Kisah 1000 Corners
Terlebih dahulu diucapkan 'terima kasih' kepada Mr. Star Lim, Pengurus Superider Motor Nibong Tebal dan Mr. Vincent Tan yang membantu bagi mendapatkan servis percuma SYM VTS 200 di Mforce Bike, Alma dan juga TPSA En. Rohaizad RR yang mendapatkan tajaan baju-t bagi pengembaraan cikgu-cikgu ke 1,864 corners 2015.
Hari Pertama (22 Nov)
Pengembaraan cikgu-cikgu dari Kolej Vokasional Nibong Tebal ini melibatkan empat buah SYM VTS 200, sebuah jentera Daelim dan sebuah Suzuki Shogun 125. Perancangan rapi selama enam bulan yang lalu akhirnya dapat dilaksanakan dengan semangat yang cukup membara. Hujan turun agak lebat dan terus kekal hinggalah ke Patthalung.
Hari Ke 2 (23 Nov)
Hujan yang masih turun langsung tidak menjejaskan semangat para penunggang. Perjalanan ke Prachuap Khiri Khan sejauh 570 kilometer agak lurus tetapi sebahagian kawasan sedang dinaik taraf. Setelah mengharungi perjalanan selama sejam, akhirnya kami selamat sampai di Sukshant Hotel yang terletak di pantai Manor. Selesa dan harga cukup berpatutan.
Hari ke 3 (24 Nov)
Semua menarik nafas lega apabila matahari muncul memberi sinar dan seribu harapan buat kami. Sebaik sahaja hendak memulakan perjalanan, sebuah motosikal tidak dapat dihidupkan walaupun pelbagai cara dan usaha dilakukan. Akhirnya ditunda motosikal Daelim, milik Cikgu Adnan ke bengkel berhampiran.
Jam 2.00 petang, perjalanan diteruskan ke Death Railway Kanchanaburi sejauh 340 kilometer dan mengambil masa lebih daripada empat jam. Walaupun jauh, kecantikan Phetchaburi memang mengasyikkan. Ketika di Ratchaburi, kami perlu menggunakan laluan khas motosikal.
Konvoi akhirnya tiba di Kanchanaburi pada jam 6.00 petang dan terus menyambung pengembaraan ke Jambatan Keretapi Maut. Nasib kami baik kerana tiba pada ketika masyarakat setempat sedang membuat persiapan upacara perayaan sungai digelar Loy Kratong. Terdapat ramai pelancong Eropah yang berkumpul dan 'berpesta' bersama.
Hari ke 4 (25 Nov)
Kami bertolak jam 7.30 pagi dengan perjalanan dijangka sejauh 530 kilometer, mengambil masa hampir lapan jam. Sekadar perkongsian, jentera Suzuki Shogun 125 milik penulis dapat bertahan sejauh 130-140km dengan kelajuan purata 110km/j. Bagi rakan-rakan yang menunggang SYM VTS 200 pula, mereka mampu bergerak lebih kurang 260 kilometer bagi satu tangki penuh dengan kelajuan purata yang sama.
Konvoi memasuki Route 3086 melalui kawasan Tentera Udara di Raja Thai, Safari Park seterusnya melalui Route 333, 3013 dan 1001. Sepanjang perjalanan kelihatan kawasan pertanian dengan ladang tebu yang sangat luas dan panjang. Banyak jentera pertanian telah diubahsuai menjadi pengangkutan berada di atas jalan raya dengan majoritinya terdiri daripada para peladang yang rata-ratanya memakai topeng penutup muka.
Dari Route 1001, kami memasuki semula Route 1 (AH2) melalui Nakhon Sawan ke Kamphaeng Phet. Sebaik berhenti di hadapan sebuah kedai makan, kami disambut oleh saudara Ikhwan, pemilik kedai yang baru dua bulan memulakan perniagaan di situ. Berasal dari Pattani dan boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris banyak memudahkan segala urusan jual beli.
Kami merupakan rakyat Malaysia yang pertama menjadi pelanggan beliau. Difahamkan kawasan ini mempunyai lebih kurang 10 keluarga islam dan beliau sendiri mengajar membaca Al-Quran kepada anak-anak yang tinggal di sini. Kami juga dapat membantu Sdr. Ikhwan untuk menulis papan tanda seperti surau, tempat wuduk, arah kiblat dan banyak lagi. Sebelum bertolak, kami dijamu pula dengan hidangan kopi panas. Memang lazat!
Selepas persimpangan Tak, kami menyusuri pula Route12 yang 'menyajikan' tunggangan berbukit dan berselekoh, kami sampai di Mae Sot Boundary ke Myanmar pada jam 5.30 petang. Seperti di Kanchanaburi, persiapan menyambut perayaan Loy Kratong sedang giat dijalankan. Kelihatan ramai penduduk Myanmar melintasi sempadan menuju ke Mae Sot bagi merayakan perayaan tersebut. Semasa bertolak ke tempat penginapan kami terpaksa melalui jalan yang cukup sesak....
