Isu Terkini

Julai 2024

Kembara / 13 Januari 2016

Belum Rainforest 2015 Ride & Camp

Kebanjiran motosikal jenis DP (dual purpose) di pasaran semakin mendapat perhatian para peminat dua roda di tanah air. Kebanyakan penunggang lebih suka melakukan perjalanan jauh merentasi negara jiran. Namun aktiviti menunggang DP di laluan offroad masih lagi kurang dianjurkan.

Pada bulan Oktober lalu, F800GS Malaysia Community telah mengganjurkan Ride & Camp di Sungai Singor, Hutan Belum, Gerik, Perak. Pengembaraan disertai oleh 19 orang peserta (17 buah motosikal dan sebuah 4x4), aku menggunakan motosikal BMW jenis purba R100GS manakala peserta lain rata-ratanya menggunakan model F800GS. Terdapat juga mereka yang menyahut cabaran ini dengan menunggang Honda CRF250L, BMW R100GS dan F650GS.

Hari Pertama 9 Oktober 2015

Konvoi bertolak dari R&R Rawang pada jam 8.30 pagi dan disambut oleh Dr. Jani dan Abad Hussain di tol Tanjung Malim. Kami bersarapan di Warung Karim (berhadapan UPSI) yang memang menyajikan makanan yang murah dan sedap. Tetapi yang paling best dan sedap mata memandang ialah cikgu-cikgu pelatih UPSI yang comei-comei belako.

Kami diberi taklimat ringkas mengenai perjalanan oleh Dr. Jani dan bacaan doa musafir oleh Haji Aswade. Kumpulan bergerak pada pukul 9:35 pagi dan berhenti di R&R Sungai Perak untuk mengisi minyak. Perjalanan diteruskan ke Gerik melalui Exit 143, Kuala Kangsar dan pada pukul 1.00 tengahari konvoi selamat tiba di Hentian Perak, Gerik. Ini juga masa terbaik untuk berehat sambil makan tengahari.

Kami ke stesen minyak Shell untuk pengisian terakhir sebelum masuk ke dalam hutan Belum. Tiba-tiba motor aku tidak dapat dihidupkan (masalah bateri), tapi mujurlah ada di antara kami yang membawa Power Bank untuk mengecas bateri tersebut. Kalau zaman dulu sebelum ada teknologi power bank sebesar tapak tangan ni, pasti pakat-pakat tolak untuk hidupkan enjin.

Dari awal pagi sampai tengah hari ini, cuaca amatlah terik! Tetapi bak kata pepatah, 'langit tak selalu cerah' memang betul! Masuk sahaja kawasan Tasik Banding langit terus bertukar menjadi gelap dan hujan turun selebat-lebatnya berserta angin yang kuat. Kami memperlahankan motosikal dan semua peserta basah kuyup dibuatnya. Akhirnya kami sampai di simpang ke Air Banun (N 05.56906, E 101.41923) pada pukul 3:30 petang.

Hujan masih lagi turun, air dari atas bukit mengalir deras ke bawah melalui jalan yang akan kami lalui. Inilah cabaran sebenar offroad yang memerlukan skil kawalan imbangan, kawalan pendikit dan brek untuk mengelakkan adegan tergolek –dog. Sebab tu lah kena berjemaah kalau nak offroad dengan DP ni.

Di sini Dr. Jani mengetuai konvoi dengan menjadi orang terawal untuk naik ke atas bukit pertama. Moralnya ialah, kalau leader lepas pasti anak buah yang lain akan lebih berkeyakinan. Hj Aswade mengikut rapat di belakang beliau tetapi R1200GS 'gajah'nya gagal dikawal dengan sempurna di selekoh tajam semasa menaiki bukit menyebabkan beliau jatuh mencium tanah hutan Belum. Inilah... Salam Perkenalan namanya. Semangat berpasukan jelas nampak di sini, semuanya saling tolong menolong antara satu sama lain.

