Mengembara Ke Oregon Bersama Yamaha FJR1300ES
Saya menuju ke kawasan pergunungan kerana terdapat sesuatu memori yang pernah saya baca kira-kira 30 tahun yang lalu. Perjalanan sejauh 96 kilometer di Hutan Negara Willamette memang sangat hebat dan mengujakan. Destinasi ini sebenarnya bagaikan telah hilang di dalam kepala saya tetapi tiba-tiba muncul ketika saya sedang merancang pengembaraan seterusnya. Saya melihat peta dan ternampak Forest Road 19, yang kini ini telah tersenarai sebagai salah satu jalan berpemandangan cantik di Oregon dan ia termasuk di dalam kawasan yang akan saya lawati.
Saya perlu menghadiri satu persidangan di Portland, Oregon yang turut dihadiri oleh 200 orang pentadbir keselamatan motosikal dari seluruh Amerika. Tujuan perhimpunan ini diadakan ialah untuk memberi tumpuan bagi mempertingkatkan skil dan cara tunggangan. Ia amat penting cuma ceramah-ceramahnya agak membosankan. Sebab utama saya dijemput untuk berucap ialah kerana saya ni agak menghiburkan dan berpengalaman dalam pelbagai jenis tunggangan di enam buah benua.
Dari Atascadero, saya menunggang sejauh 800 kilometer di Jalan US 101 menuju ke Crescent City. Saya kemudiannya meninggalkan kawasan pantai California yang cerah untuk masuk ke kawasan lebih dalam tanpa memikirkan masalah cuaca di sana yang tidak menentu. Ketika tiba di Grants Pass, saya ternampak langit di hadapan yang gelap berselang sedikit tompok-tompok cerah dan membiru.
Walaupun pakaian hujan telah siap sedia, saya tidak menggunakannya kerana hari masih lagi cerah ketika saya tiba di sebuah pekan kecil, Rogue River dan kemudian menyusuri tepian sungai sehingga ke Union Creek. Saya bertemu dengan tiga orang penunggang Harley Davidson yang sedang berehat sambil meminum kopi. Mereka dari selatan.
“Basah, sejuk, berkabus dan cukup sengsara,” kata mereka yang terpaksa melupakan hasrat untuk ke Taman Negara Crater Lake.
Ketiga-tiga mereka tidak mengenakan pakaian yang lengkap, itu saja sebabnya. Saya menyempurnakan pakaian dan meneruskan perjalanan. Keadaan langit di Crater Lake agak membiru – cukup baik. Tiada renjer atau pondok pertanyaan yang boleh memberi saya sebarang maklumat mengenai cuaca kecuali tanda amaran tentang pembaikan jalan raya yang sedang dijalankan.
Langit gelap di hadapan! Saya terus mengelilingi tasik ini sehingga ketinggian 7,100 kaki, salji yang halus sudah mula turun. Walaupun ia hari pertama salji, tasik yang berada di bawah sudah tidak kelihatan. Apa pun, perjalanan di kawasan barat nampak lebih meyakinkan cuma saya tidak tahu keadaan jalan di sana. Sudah diperbaiki atau pun masih rosak. Orang juga sudah tidak bertugas di musim salji!
Tidak lama kemudian, salji semakin tebal sehinggakan jarak penglihatan saya sudah terbatas hanya untuk 15 kaki. Sudah tidak seronok tetapi saya tetap komited untuk teruskan perjalanan. Saya risau juga jika gagal mengawal jentera ini dan paling tidak diingini tentunya terbabas dalam perjalanan ke persidangan itu.
Ternampak sebuah trak pickup berwarna putih di depan saya – bukan warna terbaik di dalam ribut salji. Sukar untuk melihatnya walaupun hanya 30 kaki di depan. Jentera bergerak sekitar 30km/j, kelajuan yang bagus di kala cuaca sebegini. Ketika di Watchman (ketinggian 8,000 kaki) keadaan jalan agak berbahaya untuk sebuah jentera seberat 650 pound dan berkuasa 127hp tetapi Yamaha FJR ini bertindak cukup cemerlang sekali.
Saya tidak berasa seperti hilang kawalan atau akan terbabas dan cukup selamat untuk menuruni kawasan tinggi itu. Saya berjaya sampai di Pumice Desert dan berasa cukup gembira apabila melihat langit membiru sedang menanti saya di tasik itu.
