Kembara Penuh Cabaran VEXCOM Ke Thailand
VEXCOM (Versys X Community Malaysia) ditubuhkan pada awal bulan April 2018 lalu dan mempunyai seramai 190 ahli, kesemuanya pemilik Kawasaki Versys X 250. VEXCOM diketuai oleh En. Shahirul Nizam Salamun selaku presiden dibantu oleh para AJK yang selalu bersama untuk memacu dan menjayakan setiap projek yang dianjurkannya.
Hasil pada diskusi para AJK VEXCOM , maka ekspedisi menawan selatan negara gajah putih pun bermula. Kebanyakan peserta belum pernah mengharungi perjalanan jauh dengan menunggang motosikal. Cabaran bertambah hebat memandangkan Oktober merupakan musim tengkujuh yang membadai negara-negara di Asia tetapi semuanya setuju untuk meneruskan pengembaraan kerana “Kembara tanpa cabaran ibarat perjalanan yang tidak membawa kenangan.”
Ekspedisi ini telah mendapat penajaan daripada pihak Kawasaki Motors Malaysia Sdn Bhd (KMSB), Serdang Motor Bikers dan Capleir Autobikers. Kembara ini dibuka hanya kepada jentera Kawasaki Versys X 250 sahaja dan setelah pelbagai perbincangan dibuat, selepas ditapis... akhirnya seramai lapan orang telah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menempuh cabaran singkat ini. Mereka ialah Mohd Faisal Zakaria (Ketua Ekspedisi), Shahirul Nizam Salamun, Shahraqib Badlishah Mohd Safri Zulkifli, Mohd. Husni Razali, Karthikesan A/L Ramamoorty, Hamzah Said Ali dan Muhd Qais Md Nor. Penasihat VEXCOM iaitu En. Sham Bedoqstar turut bersama sama menyumbang idea, pendapat dan berkongsi pengalaman kepada para peserta terutamanya dalam pengembaraan jarak jauh.
Hari Pertama dan Kedua (3-4 Oktober 2018)
Pengembaraan ini berjarak hampir 2,000 kilometer bermula dari Kuala Lumpur, Krabi, Hatyai dan Betong dalam masa 5 hari 4 malam. Perjalanan bermula di ibu pejabat KMSB pada 3hb Oktober pada jam 9.00 malam. Majlis perlepasan disempurnakan oleh Pengerusi Eksekutif En. Ahmad Faez Tan Sri Yahaya (berbaju biru) dan Dato’ Jeffrey Lim (berbaju putih) menyempurnakan majlis perlepasan VEXCOM ke Thailand.KMSB En. Ahmad Faez Tan Sri Yahaya ditemani oleh Pengurus Besar dan Pengarah KMSB iaitu Dato' Jeffrey Lim.
Hujan yang mula turun sejak dari petang berlarutan hingga ke malam tetapi ia tidak sama sekali mematahkan semangat peserta untuk meneruskan perjalanan. Jarak ke Krabi lebih kurang 850 kilometer. Tumpuan sepenuhnya harus diutamakan dan tugas untuk menjaga keselamatan peserta dan jentera digalas oleh Shahraqib, Karthikesan dan Ketua Ekspedisi sendiri. Safri dan Shahirul Nizam sebagai marshal menetapkan aturcara berkonvoi dan masa rehat yang juga sentiasa dititik beratkan.
Dengan mengharungi hujan tanpa berhenti, peserta ekspedisi berjaya sampai ke sempadan Wang Kelian, Perlis pada pukul 10.00 pagi. Selepas selesai urusan di sempadan, mereka terus ke Wang Prachan untuk mendapatkan keperluan seperti pembelian simkad Thai dan sarapan. Ekspedisi menyambung perjalanan kembali untuk menghala ke Satun, (Checkpoint 1, Pantai Pak Bara dan Route 406 CJS).
Peserta tiba di Checkpoint 1 pada pukul 1.30 petang (waktu Thailand). Inilah kesempatan terbaik buat para penunggang untuk beristirehat selama mungkin kerana pada pukul 3.00 petang, cabaran akan diteruskan lagi menuju ke Checkpoint 2 iaitu di Ao Nang Beach Krabi. Para peserta masih mengharungi hujan sekejap renyai... sekejap lebat. Betul-betul menguji keupayaan mental dan fizikal. Semangat kena kental!
Pada pukul 9.00 malam, para peserta berjaya sampai di Krabi selepas mengharungi perjalanan tanpa henti lebih daripada 24 jam.
Hari Ketiga (4hb Oktober)
Lebih kurang jam 12.30 tengah hari, peserta kembara bersiap sedia untuk meneruskan perjalanan ke Checkpoint 3 (Phattalung dan Hatyai) yang berjarak kira-kira 300 kilometer. Cuaca mendung berarak begitu baik untuk memulakan tunggangan... redup dan segar.
Perjalanan menghala ke Phattalung menggunakan Jalan Trang cukup menarik. Suasana perkampungan penduduk di Trang masih 'asli' dan cukup menyegarkan kerana masih kurangnya pembangunan dan diserikan dengan kehijauan pokok-pokok dan sawah padi. Jalan juga tidaklah begitu sibuk. Peserta pun dapatlah menunggang dalam keadaan santai.
