Ekspedisi Solo Tiga Negara Bersama Modenas Kriss II (Bahagian 2)
25 Januari: Saya meneruskan perjalanan ke M. Nonghet sebelum melangkah ke Vietnam. Setelah membeli sarung tangan tebal, barulah lebih selesa untuk memacu motosikal tetapi kali ini diuji pula dengan cuaca sejuk ekstrim -5oC hingga bertemu kawasan bersalji.
Saya sampai ke sempadan Laos dan menyeberangi ke kawasan No Man Land di sebelah Vietnam untuk bertanyakan sama ada motosikal 'Negara Asean' dapat memasuki Vietnam. Jawapannya agak mengecewakan... hanya kenderaan empat roda sahaja dibenarkan memasuki Vietnam dengan menggunakan agen pelancongan sahaja dibenarkan.
Saya terpaksa berpatah balik ke bandar Phosavan dan sebaik sahaja memasuki kawasan bersalji, timing motosikal mula tidak sekata dan ini menandakan minyak petrol sudah beku dan kaburetor sudah diselaputi ais. Saya mematikan enjin kerana putarannya tiba-tiba menjadi semakin tinggi. Syukur.... lima minit kemudian enjin dapat dihidupkan semula dan berupaya untuk meneruskan perjalanan.
Apabila matahari terbenam, cuaca semakin sejuk dan saya juga tidak boleh memecut laju kerana banyak binatang ternakan di kawasan ini. Keadaan jalan yang kurang sempurna turut memperlahankan perjalanan tetapi akhirnya saya selamat juga tiba kembali ke bandar Phosavan.
Tiga hari saya di bandar ini manakala cuaca juga tidak berubah. Hari-hari hujan. Saya menghabiskan masa dengan berjalan-jalan ke pasar malam untuk mengisi perut yang kosong. Saya memilih untuk memakan juadah yang diyakini halal seperti pulut, kuih muih dan ikan bakar.
Bila berada di sini, saya rasakan tidak perlu lagi untuk ke negara 'orang putih' kerana di sini pun dah cukup sejuk. 'Dok' dalam bilik pun nafas sudah berasap. Bila selimut.... seolah-olah tidur dalam peti ais. Orang nak bekerja pun terpaksa duduk di depan unggun api dan menurut seorang pemilik restoran di sini, cuaca hujan dalam musim sejuk sebegini pertama kali berlaku dalam tempoh 100 tahun.
27 Januari. Hujan terus membasahi bumi dan saya membuat keputusan nekad untuk menuju ke Vientiane tetapi bermotosikal di dalam suhu yang amat sejuk ini memang menyiksakan. Sedih juga sebab hanya dapat melihat keindahan alam di sini tetapi hasrat untuk melawat Plan of Jar Side 2 terpaksa dilupakan.
Apabila tiba di kawasan gunung, keadaan kabus yang sangat tebal memberi cabaran besar buat saya kerana jarak penglihatan yang terhad. Kabus amat tebal ketika saya berada di puncak gunung seolah-olah berada di dunia kayangan. Saya turun ke kawasan rendah barulah penglihatan menjadi jelas semula. Kejadian ini kerap berlaku ke Phou Koun, selepas itu corak tunggangan menjadi lancar kerana jalan menuju ke Vang Vieng berturap dan lurus. Saya sampai awal di sini jam 3.00 petang untuk berehat dan makan tengahari.
Setelah puas makan pulut, saya mencuba pula buah-buahan tempatan kerana perut masih lagi terasa lapar. Hujan renyai-renyai turun semula semasa bergerak menuju ke Tha Heua menyebabkan saya terpaksa bergerak pantas sebelum malam menjelma walaupun jarak perjalanan hari ini sudah hampir 400 km. Tapi keadaan jalan yang licin, berlumpur dan berlubang amat memburukkan lagi keadaan.
Selepas mengisi minyak di Phonhong dan memasang spotlights, saya bergerak agak perlahan untuk mengelakkan rim bengkok dan risiko daripada terjatuh. Mencari alternatif untuk cepat ke ibu negara Laos, cara paling selamat adalah mengekori kenderaan yang hampir sama dengan kelajuan kita yang berada di hadapan.
