Moped Adventure Touring Ke Pos Titom
Seramai 10 orang pencinta alam semulajadi membuat keputusan untuk bermotosikal ke Pos Titom. Tujuannya, untuk memberi pendedahan merasai perbezaan menunggang di jalanan biasa dan di laluan lasak (offroad). Semestinya, para penunggang mendapatkan pengalaman baru menikmati dunia serba hijau yang belum tercemar. Ini juga merupakan latihan awal kepada rakan-rakan yang akan mengembara ke Himalaya pada Julai 2019 nanti.
Rakan-rakan yang berani menyahut cabaran ini terdiri daripada pemilik jentera Yamaha 135LC, Yamaha Y15ZR dan Honda RS150R. Mereka ialah Don Danial, Wak Azlie, Sajok, Bob, Abg Mie, Aypul, Ijam, Chek, Adep dan Azrul.
Kami berkumpul di BHP Gombak seawal jam 8.00 pagi dan telah diberikan sedikit taklimat ringkas berkaitan program oleh Sdr Don Danial selaku Ketua Ekspedisi tersebut. Kami berhenti untuk mengisi petrol pada jam 10.00 pagi di PETRONAS Jalan Tras Bentong, Pahang. Selepas itu kami meneruskan semula perjalanan ke check point seterusnya iaitu di Petron Felda Sg Koyan. Konvoi sampai ke tempat yang dituju lebih kurang pada jam 11.30 pagi.
Kami berehat untuk makan tengahari di Gerai berhampiran sementara itu menunggu rakan yang lain dari Penang (Azrul) dan Abg Mie dari Melaka. Setelah semuanya selesai kami meneruskan perjalanan ke Pos Samui (sebelum memasuki Pos Titom) yang jaraknya dalam anggaran 35 kilometer.
Kami telah melalui jalan pembalakan yang penuh dengan lumpur serta tanah merah. Mujur pada hari tersebut keadaan tidak seteruk minggu lepas disebabkan hujan lebat yang berterusan. Selama satu jam setengah kami mengharunginya sehingga tiba di satu anak sungai yang perlu diharungi untuk ke Pos Titom. Walaupun sukar, kami semua berjaya meneruskan perjalanan dengan jayanya!
Sampai di anak sungai tersebut, kami bertemu dengan sekumpulan orang asli yang menyediakan perkhidmatan rakit yang boleh membawa motosikal bersama dengan mengenakan bayaran RM5.00 untuk sebuah motosikal.
Perkhidmatan tersebut pula hanya boleh digunakan jika paras air sungai tidak terlalu dalam dan arusnya juga tidak begitu deras. Sungai tersebut adalah jalan pintas untuk ke Pos Titom. Syukur, kami semua dapat pengalaman baru dengan merasai menyeberangi sungai dengan menaiki rakit buatan sendiri oleh masyarakat orang asli.
Setelah semua selesai menyeberang, kami meneruskan perjalanan semula. Menurut masyarakat setempat, perjalanan seterusnya mengambil masa dalam satu jam setengah untuk sampai ke Pos Titom dan kali ini akan melalui jalan berbatu/simen yang lebih baik berbanding perjalanan sebelumnya.
Ketika perjalanan hampir sampai ke tapak perkhemahan di Pos Titom, kami melalui beberapa kampung orang asli dan apa yang uniknya, ada di antara mereka masih mengekalkan tradisi turun menurun nenek moyang walaupun pihak kerajaan telah menaiktaraf perkampungan tersebut dengan menyediakan rumah batu, jalan tar, satelit tv dan sebagainya.
Hampir tiga jam jugalah kami melalui jalan-jalan berliku. Akhirnya kami selamat sampai di Tapak Perkhemahan Pos Titom. Sebaik sahaja sampai, kami terus membahagikan tugas seperti pemasangan khemah, pembersihan kawasan, penyediaan makanan dan pencarian kayu api. Seorang wakil dari ahli kami telah berkunjung ke rumah Tok Batin untuk memaklumkan kehadiran kami ke tapak perkhemahan tersebut. Tok Batin memberi keizinan kepada kami dan memberikan sedikit penceritaan, pengalaman dan pantang larang ketika berada di situ. Kami juga telah membeli seekor ayam untuk dijadikan juadah makan malam.
Kesedapan masakan yang kami sediakan amat berbeza sekali walaupun juadah yang disediakan ringkas. Mungkin kerana penyediaan masakan tersebut kami lakukan bersama-sama serta suasana malam di dalam hutan yang amat jarang kami rasai. Sambil menikmati hidangan, kami sempat berkongsi pengalaman bersama sama tentang kisah dan pencapaian pengembaraan lain yang pernah dilalui. Banyak cerita dan ilmu pengetahuan dapat dikongsi bersama.
Selesai makan malam, ada antara kami yang meneruskan aktiviti malam dengan memancing, berbual-bual dan ada yang terus tidur. Walaupun tidaklah begitu lama. Pelbagai kenangan kami dapat pada malam tersebut. Maklumlah bila berkumpul, pelbagai cerita dikongsi bersama. Tepat jam 1.30 pagi kami semua masuk ke khemah untuk tidur dan pada masa yang sama hujan pun mulai turun.
Keesokan harinya, kami bangun untuk bersiap-siap pulang ke rumah masing masing. Sebelum keluar Pos Titom, kami membersihkan kawasan sekitar tapak perkhemahan terlebih dahulu dan memeriksa segala kelengkapan termasuk motosikal kami agar tiada barang yang tertinggal. Reputasi kumpulan dari aspek kebersihan tempat tersebut amat kami titikberatkan demi menjaga alam sekitar yang masih terpelihara.
Kami juga mengambil gambar kenangan di tapak perkhemahan tersebut untuk mengabdikan dalam diri kami semua. Kami amat berterima kasih kepada Tok Batin Pos Titom kerana memberikan kerjasama yang baik sepanjang kami berada di sana. Sedikit taklimat ringkas berkenaan jadual pulang telah diberikan oleh Ketua Ekspedisi.
Terdapat dua atau tiga tempat check point dalam perjalanan pulang yang perlu kami tinjau dan berhenti seketika untuk mengambil gambar. Kami berkumpul semula di Petron Sg Koyan dan menjamu selera di gerai berhampiran. Oleh kerana motosikal penuh dengan lumpur tanah merah, ada di kalangan kami yang sempat mencucinya. Selesai semua, kami meneruskan perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dan perhentian terakhir kami adalah di Hentian Genting Sempah.
Kami bersalam-salaman dan mengucapkan selamat tinggal kepada semua dan bercadang untuk melakukan pengembaraan lagi di tempat yang berbeza. RR
- Jok Jerung@sajok
Popular