E-Touring Di California Bersama ZERO Motorcycles
Jumlah penjualan jentera elektrik semakin hari semakin baik, terutamanya di USA. Ini disebabkan telah banyak penambahbaikan dinikmati oleh para pemilik jentera sebegini seperti tahap mengecas bateri yang lebih cepat, lebih tahan lasak dan mampu milik. Di masa ini, syarikat gergasi seperti Harley Davidson dan Polaris juga sedang membangunkan enjin tanpa pembakaran dan ia sememangnya akan diperkenalkan kelak, persoalannya bila?
Walaupun jentera elektrik sangat seronok untuk tunggangan santai, menjaga alam sekitar atau ke tempat kerja… rancangan untuk mengembara bersama Zero Motorcycles juga sangat-sangat menarik.
Perjalanan yang kami lalui bersama jentera ini bermula di bahagian utara California, di tepian jalan pantai Lautan Pasifik menuju ke kawasan berketinggian 8,000 kaki iaitu di Taman Negara Yosemite. Taman Negara ini terletak kira-kira 320 kilometer dari Sierra Nevada.
Saya menunggang model baru, Zero DSR ZF13.0 yang diperkenalkan oleh pengeluar motosikal elektrik terbesar dunia (E-bike) iaitu Zero Motorcycles. Nama asal Zero ialah Electricross yang diasaskan pada tahun 2006 oleh bekas jurutera NASA, Neal Saiki.
Asalnya, syarikat ini hanya beroperasi di rumah Neal Saiki yang terletak dalam kawasan hutan di Scotts Valley yang berada di atas Lautan Pasifik. Hari ini, Zero merupakan pengeluar motosikal elektrik terbesar di dunia, termasuk di China yang sememangnya terkenal dengan pengeluaran jentera-jentera EV/Elektrik yang kebanyakannya menggunakan mesin skuter.
Saya sudah menunggang hampir setiap model Zero ini sejak enam tahun lalu, bererti saya mempunyai pengalaman merasakan setiap penambahbaikan yang dibuat pada jentera mereka selangkah demi selangkah. Segala peningkatan dan usaha keras ini dibuat oleh pasukan R&D mereka yang diketuai oleh Abe Askenazi.
Walaupun sudah mula memberikan idea-idea bernas sejak 2010, tahun 2016 ternyata memberi kejayaan besar buat Abe & Co. selepas berjaya menghasilkan Z-Force Interior Permanent Magnet (IPM) yang berkemampuan untuk mempertingkatkan kadar kekuatan dan jangka hayat bateri yang dilengkapkan pada jentera tersebut.
Menurut Zero, dengan adanya konfigurasi IPM, kadar pengeluaran dan hantaran kuasa menjadi lebih efisien dalam kelajuan tertinggi. Zero turut menegaskan, sel kimia termaju yang mereka miliki mempunyai ketumpatan kuasa yang tertinggi dalam industri EV – ia juga digunakan oleh Tesla Motor, jiran mereka kira-kira 64 kilometer dari Scotts Valley.
Untuk tahun ini, Zero menawarkan kadar kuasa enjin lebih mantap menerusi bateri lithium-ion bersel kimia baru. Model ini juga dilengkapkan dengan bateri tambahan berharga $2,674 dengan kuasa 2.9kWh yang dipasang di bahagian tangki. Bateri ini akan digabungkan dengan bateri sedia ada yang berkuasa 13.0kWh. Kombinasi dua bateri ini menawarkan jarak perjalanan sejauh 157 kilometer di atas lebuh raya dengan kelajuan sekitar 112km/j manakala jarak tunggangan di dalam bandar bertambah kepada kira-kira 315 kilometer. Jika digabungkan antara penggunaan bandar dan di lebuhraya, jumlah perjalanan yang telah direkodkan ialah sekitar 172.8 kilometer.
Model baru ini juga menawarkan peningkatan kuasa tork sehingga 56% kepada 106lb-ft/143Nm dan 25% lebih berkuasa iaitu pada kadar 67bhp berbanding model keluaran 2015. Kini... kita sedari bahawa motosikal sifar-emisi (elektrik) mampu dibawa mengembara ke lokasi lebih jauh dengan kelajuan yang lebih memuaskan. Bukan lagi hanya sebuah motosikal bandar!
