Isu Terkini

Julai 2024

Kembara / 24 Ogos 2020

Pengembaraan Ke Jalan Bersejarah... Isle Of Man

Seratus sepuluh tahun yang lalu iaitu pada 1907, perlumbaan pertama Tourist Trophy telah diadakan di Isle of Man – sebuah pulau berbentuk bujur yang berada di antara Great Britain dan Ireland. Panjang pulau ini ialah sekitar 51 kilometer dan berkelebaran kira-kira 24 kilometer. Ia terdiri daripada kawasan tanah yang subur, pokok-pokok sederhana besar, pantai yang indah, istana-istana lama dan bandar yang tenang. Pulau ini merupakan destinasi utama perlumbaan paling tua dan paling terkenal di dunia. Lebih tepat dengan nama The Snaefell Mountain Course.

Orang tempatan di sini digelar Manx dan kata mereka, pulau ini terdiri daripada enam kerajaan iaitu Wales, England, Scotland, Ireland, Ellan Vannin dan Heaven! Isle of Man (IoM) terletak di cerun Snaefell, sebuah gunung setinggi 2,036 kaki di atas Lautan Ireland. IoM atau dalam bahasa tempatan Ellan Vannin bukan sebahagian United Kingdom tetapi asalnya ia dibawah pemerintahan puak Viking sehinggalah Raja Norway menyerahkan tanah ini kepada Scotland pada 1266. Hari ini, Ratu England juga merupakan Lord of Mann yang diwakili oleh Lieutenant Governor.

Cucu baginda Ratu, Putera William merupakan seorang peminat dan pencinta motosikal, pernah menonton Perlumbaan TT ini pada tahun 2003 dan ia merupakan tahun amat bersejarah buat Triumph. Pengeluar motosikal ini berjaya meraih kejuaraan menerusi Kiwi Bruce Anstey dalam kelas Supersport TT yang menunggang 600 Daytona Four. Wajah Ratu Elizabeth berada di hadapan wang kertas di sini tetapi duit ini hanya boleh digunakan di pulau ini. Isle of Man juga bukan anggota EU.

Pulau ini juga menjadi pilihan buat warga luar untuk menetap di sini termasuklah pelumba MotoGP, Cal Crutchlow, bekas pelumba WSBK, James Toseland dan rakannya Andrew Pitt – berpindah ke sini kerana cukai pendapatan yang rendah, 18%. Populasi penduduk di sini ialah sekitar 85,000 di mana 28,000 daripadanya tinggal di Douglas yang merupakan pusat utama dan pintu masuk feri – jumlah orang di sini meningkat dua kali ganda apabila tibanya minggu Perlumbaan Tourist Trophy.

Kira-kira 61 kilometer dari Douglas, kita akan menyaksikan sebuah lagi kawasan dan mukabumi yang agak berbeza iaitu di Mountain Course. Walaupun kawasan di sini tidak begitu luas, para pengunjung akan dapati dan menikmati pelbagai jenis aktiviti dan sejarah yang dicipta di sini.

Sebagai seorang bekas pelumba TT dan pemegang rekod perlumbaan IoM, saya amat gembira setiap kali tiba di Mona's Isle... nama ketiganya dan lebih romantik yang dimiliki oleh pulau ini. Saya pernah mendapat keputusan yang membanggakan. Sekali di tempat keempat, sekali tempat kelima, kelapan dan kesembilan ketika berlumba di sini. Saya juga pernah terlibat dalam kemalangan sebanyak dua kali di lokasi yang meragut banyak nyawa. Nasib saya baik.

Terkini, saya dan anak sulung lelaki, Andrew kembali ke tanah ini dengan menunggang sepasang jentera Triumph untuk menikmati setiap pelusuk pulau selama tiga hari. Perjalanan kami sangat menarik kerana saat dan waktunya begitu sesuai sekali iaitu pada musim bunga yang segar dan bersinar. Kami dapat melihat aliran dan arus deras di teluk, pokok kelapa yang meliuk ditiup angin dan sememangnya Isle of Man ini mempunyai cuaca yang sering berubah.