Penginapan malam ini di Baan Resort yang sangat selesa, cantik, layanan dan wi-fi baik pada harga 550 Baht sahaja.
Hari ke 5 (26 Nov)
Walaupun 400 kilometer perjalanan sahaja memaksa kami berada di atas jentera masing-masing hampir lapan jam. Ini kerana laluan di kawasan perkampungan ini terdiri daripada pelbagai jenis mukabumi seperti berbukit, selekoh, sempit, tidak rata, berlubang, tanah merah, berbatu dan sebahagian pula yang masih dalam pembinaan.
Menyusuri Sungai Moei yang memisahkan antara Thai dan Myanmar di waktu pagi memang sangat mengujakan kerana ia menyediakan pemandangan yang cukup indah ditambah pula dengan suhu sejuk dan berkabus. Route 105 merupakan laluan paling banyak sekatan oleh pihak berkuasa yang bagi kami ia adalah pengalaman menunggang yang cukup bermakna.
Kami juga dapat melihat aktiviti menuai padi bukit secara tradisional yang dilakukan secara gotong royong oleh penduduk setempat. Selepas mengisi minyak di Mae Sariang, jentera Cikgu Redwan meragam dan memerlukan 'rawatan' hampir 6 jam sebelum enjinnya berderum kembali. Walaupun begitu, saya rasa tidak sedap hati dan jangkaan ini akhirnya menjadi kenyataan. Saya terpaksa mengambil keputusan untuk menunda jenteranya dalam keadaan jalan selekoh mendaki bukit untuk ke tempat yang lebih selamat.
Tanpa disangka sebuah pacuan empat roda Mazda sudi mengekori kami sambil menyalakan lampu kecemasan sepanjang perjalanan ke Khuan Yuam. Sebaik sahaja tiba di sebuah stesen minyak, kami mengucapkan terima kasih kepada pemandunya tetapi agak sukar kerana beliau tidak mahir berbahasa Inggeris. Hanya bahasa isyarat dan sedikit bahasa Thai yang dapat membantu kami berkomunikasi.
Aekchai Aekpayong, seorang warga tempatan sudi membantu untuk menghantar motor rosak itu ke Mae Hon Son sejauh 68 kilometer dari lokasi kami ini (Khuan Yuam). Tindakan mulianya tanpa sempadan bangsa dan agama memeranjatkan kami semua walaupun dia sudah pun hampir sampai ke rumahnya. Pada mulanya, saya berasa sedikit curiga tetapi rupa-rupanya dia seorang yang ikhlas membantu tanpa mahu menerima sebarang bayaran dan kami sangat bertuah dapat berkenalan dengan beliau.
Hari Ke 6 (27 Nov)
Perancangan hari ini adalah untuk menghantar motor yang rosak ke bengkel yang dicadangkan oleh Aekchai semalam. Sementara motor dibaiki, kami sempat berkunjung ke Chamber Of Commerce bagi mendapatkan sijil pengesahan melalui 1864 corners serta mengisi perut yang semakin lapar ini.
Setelah hampir empat jam menunggu, motosikal ini masih tidak dapat dihidupkan. Dengan bantuan rakan di Krabi yang menjadi perantara bahasa dengan Aekchai, sekali lagi bantuan ditagih. Aekchai sudi membantu dengan seikhlas hati menghantar motor tersebut ke Chiang Mai, sejauh 350 kilometer dari Mae Hong Son. Baiknya hati!
Kami diuji dengan keadaan jalan yang cukup mencabar. Suasana malam yang sejuk dan kelihatan meriah dengan taburan lampu-lampu sewaktu melalui Pai. Kami akhirnya tiba di Chiang Mai pada jam 11.00 malam dan tanpa melengahkan masa, Aekchai terus menghantar motosikal ke bengkel rakannya.
Hari Ketujuh (28 Nov)
Pagi ini Aekchai membawa kami bersiar-siar ke Mon Jam yang terletak di kawasan berbukit sejauh 40 kilometer dari Chiang Mai. Suasana di kawasan Moh Jam menarik kerana lebih tenang dan sejuk berbanding Chiang Mai. Terdapat chalet dan khemah-khemah yang boleh disewa dengan kadar bayaran yang cukup murah. Mon Jam juga mempunyai pemandangan yang cukup cantik.
Apa yang menarik ialah anak-anak Mon Jam yang berpakaian kebangsaan mereka begitu mesra menunggu untuk bergambar bersama pelancong. “Jangan lupa bagi tip kalau nak gambar,” pesan Aekchai. Majoriti masyarakat di sini membuka gerai cenderamata, kedai minum, pengusaha ladang strawberi, jagung, labu dan terdapat juga aktiviti sampingan dijalankan oleh orang-orang Mon Jam sendiri.