Hujan dalam beberapa hari menyebabkan lubang jalan di sini menjadi bertambah besar dan terserempak juga dengan beberapa buah kereta yang rosak teruk akibat masalah tersebut. Sampai di Vientiane pada jam 10.30 malam dan serta merta saya berasa lega kerana jalan berturap dengan baik sekali. Disebabkan suhu di sini adalah 15oC ketika itu, saya bergegas mencari tempat penginapan dan akhirnya berehat di hostel untuk backpackers yang berhampiran dengan dataran Sungai Mekong.
Pagi esoknya saya meronda-ronda sekitar bandaraya Vientiane, jenuh juga berjalan tanpa menggunakan GPS. Banyak kali tersesat jalan kerana kurangnya papan tanda di sini. Seorang polis di satu pos kawalan bandar telah menahan saya dengan memberi alasan bahawa nombor pendaftaran motosikal saya patah dan tidak berhenti bila mendengar bunyi wisel.
Sakit hati juga dengan polis yang suka cari pasal dengan kita yang datang melancong tempat mereka. Sudahlah meniup wisel di belakang kita manakala nombor pendaftaran yang patah itu pun masih lengkap tulisannya, apa masalahnya? Ada juga orang tempatan yang kena saman dengan polis tersebut tetapi mujurlah...setelah puas berunding dan merayu akhirnya lesen dipulangkan semula.
Lebih kurang jam 5.00 petang, saya pergi ke dataran sungai Mekong untuk melihat matahari terbenam, melawat pasar malam dan ke festival makanan antarabangsa Laos. Kebetulan pula ada kedutaan Indonesia yang membuka gerai, apalagi saya terus makan malam di sini kerana ia halal. Malam itu saya duduk di depan lobi hotel dan berborak dengan pelancong dari Eropah. Dia menyaran saya melawat Vietnam dan India kerana kos perjalanan di sana murah dan selamat.
Selepas tiga hari, saya meninggalkan Vientiane untuk kembali semula ke Thailand. 'Episod' tersesat sekali lagi terjadi semasa ingin menuju ke Nongkai, saya tersalah membaca papan tanda dan menyebabkan hampir dua jam berpusing-pusing di tempat yang sama. Keadaan bertambah buruk apabila tiba waktu orang keluar untuk bekerja. Selepas mendapat arah yang betul, saya kembali yakin untuk meneruskan perjalanan.
Saya membuang banyak masa di pusat imigresen Thailand kerana terdapat ramai pelancong yang juga ketika itu mempunyai tujuan yang sama. Proses kemasukan juga rumit kerana banyak borang perlu diisi. Selepas hampir tiga jam di sini, saya akhirnya dibenarkan
masuk ke Bandar Nongkai dan mengambil keputusan untuk bermalam di sini. Hotel tempat saya menginap ini memang cantik dan unik sekali. Oleh kerana beratapkan daun nipah, keadaan di sini cukup sejuk pada bila-bila masa.
1 Februari 2016: Perancangan awal untuk bermalam di Khon Kaen terpaksa dibatalkan kerana jaraknya terlalu dekat manakala ketiadaan papan tanda menyukarkan perjalanan saya di sini. Saya menggunakan Lebuhraya 2 untuk menuju ke pusat bandar Khon Kaen yang sibuk itu. Sempat juga melawat pasar di sini... saya beli buah pisang, betik dan somtam. Inilah somtam (salad betik) terlazat yang pernah saya rasakan, memang berbaloi kerana ianya disediakan dari bahan-bahan yang segar!
3 Februari: Ketika dalam perjalanan ke bandar Chaiyaphum, saya dapat melihat ladang-ladang pertanian saiz mega dibangunkan dengan pesat sekali. Lori yang digunakan memang dari model yang lama tetapi telah dihias cantik seperti Japenny di Filipina. Jalan dari Chaiyaphum juga sedang dinaik taraf kepada empat lorong. Saya kenalah menunggang dengan perlahan sikit sebab banyak lori-lori besar melaluinya.