Saya tinggalkan taman negara tersebut dan memilih jalan OR 138 yang membawa saya ke sebuah lebuhraya lurus di sebelah timur untuk merentasi Cascade Summit yang setinggi 6,000 kaki. Untuk ke Oakridge, saya terlebih dahulu menggunakan jalan US97 sebelum tiba di kawasan hutan-hutan tebal di jalan OR 58. Selepas merentasi Odell Lake, FJR ini dikerah untuk memanjat Willamette sebelum tiba dengan selamatnya.
Oakridge merupakan sebuah bandar di tengah-tengah taman negara, lengkap dengan beberapa buah motel yang amat sesuai untuk kaki joran dan pencinta aktiviti luar. Sungai Willamette di sini sememangnya menjadi lokasi popular buat pemancing teknik fly fishing. Langit di atas agak gelap dan sempat bertanya pada pegawai bertugas mengenai kajian cuaca. “Hujan sederhana lebat akan melalui kawasan ini pada malam nanti,” katanya.
Sebaik sahaja saya bangun tidur, saya terus menjenguk keadaan di luar dan memang betul kata pegawai itu. Malam tadi hujan... jalan raya basah! Tanpa melengahkan masa, saya terus bersiap untuk memulakan perjalanan di hari serba baru. Kali ini menuju ke Westfir. Papan tanda menunjukkan saya sedang menghala ke Aufderheide Scenic Byway atau lebih dikenali dengan Forest Road 19.
Pada tahun 1950an, Robert Aufderheide merupakan seorang penyelia Taman Negara yang cukup dihormati. Namanya kini diabadikan di sebuah jalan sepanjang 90 kilometer berkeadaan baik dan pemandangan laluan berpokok yang cantik. Saya terpaksa memperlahankan kelajuan kerana jalan dipenuhi dengan daun-daun yang lembab dan duri-duri pokok dari pokok pine.
Saya kemudiannya memanjat Gunung Chucksnay dan memerhatikan beberapa buah gunung berkembar yang digelar The Three Sister Wilderness. Saya juga ternampak seekor burung hantu yang terbang di sisi dengan megahnya. Kenderaan yang saya lihat di sini hanyalah beberapa buah lori balak dan tempat penginapan di sini membuktikan telah wujudnya persefahaman di antara komuniti pencinta burung hantu dan industri pembalakan.
Jika menunggang sebuah jentera offroad, sudah pasti saya akan menyusuri jalan-jalan lasak tetapi dengan FJR ini, perjalanan di lebuhraya lebih selesa dan meyakinkan. Tidak lama kemudian, saya sudah berada di jalan OR 126, menyeberangi Jambatan McKenzie kemudian merentasi kawasan tanah tinggi (2,958 kaki) dan akhirnya tiba di jalan OR22.
Jalan ini hanya dua lorong dan agak sesak. Banyak trak, motorhome dan penunggang motosikal yang sedang 'mandi' hujan kerana hujan turun dengan agak lebat. Saya berhenti seketika di sebuah penempatan kecil di Detroit. Ada kawasan perumahan dan kedai-kedai makan di sini, itu saja! Dahulunya tempat ini memang sebuah bandar yang meriah tetapi apabila empangan dibina dan berlakunya banjir besar di Sungai Santiam pada tahun 1952, kawasan asal penempatan ini telah tenggelam. Oh ya... dalam bahasa Perancis, Detroit bererti “Selat” dan dinamakan sempena kawasan sungai yang mengalami penyempitan.
Saya berehat di Restoran Cedars, memesan semangkuk sup panas dan melihat peta untuk perjalanan seterusnya. Terdapat satu lagi jalan berpemandangan cantik di hadapan tetapi saya tidak mahu singgah di sana kerana cuaca yang masih tidak menentu.
Saya ke Salem, hujan telah berhenti. Saya masuk ke jalan Interstate 5 untuk ke Portland yang sejauh 80km. Greater Portland merupakan sebuah bandar besar dengan jumlah penduduk mencecah dua juta orang atau kira-kira 60% daripada populasi Oregon. Bandar besar ini mudah menyesatkan kerana ia luas dan terlalu banyak jambatan. Memang sukar untuk ke suatu tempat... banyak kali saya tersalah jalan. Hanya untuk beberapa kilometer sahaja, terdapat lapan jambatan untuk menyeberangi Sungai Willamette. Bayangkan!
