Eksplorasi Utara Bersama Benelli RFS150i
Lazimnya pada hari Ahad pagi, kebanyakan orang mengambil kesempatan untuk berehat di rumah tetapi buat kumpulan RFS150i Utara, mereka bersiap sedia untuk menyempurnakan majlis perlepasan buat ketua konvoi mereka yang akan membuat ekspedisi Northern Exploration. Ekspedisi ini juga mendapat tajaan daripada Mforce Bike Holdings Sdn Bhd selaku pengedar rasmi motosikal Benelli, LS2 Helmet Malaysia serta minyak enjin PJ1.
Sebuah Benelli RFS150i ditunggang oleh Rusli Osman atau lebih dikenali sebagai Lee Panjang, ditemani oleh isteri (Yong Suzi) menunggang SYM VTS200 dan anaknya (Yong Sofea) sebagai pembonceng. Mereka merentasi setiap pelusuk Thailand dalam 17 hari dengan jarak perjalanan sejauh 7,475km.
Hari Pertama: Juru – Changlun – Wang Kelian – Ratthapum – Patthalung 322km
Perjalanan bermula dalam cuaca yang redup hinggalah ke Gurun. Hujan gerimis bercampur lebat telah 'menemani' mereka di sepanjang jalan menuju ke sempadan Wang Kelian. Lee, Suzi dan Sofea terpaksa menempuh ribut petir pula dalam perjalanan ke Patthalung sebelum selamat tiba di Sabai Dee Resort. Sebagai panduan: Harga bilik di hotel tersebut ialah THB450.00.
Hari Ke2: Patthalung – Hua Hin 715km Hujan telah menyebabkan banjir di beberapa tempat tapi perjalanan masih diteruskan. Selepas menempuh perjalanan 'basah' ke Surat Thani, akhirnya matahari menceriakan ketigatiga mereka apabila mula meninggalkan Surat Thani untuk ke Hua Hin. Dengan perjalanan yang kini lebih selesa dan selamat, mereka meningkatkan kelajuan kepada 110km/j. Setiba di Hua Hin, mereka menginap di Sunshine Service Apartment yang berharga THB600.00.
Hari Ke 3: Hua Hin – Kamphang Phet
Langit sungguh cerah dan panas. Selepas melalui kawasan pembinaan jalan, mereka dapat menikmati pemandangan luas yang indah dan menyegarkan. Lee Panjang mengetuai perjalanan dengan selamat untuk tiba ke Monkey Resort yang terletak kira-kira 18km sebelum Kamphang Phet. Monkey Resort ini sentiasa menjadi tempat penginapan pilihan Lee jika menunggang ke daerah ini kerana ia mudah diakses (tepi lebuhraya sahaja), baru, bersih dan pemiliknya yang ramah.
Hari Ke 4: Tak – Mea Sot
Dari Monkey Resort, mereka memulakan pendakian ke Mea Sot. Ride hari tersebut santai saja. Mae Sot merupakan sebuah daerah yang memiliki cuaca yang tidak begitu panas dengan purata suhu dari 22°C hingga 31°C. Suhu tertinggi di sini ialah pada bulan April dan Mei yang ada kalanya mencecah sehingga 41°C. Konvoi tiba di Kao Kao Resort yang menyajikan pemandangan tasik yang cantik dan biliknya yang besar pada harga yang cukup berpatutan, TBH450.00.
Di sebelah petang pula, mereka sekeluarga sempat melawat pasar Rim Leoi dan bandar Myawaddy. Myawaddy merupakan antara pusat perdagangan penting di Myanmar yang menghubungkan perdagangan di antara dua buah negara jiran (Myanmar & Thailand).
Hari Ke 5: Death Highway Umphang
Lebuhraya ini mempunyai 1,219 selekoh. Perjalanan naik dan juga turun lebuhraya ini dengan jumlah keseluruhan 2,438 selekoh yang berjarak sejauh 435km. Lee Panjang dan keluarga berjaya menamatkan perjalanan ini dalam masa 9 jam 30 minit dan dianugerahkan sijil pengiktirafan. Apa yang cukup mengujakan, jentera Benelli tidak menghadapi sebarang masalah ketika mendaki Gunung Taman Negara Khlong Wang Chao yang setinggi 1,869m.
Dengan kuasa enjin yang mantap dalam semua gear, Lee Panjang hanya perlu menggunakan tiga gear ke atas untuk mendaki gunung tersebut. Posisi menunggang, pengendalian dan juga penyerap hentakan yang bagus memberikan tunggangan cukup selesa.