Lain pula pemandangannya apabila saya berada di laluan ke Saraburi. Terdapat Premium Outlet ladang lembu tenusu dan penanaman jagung di sini. Ia seperti yang terdapat di Australia... memang hebat! Sekali lagi saya tersesat bila menunggang di waktu malam tetapi mujurlah ada yang datang membantu untuk kembali ke laluan yang betul menuju ke Phra Nakhon Si Ayutthaya.
Esoknya saya ambil peluang melawat tapak bandar purba ini, apa yang bagusnya ialah pihak kerajaan tidak mengusik langsung kawasan peninggalan sejarah ini walaupun kawasan sekitar telah dipenuhi dengan bangunan moden. Ia kini menjadi daya tarikan utama buat pelancong luar. Dua hari saya di sini.
Saya memilih untuk menaiki keretapi ke Bangkok. Walaupun jaraknya dekat, kos penghantaran motosikal agak tinggi tetapi tambang menaiki keretapi Kelas 3 amat murah. Saya memang respect pada sistemnya kerana diuruskkan dengan efisien sekali. Tak sampai 15 minit beli tiket, motosikal saya telah dipunggah masuk ke dalam koc barang.
Dari Bangkok, saya memacu jentera ke selatan Thai menuju ke Phattalung dan tiba di sana dalam cuaca yang kurang sempurna. Saya tekad untuk meneruskan perjalanan ke Trang menggunakan lebuhraya yang baru siap dibin dengan kawasan R&R berlanskap yang cantik.
Sampai sahaja di sini saya telah diserang demam kerana perubahan cuaca yang sangat ketara. Hampir sehari terlantar di dalam bilik! Kepala berdenyut-denyut… lagi parah dibuatnya. Malam itu bunyi letupan bunga api kedengaran sempena sambutan Tahun Baru Cina. Dalam kesukaran, saya gagahi juga untuk berdiri dan makan. Keesokan paginya, ketika bersiap... saya hampir pitam tetapi dapat mengawal diri dengan baring seketika. Saya kemudiannya terus ke farmasi di Thailand untuk mendapatkan ubatan yang sesuai.
8 Februari. Jalan 408 menyusuri kawasan pantai di Trang dan ternyata ianya amat cantik, seperti di Phang Ha dan Krabi. Kesuntukan masa menghalang saya ke pulau Koh Pi-Pi dan Koh Lanta. Semasa mencari jalan untuk ke Satun, saya tersalah jalan sehingga sampai ke dalam bandar pelabuhan kecil.
Saya cuba bertanya arah tetapi ramai rakyat Thailand tidak pandai berbahasa Inggeris, akhirnya saya nekad u-turn semula baru berjumpa simpang ke Satun. Mujur dan penat mencari jalan itu hilang apabila disajikan dengan jalan tepian sawah padi dan ladang getah yang subur dan cantik.
Lewat petang saya terus masuk ke jalan 406 menuju ke Hatyai dan kali ini bergerak perlahan sebab takut tersalah jalan lagi. Setelah berhenti rehat semasa waktu maghrib dan mengisi minyak saya terus memecut ke arah Hatyai. Malangnya stesen minyak hanya berada di sebelah kanan ke arah Satun. Disebabkan malas nak buat u-turn saya pun terus bergerak tetapi semakin perlahan sebab takut kehabisan minyak.
Bila sampai satu pekan kecil saya nekad berhenti untuk mencari stesen minyak...yessss nasib baik ada yang masih beroperasi! Saya terus ke Sadao kerana jam masih awal dan lebih baik kerana tidak perlu kelam kabut untuk ke sempadan. Keesokan harinya, saya menghubungi rakan dari Alor Setar untuk berjumpa.
Sampai di Imigresen Thailand pegawai yang menjaga bahagian permit kenderaan menyebut `balik-balik’ pada rakyat Malaysia, mungkin sebab stress atau saja hendak bergurau maklumlah cuti tahun baru cina, sempadan memang selalunya sesak. Saya bermalam di Alor Setar untuk berehat dan menukar rantai sebelum pulang ke Negeri Sembilan dengan 1001 kenangan yang cukup berharga. Pengalaman ini juga adalah guru yang paling baik untuk kita jadikan panduan di dalam kehidupan mahupun perjalanan. RR
- Udinor
Popular