Kami juga diuji dengan pelbagai jenis halangan seperti pokok tumbang merentasi jalan yang mengakibatkan beberapa peserta yang jatuh semasa lintasi batang pokok tersebut. Di samping itu juga kami ternampak kesan najis gajah dan pada masa yang sama, perlu berhati-hati dengan babi hutan yang akan melintas secara membabi buta.

Pukul 6:00 petang, suasana dah mulai gelap, Dr. Jani telah membuat keputusan untuk bermalam berhampiran dengan jambatan Sungai Singor. Ini adalah rancangan atau plan B, disebabkan keadaan jalan yang begitu licin dan berisiko. Rancangan asal atau  plan A, kami akan bermalam di tapak camp site yang terletak lebih kurang 20 kilometer di hadapan.

Tanpa membuang masa, semua peserta terus memasang khemah masing-masing. Baru perasan! Khemah yang aku bawa ni dah lebih setahun tak di gunakan... dah melekat tetapi nasib baiklah belum koyak lagi. Waaa.. kelihatan pelbagai jenis khemah masing-masing siap didirikan. Ada yang bertaraf banglo mewah sampai boleh masuk motor sekali dalam khemah. Ada juga bertaraf budget, gerenti masuk air semasa hujan. Tak apelah, paling penting ia dapat melindungi dari gangguan nyamuk dan serangga.

Episod 'terbaru' master chef bermula. Safawi, Abad, Hafizi dan Dr. Jani sibuk menyediakan makan malam. Menu adalah nasi, ikan asam pedas, kobis goreng, sambal belacan, pekasam dan kambing bakar special. Bila dah penat dapat makan makanan yang sedap memang terbaik. Kalau di luar hutan belum tentu dapat makan macam ni. Kami berbual sambil mengunyah kuaci, kacang menglembu, biskut siap pekena kopi o panas sampai jam 12.00 tengah malam.

Hari Kedua 10 Oktober 2015

Suasana pagi di sini amat segar sekali. Kedengaran unggas yang berkicauan dan kami bernasib baik dapat melihat burung enggang berhampiran dengan tapak perkemahan. Suasana pada 6.30 pagi dah cerah macam 7.30 pagi di bandar. Kami bersarapan nasi goreng 'campak-campak jadi’ oleh Chef Safawi yang disajikan dengan sandwich tuna dan roti bengali cicah air kopi serta ikan kering kepal dan ikan masin.

Suasana menjadi riuh seketika, kerana kedudukan khemah-khemah mewah Syed, Ishar, Faudzi, Pok Deng dan Hj Aswade yang terletak di tepi sungai semalam menjadi semakin dekat dengan tebing yang ada di antaranya telah runtuh semasa hujan pada malam tadi. Sepatutnya undang-undang kecil kerajaan tempatan mengenai pembinaan dengan jarak reserve sungai sejauh 20 kaki harus digunapakai walaupun untuk khemah. Nasib baik semuanya selamat. Syukur! Selain memindahkan khemah ke tapak baru, Ishar turut memasang 'Land Slide Warning System' menggunakan tali dan batu yang diikat pada dirinya. Sekiranya berlakunya insiden tanah runtuh, dia akan 'dikejutkan'!

Selepas bersarapan pagi, kami semua ke jeram yang berhampiran untuk mandi-manda, membasuh pinggan mangkuk dan aktiviti-aktiviti lain. Khairul, Wan, Naim, Hassan dan Man bagaikan pelakon Ibrahim Din dalam cerita Do Re Mi ke sana ke mari mencari kayu api, tapi paling hebat kerana 'sesi cari kayu' ini dibuat mengunakan F800GS.

Kamar pula membuka 'kelas' cara menebar jala kepada studentnya Olie, Pjoy, Fizi dan Hj Aswadee. Bagi kaki-kaki pancing seperti Pok Deng dan Pjoy, inilah masa yang sangat dinanti-nantikan! Masing-masing sibuk dengan aktiviti riadah kesukaan mereka. Makan tengah hari dihidangkan dengan hasil tangkapan ikan sungai tadi. Selepas itu, ada sebahagian yang kembali menguji kecekapan menunggang jalan offroad dan sebahagian lagi menjaga khemah dan menyiapkan makan malam.

