagaikan menyedarkan saya bahawa wang tidak dapat membantu atau membeli masa walau untuk sesaat. Ia benar-benar woke me up!” Kata Alex Wong, seorang pesara, berwarnegara Malaysia dalam lingkungan umur 50an.

Dua tahun kemudian, Alex membuat keputusan untuk membeli sebuah jentera BMW R 1200GS Adventure untuk melakukan pengembaraan ke negara China. Tetapi sebelum itu, dia memahirkan diri dengan berkonvoi ke seluruh semenanjung, kembara ke negara-negara Asean seperti Thailand, Kemboja, Laos, Yunan dan lain-lain. “Saya amat menyukai jentera ini kerana walaupun ia besar dan tinggi, GSA adalah sebuah jentera yang sangat mudah untuk difahami dan ditunggang. Ia benar-benar mesra penunggang dan membolehkan saya cepat mahir.

Kawasan pergunungan di Alaska.
Kawasan pergunungan di Alaska.

Pada tahun 2011, Alex telah membaca kisah pengembaraan dari Ushuaia, Argentina ke Deadhorse, Alaska yang dilakukan oleh Stmrock Wong seorang warga Singapura yang telah menambah keyakinan dan keinginannya untuk mengembara dengan lebih jauh. “Memandangkan impian untuk menunggang di China tidak kesampaian, saya membuat keputusan untuk melakukan Ride De Americas,” kata Alex.

Alex membuat penyelidikan dan perancangan selama dua tahun dengan membuat bacaan, penelitian dalam internet dan meminta pandangan daripada rakan-rakan yang berpengalaman. Dalam pengembaraan Alex, dia tidak pernah menetapkan tarikh atau jangka masa untuk tiba di sesebuah destinasi. Bagi Alex pengalaman melihat keindahan negara luar seperti muka bumi, budaya, masyarakat dan gaya hidup adalah keutamaan. Menurut Alex, jika sesebuah tempat, bandar atau negara itu menarik minatnya, dia akan berhenti untuk jangka masa yang lama demi untuk menikmati setiap detik di sana.

Pada Julai 2013, Alex dan isterinya memulakan pengembaraan mereka di Vancouver, Canada menuju ke Alaska sehingga tiba di titik paling utara Amerika Selatan, iaitu Deadhorse. “Kami terpaksa berhenti kira-kira 400 kilometer iaitu di bandar Coldfoot sebelum tiba di Deadhorse kerana ada masalah dengan tempat penginapan dan membuat keputusan untuk turun semula ke sempadan Amerika yang mengambil masa kira-kira sebulan perjalanan.”

Jalan Coldfoot ke Deadhorse amat jarang digunakan melainkan oleh trak-trak besar, lori tangki, para pelancong dan pengembara. Ia sangat sejuk di antara 12o hingga -0o tetapi tiada salji dan terlalu senyap – tiada bunyi. Pokok di sana juga rendah-rendah belaka, mungkin disebabkan kadar cuaca dan muka bumi.

Alex kemudiannya singgah di Denali National Park, sebuah taman negara seluas 6 juta ekar. Walaupun terdapat banyak sungai, gunung ganang keadaan di sana tidak seperti di Malaysia di mana pokok-pokoknya tinggi-tinggi belaka. Pokok di Denali Park rendah menyebabkan para pengembara dapat melihat kehidupan liar dengan lebih mudah.

Berkhemah di Denali National Park.
Berkhemah di Denali National Park.

“Binatang di sana pun tidak boleh menyorok sebab tiada pokok besar. Kami berkesempatan untuk menaiki kapal cruise untuk melihat ikan paus, glasier dan oleh kerana ia adalah pengalaman baru buat saya dan Allyson, kami terlalu teruja sehinggakan hilang rasa sejuk. Ia juga merupakan pengalaman berkhemah pertama buat kami berdua. Memang seronok kerana sama-sama mencuba satu perkara baru dan terima kasih buat pemilik homestay di Vancouver yang telah mengajar kami cara-cara berkhemah.”

Alex turut bertemu dengan ramai kenalan baru yang majoritinya menyarankan agar dia membeli teropong untuk melihat burung dan beruang. Ini sangat penting demi menjaga keselamatan diri terutamanya ketika menunggang dan bermalam di tamannegara. Alex juga dinasihatkan untuk membeli bear spray untuk menghindari beruang daripada mendekati kawasan perkhemahan.

Memang seronok menunggang GS bersebelahan sekumpulan bison.
Memang seronok menunggang GS bersebelahan sekumpulan bison.