Dalam mitology orang-orang di sini, pulau ini pernah dijajah dan diperintah oleh Tuhan Laut Celtic yang diberi nama Manannan mac Lir. Lagenda mengatakan dia telah menggunakan jubah berkabusnya untuk melindungi pulau ini daripada penceroboh. Ketika berlumba dulu, saya pernah memarahinya apabila sesi latihan dan ujian masa diselaputi kabus tapi itu kisah dulu... sekarang ini, saya buat keputusan untuk menjadi kawan Manannan mac Lir.

Kawasan dan bentuk muka bumi di pulau ini menarik. Banyak kawasan berbukit, jalan-jalan berselekoh cantik walaupun sesetengahnya agak sempit. Jalan-jalan ini amat sesuai buat Bonneville yang ditunggangi Andrew dan 675 Daytona 'milik' saya itu. Selain daripada sekatan undang-undang di bandar yang ketat, hampir seluruh tempat lain di pulau ini tidak mempunyai had kelajuan yang wajib ditaati.

“Terdapat beberapa tempat di dunia ini yang dapat mengekalkan ketulenannya tanpa 'diganggu' oleh peredaran zaman dan makanan di Isle of Man juga sama. Contohnya pai yang saya nikmati di sebuah kedai makan, ianya merupakan resepi yang sama sejak tahun 1957 lagi. Memang sangat lazat!”

Mendiang A.A Gill, seorang penulis dan pengkritik yang terkenal dalam dunia makanan dan pengembaraan telah menulis dan bercerita mengenai pulau ini – dia memang betul. Tempat ini memang kekal seperti zaman dahulu. Kita dapat melihat menerusi rekaan pondok telefon, bas dua tingkat, kereta Riley dan Morris Minor yang diparkir di hadapan pintu pagar besi tempa, papan tanda lukisan tangan, kek homemade dan kotak berisi telur yang dijual di tepi jalan. Tidak lupa juga pada keretapi wap yang masih beroperasi dengan sempurna dari Douglas ke bahagian pantai selatan dan penduduknya yang saling hormat menghormati.

Sebagai orang luar, kita juga perlu menghormati tradisi masyarakat di sini. Jadi... ketika dalam perjalanan dari lapangan terbang ke Douglas, kita kena ucapkan “Hello, fairies!” ketika menyeberangi Jambatan Fairy atau mungkin kita akan ditimpa kemalangan. Kebanyakan pelumba TT akan mengucapkannya... lebih baik saya ucap juga! Tak nak lah bagi 'orang halimunan' tu marah.

Terdapat banyak rumah ladang dan kotej-kotej para nelayan yang dibuat daripada batu. Paling menarik ialah di Cregneash National Folk Museum yang terletak di Spanish Head (dinamakan kerana suatu ketika dulu tempat ini menjadi titik pemerhati untuk menunggu Armada Sepanyol yang dijangkakan ketika itu akan tiba pada 1588). Pelayaran Armada ini terhenti di tengah jalan selepas Sir Francis Drake berjaya menghentikan kapal-kapal tersebut.

Berdozen-dozen rumah terdapat di kawasan perkampungan yang sangat unik ini. Untuk menghiburkan para pengunjung, beberapa teknik perladangan dikekalkan, antaranya ialah cara-cara memasak keladi tradisional, memerah susu lembu, membuat keju, mewarnakan wool, memakaikan kuda kasut dan masakan scone buah yang bakar di sini.

Castletown terletak di sebelah selatan Santon dan ianya dibina di atas tanah gunung berapi.