Hari Ke 6: Mae Hong Son
Perjalanan ini mengambil masa kira-kira 10 jam dengan melalui 1,864 selekoh. Cuaca berkabus dan sejuk sepanjang 452km perjalanan sebelum tiba di pejabat pos untuk mengambil sijil pengiktirafan. Memang selesa sungguh mengembara dalam suhu seperti ini. Selepas berjalanjalan di pasar malam, mereka bermalam di Baan Kiew Resort dengan harga THB500.
Hari Ke 7: Mae Hong Son – Pai – Chiang Mai
Sekali lagi tenaga Benelli dikerah untuk mendaki dan dapat jugalah mereka 'layan' selekoh sehingga puncak gunung. Selepas berehat seketika, mereka meneruskan perjalanan ke Tiger Kingdom. Sayangnya ia sudah tutup pada hari tersebut. Mereka bermalam di sebuah Servis Apartment dengan harga THB490 termasuk sarapan pagi. Murah kan?
Hari Ke 8: Chiang Mai – Maesai
Perjalanan sejauh 331km mengambil masa selama tujuh jam. Mereka sempat melawat Tiger Kingdom sebelum bertolak ke Mae Kachan Hot Spring, White Temple Chiang Rai kemudian meneruskan perjalanan ke Maesai. Dalam perjalanan, ketiga-tiga pengembara ini 'pekena' sup lembu Burma yang lazat dan menambah tenaga.
Tidak sah pengembaraan ke negaranegara sana jika tidak singgah ke Golden Triangle. Sungai Ruak yang terkenal di sana menjadi titik sempadan antarabangsa bagi tiga buah negara iaitu Thailand, Burma dan Laos. Mereka menginap di Resort Ying Charoen Lake View dengan harga THB600. Tempat ini memang sesuai untuk para penunggang motosikal kerana harganya murah dan berdekatan dengan tempat makan.
Hari Ke 9: Maesai – Chiang Rai
Hari tersebut mereka memang banyak kali berhenti untuk bergambar. Perjalanan sejauh 569km ditemani pemandangan yang menarik. Jalan yang dilalui kurang kenderaan serta banyak selekoh pastinya memberikan tunggangan yang segar dan menyeronokkan. Jentera RFS150i memang terbukti cukup lancar dan sesuai untuk perjalanan jauh.
Hari Ke 10: Chiang Khan – Phitsanulok
Lee sekeluarga keluar menuju ke Phitsanulok dengan menggunakan Route 12 untuk singgah di Air Terjun Kaeng Song hanya untuk seketika. Dapat juga segarkan diri! Kemudian berhenti lagi di Pino Latte untuk “Coffee Break.” Selepas rehat, mereka meneruskan perjalanan ke Khao Kao Hill Top Wind Turbine.
Angin yang agak kencang di atas bukit menyebabkan penunggang menghadapi kesukaran untuk menstabilkan jenteranya. Tetapi segala kepayahan tersebut dapat diatasi dengan adanya pengalaman dan mesin yang mantap. Destinasi seterusnya ialah Gunung Phu Tub Berk yang kini antara destinasi pelancongan paling popular di Thailand. Lee, Yong Suzi dan Yong Sofea bermalam di sini pada harga THB1500. Ia merupakan hotel paling mahal di sepanjang ekspedisi ini.
Hari Ke 11: Tub Berk - Chiang Khan
Jalan ikut Route 21-2399-201.... memang menyeksakan kerana mereka terpaksa berhadapan dengan jalan berlubang sepanjang perjalanan. Tetapi pemandangan yang cantik dapat menghilangkan segala stress yang ada. Sampai di Chiang Khan, mereka terus 'meronda' di pasar malam yang menawarkan pelbagai jenis cenderahati murah buatan tempatan.
Menginap di hotel berdekatan Sungai Mekong dengan harga THB600 dan sememangnya terdapat pelbagai jenis hotel dan tempat penginapan di kawasan ini. Ia agak mudah dicari kerana adalah tempat tumpuan para pelancong dari luar negara.
Hari Ke12: Chiang Khan – Pak Chom – Nong Khai – Udon
Menyusuri Sungai Mekong sejauh 202km disajikan dengan pemandangan gunung ganang Laos yang indah bersebelahan Mekong. Tiada yang lebih nikmat buat pengembaraan motosikal apabila memerah pendikit di kawasan sebegini dengan cuaca sejuk sekitar 12C sepanjang perjalanan.
Sempat juga mereka ambil banyak gambar kenangan dan dalam suhu yang rendah, segala aktiviti lebih menyeronokkan. Tak penat... tak berpeluh. Sampai di Udon, mereka bertiga mendapat tempat penginapan yang sesuai pada harga THB350. Selain mencari kepuasan menunggang di tempat orang, pemilihan hotel yang tepat dan sesuai amat penting agar bajet kewangan dapat dikawal dengan baik!