“Dari Vancouver ke Alaska dan ketika kembali semula ke Canada, saya pernah berdepan dan melihat beruang dari dekat sebanyak empat kali. Ada ketikanya jarak kami tidak sampai 50 meter. Saya terlintas untuk mengambil gambar tetapi terfikir pula kalau beruang itu tiba-tiba ingin menyerang, bagaimana nak lari? GS kami pun seberat 460kg. Oleh sebab itu, niat tersebut terpaksa dibatalkan dan saya terus meninggalkan beruang hitam itu - Nasib baik tidak ada apa-apa yang berlaku,” ujar Alex sambil tersenyum.

Di sana juga terkenal dengan binatang seperti seladang iaitu bison. Ia 50% besar daripada lembu di Malaysia dan Alex cukup beruntung kerana dapat menunggang bersebelahan dengan bison-bison ini. Menurut Alex, ia adalah satu pengalaman yang unik tetapi agak menakutkan lebih-lebih lagi jika sekumpulan binatang kuat itu ingin menyerang.

Ketika berada di sana, Alex dapat menunggang selama 12 jam kerana matahari hanya akan terbenam lebih kurang pada jam 2.00 pagi dan waktu malam hanya untuk tiga jam sebelum cerah semula. Walaupun begitu, menunggang di dalam suhu purata 4c memang agak menyukarkan tambahan pula jentera BMW yang dibawanya dari Malaysia tidak disertakan dengan pemanas pendikit.

Selepas sebulan, Alex tiba di Seattle, Washington, Amerika Syarikat dan meneruskan perjalanan ke beberapa Taman Negara di Amerika bermula dengan Glasier National Park, Montana. Taman negara ini terkenal dengan jalan menyeberangi kawasan pergunungan yang digelar 'Going-to-the-Sun Road.’ Selain memiliki kawasan mendaki (hiking) sejauh 1,126 kilometer, taman negara ini menawarkan pemandangan yang sangat cantik dan sangat bersih.

“Ketika berada di sana, pemandangan sekitar saya kelihatan seperti sebuah lukisan dan memang sukar nak gambarkan dengan kata-kata melainkan perlu sendiri menikmatinya di sana. Itulah keunikan Amerika, walaupun sedang mengecapi kemodenan dengan bangunan pencakar langit, mereka tetap memelihara kawasan hutan yang usianya ribuan tahun agar dapat dinikmati oleh semua generasi.”

Montana juga terkenal dengan bandar dan masyarakat Cowboy dan Indian. Terdapat lebih kurang 11 puak Indian di sini antaranya Assiniboine, Blackfeet, Chayenne, Crow, Kootenai dan lain-lain. Alex singgah di Little Bighorn Park yang merupakan tempat menyimpannya memori pertempuran di antara pihak tentera U.S Army's 7th Cavalry yang diketuai oleh Lt. Col. George A. Custer dengan puak Sioux dan Chayenne pada tahun 1876 lalu. Terdapat banyak informasi, kawasan yang masih dipelihara dan gambar yang membuatkan Little Bighorn Park ini begitu istimewa untuk dikunjungi.

Perjalanan seterusnya ialah melalui Wyoming, Utah, California dan Arizona. Alex sekali lagi berhenti berehat di beberapa taman negara seperti Yellow Stone kerana begitu sukakan pemandangan dan ketenangan di sana. Untuk lebih mudah, Alex membeli pas masuk ke taman negara pada harga USD80 untuk dua orang, sebuah kereta/motosikal yang membolehkan mereka masuk ke semua taman negara di Amerika dalam masa setahun. Pas berbentuk kad ini boleh didapati di semua pusat informasi di taman negara.

Bergambar kenangan ketika dalam perjalanan di Utah.
Bergambar kenangan ketika dalam perjalanan di Utah.

Selepas agak lama di Yellow Stone, Alex dan Allyson menyambung kembali perjalanan mereka menuju arah California yang terkenal dengan Salt Lake City, Utah kemudian ke sebelah barat iaitu Nevada dan Lake Tahoe. Kesempatan inilah diambil sebaik-baiknya oleh Alex untuk bermotosikal di satu lagi destinasi iaitu Yosemite National Part yang memiliki pemandangan memukau dengan pokok-pokok berusia ribuan tahun, Redwood Tree.

“Jalan di taman negara ini juga direka bersudut untuk memberi keseronokan buat para penunggang motosikal. Apabila tiba di selekoh, sudut jalannya telah dibuat agar kita dapat membelok dengan lebih kemas. Penunggang akan dapati pemandangan di hadapan lebih jelas dan lebih cantik sehingga beberapa kali saya menunggang bersebelahan dengan sekumpulan rusa. Di antara jam 5.00 – 6.00 petang, makin banyak binatang keluar. Oleh kerana begitu cantik, lima hari kami di sana!”