Di sinilah kita ditawarkan dengan pemandangan yang paling cantik. Dahulunya, bandar bersejarah ini merupakan pusat utama kerajaan sebelum berpindah sepenuhnya ke Douglas pada tahun 1866. Castletown dimegahkan dengan Istana Rushen, yang masih dikekalkan dalam bentuk asal sejak 1090 dan menjadikannya salah satu daripada bandar tertua di Britian. Selain itu, ia juga merupakan sebuah pelabuhan yang cukup sibuk dan laluan penting ketika musim perlumbaan.

Kami juga singgah di Port St. Mary, tempat berkumpulnya kapal-kapal layar dan ke pantai berpasir putih bersih di Port Erin. Ini merupakan bandar paling selatan di pulau ini dan disukai oleh para pelancong kerana resort-resortnya era Victorian yang masih cantik hingga kini. Apabila berada di Calf of Man, ia amat mengagumkan dan sememangnya merupakan jalan paling disukai oleh para pencinta motosikal.

Dari tepian laut, kita dapat melihat tebing-tebing tinggi di sini bagaikan 'dihiasi' pokok Gorse berwarna kuning terang dan daun-daun Bracken. Rumput liar moorland yang tumbuh di tanah tinggi Cronk ny Irrey Lhaa kelihatan seperti permaidani dan tempat ini juga digelar Hill of the Break of Day oleh para nelayan dari Peel yang ingin melihat matahari terbit selepas semalaman berada di tengah lautan.

Peel merupakan pelabuhan yang cukup bersejarah dan di sini juga tersergamnya sebuah istana lama dan sebuah gereja binaan kurun ke-13 yang telah musnah. Kedua-dua bangunan ini terletak di St. Patrick Isle yang bersambung dengan tanah besar menerusi sebuah tambak yang dikatakan 'dijaga' oleh Moddey Dhoo, seekor anjing hantu berwarna hitam.

Mubaligh Kristian tiba di pulau ini kira-kira lima abad yang lalu dan ini menyebabkan saya dapat melihat banyak tanda salib berada di pulau ini. Stone Circles dan monumen yang terdapat di sini berusia kira-kira 5,000 tahun. Ia lebih kurang dengan Stonehenge yang dicatatkan terbina pada era Neolitik dahulu. Pembinaan mukabumi buatan manusia yang tertua di pulau ini ialah bukit empat tingkat yang dikenali dengan nama Tynwald Hill, di kawasan agak pendalaman dari Peel.

Tanah ini asalnya digunakan sebagai kawasan pengebumian tetapi dijadikan kawasan pemerintahan oleh puak Viking 1,000 tahun yang lalu. Tempat ini telah mendapat pengiktirafan sebagai Badan Perundangan atau sidang Parlimen yang paling lama beroperasi di dunia iaitu sejak penubuhannya pada tahun 979 Masihi hingga ke hari ini cuma tempat persidangannya sahaja yang diubah ke Douglas.

St. John merupakan tempat perlumbaan pertama Isle of Man diadakan iaitu pada tahun 1907. Ia sepanjang 25 kilometer. Dari St. John, pelumba perlu tiba di Ballacrain, bersambung dengan jalan TT sekarang ini iaitu Kirkmichael sebelum memasuki selekoh ke kiri untuk tiba di jalan tepian pantai, Peel. Dari situ, perlumbaan diteruskan masuk ke kawasan pendalaman untuk ke St. John sekali lagi.

Kami menjejaki semula laluan asal litar ini yang menawarkan pemandangan yang cukup cantik dan amat bernasib baik jika dapat mendengar nyanyian ikan paus ketika menuruni ke sebelah pantai barat Peel. Ini adalah lokasi terbaik untuk berehat, menikmati makanan laut sambil melihat kapal-kapal yang sedang sibuk berlabuh di pelabuhan.

Isle of Man juga mahu anda hidup dengan mewah dan selesa – kita mulakan dengan aiskrim tenusu dari Davidson yang lemak berkrim. Makanan laut terutamanya ketam, udang kara, ikan dan queenies, sejenis scallop yang bersaiz kecil menjadi kesukaan di sini. Terdapat banyak restoran dan bar yang menawarkan resepi yang sangat lazat di samping menikmati pemandangan yang sangat indah.