Dalam perjalanan pulang, kami sempat berkenalan dengan Mr. Nuts dari Iron Horse Chiang Mai yang juga sedang bersiar-siar dengan motosikal custom café racer beliau. Kami difahamkan Route 1096 dan 1269 yang mengelilingi Dui Suthep Pui National Park merupakan kegemaran bikers di Chiang Mai untuk meleper pada hari minggu.
Pada lewat petang, motor Cikgu Redwan sudah siap dibaiki. Namun begitu ia tidak pulih sepenuhnya, ada masa boleh dihidupkan dan kadang kala tidak. Jadi kami mengambil keputusan untuk menggunakan perkhidmatan keretapi sebagai alternatif untuk pulang. Lagi sekali Aekchai membantu bagi urusan tersebut tetapi malang sekali jadual perjalanan keretapi ke Bangkok pada malam itu dan keesokan harinya sudah penuh.
Hari Kelapan (29 Nov)
Pada pagi ini, Aekchai menawarkan diri untuk menghantar jentera tersebut ke Bangkok membuatkan kami semua terharu. Tetapi saya tidak sampai hati untuk menerima tawaran tersebut memikirkan beliau telah banyak membantu kami selama dua hari kami di sini. Setelah bersalaman dan menyampaikan cenderahati kepada Aekchai, kami terpaksa meneruskan perjalanan walaupun keadaan jentera tersebut yang kurang baik. Terpancar kesedihan di wajah Aekchai untuk berpisah, begitu juga kami.
Ketika menuju ke Lamphun kami terhenti disebabkan masalah yang sama menimpa motosikal tersebut. Sedang kami semua sibuk berbincang, kelihatan Aekchai menggunakan laluan yang sama untuk pulang ke Khuan Yuam. Dia terus menghampiri kami dan memaklumkan bahawa terdapat sebuah syarikat penghantaran yang beroperasi pada hari minggu. Tanpa membuang masa Aekchai sekali lagi membantu dengan membawa kami ke NiM Ekspress untuk urusan penghantaran ke Hatyai. Semuanya diuruskan oleh Aekchai dengan kos penghantaran 5,500 Baht dari Chiang Mai ke Hatyai. Terima kasih banyak-banyak.
Sepanjang tiga hari yang dilalui bersama Aekchai, apa yang dapat dikatakan, dia adalah seorang 'pembantu' yang sanggup membantu dengan ikhlas dan mesra tanpa sebarang upah. Mungkin di kalangan kami sendiri tidak mampu dan sanggup untuk membantu sedemikian rupa jika menemui kejadian serupa. Demi membantu kami, dia sanggup meninggalkan rumah, isteri dan kerja beliau. Kami pun turut berpelukan sambil bergenangan air mata.
Inilah dikatakan lumrah kehidupan di mana setiap pertemuan pasti ada perpisahan, tapi biarlah perpisahan memberi beribu makna. Oleh kerana bertolak dari Chiang Mai agak lewat petang, kami selamat tiba di Nahkhon Sawan pada jam 8.00 malam.
Hari Ke-9 (30 Nov)
Dengan melalui tepian Sungai Mekong di Nakhon Sawan, kami meninggalkan bandar ini untuk perjalanan pulang. Kami melalui beberapa tempat menarik seperti Suphanburi, Nakhon Phathom, Ratchaburi seterusnya menggunakan Route 4 ke Prachuap Khiri Khan yang sejauh 640 kilometer.
Hari Ke-10 (1 Dis)
Kami makan tengahari pada jam 4.00 petang di Hatyai. Sudahlah lapar, konvoi ditimpa hujan lebat pula ketika melepasi Phatthalung dan keadaan ini berterusan sehinggalah ke Hatyai. Sebaik sahaja selesai menjamah nasi, kelihatan semua rakan-rakan seperti keletihan, memaksakan segala perancangan awal terpaksa dibatalkan. Kami bermalam di Hatyai bagi memulihkan kembali tenaga.
Hari Ke-11 (2 Dis)
Awal-awal lagi Aekchai dah call kami dan memaklumkan bahawa motosikal Cikgu Redwan akan sampai di Hatyai dalam masa 2 atau 3 hari lagi. Oleh itu, hari ini kami perlu pulang terlebih dahulu dan perjalanan hari ini lebih santai. Selepas menikmati daging bakar di Danok, kami memulas pendikit untuk sampai ke pangkuan keluarga dengan selamat.
Jarak pengembaraan hanya 4,820 kilometer. Pengembaraan kali ini juga memperkenalkan dengan seorang lagi 'cikgu' yang mengajar kami tentang betapa indahnya hidup dengan adab dan semangat setia kawan seperti mana yang ditunjukkan oleh Aekchai. Jika ramai orang sebegini di seluruh dunia, maka kita akan sentiasa berasa selamat dan gembira. RR
Azizan Abdullah P051
Popular