Yosemite National Part terkenal dengan pokok-pokok berusia ribuan tahun, Redwood Tree.
Yosemite National Part terkenal dengan pokok-pokok berusia ribuan tahun, Redwood Tree.

Alex juga berkesempatan untuk menunggang di sebuah lebuhraya terkenal di Amerika iaitu Pasific Coast Highway 1 yang terletak bersebelahan dengan Lautan Pasifik yang berwarna biru gelap. Bagi mereka yang ingin ke sini, memang sangat disarankan kerana masyarakat di sini cukup ramah dan harga untuk barangan juga tidak mahal.

Antara destinasi semulajadi yang dilawati ialah Bryce Canyon, kawasan pergunungan Moab, Canyonlands, Monumen Valley (lokasi popular untuk filem cowboy) dan semestinya singgah di Grand Canyon yang terletak di sebelah selatan. Berbeza dengan taman negara yang dikunjungi sebelum ini, kawasan ngarai sangat luas dan sangat sunyi. Duduk sahaja di tebing-tebing atau di mana sahaja, mata kita akan memandang sejauh yang mampu dan deria pendengaran kita hanya dapat 'menangkap' bunyi desiran angin yang cukup mententeramkan yang sekali sekala diselangi dengan 'pekikan' burung helang yang terbang bebas. Sememangnya 'suara alam' tidak boleh ditandingi oleh apa pun.

“Saya juga pernah berada di satu kawasan ladang yang sangat-sangat luas. Pandang kiri, pandang kanan, pandang depan dan belakang... ladang tersebut bagaikan tiada sempadan. Jarak di antara satu-satu rumah juga tersangat jauh dan dikhabarkan mereka ini jauh ketinggalan dengan dunia sebenar walaupun tinggal di dalam Amerika. Ini kerana tanah yang sangat luas membuatkan mereka lebih banyak masa di rumah dan mendapat segala info hanya menerusi peti televisyen. Tidak terkejut jika masyarakat sebegini tidak pernah sekalipun melihat dan merasakan hembusan angin laut atau kesegaran udara di hutan-hutan segar.”

“Ketika di Malaysia, saya adalah di antara pasukan yang menerima projek pembinaan sebuah masjid di Putrajaya. Dalam perbincangan awal, pihak pengurusan masjid mahukan kami merekabentuk ruang solat yang sangat luas demi melahirkan perasaan kerdil seseorang manusia itu berbanding Sang Pencipta. Perasaan ini kembali datang pada saya ketika berada di tengah-tengah ladang yang seluas itu.”

Selepas empat bulan di Amerika, Alex kemudiannya membuat keputusan untuk menyambung pengembaraannya ke Mexico melalui Arizona. “Ketika di bandar Pheonix, saya dinasihatkan oleh warga tempatan dan pihak polis agar tidak ke Mexico menggunakan jalan tengah atas faktor keselamatan. Saya kemudiannya menukar laluan dari Yuma, Arizona ke Baja California yang terletak di semenanjung Mexico dengan merentasi kawasan gurun sejauh 2,500 kilometer.”

Keindahan alam yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Keindahan alam yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

Baja merupakan sebuah negeri yang cukup kering. Suhu di waktu siang ialah sekitar 22c ke 25c manakala di sebelah malamnya suhu jatuh serendah 15c. Baja juga terkenal dengan rekabentuk bangunan lama yang masih dipelihara dengan baik. Alex berhenti dan menetap di Guerero Negro, Baja selama hampir dua bulan kerana ingin melihat ikan paus dari dekat dan sempat juga untuk meraikan Hari Raya Cina di sana.

“Saya amat suka dengan keadaan di sini, air lautnya...crystal clear dan sangat-sangat bersih. Antara pengalaman paling unik yang sempat kami lakukan ialah berenang bersama singa laut, melihat ikan paus kelabu (grey whale) yang datang ke Baja untuk melahirkan anak. Jika ada rakan-rakan yang berminat untuk melihat keunikan alam ini, ikan paus akan datang ke sebuah lagun iaitu di Ojo De Liebre yang bermaksud 'Eye of the Rabbit' untuk mendapatkan bekalan plankton dan beranak pada pertengahan Januari hingga Mac setiap tahun. Ojo De Liebre juga merupakan tempat perlindungan ikan paus pertama di dunia.”