Kami berhenti di Hotel Shore di Laxey yang terletak di Mona Isle dan bersebelah pula dengan Mona Lisa, sebuah restoran asli Itali yang telah berada di sini sejak berlakunya kedua-dua Perang Dunia. Ketika itu, Douglas dan bandar-bandar lain menjadi pusat latihan buat tentera asing. Kami dapat melihat di kawasan ini seolah-olah dikepung oleh rumah-rumah tetamu yang dipercayai dahulunya sengaja dibina sedemikian untuk tujuan tertentu. Tidak jauh dari situ, terdapat penempatan orang Itali yang telah membuat keputusan untuk tidak pulang ke negaranya selepas pemimpin mereka, Mussolini ditumbangkan. Ini menyebabkan banyak tempat makanan Itali boleh didapati di sini.

Pada abad ke 18 dahulu, Peel merupakan 'sarang' penyeludupan dan kesibukan berkekalan hingga ke hari ini kerana ia adalah pusat utama industri perikanan di pulau ini. Kuota EU yang di luar jangkaan menyebabkan eksport ikan herring telah menurun dengan agak banyak. Walaupun begitu, ia masih mampu memberi bekalan yang secukupnya buat pengusaha ikan salai. Ia merupakan antara perniagaan paling terkenal di Isle of Man yang dikenali dengan nama Manx Kipper.

Pada kurun ke-19 dulu, terdapat seorang wanita yang telah memasak ikan herring ini dengan menggunakan kaedah tenter hooks iaitu dengan menggantungkan ikan (seperti menyidai kain) di dalam sebuah rangka besi kemudian ditutupkan dengan menggunakan kain panjang yang dicangkuk pada besi tajam. Ikan-ikan ini diletakkan dengan perasa tradisional dan disalai menggunakan asap kayu oak. Proses ini menyebabkan ikan bertukar menjadi warna kemerahan dan dari situlah nama 'Red Herring' tercipta. Untuk melihat proses ini dilakukan, layari www.manxkipper.com – memang sedap sekali!

Andrew dan saya menetap di The River House B&B, Ramsey. Ia merupakan sebuah kawasan perkampungan Georgian yang sangat mendamaikan dan rumah kami betul-betul terletak di tepi sungai. Kami tiba di Ramsey dengan menggunakan jalan 'perlumbaan' TT yang bermula dari Sulby, masuk ke kawasan pendalaman Sulby Glen yang sangat cantik kemudian mendaki di Tholt-y-Will sehingga sampai di kaki Snaefell. Selepas itu, kami kembali menggunakan jalan 'perlumbaan' tetapi ke arah yang berbeza untuk menikmati hembusan udara di tepian pantai dari Guthrie hingga ke Gooseneck.

Sesiapa sahaja yang tiba ke Isle of Man pastinya akan sentiasa melihat lambang Manx terkenal iaitu Triskelion, lukisan tiga kaki yang bersambung untuk menggambarkan moto IoM. Dalam bahasa latin, Triskelion bermaksud Quocunque Jeceris Stabit iaitu “Bagaimana anda mencampaknya, dia akan bangun semula.”. Triskelion terdapat hampir di mana sahaja termasuklah di mata wang, dokumen rasmi kerajaan, nombor pendaftaran kereta dan motosikal serta di bendera yang berkibar-kibar dengan bangganya. Saya berharap ia memberi penghormatan kepada para pelumba yang terlibat dalam kemalangan di sini.