Saya lebih serasi dan kenal dengan jalan-jalan di bandar lama, di sebelah barat sungai dan terdapat banyak food-truck parkir di sini dan menyebabkan keadaan jalan agak kucar kacir. Saya mematikan enjin FJR di Kelly's Olympian Dinner, sebuah restoran yang dibina sejak 1902. Banyak motosikal dipamerkan di hadapan restoran ini manakala kita dapat melihat model-model lama digantungkan untuk dekorasi yang lebih menarik. Makanan di sini okay... tetapi suasananya cukup seronok. Kedai serbanika John Helmer terletak hanya beberapa blok ke hadapan. Ia dibina sejak 1921 dan di sinilah saya suka membeli beretnya sejak bertahun-tahun lamanya.
Persidangan The State Motorcycle Safety Administrators (SIMSA) diadakan kira-kira lapan kilometer dari bandar ini, berdekatan dengan Hotel Red Lion yang berbelakangkan Sungai Columbia. Semua mesyuarat diadakan dari pagi hingga petang dan sekitar 5.30 petang barulah keadaan semakin santai. Saya sempat berjumpa kawan-kawan lama dan kali ini dapat berkenalan dengan lebih ramai rakan baru.
Selepas menyelesaikan segala tugas, saya kembali memacu FJR ini menuju ke Tillamook dan mendaki laluan berliku setinggi 1,586 kaki sambil menyusuri jalan-jalan tepian Sungai Wilson sehingga tiba di kawasan pantai. Satu perjalanan yang cukup indah sekali! Perasan tak... saya asyik menyebut 'sungai'. Ini kerana Oregon memang banyak sungai dan bermakna, kawasan ini ada simpanan air dan pokok yang banyak. Subur. Ada yang berkeluasan 48,000 kilometer persegi atau hampir 1/3 keluasan negeri ini adalah hutan simpan.
Saya meninggalkan hutan simpan menuju ke kawasan padang rumput. Tentulah di kawasan ini kita dapat melihat lembu-lembu ternakan sedang meragut. Tillamook terkenal dengan pengeluaran keju dan kilang keju di sini menerima kunjungan kira-kira sejuta orang setahun.
Tempat ini juga terkenal dengan Muzium Udara yang menyimpan koleksi kapal terbang dan barangan koleksi berharga (memorabilia). The Naval Air Station Tillamook dibina pada tahun 1942 dan beroperasi hingga 1948. Pada tahun 1997, pengkalan ini secara rasminya dijadikan muzium. Di luar muzium ini terdapat sebuah kapal terbang pengangkutan cukup besar yang digelar Aero Spacelines Mini Guppy.
Antara yang menarik dan masih tersimpan di dalam muzium ialah kapal terbang kecil ‘Mini-Coupe’ yang menggunakan enjin VW. Pada tahun 1970an dulu, seorang pakar kapal terbang boleh membeli dan menghasilkan kapal terbang seperti ini pada harga hanya $2,400. Pengunjung juga akan sentiasa meminati dan mengagumi kehebatan kapal perang MIG-17 yang pernah bertempur di Vietnam. Kapal terbang perang Douglas A-4 Skyhawk turut dipamerkan di sini.
Untuk terus kekal seronok menunggang di Oregon, saya menyusuri jalanan tepian pantai, US 101 dan walaupun sudah berkali-kali menggunakan jalan ini, ia memang amat memuaskan hati. Kawasan ini sentiasa penuh dengan para pelancong dan ia menyebabkan kesesakan lalulintas. Bandar-bandar seperti Lincoln City dan Newport akan sesak dan ketika ini, para penunggang motosikal hanya akan berada di lingkaran luar bandar ini untuk menunggang dengan santai.
Saya memulas pendikit ke arah selatan menuju Coos Bay dan Brookings. Coos Bay terkenal sebagai bandar pembalakan manakala Brookings pula merupakan lubuk industri perikanan. Di sini juga merupakan tempat penanaman pokok-pokok bunga seperti ros dan lily kerana kesesuaian cuacanya.
Cascades, Coast Range.... memang saya suka sangat menunggang motosikal di sini. RR
Oleh: Clement Salvadori
Popular