Di Kawasan Pergunungan Bersama Yamaha FJ-09 Sport Touring
Yamaha pastinya cukup gembira selepas model FJ-09 (di Malaysia dikenali dengan model MT-09 Tracer) ini mendapat sambutan hangat di pasaran Eropah dan USA. Antara faktor utama mengapa model ini popular ialah ia dapat memenuhi apa yang diingini iaitu prestasi, keselesaan dan harga mampu milik. Oh ya... jangan lupa juga dengan kemantapan enjin tiga silinder miliknya yang kini telah memperoleh kepercayaan dan kejayaan seperti model-model keluaran MV Agusta dan Triumph.
Memiliki jentera tiga silinder mempunyai sedikit kelebihan berbanding empat silinder terutamanya dari faktor kewangan dan alat ganti. Masih ingatkah pada model XS750 tiga silinder yang dihasilkan pada 76' hingga 79'? Prestasi model ini dipertingkatkan kepada 850cc pada tahun 80' dan 81'. Model FZ-09 (MT-09 di Malaysia) yang diperkenalkan pada tahun 2014 kurang mendapat sambutan walaupun harganya tidak terlalu tinggi.
Yamaha akur dengan hal tersebut lalu memperkenalkan pula model FJ-09 ini, sebuah jentera sport-touring baru yang telah melalui banyak proses penambahbaikan. Sebaik sahaja dimaklumkan ada sebuah unit untuk dipandu uji, saya terus bersetuju! Saya juga membuat keputusan untuk membawanya mengembara ribuan kilometer di jalanan yang banyak selekoh. Tujuannya adalah untuk merasakan tahap kuasa dan bagaimana mudahnya pengendalian jentera Yamaha ini. Keselesaan juga amat penting kerana dalam suatu pengembaraan, kita perlu bersedia untuk berada di atas jentera lebih kurang enam jam... lapan jam... atau lebih.
Jentera ini mempunyai enjin 847cc dengan gerek dan lejang bersaiz 78mm dan 59.1mm. Kuasa yang dimiliki oleh jentera ini juga tidak mengecewakan, lebih daripada 100hp dan tork setinggi 81Nm. Seperti kebanyakan model pengembaraan sekarang ini, FJ-09 ini turut memiliki ECU dengan tiga mod tunggangan iaitu mod A yang berkuasa penuh, mod Standard (berkuasa sederhana) dan mod B yang berkuasa rendah (kurang 10% daripada kuasa penuh).
Kerangkanya jenis spar kembar dihasil menggunakan aluminium dan sebenarnya terdapat dua bahagian yang disatukan dengan menggunakan banyak bolt. Enjin diletakkan dan di sini barulah kita nampak betapa bijaknya kerangka dihasilkan. Ketepatan casis dapat ditala dengan tepat demi memberikan keselamatan para penunggangnya.
Saspensi hadapan Yamaha ini menggunakan fork jenis terbalik 41mm manakala di belakang pula disempurnakan dengan penggunaan penyerap hentak jenis tunggal. Untuk disesuaikan dengan jenis mesin ini dan tujuan ianya dihasilkan, FJ-09 didatangkan dengan tayar bersaiz 120 (depan) dan 180 (belakang) dan model ini juga dilengkapi dengan sistem ABS – saya sukakannya!
Kadar ergonomik jentera ini cukup baik walaupun bagi penunggang 6'3” seperti saya. Bar hendalnya juga lebar, cukup selesa manakala pelana yang setinggi 853mm ini boleh diturunkan sedikit kepada 838mm dan pelana ini sangat selesa untuk mengembara. Saya juga sukakan tempat pemijaknya yang cukup selesa untuk dipanjat jika penat menunggang sepanjang hari.
Kuasa maksimumnya hadir apabila rpm berputar ke tahap 10,000 manakala rev-limiter bertindak balas apabila putaran enjin mencecah 11,000rpm. Melihat angka-angka ini, saya sedar bahawa kelajuan yang dicapai sudah melebihi had undang-undang jalan raya. Motosikal ini juga dilengkapi dengan traction control yang boleh dimatikan pada bila-bila masa.
Rupanya mengingatkan saya pada Bimota Mantra yang diperkenalkan pada tahun 1990an dahulu. Lampu utamanya ada dua yang menawarkan suluhan yang cukup cerah manakala demi keselesaan penunggang ketika memecut, Yamaha telah memasang cermin pengadang utama yang boleh dikawal ketinggiannya dalam tiga tahap berbeza. Saya kurang meminati cermin ini kerana ianya bergoyang agak kuat sewaktu membuat pecutan. Tidak berapa praktikal. Untuk para pengembara, kotak barang sisi adalah pilihan yang bagi saya harganya agak mahal. Di sini dijual dalam lingkungan $1,000 dan dari segi bentuk dan saiznya, saya lebih menyukai kotak barang sisi model FJR.
Untuk menikmati jalan-jalan di pergunungan, saya memilih Jalan CA 58 yang sejauh 125 kilometer yang agak sibuk tetapi jalan ini memang banyak selekoh. Pengendalian mesin ini memang hebat dan mudah walaupun kita baru menunggangnya. Jalan berselekoh tajam bermula di Salinas River menuju ke laluan terkenal yang digelar 13-Curves Chicane. Jentera ini yang lengkap dengan kotak barang sisi adalah seberat 226 dengan isi penuh tangki sebesar 18 liter. Walaupun begitu, saya amat teruja dengan pengendaliannya yang mudah dan inilah kekuatan utama FJ-09 ini. Ia ringan dan lincah!