Saya dibekalkan dengan model baru 2016 – Zero DSR untuk diuji sejauh 1,400 kilometer di Selatan California. Ia merupakan sebuah model berprestasi tinggi dan berkemampuan untuk berada di jalanan biasa dan lasak. Dijual pada harga antara $15,995 hingga $18,669 dan dilengkapi dengan bateri tambahan (Power Tank) 2.9kWh menjadikan jumlah kapasiti bateri keseluruhan setinggi 15.9kWh.
Walaupun dirasakan harganya agak tinggi, anda perlu ingat bahawa kos penyelenggaraan jentera Zero hampir sifar berbanding mesin konvensional biasa. Ini tidak termasuk kos penukaran alas brek, tayar atau pacuan talisawat yang tahan sehingga 40,000 kilometer. Pastinya anda akan jarang sekali pergi berjumpa dengan para pengedar Zero.
Apa pun, perjalanan lebih seronok dengan adanya alat yang boleh mengecas semula kuasa bateri sewaktu motosikal sedang bergerak dan itulah yang dapat saya nikmati. Zero memasang kotak barang belakang khas untuk diletakkan dua buah pengecas Elcon berkuasa 2.5kWh yang akan mengecas bateri sewaktu perjalanan dimulakan.
“Kebanyakan pelanggan sememangnya inginkan sistem atau pun alat ini dipasang pada motosikal mereka. Selepas mereka mengecas di rumah atau di tempat kerja, penambahan alat seperti ini adalah satu pakej yang paling baik,” kata Timbalan Presiden Bahagian Jualan dan Pemasaran, Todd Andersen.
Saya ingin mengembara dan pastinya tidak mahu menghabiskan masa dengan mengecas sepanjang hari. Jentera saya telah dipasang dengan CHAdeMo, suatu alat yang mempercepatkan proses mengecas kedua-dua bateri gabungan saya daripada 5% kepada 95% hanya dalam masa sekitar dua jam sahaja berbanding 12 jam jika menggunakan soket biasa di rumah.
Saya juga perlukan seorang teman/jurugambar – namanya Phil Hawkins yang tinggal berdekatan dengan kilang Zero. Phil menunggang Triumph Tiger 800XC, seorang yang tinggi dan cukup boleh diharapkan jika perlu menolak Zero ini jika terpaksa. Tapi... di mana ada stesen untuk mengecas bateri ini?
Mudah sahaja – anda hanya perlu layari www.plugshare.com, satu sumber global yang memberikan resolusi dan kaedah jika anda menghadapi sebarang masalah ketika menunggang jentera elektrik. Menerusi laman ini, para penunggang akan dapati di mananya tempat mengecas, jenis pengecas dan statusnya (rosak/baik). Laman ini berfungsi untuk komuniti khas dengan memberikan bantuan kepada para pengguna jentera elektrik untuk mengguna soket pengecas walaupun di rumah orang yang tidak kita kenal.
Perjalanan awal kami agak mencabar – hujan! Setakat ini, seorang pemilik dari Florida, Terry Hershner memang cukup terkenal kerana berjaya membuat pengembaraan yang cukup jauh bersama Zero (1,600 kilometer dalam masa 24 jam) dan berjaya mendemonstrasikan potensi menunggang bersama jentera EV. Pada bulan Mei 2015, dia menjadi penunggang pertama jentera elektrik yang menunggang sejauh 480 kilometer dengan sekali cas. Lebih menyeronokkan, perjalanan Terry turut ditemani oleh anjing kecilnya.
Kami menerima nasihat Terry untuk mengecas jentera ini selepas 80 kilometer pertama. Selepas itu kami menyusuri perjalanan di kawasan pembalakkan dan cukup menyeronokkan berada di sini, hati-hati dengan kelajuan atau boleh mendapat surat saman. Ketika membuat pendakian, saya memperlahankan kelajuan (perlahan seperti orang berjalan) dan merasakan Zero ini terus lancar cuma... ketiadaan bunyi yang terhasil daripada jentera ini agak berbahaya. Takut orang melintasi tanpa menyedari kehadiran kita!
Satu-satunya bunyi yang agak kuat ialah menerusi bunyi rantai dan putaran tayar ketika membuka pendikit dengan ganas. Memang seronok... tambahan pula jentera ini dilengkapi sistem brek buatan Sepanyol dengan sistem Bosch ABS yang membolehkan kita memberhentikan jentera seberat 210kg (termasuk sepasang pengecas di kotak barang) dengan cemerlang sekali.
