Isu Terkini

Julai 2024

Kembara / 9 Oktober 2020

Melawati Ghostly Town Bersama Honda Gold Wing Tour 2018

Amerika merupakan sebuah negara yang cukup besar, rakyatnya juga banyak dengan jumlah kira-kira 320 juta orang. Saya adalah seorang yang mesra dan ramah tetapi ada ketikanya, saya lebih suka bersendirian. Saya gemar mengembara ke kawasan atau daerah yang kurang berpenduduk. Terdapat banyak negeri di Amerika yang penduduknya hanya seramai kira-kira 900 orang di satu daerah yang berkeluasan 5,776 kilometer persegi. Ini bermakna, setiap jarak untuk satu-satu rumah atau tempat tinggal ialah kira-kira 6.5 kilometer persegi. Jauh sangat tu... Saya tak pasti ada berapa banyak menara telefon di kawasan ini dan pastinya saya telah melakukan satu tindakan yang bodoh dengan meninggalkan telefon di rumah.

Jumlah populasi yang dikongsi tadi adalah mengikut bancian pada tahun 2010 lalu – agak menurun berbanding tahun 2000 yang jumlah penduduknya sebanyak 917 orang. Bancian penduduk seterusnya akan dilakukan pada tahun 2020... sama-sama kita nantikan. Nama asal daerah yang saya kunjungi ialah Esmeralda, sempena batu permata berwarna hijau (Emerald) atau Zamrud yang ditemui pada tahun 1860an. Seperti yang kita tahu, Nevada merupakan sebuah negeri yang kaya dengan sumber mineral seperti emas, perak dan yang terkini ialah litium.

Saya menunggang sebuah Honda Gold Wing Tour yang menggunakan enjin bersesaran 1,833cc. Walaupun saiz enjinnya sama dengan model sebelum ini, ia sebenarnya adalah sebuah jentera yang serba baru. Antara yang paling ketara ialah beratnya kini telah berkurangan sebanyak 38.5kg, hantaran kuasanya kini meningkat kepada 100hp pada 5,500rpm dan tork lebih 100ft-lb pada 2,300rpm. Perubahan besar yang dilakukan pada bahagan casis ialah penggunaan fork hadapan Hossack-Style yang terbukti lebih meyakinkan. Kemantapan saspensi ini juga disebabkan ia boleh dilaras secara elektronik menerusi butang yang terdapat pada bar hendalnya.

Saya menggelarkannya 'Goldie' dan ia dilengkapi dengan sistem transmisi manual enam kelajuan berbanding model yang menggunakan sistem transmisi automatik DCT tujuh kelajuan. Cermin pengadang udaranya boleh laras, ada paparan GPS, sistem hiburan dan untuk keselesaan menunggang di waktu sejuk, model ini turut diperhebatkan dengan pemanas pendikit.

Goldie sememangnya lebih sesuai untuk jalanan biasa berbanding kawasan tanah dan lasak tetapi untuk ke satu-satu lokasi menarik, kita terpaksa melalui pelbagai jenis jalan dan muka bumi. Saya akui, tayar-tayarnya yang lebar dan gemuk mencengkam hebat di kawasan tanah yang keras.

Ketika membaca sebuah majalah, di dalam petikan tersebut memaklumkan bahawa terdapat sebuah kelab motosikal yang sedang membuat rancangan untuk mengembara ke sebuah `ghostly town’ (bandar berhantu) iaitu Gold Point. Ia adalah kawasan perlombongan yang penting untuk jangka masa yang agak lama. Asalnya, tempat ini popular untuk mereka yang ingin dapatkan perak tetapi pada tahun 1927, emas juga dijumpai di sini. Perlombongan ini agak sibuk selama 35 tahun sehingga berlakunya insiden kemalangan letupan yang menyebabkan segalanya terhenti dan tinggal sejarah.

Dari Betty, Nevada, saya menggunakan jalan US 95 untuk ke utara dan sebaik sahaja melepasi Stonewall Pass, saya dan Goldie memasuki daerah Esmeralda. Masuk simpang kiri di Lida Junction untuk berada di State Route 266, jalan dua lorong yang berkeadaan baik. Tidak lama saya memacu jentera Honda ini, saya ternampak papan tanda ke Gold Point yang didirikan oleh Perbadanan Sejarah Negeri. Kirakira 11 kilometer dari papan tanda itu, kami berdua (saya dan Goldie) tiba di sebuah kawasan usang yang memaparkan kehidupan dan gaya hidup komuniti di kawasan perlombongan bersejarah itu.

