Isu Terkini

Julai 2024

Kembara / 28 Ogos 2020

Mengembara Ke Pergunungan Rockies Dengan Pesara Tentera

Kawasan pergunungan sentiasa memberikan pengalaman menunggang yang cukup hebat lebih-lebih lagi apabila memulas pendikit di jalan-jalan yang berliku. Sayang sekali tidak ada jalan menunggang ke gunung tertinggi di Malaysia sama ada di Gunung Kinabalu, Sabah yang setinggi 4,035 meter (13,435 kaki) atau pun ke Gunung Tahan yang berdiri gagah setinggi 2,187 meter di semenanjung Malaysia.

Di Amerika Syarikat, kami mempunyai dua buah jalan yang cukup baik untuk bermotosikal ke lokasi setinggi 4,200 meter dan merupakan jalan disukai oleh penunggang motosikal dan pemandu malah ada juga yang sanggup berbasikal untuk mendaki ke pergunungan itu. Ia merupakan destinasi yang cukup popular di kalangan para pelancong dari dalam dan luar negara.

Beberapa bulan lalu, saya telah ke Colorado untuk menyertai satu pengembara ke Pergunungan Rocky selama seminggu bersama-sama sedozen penunggang motosikal yang tidak saya kenali. Mereka ialah para pesara yang pernah berkhidmat bersama angkatan tentera US.

Pada pagi yang cukup indah dan cerah, perjalanan dimulakan menuju ke destinasi dengan menggunakan Tarryall Road. Jalan ini panjangnya sekitar 48 kilometer dan menawarkan bukan sahaja pemandangan yang cantik tetapi juga permukaan jalan yang baik. Kami ke sebelah timur Pergunungan Rocky dan jalan di sini sangat sesuai untuk bermotor. Selekohnya bagaikan tiada penghujung... kiri, kanan, kiri, kanan. Jauh tetapi amat memuaskan hati.

Saya penunggang ketiga dan apabila melihat sembilan lagi penunggang di belakang (menerusi cermin sisi), pemandangannya cukup cantik sekali. Jujurnya, setakat ini... ia adalah antara perjalanan yang saya rasa cukup tenang. Tarryall Road berakhir di sebuah komuniti kecil bernama Jefferson dan kebetulan di sini terdapat banyak kedai yang terkenal dengan sandwich, fudge dan kopinya. Memang lazat sekali.

Kami meluangkan masa lebih kurang setengah jam di sini sebelum kembali melompat ke atas motor. Konvoi ini melibatkan sebanyak 11 buah jentera BMW GS, dari model 650s hinggalah kepada 1200s dan sebuah Yamaha 250cc. Kesemuanya telah disediakan untuk perjalanan ke seluruh dunia dan para pesara tentera ini sememangnya ingin benar mengembara jauh selepas bertahun-tahun berkhidmat untuk negara.

Kami kemudiannya merentasi jalan-jalan lasak, menyeberangi Continental Divide di Boreas Pass yang setinggi 11,482 kaki dari aras laut. Di sinilah puncanya air yang mengalir ke barat menuju ke Lautan Pasifik dan ke Lautan Atlantik di sebelah timur. Oleh kerana jalan ke sana kering maka dapatlah kami mendaki dengan selesa sekali. Setibanya di atas, kumpulan kami berpecah kerana ada yang ingin mengambil gambar kenangan, ada yang menikmati keindahan alam dan ada juga yang hanya berjalan-jalan.

Sedang kami berehat di sini, datang seorang lagi kenalan yang juga agak berusia yang baru tiba dengan menaiki kenderaan pacuan empat rodanya. Dia bercakap dengan petugas kami yang menerangkan siapakah ahli kumpulan ini dan tujuan pengembaraan ini dianjurkan. Orang itu menyatakan dia juga pesara tentera sambil mengeluarkan kad pengenalan tenteranya. Dia juga turut menyumbang $60 atas usaha ini. Kembara yang cukup unik ini ditawarkan secara percuma kepada para pesara tentera yang berminat dan merupakan sumbangan daripada sebuah NGO, Motorcycle Relief Project (MRP).

Saya telah mengembara jauh, berjaya tiba ke enam buah benua dan sudah melihat hampir segalanya. Pada mulanya saya berasa tiada apa lagi yang boleh membuatkan saya berasa sangat teruja, ianya berubah hanya menerusi satu panggilan telefon. Seorang kenalan, Tom Larson (pengasas MRP) mahukan seorang wakil sebuah majalah yang boleh mengembara selama seminggu di kawasan pergunungan Rocky. MRP ini ditubuhkan untuk membantu para pesara tentera yang mengalami masalah seperti kemurungan, kebimbangan melampau dan post-traumatic stress disorder. Ia adalah satu jemputan yang tidak wajar untuk dihampakan.