Model ini didatangkan bersama tiga mod tunggangan berbeza yang benar-benar berfungsi dengan baik. Mod 'Eco' memberikan pecutan yang lembut dan kesan yang juga tidak mengecewakan. Mod 'Sport' pula menawarkan hantaran kuasa yang lebih terang dan jelas dapat kita rasa walaupun dari kedudukan '0km/j'. Mod 'Custom' pula memberikan kita lebih pilihan untuk membuat talaan mengikut tahap dan gaya tunggangan. Kesemua talaan ini dapat dilakukan hanya menerusi telefon pintar yang dimiliki.
Kami kemudiannya ke persisiran Pantai Pasifik menuju ke San Francisco. Tidak lama kemudian, kami berhenti di Spanish Town – banyak binaan dinosaur besi di sini dan menikmati makan tengahari di Presidio, bekas pengkalan askar Sepanyol yang dibina pada tahun 1776 yang digelar oleh penduduk utara sebagai The New Spain.
Pada tahun 1846, tempat ini ditawan oleh USA dan para tentera ini kemudiannya ditugaskan untuk mempertahankan Teluk San Francisco sehingga tahun 1994. Kini ia telah didirikan rumah-rumah persendirian yang cukup mewah dengan pemandangan hebat, The Golden Gate Bridge. Di sini juga terdapat lapan tempat mengecas di Pusat EV (tiga daripadanya dimiliki oleh e-Fiat 500s), hanya satu daripadanya percuma manakala yang lain perlu dibayar $1.50 untuk sekali proses mengecas.
Hanya lima minit perjalanan dari Mustard untuk kami tiba di Hotel Havest Inn di St. Helena untuk bermalam. Hotel ini dipilih kerana mempunyai tempat pengecas, memang bagus! Kami berjaya menyusuri perjalanan hari pertama sejauh 291 kilometer, ianya suatu yang mengagumkan.
Tidak lengkap jika berada di Napa tanpa melawat ladang anggurnya. Kami juga singgah seketika sebelum menyambung perjalanan. Memang lazat dan menyelerakan. Untuk ke sini tidaklah sukar kerana terdapat 'seekor' arnab keluli setinggi 35 kaki bernama Little Bunny Foo Foo berada di pintu masuknya. Ladang ini juga terkenal sebagai tempat mengeluarkan wain.
Okay... sudah tiba masanya untuk ke Sacramento, ibu negeri California. Kami amat seronok menyusuri jalan-jalannya yang berliku sejauh 112 kilometer. Semestinya ia adalah jalan pilihan pengguna motosikal. Zero DSR menawarkan pengendalian yang cukup mantap walaupun sedang memikul bebanan. Sistem saspensi Showa, tayar-tayar Pirelli MT-60 membuatkan setiap selekoh di kawasan ini dapat diratah dengan cukup selesa sekali.
Saya yang sudah lama teringin untuk melihat California State Railroad Museum dan inilah peluangnya. Juga masa yang cukup sesuai untuk mengecas bateri memandangkan kuasanya sudah menurun kepada 28%. Masalahnya, tiada tempat cas yang kosong, semuanya penuh dengan kenderaan. Mujurlah datang seorang petugas yang memeriksa kenderaan mana yang sudah dicas dan meminta pemilik tersebut memberi ruang kepada saya.
Jam menunjukkan sudah 3.00 petang, pastinya jalan sesak dengan kenderaan. Di sinilah jentera elektrik menunjukkan kemampuannya! Saya tidak perlu menukar gear, menarik klac sebaliknya hanya menggunakan pendikit dan brek. Saya terdengar Phil seringkali bermain gear dan barulah saya faham mengapa jentera-jentera EV sangat praktikal dan diminati di negara ini.
Kira-kira 32 kilometer kemudian, kami mematikan enjin untuk melawat Penjara Negeri Folsom, penjara kedua terbesar di California selepas San Quentin. Dibina pada tahun 1880 iaitu ketika di era California Golden Rush dan merupakan penjara bersekuriti penuh pertama di USA.
Tempat rehat kami ialah di Lake Tahoe dan untuk ke sana, kami perlu mendaki dan ini bermakna... bateri perlu dicas lagi, kali ini di pejabat kerajaan di Placerville. Saya terpaksa membonceng di belakang Phil untuk berehat di sebuah kedai makan. Saya ke sana... ke mari... sementara menunggu motosikal saya. Hari semakin gelap, perjalanan terpaksa disambung walaupun bateri sempat dicas sebanyak 84%. Saya menala kepada mod 'Eco' dan membenarkan Phil memimpin perjalanan di sebelah malam. Lebih selamat untuk ke Lake Tahoe!