Selepas dua bulan berlalu, Alex menyeberangi Mexico untuk destinasi seterusnya iaitu di Copper Canyon yang merupakan ngarai terbesar di dunia dan singgah di bandar Mazatlan. Ia merupakan sebuah bandar nelayan 'lama' yang kaya dengan hasil laut dan melihat lebih dekat burung undan atau pelikan. Alex dan Allyson menghabiskan masa kira-kira tiga bulan di sini, jatuh cinta dengan keramahan, cuacanya yang baik dan keunikan masyarakat di sana. Menurut Alex, hari-hari dia dan Allyson akan ke pelabuhan untuk membeli ikan kerana sangat murah. Ikan sebesar 800 gram baru RM3.00 sahaja.

Di sini juga jenteranya rosak tetapi mujurlah bertemu dengan sepasang suami isteri dari Australia yang juga sedang mengembara ke seluruh dunia (ketika itu pasangan itu sudah tujuh tahun mengembara). Billy (suami) memeriksa jentera BMW Alex dengan sukarela dan dialah yang menjumpai masalah pada motor Alex. Mengetahui masalah yang sedang hadapi, Billy cepat menasihatkan Alex untuk ke pusat servis BMW di Guadalajara yang sejauh 500 kilometer.

“Agak menyedihkan kerana masalah bearing yang saya hadapi tidak boleh dibeli berasingan sebaliknya ia dijual satu set. Jesus, ketua mekanik di situ membawa saya berjumpa dengan pengurus bengkel tersebut, Antonio agar dapat memberi potongan harga untuk alat ganti yang diperlukan. Antonio terus menghubungi BMW Mexico untuk mendapatkan saya Goodwill Warranty dan mereka bersetuju. Ini bermakna saya tidak perlu membayar walau sesen pun kerana saya pengembara asing yang dilanda masalah. Di sinilah kebaikan orang Mexico sangat terserlah dan keistimewaan pemilik BMW yang benar-benar saya hargai tetapi terpaksa menunggu selama tiga bulan.”

Tasik Bacalar berwarna biru dan sangat jernih.
Tasik Bacalar berwarna biru dan sangat jernih.

Walaupun Antonio ingin meminjamkan motosikal gantian untuk Alex tetapi dia lebih selesa menunggang GSAnya kembali ke Mazatlan dengan perlahan-lahan. Tiga bulan di Mazatlan, pasangan dari Malaysia ini dapat belajar memasak, buat telur masin, ikan masin, bertukar-tukar juadah dengan tetamu hotel lain dan dapat meraikan beberapa karnival di sana. Itulah hikmah atas masalah yang menimpa mereka.

Untuk menghargai segala usaha dan pertolongan Antonio dan Jesus, Alex telah menjemput mereka untuk majlis makan malam di sebuah restoran yang dipilih oleh kedua-dua mereka. Lebih mengejutkan, Antonio menawarkan pula penginapan di banglo tepi laut di Puerto Vallarta, Guadalajara.

“Saya menerima tawaran tersebut memandangkan saya mempunyai dua minggu ekstra untuk bertemu dengan dua lagi pengembara motosikal dari Malaysia iaitu Datuk Zamri dan En. Faizal. Sayang sekali, hasrat saya tidak kesampaian kerana terlibat dalam kemalangan. Sebuah lori yang sedang memintas tanpa melihat saya yang sedang datang dari depan. Nasib baiklah saya tidak laju dan berjaya mengelak tetapi terbabas di tepi jalan,”

Alex sekali lagi amat bernasib baik kerana pada masa yang sama, Ketua Hakim Persekutuan bersama polis pengiring menggunakan jalan tersebut dan mereka berhenti untuk mengawal lalu lintas dan memberi pertolongan. Mereka menyangka Alex dan Allyson terbabas sendiri tetapi selepas memberi penjelasan, barulah mereka mengerti situasi yang sedang berlaku ketika itu. Selepas mendapat rawatan, Alex berpatah kembali ke Puerto Vallarta tetapi dua hari kemudian, rusuknya bertambah sakit dan terpaksalah dia ke klinik. Rupa-rupanya empat batang rusuk Alex telah retak dan menyebabkan dia terpaksa berehat untuk kali kedua di negara itu selama enam minggu. Walaupun begitu, hatinya terubat apabila mendapat kunjungan daripada Datuk Zamri dan En. Faizal yang ketika itu secara kebetulan masih dalam perjalanan.

Antara bandar lain yang sangat cantik dan menarik sempat Alex kunjungi ketika di Mexico ialah Tasik Bacalar dan Semenanjung Yucatan. Tasik Bacalar cukup terkenal kerana sifat airnya yang berwarna biru seakan-akan laut dan sangat jernih manakala Semenanjung Yucatan pula memiliki bangunan kuno bernama Chichen Itza dan Conete yang merupakan gua berisi air yang cukup dalam terletak di bawah tanah atau di dalam gua. (Sila google untuk melihatnya).