Di Route 41 Phattalung, peserta mengambil masa selama dua jam untuk berehat dan membeli sedikit cenderahati. Sekitar jam 7.30 petang, mereka bersiap sedia untuk ke Hatyai sejauh kira-kira 120 kilometer. Pada masa itu, hujan mula turun dan setiap peserta terpaksa juga meredahnya walaupun dalam keadaan yang cukup sejuk.
Malam mula menerjah dan keadaan lebuhraya antara Phattalung ke Hatyai yang ditimpa hujan sudah gelap gelita. Tahap pemerhatian, keselamatan dan berwaspada diletak pada aras yang tinggi. Konvoi dibahagikan pada kumpulan lebih kecil (satu kumpulan dengan empat buah motosikal). Selepas menempuhi satu perjalanan yang agak berisiko, peserta selamat sampai di Hatyai pada pukul 9.00 malam.
Semua peserta tidak mengalami kebasahan barang barang peribadi kerana kebanyakan peserta memasang top boxes GIVI E43. Rekaannya cukup kemas hinggakan tiada kebocoran langsung. Cabaran hari kedua ini begitu terkesan dalam memori para peserta. Di Thailand, penunggang tidak digalakkan menunggang motosikal di malam hari kerana keadaan lebuhraya Thailand begitu bahaya terutama sekali bagi kenderaan dua roda.
Hari Keempat (5hb 0ktober 2018)
Setelah mendapat rehat yang cukup, para peserta dapat memulakan perjalanan dengan lebih awal. Di Checkpoint 4 (Sakom Beach, Masjid Kersek,Tham Kra Cheang Cave, Bang Lang Dam, Betong) melalui laluan dari Hatyai, Pattani, Yala dan Betong. Jarak perjalanan lebih kurang dalam 320 kilometer.
Pada pukul 12.00 tengahari, mereka sampai ke Sakom Beach. Cuaca yang cerah dengan pemandangan laut yang cantik membuatkan para peserta terlupa seketika kehidupan di Kuala Lumpur. Bagaimana pun, perjalanan harus diteruskan dan selepas melepasi kesibukan bandar Pattani, konvoi sampai di Masjid Kersek. Salah satu tempat bersejarah di Pattani.
Para peserta ke Gua Tham Kra Cheang yang merupakan destinasi 'wajib singgah' untuk sesiapa yang melalui jalan ini. Selain kecantikan flora dan faunanya, terdapat sungai yang mengalir di dalam gua ini. Pengunjung dapat menikmati suasana yang cukup tenang dengan kesegaran di kawasan ini. Selepas menghabiskan masa dalam sejam, peserta meneruskan perjalanan. Aduhai... sekali lagi cuaca kembali mencabar dengan hujan yang turun dengan sungguh lebat. Memang sejuk hingga ke tulang hitam!
Ditakdirkan tuhan, semasa para peserta sampai di Empangan Bang Lang, hujan mula berhenti dan digantikan dengan keindahan alam semulajadi yang cukup mempersonakan. Gunung ganang dipayungi awan... nun jauh mata memandang. Walaupun terpaksa menempuhi pahit getir, ia terbukti adalah satu pengalaman yang tidak dapat dijual beli.
Mohd Faisal mula mengarahkan konvoi meneruskan perjalanan memandangkan jam sudah menunjukkan pukul 6.30 petang. Sekali lagi peserta akan berdepan dengan kegelapan malam untuk jarak perjalanan sepanjang 70 kilometer dengan keadaan jalan raya yang banyak selekoh seperti di jalan Ulu Yam – Batang Kali. Walaupun jalan antara Tham Kra Cheang ke Betong tidak banyak kenderaan, tapi cabaran menunggang di dalam hujan bercampur gelap memang cukup menguji kecekapan setiap peserta sebelum tiba ke Betong.
Hari Kelima (7hb Oktober 2018)
Suasana di Betong meriah dengan para pelancong dari Malaysia yang kebanyakannya adalah penunggang motosikal. Ini menjadikan setiap peserta tidak kekok dengan suasana sebegini walaupun di Thailand. Program awal, adalah untuk pergi ke Iyerwang (Awan Nano). Disebabkan hujan di awal pagi, tidak sesuai lagi untuk pergi ke Iyerwang kerana difahamkan awan yang berada di atas gunung tidak kelihatan kerana cuaca yang ketika itu semakin panas. Selepas checkout dari hotel, para peserta bersiap sedia untuk pulang ke Kuala Lumpur. Peserta sampai di Route A76 Lenggong pada pukul 6.00 petang. Dari situ, konvoi mengerahkan jentera masing masing meredah hujan dalam kesesakan di lebuhraya Utara Selatan (PLUS). Para peserta selamat sampai di tol jalan Duta pada pukul 11.30 malam.
Pengalaman lapan peserta yang sentiasa teguh menjadikan mereka bersahabat lebih rapat dan jika diberi peluang, mereka akan kembali lagi dengan perjalanan yang lebih mencabar. RR
Popular