Apabila sudah gelap dan di jalan yang curam, saya tidak boleh lagi menggunakan mod ‘Eco’ kerana kuasa tersangat rendah untuk memanjat. Apa yang saya harapkan ialah agar tidak kehabisan bateri sebelum tiba di puncak. Saya mengubah kepada talaan ‘Sport’ dan barulah kuasa dapat digandakan.
Jarum penunjuk kuasa menjunam ke bawah sebaik sahaja kami mula memanjat. Enjin terus segar dan setidak-tidaknya mesin EV ini tidak akan terganggu jika menunggang di altitud yang tinggi – berbeza dengan enjin biasa. Sudah menurun kepada 7% dan jarak ke Lake Tahoe pula dianggarkan sejauh 24 kilometer. Macam tak sempat sampai sahaja kerana bacaan ramalan jarak perjalanan menunjukkan kuasa hanya dapat bertahan untuk 19 kilometer. Phil... bersedia untuk tolak!
Mujurlah... saya sempat sampai disebabkan adanya sistem regen (regenerative brake). Dengan penggunaan sistem ini, kuasa bateri dapat dikawal dan disimpan setiap kali kita menggunakan brek ataupun ketika menutup pendikit. Dengan talaan yang tepat, saya dapat menambah kuasa kepada 13%, cukup untuk sampai ke hotel.
Keesokan harinya, saya dikejutkan dengan pembayaran sebanyak $29.90 kerana memparkirkan motosikal saya di garaj. Walaupun proses mengecas itu percuma tetapi ruang yang saya gunakan itu perlu dibayar seperti yang dikenakan pada kenderaan lain. Kecewa juga dibuatnya!
Sekali lagi Zero ini diuji untuk membuat pendakian setinggi 8,000 kaki dan seperti biasa, jentera ini terus cemerlang sekali. Kami turun ke Calaveras Country dan bandar-bandar kecilnya seperti Sonora (yang terbesar) dan telah berada di situ sejak 1848 lagi. Laluan utama di bandar ini 'diisi' dengan deretan rumah kedai yang masih dijaga dengan baik hingga ke hari ini. Sempat juga kami berdua menyaksikan pertandingan lompat-katak iaitu The Celebrated Jumping Frog of Calaveras County.
Hari ini kami berjaya mengembara sejauh 268.8 kilometer sebelum berhenti rehat di Rodeway Inn di Sonoma yang diusahakan oleh keluarga Singh dari India. Makanan di sini juga sangat lazat. Memang berbaloi!
Untuk mengecas semula Zero ini, saya memasangkan wayarnya ke soket di dalam bilik menerusi tingkap dengan menggunakan wayar penyambung. Bangun tidur... sudah hampir penuh dan saya teruskan mengecas ketika mandi dan sarapan. Kami memasuki Sierra Nevada yang jaraknya dari hotel tadi sekitar 128 kilometer. Jalan di Red Hills memang sangat sesuai untuk bermotosikal dan sekali lagi saya tidak dapat menyorokkan betapa senangnya memacu Zero ini di jalan-jalan berselekoh.
Kuasa memecutnya mengagumkan saya. Jentera ini hidup dengan rancak ketika pendikit dipulas bermula pada kelajuan 80km/j dan ke atas. Ketika mula menuruni kawasan berbukit yang membawa kami ke Yosemite, saya dapat melihat kuasa bateri Zero kembali meningkat iaitu dari 25% kepada 34%. Dengan kadar tunggangan yang sekata, saya masih mampu mendapatkan jarak perjalanan sekitar 212.8 kilometer dengan sekali cas.
Taman Negara Yosemite meliputi kawasan seluas 2,570km persegi dan menerima kunjungan majoriti sekitar empat juta pelancong setiap tahun. Ia dipilih sebagai destinasi ‘mesti datang’ di dunia dan juga diisytiharkan sebagai The World Heritage pada tahun 1984. Taman Negara ini terkenal dengan kecuraman tebing granitnya, jumlah air terjun yang banyak, pelbagai lokasi glasier dan pokok-pokok gergasi sequoia. Sesiapa sahaja yang berkunjung ke sini pastinya tidak akan dapat melupakan segala pengalaman dan pemandangannya.
Di sinilah saya bertemu dengan juru terbang United Airlines, Paul Fuell – dia merenung mesin yang saya tunggangan ini cukup lama sebelum berkata: “Saya tidak menyangka sebuah Zero di sini,” katanya.