Suasana menarik di bandar Cuba.
Suasana menarik di bandar Cuba.

“Pada masa yang sama, visa kami hampir tamat dan memaksa kami ke selatan Mexico untuk memperbaharuinya selama enam bulan lagi. Dari selatan, kami kembali berpatah balik ke tengah-tengah Mexico kerana masih banyak tempat yang belum dilawati. Secara keseluruhannya, kami tinggal di Mexico selama setahun dan berkesempatan mengunjungi pelbagai destinasi menarik termasuklah ke Cuba untuk dua minggu.”

Cuba merupakan sebuah negara komunis yang agak terpencil malah tiada langsung sistem pengangkutan udara. Mereka sedang menghadapi masalah kewangan yang amat teruk, tiada pelaburan dari negara luar dan hanya dibantu oleh negara-negara komunis lain seperti China dan Russia. Orang tempatan di sana kebanyakannya tidak bekerja. Oleh kerana terdapat dua jenis matawang (untuk warga negara dan pelancong asing) dan hanya pelancong sahaja dibenarkan membeli belah barangan import di pasaraya dan menurut Alex, harga jualan untuk daging sangat mahal.

Menikmati nasi lemak yang dimasak oleh Allyson.
Menikmati nasi lemak yang dimasak oleh Allyson.
Penduduk tempatan di Cuba yang cukup peramah.
Penduduk tempatan di Cuba yang cukup peramah.

Dari Cuba, Alex dan Allyson merancang untuk bertemu dengan anak mereka di Mexico tetapi hajat tersebut tidak kesampaian lalu memaksa mereka menyimpan motosikal di Mexico City dan terbang ke California untuk bertemu dengan anaknya. Ketika di California (sekali lagi), Alex sekeluarga berkesempatan untuk melawati beberapa lagi tempat baru yang tidak dilalui sebelum ini. RR

Bersambung…..

Isu Pada

Julai 2018

Popular

  • Model Baru

    Rieju Xplora 557 dan 707, Model 'Crossover' Baru dari Sepanyol.

  • Dari Litar

    WorldSBK: Yamaha Pertingkatkan Prestasi Jentera, Jonathan Rea Dapat Ketua Krew Baru!

  • Warta Roda

    Lelaki Lemas, Motosikal Dihanyut Banjir

  • Model Baru

    Suzuki Malaysia Perkenalkan GSX-8R Baru. Harga asas RM53,800

  • Model Baru

    BENDA NAPOLEON BOB 500 - Sudah Berada di Pasaran, Harga Bermula RM27,888

Artikel berkaitan

Kembara Sampai ke Boten

Ride Sri Lanka - Berbelit Jalan Serta Lidah Nak Menyebutnya...

Kuching, Sarawak, Malaysia - Pontianak, Indonesia: 1000km Loop (Bahagian Akhir)

Kuching Sarawak Malaysia - Pontianak Indonesia: 1000km Loop (Bahagian 1)

Sabah 360 Ride 1,800KM Loop (Bahagian II)

Ride Berdua ke Siam

Sabah 360 Ride 1,800km Loop (Bahagian 1)

Ride Ihya Ramadhan TM Bikers Ke Gua Musang, Kelantan

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

WorldSBK: Yamaha Pertingkatkan Prestasi Jentera, Jonathan Rea Dapat Ketua Krew Baru!

Selepas tamatnya sesi ujian di Litar Jerez baru-baru ini, Prinsipal Pasukan Pata Prometeon Yamaha, Paul Denning telah menyatakan bahawa bekas juara WSBK 6 kali iaitu Jonathan Rea kini akan bekerjasama dengan Ketua Krew terbaru, Uri Pallares.

Model Baru

EICMA 2024: Fantic Caballero 700 Edisi Khas - Deluxe & Travel

EICMA, Fantic Caballero 700 baru telah diiperkenalkan dalam dua edisi khas iaitu Deluxe dan Travel.

Dari Litar

Podium Berganda Buat Qabil Di Sepanyol & Raih Keempat Keseluruhan di ESBK

Qabil Irfan menutup musim Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) Moto4 dengan podium berganda di pusingan akhir yang berlangsung di Circuito de Jerez, Sepanyol.

Model Baru

Kawasaki ZX-6R 2025 Sudah Boleh Ditempah Bermula 1 Disember Ini. Harga asas RM59,900

MODENAS telah melancarkan kempen pra-tempahan untuk model ZX-6R terbaru bermula pada 1 Disember 2024 di semua bilik pameran Kawasaki All-Star.