Penduduk di sini tidak sampai 12 keluarga dan terdapat banyak tanda 'Di Larang Masuk' untuk memastikan para pengunjung tidak mengambil barangbarang berharga seperti kayu dan logam yang dimiliki oleh beberapa individu di sana. Saya berhenti di sebuah bangunan panjang yang terdapat meja berkelah di hadapannya. Ada terdengar alunan muzik di dalam dan saya terus mengetuk pintu yang terkunci – tiada jawapan. Saya bermundar mandir di kawasan sekitar agak lama dan satu-satunya 'aktiviti' yang terdapat di sana ialah arnab 'jackrabbit' yang aktif melompat ke sana ke mari.

Kalau kita lihat menerusi komputer (internet), kita akan mendapati beberapa syarikat yang melakukan perkhidmatan di sini. Mereka menyediakan makanan dan tempat tinggal di beberapa kabin yang telah direka semula. Memang menarik bermalam di sini cuma saya tidak pasti dengn syarikat manakah kelab motosikal selalu berhubung. Saya juga ternampak tempat perlaksanaan hukuman gantung yang baru dibina seperti dahulu kala. Menarik, cuma tali gantung sahaja terlalu nipis.

Ayuh kita kenang sedikit kisah silam. Ketika era 'California Gold Rush' yang tercetus pada tahun 1849, ramai para pelombong di Nevada telah berhijrah ke California dan ada juga yang menetap untuk mencuba nasib di kawasan yang tandus ini. Pada tahun 1861, Nevada dijadikan wilayah manakala Esmeralda diiktiraf sebagai daerah. Puak Indian seperti Shoshone dan Paiute turut hidup di kawasan yang sama tetapi mereka akan berpindah mengikut musim-musim tertentu.

Pastinya mereka akan tertanya-tanya, apa tujuan orang kulit putih mengorek tanah di kawasan tersebut bersungguh-sungguh. Tiada apa yang ditemui di situ sehinggalah pada awal 1900. Apabila terjumpanya bahan mineral yang berharga, makin ramai yang datang berkampung termasuklah syarikat-syarikat perlombongan.

Saya kemudiannya meneruskan perjalanan ke satu lagi pusat perlombongan yang terletak di jalan SR 266. Tempat ini juga ada kisah manis dan pahitnya. Ia ditutup ketika berlakunya Perang Dunia I. Pejabat Pos pertama di kawasan ini dibuka pada tahun 1873 dan ditutup pada tahun 1918. Ia kini adalah hak milik persendirian yang mempunyai tiga peti surat di hadapan pintu masuknya. Tiada apa yang menarik dapat dilihat melainkan kita menceroboh.

Goldie mudah untuk dihalakan ke mana sahaja yang kita mahu. Saya kembali ke US95 untuk ke Goldfield yang hanya beberapa kilometer ke utara. Daerah ini pernah berjaya dan meriah suatu ketika dulu. Pada tahun 1902, tempat ini memang kaya dengan emas dan empat tahun kemudian, bandar ini dihuni kira-kira 20,000 orang. Ahli perniagaan yang kaya telah membeli beberapa lombong dan telah mengambil beberapa orang tempatan untuk bekerja.

Para pekerja kemudiannya membuka persatuan yang pada ketika itu tidak menyenangkan pihak majikan. Ini menyebabkan berlakunya keganasan dan pergaduhan. Seramai 2,000 orang pelombong diarah keluar dari bandar sebaik sahaja tibanya askar persekutuan untuk menyelesaikan masalah yang menimpa. Pada tahun 1919, larangan menjual alkohol di seluruh Amerika dilaksanakan manakala syarikat haram yang beroperasi di kawasan ini telah terbakar menyebabkan beberapa bangunan kayu menerima nasib yang sama. Bangunan mahkamah, hotel dan sekolah turut terbakar tetapi tidak terjejas teruk. Hanya bangunan mahkamah yang terpaksa dibina semula.