Kami berdua (saya dan FJ ini) menyusuri perjalanan dengan riang sekali sehingga tiba di Carrizo Plain yang luas terbentang. Saya turunkan gear dari enam hingga empat kemudian menarik pendikit sehingga kelajuan mencecah 160km/j. Ketika ini saya dapat merasakan tayar hadapan sedikit bergoyang – teringat pula zaman '90an dulu yang rata-rata jenteranya lebih stabil dan gagah.
Ketika tiba di bandar McKittrick, saya berhenti seketika untuk menikmati makanan wajib jika berada di sini iaitu daging panggang bersama telur. Selepas perut sudah diisi, 'perut' FJ ini pula saya penuhkan untuk merentasi jalan yang sangat lurus di San Joaquin Valley. Saya kemudiannya mengarahkan FJ-09 ini ke timur, Buttonwillow. Jalan CA45 membawa kita ke utara manakala Jalan CA65 pula menghala ke utara menuju ke Ducor.
Jentera yang cukup bertenaga ini terus membawa saya dengan lancar ke kawasan pergunungan Sierra Nevada sebelum tiba di California Hot Springs (populasi sekitar 200 orang). Pendikit terus dipulas untuk mendaki Parker Pass yang setinggi 6,400 kaki kemudian turun pula 3,500 kaki ke bawah untuk melintasi Sungai Kern dengan menaiki Jambatan Johnsondale. FJ-09 ini kemudiannya berjaya menunjukkan kemampuan sebenarnya di jalanan berselekoh tajam ketika memanjat Sherman Pass yang cukup-cukup tinggi (9,200kaki).
Saya banyak menggunakan gear kedua dan sesekali meningkatkan kepada gear ketiga. Memang seronok menunggang di jalan sebegini tambah-tambah pula dengan jentera dual purpose Yamaha ini. FJ ini ringan...menjadikan ia amat mudah untuk kita baringkan ke kiri dan ke kanan. Keterujaan sebegini mungkin tidak dapat dirasakan jika ia lebih berat!
Pemandangan dari kawasan tanah tinggi memang mendamaikan. Perjalanan diteruskan pula menuju ke sebuah lagi lokasi hebat dan mempesonakan iaitu ke Taman Negara Sequoia. Di sini terdapat pokok-pokok besar yang berusia ribuan tahun dan apabila dikatakan besar... pokok ini memang sangat besar. Kita mungkin memerlukan lebih kurang lapan hingga 10 orang digabungkan untuk memeluk sepohon pokok ini.
Kami turun 5,000 kaki ke bawah untuk bertemu dengan Jalan US395 di Owens River Valley. Asalnya tempat ini merupakan sebuah ladang yang cukup subur tetapi beberapa agen hartanah berpendapat sumber air di sini lebih baik disalurkan ke Los Angeles. Ia menyebabkan kawasan ini telah berubah menjadi tanah gersang dan berdebu.
Destinasi berikutnya ialah Westgard Pass (7271 kaki) tetapi saya membuat keputusan untuk mendaki Whiteman Mountain terlebih dahulu dan nasib saya baik. Tiada yang lebih sempurna apabila kita dapat menunggang di jalan berbukit yang sempurna dan baik. Sempat juga saya berbual dengan pegawai yang bertugas di pusat khidmat pelanggan di sini. Dia memberitahu saya bahawa jalan tanah merah ke Patriarch Grove sangat teruk untuk digunakan selepas hujan turun dengan lebatnya. Saya tetap mencuba tetapi hanya mampu tidak sampai dua kilometer kerana sistem saspensi FJ ini tidak sesuai dan begitu juga saya. FJ ini dibawa turun untuk bermalam di Big Pine.
Keadaan trafik di awal pagi di kawasan pergunungan tidak begitu sibuk. Pendakian hari ini adalah setinggi 9,940 kaki di Tioga Pass untuk memasuki Taman Negara Yosemite. Jika tadi jalannya agak lengang, keadaan amat berbeza apabila saya tiba di sini. Peringatan penting... jika anda ingin ke sini. Elakkan berkunjung di taman negara ini pada bulan Julai kerana ia penuh dengan para pelancong.
Melihat kenderaan yang beratur panjang, saya membuat keputusan untuk berpatah balik menuju ke Hetchy Valley. Kira-kira 100 tahun yang lalu, bandar San Francisco sedang pesat membangun. Beberapa orang yang bijaksana berjaya membina empangan di Sungai Tuolumne ini kemudiannya dijadikan kawasan hutan simpan yang sangat cantik dan terjaga.
Kali terakhir saya ke sini lebih kurang 50 tahun yang lalu, dengan menunggang Velocette dan jujur saya katakan FJ-09 ini lebih menyeronokkan. Sistem brek dan penghidup elektrik sudah tentu satu kenikmatan berbanding jentera dahulu yang menggunakan brek gelendong dan penghidup kaki yang besar serta keras.
Bandar Hetch Hetchy tidak banyak berubah walaupun sudah 50 tahun berlalu. Keadaan trafik juga menyenangkan dan kebanyakan orang berkunjung ke sini ialah untul menikmati ketenangan dan keindahan alam. Saya cuba mencari tempat untuk bermalam di Mariposa tetapi ia bagaikan mustahil kerana bandar ini dekat dengan lokasi pelancongan.
Jam menunjukkan sudah pukul 4.00 petang dengan perjalanan untuk tiba di rumah kira-kira 320 kilometer lagi. Saya menghubungi isteri di rumah dan memberitahunya saya akan tiba lewat sedikit tetapi masih sempat untuk menikmati supper. Perjalanan sejauh 1600 kilometer, 10,000 selekoh dan tiada saman had laju! Satu perjalanan hebat bersama sebuah jentera yang juga hebat. RR
Oleh: Clement Salvadori
Popular