Selepas puas menyusuri jalan-jalan 'lumba' tadi, kami pilih laluan yang lebih tenang iaitu di Maughold Peninsular dan melintasi berekar-ekar ladang bawang putih yang memberikan bauan yang cukup wangi. Kami juga sempat singgah ke kilang tenunan di Laxey yang masih mengekal kaedah menenun tradisional. Laxey juga terkenal dengan kincir air gergasi yang diberi nama Lady Isabella. Nama ini diberikan sempena nama isteri kepada seorang gabenor yang bertugas di sini pada tahun 1852. Kincir ini memberi putaran pada ukuran kira-kira 3rpm dan berdiameter lebih daripada 22 meter dan enam kaki lebar. Kincir air ini mampu mengepam 250 gelen air seminit.

Jika tidak bermotosikal, mungkin kami berdua akan ke Douglas dengan menaiki Keretapi Elektrik Manx di laluan sepanjang 27 kilometer yang dibuka pada tahun 1893. Dua daripada tiga trem yang dirasmikan pada tahun itu masih gagah berkhidmat dan merupakan trem asli paling tua di dunia yang masih beroperasi dengan baik.

Memang seronok apabila berada di Douglas. Anda boleh berjalan dengan tenang di tepian laut... bila letih, boleh naik kereta kuda. Tidak jauh dari situ, di Douglas Bay, para pengunjung akan berkunjung ke Tower of Refuge yang terletak di atas Conister Rock. Dahulunya dibina untuk membantu dan menyimpan kapal-kapal yang karam. Bagi pencinta muzik, jangan lepas peluang untuk berkunjung ke The Gaiety Theatre yang dibina di era muzik Victorian pada tahun 1900.

Sememangnya ia kelihatan seperti Britain tetapi hakikatnya, Isle of Man mempunyai keunikan tersendiri. Aneh… tetapi menarik. Mereka mempunyai parlimen, bahasa, mata wang dan kebudayaan sendiri. Tempat ini dibanggakan dengan kawasan-kawasan bersejarah, istana-istana lama serta gaya hidup yang tenang dan retro. Tiada tempat seumpamanya di dunia ini tambahan pula di sinilah terletaknya perlumbaan paling hebat dan paling ganas di dunia yang akan menyambut ulang tahunnya yang ke 110 tahun ini.

Tidak hairanlah mengapa Isle of Man sentiasa penuh dengan pengunjung! RR

Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Kyoichi Nakamura

Isu Pada

Mac 2017

Popular

  • Dari Litar

    Voge Formica Rossa 150 Bakal Muncul di Perlumbaan CubPrix & ARRC Musim Depan

  • Warta Roda

    Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

Artikel berkaitan

Kembara Sampai ke Boten

Ride Sri Lanka - Berbelit Jalan Serta Lidah Nak Menyebutnya...

Kuching, Sarawak, Malaysia - Pontianak, Indonesia: 1000km Loop (Bahagian Akhir)

Kuching Sarawak Malaysia - Pontianak Indonesia: 1000km Loop (Bahagian 1)

Sabah 360 Ride 1,800KM Loop (Bahagian II)

Ride Berdua ke Siam

Sabah 360 Ride 1,800km Loop (Bahagian 1)

Ride Ihya Ramadhan TM Bikers Ke Gua Musang, Kelantan

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Boon Siew Honda (BSH) telah merasmikan pembukaan Honda Bigwing yang pertama di Melaka.

Model Baru

HLYM Perkenalkan Yamaha Y16ZR 6MRO Edisi Terhad – RM13,668

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) turut meraikan pencapaian bersejarah itu dengan menampilkan model edisi terhad iaitu Yamaha Y16ZR 6MRO.

Warta Roda

Kemeriahan Konvoi PETRONAS Sprinta ke MotoGP Sepang 2024

PETRONAS Lubricant Marketing Malaysia Sdn Bhd (PLMM)bekerjasama dengan Dania Garage dala menganjurkan konvoi 'PETRONAS Sprinta ke MotoGP Sepang 2024'.

Dari Litar

Francesco Bagnaia Tawan GP Thailand Dalam Hujan

Francesco Bagnaia (pecco) membuktikan keupayaannya apabila menjuarai GP Thailand dalam keadaan cuaca dan litar yang sangat sukar.