Populasi di sini hanya seramai 400 orang. Stesen petrol telah lama tutup dan hanya ada satu restoran sahaja di sini, The Dinky Diner – tempat saya berehat dan makan. Terdapat beberapa lokasi menarik seperti tanah perkuburan lama. Salah satu daripada kubur di sini menempatkan seseorang yang telah meninggal dunia selepas makan gam di perpustakaan – mungkin dia lapar sangat ketika itu!

Istana 'The Hard Luck Mine' hanya terletak 14.4 kilometer dari saya – memang sudah lama ingin ke sana. Di kawasan ini juga terdapat 'kubur' kereta yang agak popular iaitu International Car Forest tetapi untuk ke sana, jalannya tidak begitu baik. Saya risau Goldie ini terbalik dan dengan berat lebih daripada 800kg, memang tidak mampu saya untuk menegakkan berseorangan. Tambahan pula saya tak bawa telefon, memang susahlah jika apa-apa berlaku.

Hari semakin gelap dan saya menuju ke Tonopah untuk bermalam – ia bukan di dalam daerah Esmeralda. Esmeralda ditubuhkan pada tahun 1861 dan pada tahun 1864, daerah Nye pula tercipta dengan mengambil sekitar 80% tanah Esmeralda. Sesetengah ahli politik tempatan ketika itu menyangka Nye boleh menjadi lokasi perlombongan seterusnya dan impian tersebut tiba pada tahun 1905. Kini jumlah penduduknya mencecah lebih daripada 2,500 orang dan Tonopah merupakan bandar terbesar terletak di antara Reno dan Las Vegas. Bandar ini mempunyai dua buah casino, separuh dozen hotel/ motel dan muzium perlombongan yang cukup menarik untuk dikunjungi. Di ketinggian 6,000 kaki, bandar ini memang cukup sejuk ketika musim dingin.

Keesokan paginya, paparan info di meter digital Goldie ini menunjukkan tekanan angin tayar saya telah berkurangan dari 41psi ke 37psi. Saya terus bergerak ke bengkel lori yang berdekatan, tegakkan jentera ini dengan tongkat tengah dan memeriksa keadaan tayar. Tiada apa yang tertikam padanya – lega. Tolok bacaan manual menunjukkan kadar tekanan berada di tahap 39 psi jadi saya menambah sedikit angin dan berharap bacaan tekanan angin berubah kerana suhu sejuk. Saya tidak pernah berdepan dengan masalah sebegini.

Kembali ke jalan, kali ini dengan menggunakan kombinasi US95 dan US6 yang membawa saya ke Silver Peak – sebuah lagi bandar berhantu. Perak mula dijumpai di kawasan ini pada 1863 tetapi jumlahnya tidak banyak. Operasi pencarian agak perlahan sehinggalah 40 tahun kemudian, emas pula telah berjaya ditemui dan ini menyebabkan syarikat-syarikat besar dan kaya mula membeli banyak tanah, membina jalan keretapi dan sebuah kilang bijih yang besar.

Bandar ini sangat mewah dan kaya tetapi segalanya malap pada tahun 1917 apabila bahan mineral yang berharga itu telah mula surut dan habis. Bancian pada tahun 2010 menunjukkan masih terdapat 100 orang penduduk di sini dan tempat ini telah hidup semula apabila bahan mineral litium mula mendapat pasaran. Apa itu lithium? Ia adalah bahan mineral yang digunakan dalam pembikinan bateri berkuasa tinggi dan juga sebagai ubat untuk mereka yang mengalami masalah bipolar.

Saya kemudiannya tiba di Clayton Valley, sebuah lembah yang mempunyai beberapa tasik kecil – agak janggal juga melihat tasik ini berada di sebuah kawasan yang kering dan tandus. Ia rupa-rupanya air garam yang di sinilah terdapatnya bahan mineral litium. Diikawasan operasi, air akan dipam keluar ke permukaan dan apabila ianya tersejat, bahan litium akan dapat dilihat dan diproses.

Sebuah syarikat bernama Albemarle Corporation memiliki lombong-lombong di kawasan ini dan mereka adalah satusatunya pengeluar litium di Amerika. Syarikat ini juga antara yang bertanggung jawab menghasilkan kereta Tesla yang semestinya merupakan sebuah produk yang cukup istimewa dan mereka memiliki kilang bateri yang besar di Reno.