Tom seorang yang cukup memahami masalah yang dihadapi oleh veteran-veteran tentera ini dan dia cukup aktif untuk menganjurkan pelbagai program dengan sokongan penuh daripada keluarganya. Sememangnya dugaan yang dihadapi mereka amat berat sehinggakan ada cubaan untuk membunuh diri. Pesara ini hanya bergaul di kalangan mereka sendiri tetapi apabila digabungkan dengan kelompok pencinta motosikal, barulah mereka nampak lebih berkeyakinan. Mereka sudah mula bersedia untuk berkomunikasi tanpa sempadan agama dan politik.

Kembali ke saat awal pengembaraan ini. Pada petang Ahad (sehari sebelum perjalanan dimulakan), kami semua berkumpul di rumah Tom untuk majlis makan malam dan sesi suai kenal. Terdapat lapan peserta yang datang dari pelbagai tempat. Ada yang 'terbang' ke sini dan ada juga yang memandu. Lima orang petugas telah disediakan dengan sebuah trak merah yang cukup memberi semangat. Tom juga berusaha untuk memberikan kami beberapa model BMW, saya menunggang BMW F 800 GS.

Perjalanan kemudiannya diteruskan ke Eleven Mile Canyon yang terletak di arah selatan. Hanya terdapat jalan tanah di sepanjang South Platte River yang terlihat beberapa orang pemancing sedang merungut dengan masalah ketiadaan ikan. Jalan ini berakhir di kawasan empangan yang setinggi 40 meter. Kami semua berjaya melalui laluan lasak ini dengan selamatnya dan jelas, ia membuatkan Tom gembira dan berpuas hati. Sememangnya dia menekankan kemampuan dan keupayaan setiap penunggang adalah satu kewajiban untuk menunggang di jalan-jalan seperti ini.

Dari situ, kami ke sebuah bandar kecil diberi nama Florissant yang terkenal sebagai tempat Florissant Fossil Beds National Monument. Kami tidak turun untuk melihat sebarang fosil di sini sebaliknya bersama-sama meneruskan perjalanan ke sebuah kabin penginapan. Kabin ini tiga tingkat, besar dan boleh memuatkan kami semua cuma tidak ada sebarang isyarat telefon di sini.

Tidak lama kemudian, makan lewat malam (supper) telah dihidangkan. Tom telah menempah dan menyediakan pelbagai juadah yang cukup lazat seperti stek, kentang putar, burritos ayam, omelet, telur goreng hancur, daging goreng, muffin bakar dan sandwich. Kami juga membuat sandwich untuk bersarapan dan dibuat bekal.

Setiap kali berkumpul di meja makan, kami akan berbincang mengenai perjalanan dan pengalaman pada hari itu. Gelak ketawa dibuatnya bila masing-masing menceritakan kisah mereka. Ada di antara mereka yang masih berkhidmat manakala yang lainnya sudah bersara dan ada juga membuat keputusan untuk menukar karier selepas dua atau tiga tahun memberi perkhidmatan.

Selepas makan malam, kami sekali lagi duduk bersama tetapi membincangkan perkara yang lebih dalam, jujur dan dari hati ke hati. Kami bagaikan mempunyai ikatan sehinggakan kisah dan peristiwa yang terpendam buat sekian lama akhirnya dapat diluahkan. Dua daripada mereka pernah berkhidmat di Vietnam dan kami bagaikan saudara seperjuangan kerana dapat merasakan hingga ke lubuk hati perasaan, trauma dan kegelisahan yang mereka hadapi saban hari.

Keadaan lebih teruk buat mereka yang sudah berkeluarga. Selepas beberapa tahun 'terbang' ke luar negara, mereka bagaikan orang asing apabila pulang ke rumah kerana keadaan keluarganya telah berubah sama sekali. Isteri dan keluarganya juga tidak lagi sama. Dengan perkongsian ini, kami lebih mesra dan lebih mengenali satu sama lain. Seperti yang saya katakan awal tadi... ini merupakan pengalaman pertama saya menyertai perjalanan atau pengembaraan seperti ini.

Setiap kali sesi berkumpulan tamat, kami diajar pula senaman yoga – diajar oleh seorang Drill Sergeant yang gagah, sasa dan tegap. Dia telah mencipta yoga baru – versi sendiri dan diajar menerusi lawak-lawak dewasa yang sedikit lucah tetapi memang cukup efektif. Saya dapat tidur dengan cepat dan sangat lena hampir setiap malam.

Kami diminta untuk menjaga motosikal masing-masing. Jadi... setiap pagi kami kena periksa tekanan tayar dan komponen lain yang dirasakan penting. Selepas mendapati cuaca cukup baik, konvoi hari kedua diteruskan menuju ke Pikes Peak dan gunung ini juga dipanggil dengan nama lain iaitu Indian's Sun Mountain dan Spanish El Capitan. Nama ini asalnya milik seorang pengembara Amerika, Zebulon Pike yang pernah mencuba untuk mendaki gunung ini tetapi tidak berjaya. Perjalanan hari kedua lebih mudah.