Rupa-rupanya, Paul tinggal di San Francisco dan sudah biasa dengan jentera-jentera Zero malah pernah berhasrat untuk memilikinya suatu ketika dulu tetapi masalah kekurangan tempat mengecas ketika itu membantut niatnya. Dia juga pemilik BMW i3 dan mempunyai rumah yang mesra alam.
Saya terus tunjukkan rekod yang sedang dibuat termasuklah kemampuan Zero memanjat Echo Summit yang tinggi itu. Paul cukup kagum! Walaupun motosikal elektrik masih di dalam kelompok minoriti, peningkatan jumlah pemiliknya memang hebat. Dua puluh tahun akan datang diyakini kebanyakan kenderaan baru yang diperkenalkan akan beroperasi melalui enjin-enjin elektrik.
Saya bermalam di Half Dome Village yang diasaskan oleh David dan Jennie Curry pada tahun 1899. Di sini kita dapat memilih untuk beristirehat di 46 buah kabin dengan bilik air persendirian atau pun bermalam di dalam 424 buah khemah. Apa yang kurang menarik jika tidur di khemah ialah ketiadaan langsung bekalan elektrik – susah untuk kita yang mempunyai telefon atau kamera. Dua-dua alat itu perlu dicaskan selalu.
Keesokan harinya, kami kembali ke jalan dengan menuruni Bear Valley dan singgah di San Joaquin Valley. Di sana saya dijemput untuk singgah di MercedToyota dan inilah kesempatan terbaik untuk mengecas Zero saya. Selepas 90 minit, saya dapati kuasa jentera saya sudah 100%. Okay… ayuh teruskan perjalanan ke Hollister.
Kami bermalam di sini dan ia adalah sebuah bandar yang didakwa telah berlakunya rusuhan oleh kumpulan motosikal pada hari kemerdekaan mereka, 4 Julai 1947. Sejak itulah pandangan masyarakat di sini terhadap pengguna motosikal sentiasa negatif dan menyedihkan. Peristiwa hitam itu telah difilemkan pada tahun 1953 menerusi The Wild One lakonan Marlon Brando.
Hari berikutnya, kami merentasi sebuah bukit menuju ke Monterey, tempat tinggal penulis tempatan, John Steinbeck yang terkenal dengan novel, Cannery Row. Saya tiba di sini selepas 140 kilometer perjalanan dengan kuasa di jentera sudah menurun kepada 13%.
Selepas enam hari perjalanan dan 1,425 kilometer, jentera ini terus gagah tanpa sebarang masalah. Ia memang cukup mudah (pulas dan pergi) dan yang paling menyeronokkan tentunya apabila tiba waktu memecut. Apa yang amat mengagumkan sudah pasti pada kestabilan jentera ini dalam apa jua keadaan.
Kritikan saya hanya perkara kecil iaitu agar pihak pengeluar menyediakan kit pengembaraan yang lebih praktikal dan lebih bergaya. Biarlah produk-produk Zero tampak bergaya dan pada masa yang sama sangat-sangat berbaloi untuk dimiliki. Panel meter seharusnya lebih besar agar mudah dilihat, perlu dilengkapi dengan cruise control dan penunjuk suhu luaran agar lebih mudah para penunggang membuat persediaan. Pelana juga boleh diperbaiki agar lebih selesa dan bagi mereka yang tinggal di kawasan sejuk, pemanas grip adalah satu kemestian.
Sememangnya banyak pengalaman baru yang saya dapati apabila menunggang jauh dan lama dengan Zero ini. Ketiadaan bunyi, gegaran dan ketiadaan sistem gear adalah yang paling utama. Kita tidak akan terasa penat sewaktu berhadapan dengan kesesakan lalu lintas dan tidak akan terasa kerap mengeluarkan wang untuk suatu pengembaraan.
Pembangunan motosikal elektrik kini sedang pesat membangun dan bolehlah kita bandingkan dengan apa yang berlaku pada dunia telefon. Teknologi yang pesat dapat kita lihat hanya melalui cermin telefon itu sendiri dan begitu juga dengan apa yang cuba dilakukan oleh para jurutera motosikal elektrik. Produk-produk Zero ternyata merupakan satu aras untuk kita lihat bagaimana rupa, bentuk dan keupayaan jentera dua roda di masa hadapan. RR
Oleh: Alan Cathcart
Kredit Foto: Phil Hawkins
Popular