Goldie kemudiannya dibawa ke US95/6 menghala ke barat yang boleh membawa saya ke Coaldale, satu lagi penempatan yang kecil. Di sini juga pernah menjadi tempat para penduduk mencari rezeki menerusi perusahaan arang. Dengan pembinaan jalan keretapi, penggunaan arang sangat diperlukan tetapi sayangnya gred arang di kawasan ini agak rendah dan menyebabkan perniagaan ini gagal pada tahun 1900. Selepas Perang Dunia II, tempat ini semakin makmur dengan pembinaan beberapa infrastruktur tetapi insiden kebocoran tangki simpanan sebuah stesen petrol pada tahun 1993 telah menjadi sebab awal Coaldale kehilangan serinya.

Tidak jauh dari Coaldale ialah Fish Lake Valley yang sepanjang 40 kilometer di antara rangkaian tanah tinggi Silver Peak hingga ke bahagian timur manakala White Mountain berada di sebelah barat. Banyak salji berada di pergunungan ini terutamanya di Boundary Peak yang setinggi 13,000 kaki – titik tertinggi di Nevada. Pada 1980an dulu, Fish Lake Valley masih mempunyai air dan didiami oleh para peladang yang menyediakan makanan untuk para pekerja di tapak perlombongan di Palmetto. Di sini terbinanya pejabat pos pertama dan ketua pegawainya bernama Dyer. Kini namanya diabadi untuk sebuah bandar kecil di tengah-tengah lembah ini.

Terdapat kolam air panas yang dimiliki oleh pejabat daerah dan ianya dibuka untuk orang awam. Memang selesa dan bersih. Saya teringin ke sana tetapi memandangkan jalannya sukar... Goldie pun 'menggelengkan' kepalanya. Saya berhenti di sebuah pasar yang dilengkapi dengan pam minyak. Ada juga kabin berusia 100 tahun yang dibina semula dan salun lengkap dengan tempat makan.

Pendikit dipulas semula dan selepas menyambung perjalanan kira-kira 16 kilometer, sebuah bandar perlombongan Oasis yang tidak lagi wujud – telah hilang semuanya. Kami berdua telah melepasi sempadan California dan menghala ke jalan belakang yang cukup seronok, SR 268 yang boleh membawa saya dan Goldie ke Big Pine, mendaki Gilbert Summit dan kawasan pergunungan Westgard. Jalan dan tempat yang cantik untuk tamatkan pengembaraan kali ini. RR

- Clement Salvadori

Isu Pada

Jun 2018

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

Kembara Sampai ke Boten

Ride Sri Lanka - Berbelit Jalan Serta Lidah Nak Menyebutnya...

Kuching, Sarawak, Malaysia - Pontianak, Indonesia: 1000km Loop (Bahagian Akhir)

Kuching Sarawak Malaysia - Pontianak Indonesia: 1000km Loop (Bahagian 1)

Sabah 360 Ride 1,800KM Loop (Bahagian II)

Ride Berdua ke Siam

Sabah 360 Ride 1,800km Loop (Bahagian 1)

Ride Ihya Ramadhan TM Bikers Ke Gua Musang, Kelantan

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

Tahun 2024 juga menyaksikan rekod baru jumlah kehadiran penonton sepanjang musim ini mencecah 3,033,255 orang. Ia adalah pencapaian terbaik setakat ini sejak 75 tahun penganjuran MotoGP.

Warta Roda

Kemeriahan Konvoi PETRONAS Sprinta ke MotoGP Sepang 2024

PETRONAS Lubricant Marketing Malaysia Sdn Bhd (PLMM)bekerjasama dengan Dania Garage dala menganjurkan konvoi 'PETRONAS Sprinta ke MotoGP Sepang 2024'.

Dari Litar

MotoGP Malaysia: Walaupun Raih Juara, Misi Pecco Belum Selesai....

Pecco akhirnya menerima bendera penamat sebagai juara diikuti Martin di tempat kedua dan kini mendahului carta dengan 24 mata manakala Enea Bastianini di tempat ketiga.

Yamaha R9 - Generasi Terbaru Supersport

Untuk tahun 2025, Yamaha memperkenalkan model Supersport terbaru, R9 yang menawarkan prestasi cukup mantap dan teknologi canggih Siri R. Model ini direka berasaskan jentera perlumbaan sebenar.