Mendaki sekitar 30 kilometer di permukaan jalan yang cukup selesa dan cantik. Selain pemandangan yang indah, kemuncak gunung ini juga menjadi lokasi pilihan buat mereka yang mencari cenderahati untuk dibawa pulang. Kalau lapar... donut yang dijual di sini juga sangat sedap!

Satu per satu jentera konvoi ditunggang semula menuju ke Manitou Springs untuk menikmati sandwich di Garden of Gods. Sebuah taman cukup dramatik dengan formasi batu-batu (sandstone) setinggi 300 kaki. Kami kemudiannya pulang ke 'rumah keluarga' melalui jalan tanah merah di Rampart Range. Memang seronok tetapi selepas 32 kilometer, hujan mulai turun dan lumpur berwarna merah ini menyukarkan perjalanan. Untuk elakkan daripada berlakunya insiden yang tidak diingini, kami menukar laluan kepada jalan biasa.

Perjalanan hari ketiga sangat mengujakan. Kami melalui Skyline Drive ke Canon City yang menawarkan pemandangan yang sangat indah tetapi agak sempit. Jalannya satu lorong yang berjarak kira-kira 11 kilometer dan agak menakutkan kerana kami terpaksa menunggang di tebing yang berketinggian beribu kaki. Dasarnya ialah Sungai Arkansas. Memang mengerikan kerana ketiadaan besi pengadang di tepi jalan.

Hari Jumaat... Pengalaman hebat telah hampir ke penghujungnya. Kami kembali ke atas jentera masing-masing untuk menyambung perjalanan ke Guanell Pass, satu lagi kawasan pergunungan setinggi 11,665 kaki kemudian bermain di selekoh untuk turun ke Georgetown dan kembali memerah pendikit untuk memanjat Mt. Evans yang setinggi 14,271 kaki – tinggi sedikit daripada Pikes Peak.

Hari itu juga keadaan agak berlainan kerana suhunya yang menurun kira-kira 1 deg. C sahaja. Kami mencari arah untuk ke lokasi yang lebih panas iaitu ke Squaw Pass Road. Jalan ini menawarkan jalan-jalan berselekoh dan berpokok yang mengasyikkan. Perjalanan berakhir di Evergreen dan di sini kami menikmati makan malam terakhir bersama-sama mereka yang telah banyak membantu dalam menjayakan program ini. MRP telah memberi sumbangan sebanyak $19,000 untuk acara ini.

Saya sememangnya sangat seronok dan gembira mendapat peluang seperti ini. Memang lain daripada yang lain. RR

Oleh: Clement Salvadori

Isu Pada

Februari 2017

Popular

  • Dari Litar

    Voge Formica Rossa 150 Bakal Muncul di Perlumbaan CubPrix & ARRC Musim Depan

  • Warta Roda

    Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

Artikel berkaitan

Kembara Sampai ke Boten

Ride Sri Lanka - Berbelit Jalan Serta Lidah Nak Menyebutnya...

Kuching, Sarawak, Malaysia - Pontianak, Indonesia: 1000km Loop (Bahagian Akhir)

Kuching Sarawak Malaysia - Pontianak Indonesia: 1000km Loop (Bahagian 1)

Sabah 360 Ride 1,800KM Loop (Bahagian II)

Ride Berdua ke Siam

Sabah 360 Ride 1,800km Loop (Bahagian 1)

Ride Ihya Ramadhan TM Bikers Ke Gua Musang, Kelantan

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

RXZ Twin Boss V2 Oleh FNG Works Akan Dipamerkan di Yokohama Hot Rod Custom Show 2024 di Jepun!

RXZ Twin Boss V2 yang menang di AOS2024 dalam pertandingan Art Of Speed Invitational Bike Build Off akan dipamerkan di Yokohama Hot Rod Custom Show 2024.

Dari Litar

CP125: Syamil Akan Raikan Gelaran Juara Lebih Awal Jika Menang Hujung Minggu ini?

Gelaran juara keseluruhan CP125 buat pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - 31 Racing, Md Syamil Amsyar semakin cerah.

Model Baru

Yamaha Europe Perkenalkan Tracer 9, Tracer 9 GT & Tracer 9 GT+ 2025

Yamaha Motor Europe telah memperkenalkan rangkaian Sport Touring mereka bagi tahun 2025 iaitu Yamaha Tracer 9, Tracer 9 GT dan Tracer 9 GT+ Y-AMT.

Dari Litar

Francesco Bagnaia Tawan GP Thailand Dalam Hujan

Francesco Bagnaia (pecco) membuktikan keupayaannya apabila menjuarai GP Thailand dalam keadaan cuaca dan litar yang sangat sukar.