Kami cuba melalui jalan menuju ke lokasi asal, plan A. Ternyata, ia terlampau sukar kerana hampir kesemua laluannya menjadi lumpur yang mudah menyebabkan tayar motosikal melekat. Satu persatu motor tumbang! Jarak yang hanya satu kilometer mengambil masa dua jam. Ada sebuah 4WD melintasi kami, mereka memberitahu bahawa jalan di hadapan terlalu licin untuk dilalui menyebabkan mereka pun terpaksa berpatah balik. Kami pulang ke Camp Site pada pukul 4.00 petang.

Kebetulan, tapak perkhemahan kami berada berhampiran dengan checkpoint untuk acara sukan lasak The 9th Royal Belum Iron Bound Challenge. Acara sukan lasak ini memerlukan pesertanya mengharungi beberapa disiplin lasak seperti bamboo rafting, kayak (tasik dan sungai), mountain bike, jungle trekking, memanjat tali, orienteering dan task force sejauh jarak 120 kilometer yang memakan masa selama dua hari. Kami sangat teruja melihat semangat para petanding ini. Rupa-rupanya, pasukan nombor satu di dunia dari New Zealand pun turut sertai acara ini.

Di sebelah malam, kami nyalakan unggun api sambil melihat gambar-gambar dan video yang sempat diambil oleh Syed, Pjoy dan Fauzi Din semasa konvoi. Gelak tawa kami memecah kesunyian pada malam yang hening itu.

Hari Ketiga 11 Oktober 2015

Setelah sarapan pagi kami teruskan aktiviti wajib, mencuci pinggan mangkuk, mengemas khemah dan membersihkan kawasan. Semua sampah dibawa keluar demi menjaga alam sekitar. Cuaca hari ini amat cantik! Keadaan jalan yang telah kering memudahkan kami keluar dengan cepat. Kali ini 100% tak jatuh..

Selepas keluar dari hutan semua peserta berhenti makan di Hentian Perah. Hujan gerimis semasa perjalanan pulang manakala trafik menuju ke ibu kota juga agak sesak. Walaupun seronok tetapi masing masing rasa macam tak puas, nak lagi, semestinya akan ada banyak lagi DP offroad lepas ni. Tungguu… RR

Penulis: Jamil Hasan RR09

Isu Pada

Januari 2016

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

Kembara Sampai ke Boten

Ride Sri Lanka - Berbelit Jalan Serta Lidah Nak Menyebutnya...

Kuching, Sarawak, Malaysia - Pontianak, Indonesia: 1000km Loop (Bahagian Akhir)

Kuching Sarawak Malaysia - Pontianak Indonesia: 1000km Loop (Bahagian 1)

Sabah 360 Ride 1,800KM Loop (Bahagian II)

Ride Berdua ke Siam

Sabah 360 Ride 1,800km Loop (Bahagian 1)

Ride Ihya Ramadhan TM Bikers Ke Gua Musang, Kelantan

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Boon Siew Honda (BSH) telah merasmikan pembukaan Honda Bigwing yang pertama di Melaka.

Warta Roda

Kemalangan Kereta Dengan Motosikal Berkuasa Tinggi, Penunggang Maut

Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut setelah terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Batu 6, Jalan Kangkar Baru Paloh, Yong Peng, jam pukul 10.15 pagi semalam.

Dari Litar

Akid Pertahankan Kejuaraan CP150

Tahniah buat Akid Aziz pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing meraikan gelaran juara keseluruhan CP150 dengan lebih awal.

Warta Roda

SUZUKI GSX-S1000GX Tiba Di Pengedar Sah Suzuki. Harga asas, RM89,900

Akhirnya model kembara, GSX-S1000GX sudah pun tiba di pengedar rasmi Suzuki dengan harga jualan rasmi RM89,900.