Hari Ke 13: Udon – Arayanphatet
Dari Khumpawapi Sea Red Lotus, mereka menaiki bot mengelilingi tasik teratai. Harga untuk menyewa sebuah bot ialah sekitar THB500 atau RM60. Pemandangan di tasik penuh dengan pokok teratai memang cukup unik dan menarik.
Mereka meneruskan perjalanan ke Buriram, sempadan Aran/Poaypet Kemboja dan menginap di hotel dengan harga THB500.
Hari Ke14: Aran – Kanchanaburi
Di Aran terdapat tiga buah gerai halal yang menawarkan pelbagai makanan yang sedap-sedap belaka. Sarapan pagi di Kedai Nan dengan menikmati Pha Kha Paw dan bubur nasi ayam. Selepas itu mereka menyambung pengembaraan ke Prachin Buri dan ke Sugarcane Resort. Malangnya semua bilik penuh, akhirnya menginap di Check Inn Resort THB500 yang hanya empat bangunan jaraknya dari resort tersebut. Mereka berehat dua malam di Kanchanaburi sebelum balik ke Malaysia.
Ini untuk merehatkan minda dan tubuh badan agar perjalanan pulang dapat disempurnakan dengan selamat. Kekurangan waktu tidur sememangnya boleh membahayakan nyawa terutamanya bagi mereka yang memandu atau menunggang. Banyak kes kemalangan berlaku yang disebabkan mangsa terlelap sewaktu di jalan raya, tersalah buat keputusan kerana mengantuk dan banyak lagi.
Hari Ke 15 – Kachanaburi
Mereka ingin merasai kuasa bot pancung dan berjaya membuat tempahan bot dengan menggunakan khidmat pihak resort pada harga THB1000/jam. Bot ini mampu memuatkan seramai 16 orang penumpang. Lepas itu Lee dapat merasai sendiri pengalaman Flying Fox di Thamkrasae Jambatan Kayu Keretapi.
Hari Ke16: Sungai Kwai – Mae Khlong
Perjalanan yang sejauh 615km memakan masa 10 jam. Mereka kerap berhenti untuk merehatkan diri - di Hua Hin untuk makan tengah hari, di Raja Bhakti Park untuk sesi bergambar dan di Khun Sarai untuk 'pekena' sup. Akhirnya sampai di sebuah hotel pada harga cukup menarik, THB450.
Cuaca panas dan baik membolehkan mereka mengekalkan kelajuan pada 110km/j sepanjang perjalanan tanpa sebarang masalah. Jentera Benelli RFS terbukti tahan lasak dan selesa untuk semua jenis tunggangan.
Hari Ke 17: Khun Sarai – Juru
Sama juga dengan hari sebelumnya, banyak singgah dan berehat di sepanjang perjalanan. Dari Sugaree terus sampai ke Sadao. Lee dan keluarganya singgah pula di Danok untuk membeli-belah. Cuaca ternyata menyebelahi pasangan Lee dan anak mereka sehinggalah tiba di Juru. “Saya gembira bahawa ekepedisi ini disertai oleh isteri dan anak saya yang sanggup bersabar dengan perjalanan yang jauh. Ia memang memenatkan dan mengambil masa yang lama. Pengembaraan ini juga membuktikan Benelli RFS150i mampu untuk suatu perjalanan ribuan kilometer dan tidak memberikan apaapa masalah sepanjang perjalanan.” RR
Sedikit info mengenai Benelli RFS150i
Ia sebuah jentera bersesaran 149.8cc SOHC yang menawarkan kuasa maksimum 11.3kW (15.5hp) pada 8,500rpm dan tork maksimum 13Nm pada 7,000rpm. Teknologi tiga palam pencucuh menawarkan pembakaran yang efisien dan maksima. Casis jenis Straddle type dan sistem saspensinya yang cemerlang menawarkan kestabilan ketika menunggang.
RFS150i menggunakan brek cakera 240mm di depan dan brek cakera 220mm (belakang) yang membantu cengkaman lebih jitu ketika membrek atau pun dalam selekoh. Dengan sistem suntikan bahan api yang efisien, tangki minyak berkapasiti 4.8 liter memberikan jarak perjalanan sejauh 150km.
Model RFS150i ditawarkan pada harga RM6,988.00 (tidak termasuk GST) dengan pilihan warna iaitu merah, biru dan kuning. Manakala bagi model SE, harga yang ditawarkan ialah RM7,338 (tidak termasuk GST) dengan warna Matte Grey.
Popular